Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

17 July 2009

Tuhan, Timah, dan Tempe

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi5O2rLLd-pV7TEzdoDp-aBoB8ekGG1WMywXft2zPpszmfZmuVkNWIRwxjl0irAhJTqOANvu7AF_N_geblpULdrVg4okLKplz_L3rUWNO74VbjDjgkhXf0VdmmKd-7jN0541_pyUMFESINH/s400/tempe.jpg
Tempe makanan kegemaranku (gambar hiasan)

Di Banting, terdapat seorang wanita pembuat tempe bernama Timah (bukan nama sebenar). Timah, seorang Jawa, membuat tempe setiap hari untuk dijual di pasar.

Pada suatu hari, seperti biasa Timah bersiap-siap untuk ke pasar, tetapi alangkah terkejutnya Timah apabila mendapati tempe yang dibuat dari kacang soya terpilih itu masih belum menjadi dan tidak boleh dijual lagi.

Jumilah kebingungan, hilang akal. Maka Timah menadah tangan memohon pada Tuhan agar tempenya itu menjadi kerana tiada yang mustahil bagi Tuhan untuk menjadikan sesuatu itu. Setelah selesai berdoa, Timah menekan-nekan tempe-tempenya di dalam bungkusan kalau-kalau sudah menjadi. Ternyata tempenya masih lagi belum menjadi.

Matahari semakin meninggi, tentunya orang ramai sudah mulai mengunjungi pasar. Timah masih lagi tidak berputus harap pada Tuhan malah dia membawa tempe-tempenya ke pasar dengan harapan akan berlaku keajaiban kepada tempe-tempe tersebut.

Timah tidak putus-putus berdoa agar tempe-tempenya menjadi apabila sampai di pasar nanti. Sampai sahaja dipasar, Timah melihat tempe-tempe yang dijual oleh rakan-rakan penjual tempe yang lain hampir habis. Timah tanpa lengah-lengah lagi berkemas-kemas membuka gerai dan dengan perasaan berdebar-debar memeriksa tempe-tempenya samada sudah menjadi atau tidak. Ternyata seperti tidak percaya apabila melihat tempe-tempenya masih lagi belum menjadi.

Timah terduduk kesedihan dan memanjatkan doa pada Tuhan, “Ya Tuhanku, berilah jalan penyelesaian terbaik terhadap tempe-tempeku yang belum menjadi ini…”. Tiba-tiba terdengar seorang wanita memberi salam, “Assalamuailaikum, awak ada jual tempe yang belum menjadi tak?”. Terkejut besar Timah bercampur kehairanan apabila wanita tersebut ingin membeli tempe yang belum menjadi.

Waalaikumussalam, ada, sekejap ya”, jawab Timah sambil mengeluarkan tempe-tempenya daripada bakul. Sambil itu, Timah berdoa di dalam hati, “Ya Tuhanku, jika Engkau telah menjadikan tempe-tempeku ini menjadi maka kembalikan tempe-tempeku seperti sediakala supaya aku boleh menjualnya kepada wanita tersebut”. Jumilah seperti tidak percaya apabila melihat tempe-tempenya masih belum menjadi.

Alangkah gembiranya hati seakan-akan seluruh alam turut merasai betapa syukurnya Timah dan lalu bertanya kepada wanita tersebut, “Kenapa puan mahu beli tempe yang belum menjadi ini?”. Wanita tersebut menjawab, “Saya mahu hantar tempe ini kepada anak saya yang berada di England (sape tu?), jadi apabila tempe-tempe ini sampai di sana, barulah cukup-cukup menjadi… Baru ada umphhhh!”

* * * * *

Sahabat-sabahatku sekalian. Belum tentu apa yang kita suka itu terbaik untuk kita dan belum tentu apa yang kita benci itu adalah terburuk untuk kita padahal sesungguhnya Allah swt itulah yang Maha Mengetahui. Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah swt maka dijadikan baginya jalan keluar dan diberikan rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka. Tiada yang mustahil bagi Allah swt.

Bandar Bukit Mahkota, Bangi

15 July 2009

Mana Adabnya?

Alhamdulillah. First time sampai di tempat ini. Dibangunkan atas dasar untuk membangunkan Islam, menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan insani yang makin hanyut dalam arus deras dunia. Bukan apa, saya datang ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada rakan saya yang baru dianugerahkan 'warganegara' penempatan di sini.

Kawasannya luas, berganda-ganda daripada luasnya KUIS yang tercinta. Kehijauan masih lagi terasa kerana kedudukannya bagaikan di sebalik hutan belantara ditambah pula keadaan langit seakan-akan mahu merenjiskan butir-butir air. Suasananya tidaklah sunyi tetapi sibuk dengan manusiawi yang keluar ke hulu ke hilir menjalankan aktiviti-aktiviti seharian sebagai insan.

Memang luas. Luas sehinggakan saya berpusing mengelilinginya sebanyak dua kali kerana tersesat akibat daripada mencari penempatan warganya. Walhal langit makin gelap, amarannya supaya disediakan payung. Tiadalah di sisi sekaki payung, cuma yang ada hanyalah baju hujan. Ia cukup berguna berbanding payung. Payung tidak boleh digunakan ketika membonceng motosikal. Betul tak?

"Tunggulah kat masjid," itulah pesanan terakhir daripada sahabat. Masjid. Hrm... Dua menara masjid yang menjulang tinggi serta kubah besarnya yang berwarna biru tidak lari daripada pandangan. Saya berpusing-pusing dengan motor mencari jalan besar ataupun jalan bertar yang menghala ke arah masjid. Tidak dijumpai! Mustahil? Adakah perlu jemaah-jemaah merentasi bangunan-bangunan di sekeliling semata-mata mahu ke masjid?

Masjid gah tetapi tiada jalan yang menghubungkan dengan jalan utamanya! Teringat kata-kata Ustaz Ramly ketika kami mencari-cari jalan ke Masjid Putra suatu ketika dahulu: "Masjid ada, jalan nak pergi payah cari. (Bak) Hidayah ada, jalan petunjuk tak jumpa-jumpa." Peh... Menusuk ke kalbu kalau sayalah yang merencanakan pembangunan Putrajaya. Teguran ustaz dahulu berasas. Bagi mereka yang sudah tahu selok-belok Putrajaya, mungkin mudahlah. Bagaimana begi mereka yang tidak tahu langsung? Jalannya yang mengelirukan menyusahkan lagi orang yang ingin berjemaah untuk mencari masjid yang telah jelas kelihatan! Pernah juga seorang ustaz saya yang tidak menjumpai jalan ke Masjid Putra, terus pulang dan bersolat di Masjid Jameatus Solehah di Pekan Dengkil. Itulah manusia. Makin mahu disusahkan jemaah untuk tiba di masjid untuk bersolat! Sedangkan itulah sepatutnya diambil penekanan daripada dok sebok bising halang orang berpolitik dalam masjid!

Perumpamaan ini samalah dengan di kawasan ini. Disebabkan masa terlalu suntuk, saya kemudiannya menetapkan untuk menunggu di hadapan tangga besar bangunan utama. Lebih senang. Tidak perlulah saya berpusing mengelilinginya berpuluh kali semata-mata mahu mencari masjid! Zohor saya ke Masjid Zaid di Setiawangsa (ketika hujan lebat!).

Biarlah. Mungkin pereka dan perancang asalnya mahu menyenangkan warganya untuk berjemaah. Dan mungkin juga terdapat banyak faedah diletakkan masjid itu tersorok (pada pandangan saya). Lagipun, saya bukanlah salah satu daripada kalangan mereka.

Cuma satu, mengapa tiada satu garis panduan berpakaian seperti yang dilaksanakan di KUIS? Kelihatan warganya berpakaian bebas (of course, menutup aurat), berseluar jeans, berpakaian casual? Sesuaikah kita menadah ilmu dengan berpakaian macam pergi pasar?

Thinks positive. Mungkin mereka membiarkan penuntut-penuntut berfikir sendiri dan memilih jalan yang sepatutnya.

Masalahnya, bagaimana mahu difikirnya yang sepatutnya dan memilih jalan yang terbaik sekiranya tidak dibimbing? Samalah seperti kita mencari Tuhan. Jikalau kita disuruh mencari dengan akal yang cetek, sudah tentu kita akan menyembah selain Allah swt, menyembah berhala, pokok besar, makhluk ghaib, dan sebagainya. Sebab itulah Allah swt menurunkan wahyu sebagai satu guideline kepada manusia dan jin supaya mereka dapat mengenal siapakah Tuhan mereka yang sebenarnya.

Pendidikan yang tinggi tidak semestinya menjadikan pemikiran dan pilihan kita lebih baik berbanding mereka yang tidak melanjutkan pelajaran. Sebab itulah Allah swt melihat pada ketakwaan, bukan pada pencapaian akademik, harta yang menimbun, tan sri, sultan, YB, dan semua kemegahan duniawi.

Sepatutnya, warganya dapat memilih untuk mendapatkan ilmu yang barakah, melihat semua aspek termasuk etika berpakaian ketika menadah ilmu. Biarkan mereka yang mahu merembat segulung ijazah semata-mata. Yang penting, lihat pada diri, adakah kita mengikut adab-adab ataupun hanya atas garisan umum yang digaruskan Tuhan?

Agama kita terbahagi kepada tiga, aqidah, syariah, dan ihsan. Aqidah itu adalah keimanan kita terhadap Allah swt, syariah itu menggariskan semua kewajipan dan amalan yang sepatutnya dilaksanakan sebagai mereka yang beriman, manakala ihsan pula menyempurnakan kehidupan sebagai seorang yang beriman dan bertakwa secara Islami supaya terserlah keindahan Islam itu sendiri.

Hidup mesti beradab, terutamanya benda-benda yang berkaitan dengan keberkatan.

Cuma lontaran pendapat, harap sediakanlah air sebelum terasa pedas tergigit cili api. Bukan menyalahkan apatah lagi jika dituduh cuba menjatuhkan reputasi. Hanya mahu menyedarkan mereka yang masih lagi dibayangi mimpi-mimpi yang melekakan.

Itulah. Bila terfikir panjang, saya tetap mencintai KUIS lebih daripada tempat itu...

والله أعــــــــــــــلــــــــــم بالصــــواب

Bandar Bukit Mahkota, Bangi

10 July 2009

Pemergian Bertha Hertogh

Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika dahulu, dilaporkan telah meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda Rabu baru-baru ini.

Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, demikian menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama Khamis.

Bertha menjadi isu di Singapura pada 1950, akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya Che Aminah dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda.

Bertha ketika itu berumur 13 tahun dan telah memeluk Islam dan bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.

Namun undang-undang British/Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin.

Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandung di Belanda.Keputusan mahkamah itu menimbulkan kamarahan masyarakat Islam di Singapura, sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah.

Dilaporkan seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam.

Dr Fauziah berkata Natrah akhirnya pulang ke Belanda, namun hati dan perasaannya masih melekat di Malaya, ketika itu.

Natrah yang menggunakan nama Bertha pernah kembali ke rantau ini pada 1999 untuk penggambaran filem dokumentari mengenai dirinya oleh sebuah syarikat televisyen Belanda.

"Menurut Bertha, beliau hanya merasa bahagia ketika zaman kanak-kanaknya," kata Dr Fauziah melalui emelnya kepada Bernama.

Sebuah filem mengenai Bertha arahan Ben Sombogaart dilaporkan akan dikeluarkan tahun depan.

09 July 2009

Peristiwa Agung Dalam Rejab

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِ لَيۡلاً۬ مِّنَ ٱلمَسۡجِدِ ٱلحَرَامِ إِلَى ٱلمَسۡجِدِ ٱلأَقۡصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكنَا حَوۡلَهُو لِنُرِيَهۥو مِنۡ ءَايَـٰتِنَآ‌ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِير
Maha suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad saw) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang mana diberkati sekitarnya (Masjidil Aqsa) dan untuk memperlihat tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
AQ 17:1

Bulan Rejab tiba lagi. Ketibaan bulan ini selalunya dikaitkan dengan kefardhuan solat fardhu lima waktu yang diwajibkan oleh Allah swt kepada umat Islam. Penurunan kefardhuan solat ini tidak dilakukan secara biasa di mana kefardhuannya diberikan Allah swt kepada Rasulullah saw secara direct tanpa perantara Malaikat Jibril as.

Mengikut sirah nabawiyyah, Rasulullah saw telah diisra'kan dari Kota Makkah ke Baitul Maqdis pada malam yang saya, disepakati oleh ijmak ulama', ia berlaku pada malam 27 Rejab dalam Tahun Kesedihan di mana isteri kesayangan baginda, Saidatina Khadijah binti Khuwaylid dan bapa saudara baginda, Abu Thalib meninggal dunia. Kedua-dua insan inilah yang banyak membantu baginda dalam menyebarkan dakwah walaupun Abu Thalib tidak memeluk agama Islam.

Kisah Isra' dan Mi'raj ini adalah kisah benar dan diriwayatkan dalam hadith-hadith yang mutawatir, mustahil akan berlakunya pembohongan melaluinya. Menurut aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah, sesiapa yang menafikan peristiwa ini telah dihukumkan kafir. Betapa beratnya hukum yang dijatuhkan!

Sebelum baginda diisra'kan, dada baginda dibelah oleh malaikat dan hati baginda saw dicuci dengan air zamzam, dan kotoran hitam ('alaqah) di mana tempat waswas dibisikkan oleh syaitan dibuang. Kemudian hati baginda dicurahkan dengan hikmah, ilmu, dan iman. Setelah selesai proses pembedahan, haiwan dari syurga bernama Buraq didatangkan untuk ditunggangi baginda saw.

ISRA'


Sepanjang perjalanan baginda dalam peristiwa Isra', Rasulullah saw ditemani oleh Malaikat Jibril dan Israfil. Apabila tiba di beberapa tempat tertentu, baginda saw diarah oleh Malaikat Jibril supaya berhenti dan bersolat sebanyak dua rakaat. Antara tempat berkenaan ialah:
1. Yathrib atau Madinah di mana tempat baginda akan berhijrah.
2. Bukit Thursina, tempat Nabi Musa as menerima wahyu daripada Allah swt.
3. Baitul Laham, tempat Nabi Isa as dilahirkan.

Dalam perjalanan itu, baginda diperlihat akan peristiwa-perista pelik yang memberikan pengajaran buat umat kemudiannya. Antaranya:

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Selepas dituai, hasil yang baru pula keluar semula seolah-olah bagai belum lagi dituai lagi. Hal ini berlaku berulang-ulang. Ia dijelaskan oleh Malaikat Jibril bahawa itulah kaum yang berjihad fisabilillah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan lebih daripada itu.

2. Tempat yang berbau harum. Malaikat Jibril menjelaskan bahawa itulah bau kubur Masyitah, tukang sikat rambut anak Firaun bersama suami dan anak-anaknya termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya yang dibunuh oleh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah dan tidak mahu mengakui Firaun sebagai tuhan.

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan lagi. Demikian dilakukan berkali-kali. Malaikat Jibrail memberitahu Rasulullah saw bahawa itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud dan solat.

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Beritahu Malaikat Jibrail, itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Malaikat Jibrail, itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai pasangan yang sah.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Malaikat Jibril memberitahu bahawa itulah orang yang makan riba.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu lalu memikulnya. Namun begitu dia tidak terdaya untuk memikulnya. Walaupun begitu, dia menambahkan lagi kayu yang lain dalam pikulannya. Kata Malaikat Jibril, itulah orang yang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih mahu menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Malaikat Jibril memberikan penjelasan kepada baginda saw bahawa itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu mengenai orang lain yang mana dia tidak melakukannya sebagaimana yang difitnahkan.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Malaikat Jibril, itulah orang yang memakan daging manusia, yakni mengumpat dan menjatuhkan maruah, mencela, dan menghina orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Jelas Malaikat Jibril, itulah orang yang takabbur atau bercakap besar, dan kemudiannua menyesal, tetapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah saw tidak memperdulikannya. Kata Malaikat Jibril, itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah saw berhenti. Rasulullah saw tidak menghiraukannya. Malaikat Jibril menjelaskan bahawa itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah saw untuk bertanyakan sesuatu. Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Rasulullah saw turun dari Buraq, haiwan tunggangannya setelah tibanya baginda di Masjid al-Aqsa. Baginda kemudiannya mengimamkan solat dua rakaat yang bermakmumkan para al-anbia' wal-mursalin.

Rasulullah saw kemudiannya terasa dahaga, lalu Malaikat Jibril datang membawa dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah saw memilih susu lalu diminumnya. Kata Malaikat Jibril kepada baginda bahawa baginda telag membuat pilhan yang betul. Jika arak yang dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


MI'RAJ


Baginda Rasulullah saw kemudiannya meneruskan perjalanan baginda bertemu Allah swt untuk menerima perintah kewajipan solat. Peristiwa ini dinamakan sebagai Mi'raj. Dalam perjalanan bertemu Allah swt, baginda saw melalui setiap ketujuh-tujuh lapisan langit dan bertemu para nabi di setiap lapisan langit tersebut.


Di lapisan langit pertama, baginda saw bertemu dengan Nabi Adam as. Di lapisan langit kedua, baginda bertemu Nabi Isa dan Nabi Yahya 'alayhimassalam. Di langit yang ketiga, baginda bertemu Nabi Yusuf as. Di langit yang seterusnya, baginda bertemu dengan Nabi Idris as. Di langit yang kelima, baginda bertemu Nabi Harun as. Di langit yang keenam, baginda bertemu dengan Nabi Musa as manakala di langit yang terakhir, baginda bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah as.


Kemudiannya baginda saw meneruskan perjalanan ke Sidratul Muntaha (betulkan saya sekiranya tersilap) untuk bertemu Allah swt tanpa ditemani Malaikat Jibril. Ada riwayat yang mengatakan bahawa ketika baginda saw bertemu Allah rabbul jalil, baginda 'dihijabkan' di antaranya dengan Allah bagaikan tabir. Sekiranya baginda saw menyelak, maka baginda dapat melihat Allah swt. Tetapi baginda saw tidak menyelak 'tabir' tersebut dan menerimanya tanpa melihat zat Allah Yang Maha Pemurah itu. (Inilah yang saya belajar dahulu. Tidak pasti mana riwayat yang guru saya ambil.)


Sepertimana yang diketahui umum, jumlah solat yang difardhukan oleh Allah swt adalah 50 waktu. Rasulullah saw kemudiannya bertemu Nabi Musa as dan diminta untuk dikurangkan atas alasan umat Nabi Musa as yang gagah perkasa tidak mampu untuk menunaikannya. Saranan Nabi Musa as ini kemudiannya membuatkan baginda Rasulullah saw memohon kepada Allah swt agar dikurangkan sehingga baginda sendiri malu untuk mengurangkannya setelah turun-naik bertemu Allah swt. Dengan sifat Maha Pemurahnya Allah swt terhadap umat Nabi Muhammad saw, maka waktu solat fardhu yang disyariatkan buat umat akhir zaman hanyalah sebanyak lima waktu sahaja. Walaubagaimanapun, kebesaran, keutamaan, fadhilat, dan ganjaran yang disediakan Allah swt buat hamba-hamba-Nya yang menunaikannya adalah sama dengan solat 50 waktu yang pada awalnya disyariatkan.


Rasulullah saw pulang ke Kota Makkah pada malam yang sama baginda diisra'kan. Pada keesokkan paginya, penentang kuat Rasulullah saw ketika itu, Abu Jahal bertemu dengan baginda untuk meminta perkhabaran dari Tuhan yang baginda terima. Tanpa rasa ragu dan takut, baginda menceritakan peristiwa ajaib yang baginda lalui. Tidak cukup dengan itu, baginda menceritakan keadaan kabilah dagangan yang pulang ke Kota Makkah dan keadaan itu benar disaksikan sendiri oleh para sahabat dan penduduk Makkah. Abu Jahal geram dengan hujah dan mukjizat nabi yang mulia itu kemudiannya mengatakan "Haza sihrum mubin!" (Muhammad benar-benar seorang ahli sihir!).

Seperti apa yang saya jelaskan pada awal penulisan saya, peristiwa Isra' dan Mi'raj ini diriwayatkan secara mutawatir dan mustahil ia telah didustakan oleh sebahagian besar para sahabat yang mana ketika itu kebanyakkannya thiqah dan memeluk Islam dengan ikhlas tanpa rasa mahu merosakkannya.

وَلَقَدۡ رَءَاهُ نَزۡلَةً أُخۡرَىٰ عِندَ سِدۡرَةِ ٱلۡمُنتَهَىٰ عِندَهَا جَنَّةُ ٱلۡمَأۡوَىٰٓ إِذۡ يَغۡشَى ٱلسِّدۡرَةَ مَا يَغۡشَىٰ مَا زَاغَ ٱلۡبَصَرُ وَمَا طَغَىٰ لَقَدۡ رَأَىٰ مِنۡ ءَايَـٰتِ رَبِّهِ ٱلۡكُبۡرَىٰٓ أَفَرَءَيۡتُمُ ٱللَّـٰتَ وَٱلۡعُزَّىٰ وَمَنَوٰةَ ٱلثَّالِثَةَ ٱلۡأُخۡرَىٰٓ أَلَكُمُ ٱلذَّكَرُ وَلَهُ ٱلۡأُنثَىٰ تِلۡكَ إِذً۬ا قِسۡمَةٌ۬ ضِيزَىٰٓ إِنۡ هِىَ إِلَّآ أَسۡمَآءٌ۬ سَمَّيۡتُمُوهَآ أَنتُمۡ وَءَابَآؤُكُم مَّآ أَنزَلَ ٱللَّهُ بِہَا مِن سُلۡطَـٰنٍ‌ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَمَا تَهۡوَى ٱلۡأَنفُسُ‌ۖ وَلَقَدۡ جَآءَهُم مِّن رَّبِّہِمُ ٱلۡهُدَىٰٓ أَمۡ لِلۡإِنسَـٰنِ مَا تَمَنَّىٰ فَلِلَّهِ ٱلۡأَخِرَةُ وَٱلۡأُولَىٰ
Maka sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril sekali lagi di Sidratul Muntaha di mana Syurga Makwa berada di sebelahnya. Baginda di sana dikelilingi oleh makhluk dari alam ghaib yang banyak. Penglihatannya dapat melihat apa yang ada di sana dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, Muhammad melihat tanda-tanda kebesaran Tuhannya. (Wahai kaum musyrik Makkah yang mendengar khabaran Isra' dan Mi'raj dari Muhammad), Adakah kamu masih lagi nampak al-Laat dan al-'Uzza serta Manat yang ketiga tarafnya itu sebagai tuhan-tuhan kamu? Patutkah kamu mengambil anak-anak lelaki yang kamu inginkan dan memberikannya anak-anak perempuan yang kamu benci? Sudah tentu ia suatu yang tidak adil. Benda-benda yang kamu sembah itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah berhala yang datuk nenek kamu namakannya. Allah swt tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang akan membenarkan tindakan kamu itu. Mereka yang melakukannya hanyalah menurut apa yang diinginkan gawa nafsunya semata-mata. Sedangkan telah datang petunjuk kepada mereka daripada Tuhan mereka. Adakah manusia tetap akan dapat mencapai segala yang dicita-citakan? (Tidak dengan jalan begitu!) Sedangkan Allahlah yang menguasai urusan akhirat dan juga sebelumnya (urusan dunia).
AQ 53:13-25

02 July 2009

Roket Gah Tanpa Bahan Api

BILA ROKET TANPA BAHAN API CUBA TERBANG

Baru-baru ini, DAP Kedah mengugut untuk keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) dan bertindak tidak menyokong kerajaan negeri dalam Sidang DUN negeri itu. Pengerusi DAP negeri, Thomas Su menyatakan bahawa DAP negeri bersetuju dalam mesyuarat peringkat negeri untuk meninggalkan PR Kedah yang diterajui PAS. Kenyataan beliau disahkan oleh pimpinan DAP pusat, YB Teresa Kok.

Ini membawa erti, wakil tunggal DAP di dalam DUN Kedah, YB Lee Guan Aik (ADUN Kota Darul Aman) tidak akan menyokong Kerajaan PAS Kedah di dalam Sidang DUN. Juga memungkinkan kesemua Ahli Majlis di semua Majlis Perbandaran di Kedah yang diduduki oleh wakil DAP perlu melepaskan jawatan selaras dengan hasrat DAP negeri itu. Juga tidak ketinggalan dalam semua jawatankuasa-jawatankuasa seliaan Kerajaan Negeri Kedah.

Puncanya, perobohan pusat penyembelihan babi di kawasan awam yang telah beroperasi lebih dari 30 tahun! Dan juga beroperasi secara haram (dari sudut undang-undang)!

MENGAPA PERLU DIROBOHKAN PUSAT PENYEMBELIHAN BABI ITU?

Pusat itu yang sudah beroperasi lebih 30 tahun, namun tanpa lesen yang sah, dirobohkan hari ini selepas tamat tempoh sebulan yang dipohon oleh persatuan yang menguasai pusat penyembelihan itu.
Sebelum ini, isu pusat ini telah hangat dibahaskan di Kedah kerana sisa pusat ini telah dibuang ke dalam tong sampah yang sama dengan buangan lain. Najis dan bahan buangan juga ada yang dibuang ke dalam sungai berdekatan menyebabkan orang Melayu yang tinggal berdekatan dan turut ke pasar ini membuat bantahan. MBAS telah mengarahkan pusat ini ditutup, namun, persatuan telah membuat rayuan kepada Menteri Besar Kedah agar mereka diberikan tempoh sebulan untuk mendapatkan tempat yang baru. Hasilnya, MB Azizan telah menghantar surat kepada MBAS agar memenuhi rayuan ini dan memberikan mereka tempoh hingga 30 Jun. Pada 26 Jun, semua kegiatan di pusat ini telah dihentikan oleh peniaga di situ. Pagi tadi, MBAS mula merobohkan bangunan itu.

Namun tindakbalas DAP negeri yang mengugut untuk tidak menyokong kerajaan PR di Kedah adalah satu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku. Apakah kerana hanya merobohkan pusat penyembelihan babi tanpa lesen yang sah dikatakan tidak adil dan tidak telus?

DAP YANG BIADAP!

DAP akhir-akhir ini semakin liar mengeluarkan kenyataan dan seringkali mengugut rakan dalam pakatan sendiri. Tidakkah mereka sedar bahawa kejayaan mereka dibantu oleh hampir separuh daripada sokongan orang Melayu yang sebelum ini agak fobia untuk menyokong mereka? YB Zulkifli Noordin (MP Kulim-Bandar Baru) menyelar tindakan DAP yang membuat keputusan dan mengambil tindakan unilateral dalam beberapa isu akhir-akhir ini yang akhirnya akan mengundang polemik yang sangat merbahaya terhadap Pakatan Rakyat.

Kita imbas kembali tindakan Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP. Mereka memecat Johari Kassim daripada jawatan Ketua Whip dan Ahli Majlis yang mana membantah keputusan Ketua Menteri yang melantik YDP Majlis Perbandaran Seberang Perai. Walhal Johari Kassim hanya bertindak mewakili ketetapan yang telah diputuskan bersama.

Tindakan Pengerusi DAP YB Karpal Singh mencabar Tuan Guru Haji Hadi dan YB Ustaz Nasharuddin (Presiden & Timbalan Presiden PAS) supaya keluar daripada PAS dan menyertai UMNO adalah suatu tindakan dan kenyataan yang tidak sepatutnya datang daripada seorang pemimpin yang menganggotai Pakatan Rakyat.

Majoriti pengundi yang mengundi DAP (terutamanya Melayu) bukan kerana yakinnya kepada mereka tetapi keyakinan mereka terhadap ketokohan Datuk Seri Anwar dan kegigihan jentera PAS yang bekerja kuat demi menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang telah berkuasa lebih setengah dekad!

Mereka perlu sedar, sekiranya mereka ingin berkompromi dengan PAS dan PKR dalam PR, harus adanya tolak ansur, bukan cuba menunggangi rakan-rakan seperjuangan yang lain. Sekiranya ini berlaku, maka benarlah apa yang dikatakan oleh pihak BN sendiri, PAS menjadi kuda tunggangan DAP, mengikut telunjuk.

Buktikan DAP mendapat kepercayaan sebahagian besar orang Melayu yang mana mewakili 60 peratus penduduk Malaysia. Saya pasti, ramai orang Melayu dan Muslim pasti akan menolak DAP mentah-mentah jika inilah yang mereka dapat daripada wakil rakyat daripada kalangan DAP. Mereka inilah sebenarnya penghalang kepada kebangkitan Islam sekiranya mereka terus keras kepala dan menghentam memBABI buta.

Taman Permata, Hulu Kelang