Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

24 May 2009

Permata Di Dalam Kotak Emas


"Bukan apa. Sebenarnya, saya rimaslah. Bukan awak tak tau. Negara kita panaskan. Apa salahnya kalau saya tak pakai tudungkan..."

Bukan senang untuk menerangkan kepada Puteri tentang pentingnya menutup aurat. Sudah lama Solehah bersahabat dengannya. Namun begitu, dia belum dapat menarik bersama-sama sahabatnya itu sama-sama dengannya mengamalkan tuntutan agama.

Puteri bukan sahaja tidak menutup aurat, bahkan turut meninggalkan solat fardhu. Amalan wajib yang hanya dilaksanakannya hanyalah puasa Ramadan, itupun ikut-ikutan daripada orang sekeliling. Maklumlah, Puteri merupakan seorang anak Tan Sri dan kedua ibu bapanya juga tidak mengendahkan suruhan agama.

Solehah juga anak orang berada. Namun begitu, dia dididik dengan didikan agama sejak kecil. Beliau ditarbiyyah dengan sepenuhnya oleh keluarganya sebelum dihantar ke sekolah tahfiz ketika berusia 9 tahun. Hasilnya, beliau seorang yang taat dalam agama.

Ditakdirkan, Tan Sri Muhaimeen, bapa Puteri dan Datuk Rahman, bapa Solehah merupakan dua orang rakan kongsi dalam Sulaman Kasih Sdn. Bhd.. Keadaan inilah yang menemukan Solehah dan Puteri sejak mereka kecil.

Walaupun cara hidup berbeza, namun mereka berdua sememangnya akrab bersahabat.

"Bersahabat, jangan biarkan sahabat hanyut dalam kefana'an dunia." Itulah kata-kata guru Solehah ketika belajar di sekolah tahfiz suatu masa dahulu. Dia seboleh-bolehnya mahu sahabatnya itu, sekurang-kurangnya mengamalkan secara istiqamah, amalan-amalan yang wajib. Bukan senang ingin menerangkan kepada sahabatnya itu.

Bukan senang mahu menerangkan kepada Puteri. Dia tetap dengan cara baratnya itu.

"Kenapa ni, Lehah? Monyok aje muka awak?" Puteri seolah-olah merasakan ada sesuatu yang tidak kena. "Kita berdua sudah lama sambung belajar kat oversea. It's a very long time. Bila dah berjumpa, your face like... mencuka."

Solehah bukanlah seorang yang terburu-buru dalam menerangkan kepentingan aurat itu. Cuma mencari masa yang sesuai sahaja untuk menerangkannya. Lebih-lebih lagi kepada Puteri yang kurang didikan agama.

"Alang-alang awak dah datang ke rumah saya, I got something to show you," kata Solehah. "This. My new handphone. My dad bought it last week at California. How nice it's." Telefon bimbit barunya itu sebenarnya di simpan di dalam almari kaca di biliknya sahaja.

"Why don't you use it?" tanya Puteri. Solehah rasa inilah waktu yang sesuai untuk menerangkan kepada sahabatnya tentang kepentingan menutup aurat.

"Puteri, can I ask you something?" Puteri menganggukkan kepalanya. "If you have a diamond, do you give it to somebody to touch it, to belek-belek or keep it in a very nice box and put it in a nive glass cupboard? Somebody can't touch it. Just can see a part of it," tanya Solehah.

"Of course I will put it in a box, simpan baik-baik. If I give it to others, tak pasal-pasal hilang. Kan dah rugi," jawab Puteri.

"Ha... Itu sebablah Islam mensyariatkan kita agar menutup aurat, especially kaum Hawa. Kecantikan tubuh badan yang Allah jadikan ini sebenarnya hanya untuk yang teristimewa sahaja, buat suami kita," terang Solehah.

Puteri terpaku mendengar penjelasan Solehah. "Oh, macam tu ke?"

"Suamilah orang yang kita cinta. Takkan kita nak beri tubuh badan kita yang sudah 'dimamah' orang, sisa 'ratapan' mata orang lain sebelum 'dihidangkan' buat yang tercinta?" Penjelasan Solehah membuatkan Puteri berfikir panjang.

"Macam tu ke? Detail juga ya agama tu. Sampai macam tu sekali," kata Puteri. "Tapi takkan awak tak nak guna henset tu? Kalau tak nak, bagi saya ajelah. Cantik tau." Mereka kemudiannya ketawa.

Begitulah Islam. Kewajipan dalam agamanya pasti mempunyai hikmah yang tersembunyi. Laksanakannya, pasti kita mendapat hikmah-hikmah yang tersirat tersebut.

Taman Permata, Hulu Kelang

18 May 2009

Itulah Kita Sebenarnya

Bila seronok, aku cari...
Pasanganku.
Bila sedih, aku cari...
Ibuku.

Bila berjaya, aku ceritakan pada...
Pasanganku.
Bila gagal, aku ceritakan pada...
Ibuku.

Bila bahagia, aku peluk erat...
Pasanganku.
Bila berduka, aku peluk erat...
Ibuku.

Bila nak bercuti, aku bawa...
Pasanganku.
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah...
Ibuku.

Bila sambut Valentine's Day,
aku bagi hadiah pada pasanganku.
Bila sambut hari ibu,
aku cuma dapat ucapkan "Selamat Hari Ibu".

Selalu...
Aku ingat pasanganku.
Selalu...
Ibuku ingat kat aku.

Bila-bila...
Aku akan telefon pasanganku.
Entah bila...
Aku nak telefon ibuku.

Selalu...
Aku belikan hadiah untuk pasanganku.
Entah bila...
Aku nak belikan hadiah untuk ibuku.

Itulah kita yang sebenarnya...

"Kalau kau sudah habis belajar dan bekerja, bolehkah kau kirim wang untuk mak? Mak bukan nak banyak. Lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah."

Tapi kalau Mak sudah tiada...
Makkkkk!!! Rindu Makkkkk!!! Rindu SANGAT!!!
Berderai air mata jika kita mendengarnya...

Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya?
Berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya?
Berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya?
Berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya?
Berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya?
Berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya?
Dan akhir sekali...
Berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya?

Buatmu IBUKU...
Engkaulah INSAN DALAM HATI SANUBARIKU...
Takkan kutinggalkan dirimu demi untuk orang lain...
Hatta isteriku sekalipun.
Itulah JANJIKU buatmu...

Taman Permata, Hulu Kelang

Nak Berniaga Ke Tidak?

Fuh. Sungguh penat malam ini. Memang sengaja dicari penat, bukan datang secara tidak diundang. Saya sebenarnya bosan duduk terperap lama-lama di rumah. Kalau diikutkan hati, ingin diselongkar setiap pelosok dunia mencari kerja-kerja kosong, tetapi apakan daya. Tidak pernah kerja-kerja yang menerpa itu menyebelahi diri. Itu sebablah saya tergerak hati untuk ikut abang ipar saya berniaga.

Bukan sekadar mahu mengisi masa yang dibazirkan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah, bahkan saya sendiri mahu memerhati cara dan gaya seorang usahawan, melalui kaca mata seorang peniaga di dalam sebuah bazar larut malam di Setapak.

Kata orang, bazar ini sebenarnya dirampas daripada penduduk-penduduk sebelum ini yang rata-ratanya berbangsa Melayu (of course Muslim) atas alasan mahu mendirikan sebuah sekolah. Wallahu a'lam. Betul ataupun tidak, saya tidak dapat pastikan. Tetapi, tapak bazar itu sebelum ini sememangnya sebuah perkampungan Melayu.

Bak kata abang (ipar) saya, "Kerja orang kaki songlap, kita (orang Melayu) juga yang rugi akhirnya."

Kita tinggalkan segala percaturan politik. Sebab dalam post kali ini, saya malas nak fokus secara detail terhadap politik.

MANA MUNGKIN GARAM DIHURUNG SEMUT

Keadaan di bazar sememangnya menyedihkan. Kebanyakkan orang Melayu yang menyewa premis di bazar berkenaan sememangnya tidak langsung mahu memberikan kerjasama dalam membangunkan bazar, langsung tidak mahu beroperasi. Alasannya mudah, mahu tunggu sehingga orang ramai mengunjungi bazar berkenaan. Persoalannya, bila? Sehinggakan menyulitkan lagi usaha pihak pengurusan untuk mendapatkan dana daripada KeKKWa. Betul atau tidak, Wallahu a'lam.

Janganlah berfikiran sebegitu. Sampai bila kita harus menunggu pelanggan ramai sekiranya tiada yang mahu mengusahakannya? Apa yang penting, kita usahakannya terlebih dahulu sebelum mahu melihat mereka berduyun-duyun datang bak gula dan semut. Manakan mahu semut menghurung sesuatu sekiranya tiada gula, tiada manis. Itu perumpamaan. Manakan mungkin sesuatu tempat itu menjadi kunjungan ramai sekiranya ia bagai rumah usang yang sepi.

Abang saya ada inisiatif lain dalam menarik pembeli kerepek-kerepek jualannya. Nak tahu apa? Datang sendirilah, tengok. Tarikkannya bukan sekadar untuk gerainya sahaja, bahkan kepada keseluruhan bazar. Begitu besar sumbangannya. Dia sendiri tidak mahu orang Islam gulung tikar dalam perniagaan masing-masing. Sekiranya diikut sebilangan lain yang mahu menunggu riuh, jawapannya, memang jenuh membayar sewa bulanan. Yang seeloknya, kita sendiri mencari semut untuk menghurungi segala benda yang kita jamukan.

Kita nak berjaya, kita perlu berusaha. Setelah berusaha, bulatkan segala-galanya hanya pada Tuhan, Allah Yang Maha Esa. Kejayaan milik-Nya. Ditentukan berjaya, berjayalah. Jika tidak, mungkin ada rezeki suatu masa nanti. Sebagai orang Islam, kita sentiasa diuji. Sama ada bersifat kejayaan mahupun kegagalan. Yang penting, kita bersyukur, itu yang Dia mahukan.

Kerja kita, memakmurkan dunia dengan urusan agama. Mencari nafkah termasuk dalam urusan agama. Yang pasti, jangan kita tumpukan matlamat mencari nafkah itu kepada duniawi tetapi jadikan ia sebagai ibadah. Bekerja bukan mengharapkan kelebihan tetapi mengharapkan lebihan rahmat Allah swt agar dapat dilimpahkan ke atas kita dunia dan akhirat hendaknya.

Setapak, Kuala Lumpur

16 May 2009

Selamat Hari Guru 2009

Dedikasi buat guru-guruku yang tercinta
Sajak

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


Usman Awang
1979


Tiada hari yang lebih keramat dan bermakna bagi seseorang guru, jika bukan HARI GURU yang disambut 16 Mei setiap tahun. Hari yang memartabatkan profesion perguruan.

“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA” adalah tema yg dipilih menghiasi sambutan pada tahun ini. Diharapkan maksud tema tersebut bukan saja perlu diamati dan difahami oleh para guru, malah semestinya didalami oleh ibubapa dan masyarakat sejauh manakah arah tujunya. Guru akan gagal membina budaya bangsa jika tiada sokongan padu daripada ibubapa dan masyarakat.

Khas kepada warga pendidik, Selamat Hari Guru buat anda semua. Teruskan berjuang dengan ikhlas walau apa pun tanggapan negatif masyarakat dilontarkan. Bersama kita selami rintihan hati & jiwa warga guru, semoga ia dapat membantu memartabatkan budaya bangsa & negara.

Berilah sedikit penghargaan kepada guru-guru walau sekadar ucapan “Terima kasih, cikgu!”

Taman Permata, Hulu Kelang

30 April 2009

Sudikah Awak Dimadukan?

Buat dinda yang bakal menjadi isteri kanda, harap mengertilah apa yang ingin kanda ceritakan ini...
Cerita
SUDIKAH AWAK DIMADUKAN?

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tegas dan yakin..

Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…" Fulanah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.

Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu 'Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini.. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.

Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syazni. Bagi Fulanah, Syazni seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Syazni melamarnya menjadi isteri kedua. Syazni masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Syazni tersebut.

Bagi Fulanah, Syazni tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Syazni berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syazni semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Syazni – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Syazni.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syazni dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syazni menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak? Syazni bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.

Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syazni.

"Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Syazni tersenyum.

Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Syazni semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu..

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.

Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"PERJUANGAN, " jawab Syazni.

* * * * *

Wahai sahabat-sahabat muslimah sekeliannya, ingatlah! Sekiranya dirimu dijodohkan Allah swt dengan seorang da'ie, haruslah kalian semua ingat, hidup suamimu bukanlah untuk diabdikan buatmu segala-galanya. Terimalah hakikat bahawasanya dirimu semua akan dimadukan, terpaksa ataupun sukarela.

Ingatlah! Dirimu pastinya dimadukan dengan 'perjuangan menegakkan Islam' melalui jalan dakwah yang seringkali menyebukkan suamimu. Lepaskanlah secara rela bukan terpaksa, pastinya redhanya diiringi redha Ilahi memayungi bahtera hidupmu daripada tengkujuh yang datang mengganas.

Yakinlah, dirimu bukanlah yang paling dicintai suamimu, tetapi ia diletakkan selepas cintanya kepada perjuangan. Suamimu sebenarnya merindui biah solehah yang menyeliputi setiap suasana. Suamimu merindui sebuah alam yang menyanjungi Allah sebagai Maharaja. Suamimu merindui Islam itu sebagai asas kepada kehidupan. Bukanlah dia meletakkan dirimu puncak segala-galanya. Ingatlah sahabat muslimahku.

Jika dirimu menaruh harapan tinggi supaya suamimu menyintaimu melebihi segala-galanya yang ada di dunia ini, peganglah kata-kataku ini dengan erat. Dirimu bukanlah orang yang selayaknya menjadi teman hidup seorang da'ie kerana darjatmu tidaklah melayakkan dirimu berpasangan dengannya. Ingatlah bahawasanya suamimu itu memilihmu dan menyintaimu kerana kerjanya di jalan dakwah, bukannya susuk tubuhmu yang mengliurkan.

Bantulah pasanganmu dalam kerja dakwahnya, semoga dirimu dipayungi rahmat dan redha Ilahi selagi mana istiqamah dalam bersama-sama berjuang meninggikan kalimah tauhid.

Taman Permata, Hulu Klang