Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

10 April 2011

Shoes Off

النظافة من الإيمان
Kebersihan itu sebahagian daripada iman.

Kata-kata hikmah ini (ia bukanlah hadith) sebenarnya perlu diterapkan dalam setiap aktiviti dan perkara yang berkaitan dengan agama kerana Allah sukakan benda-benda yang cantik, baik, dan bagus, dan  kebersihan itu semestinya suatu perkara yang bagus dan baik. Perkara ini dinukilkan dalam sebuah hadith Nabi saw:
لا يدخل الجنة من كان في قلبه مثقال ذرة من كبر . قال رجل : إن الرجل يحب أن يكون ثوبه حسنا ونعله حسنة . قال : إن الله جميل يحب الجمال . الكبر بطر الحق وغمط الناس. أو كما قال
"Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar zarah (atom). Seorang lelaki bertanya: "(Bagaimana sekiranya) seorang lelaki menyukai baju dan seliparnya yang bagus?" Baginda menjawab: "Sesungguhnya Allah itu cantik, Dia menyukai setiap perkara yang cantik. Kesombongan adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia."
HR Muslim, Ahmad, dan al-Hakim

Maksudnya, Allah suka sekiranya kita berhias-hias dengan segala perhiasan yang ada, menggunakan sesuatu benda yang ternyata memiliki keselesaan dan branded, dan yang pastinya ia sedap pada mata yang memandangnya. Tentunya, kebersihan juga dikelaskan dalam kategori yang sama.

Yang menjadi masalah kepada saya ialah kelas sentiasa kotor, kotor dengan debu, pasir, dan sebagainya. Itu belum lagi ditambah dengan sampah yang 'dihasilkan' sendiri oleh murid-murid, lagi bertambah bersepah. Saya berfikir, kaedah apa yang boleh digunapakai untuk mengekalkan tahap kebersihan bilik darjah ke tahap yang optimum dalam jangka masa yang begitu sedikit.

Ustazah Nora (6 Ibnu Khaldun) dan Ustazah Noriah (6 Ibnu Sina) dengan piala kebersihan
kelas masing-masing. 6 Ibnu Sina dan 6 Ibnu Khaldun memenangi pertandingan kebersihan
kelas bagi bulan Februari 2011.
Saya berikhtiar dengan meronda-ronda kelas ke kelas untuk mengumpul beberapa maklumat. Dalam banyak-banyak kelas tahap dua, saya dapati ada dua kelas yang tahap kebersihan lantainya agak bagus berbanding kelas-kelas yang lain; kelas 5 Ibnu Khaldun dan 6 Ibnu Khaldun.

Setelah saya meneliti kedua-dua kelas ini, saya dapati terdapat dua persamaan yang ada pada kedua-dua kelas ini iaitu kedua-duanya tidak membenarkan kasut dipakai di dalam bilik darjah atau senang kata buka kasut sebelum masuk.

Dengan membuka kasut, debu-debu daripada luar khususnya yang dibawa masuk melalui tapak kasut dapat dikurangkan.

Observasi ini saya panjangkan kepada murid-murid 4 Ibnu Rusyd bagi mendapatkan persetujuan. Alhamdulillah, majoritinya bersetuju untuk membuka kasut sebelum masuk ke dalam kelas. Saya kemudian mencadangkan satu masa untuk mengemop lantai sebelum arahan untuk membuka kasut boleh diberikan.

Seusai aktiviti mengemop lantai 3 April lepas.
Setelah seminggu perjalanan kelas 4 Ibnu Rusyd dijalankan dengan peraturan baru tersebut, saya dapati, debu-debu dalam kelas sememangnya kurang berbanding jika tidak dibuka kasut. Idea yang sememangnya begitu bagus dicetuskan Ustazah Nora (6 Ibnu Khaldun) dan Ustaz Zulraimie (5 Ibnu Khaldun).

Mereka nampaknya semakin seronok dengan keadaan kelas yang semacam rumah mereka sendiri. Mereka boleh bergerak dengan bebas malah 'berguling-guling' keseronokkan. Waktu sebelum kelas, mereka boleh bermain di atas lantai yang bersih, bersantai, dan sebagainya seperti mereka berada di rumah sendiri.

Keadaan kelas yang melarang penggunaan kasut ini mendapat perhatian daripada dua kelas yang berjiran dengan 4 Ibnu Rusyd; 4 Ibnu Khaldun dan 4 Ibnu Bathutah. Ketika saya 'lepak' dengan beberapa orang murid kelas 4 Ibnu Khaldun Khamis lepas (7 April 2011), saya diajukan beberapa cadangan daripada mereka yang berpendapat mereka juga mahu kelas mereka seperti kelas kami. Apa yang dapat saya katakan kepada mereka hanyalah satu, cadangan tersebut sepatutnya diajukan kepada Ustazah Yasmin selaku guru kelas mereka, bukan kepada saya. Saya bertanggungjawab terhadap kelas 4 Ibnu Rusyd, bukan 4 Ibnu Khaldun.

Keputusan yang positif setakat ini.

Dengan ini, saya terfikir untuk mengadaptasikan konsep "Rumahku Syurgaku" kepada "Kelasku Rumahku" dan proses menyerapkan keserasian mereka terhadap bilik darjah akan dibuat sedikit demi sedikit.

Tinta mencoret: Guru kena mempunyai daya tarikan untuk menarik anak murid agar seronok untuk berada di dalam suasana pembelajaran.

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP

No comments:

Post a Comment