Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

31 January 2009

PKBM - Slot Bersama Mentor

Suasana hijau yang nyaman. Kami tiba di Sungai Chongkak sekitar jam 0930 (9.30 pagi). Lihat kiri, lihat kanan. Ambil angin sedikit sebelum kami memunggah bagasi masing-masing ke dalam bilik penginapan (berbentuk dorm).

Setelah minum pagi, mentor kami, Ustazah Sahlawati tiba bersama suami dan dua orang puterinya. Kemudian, kami memulakan aktiviti pertama seperti yang telah dirancang, 'Slot Bersama Mentor'.

Aktiviti pertama yang diatur ustazah ialah... Lupalah pula namanya. Tetapi setiap seorang daripada kami dikehendaki mengambil sepasang daripada selipar rakan masing-masing dan kemudiannya dikehendaki oleh tuan empunya selipar/kasut/what everlah untuk mencari siapa yang mengambil seliparnya itu.

Aktiviti yang kedua ialah setiap seseorang perlu mencari satu benda semulajadi yang terdapat di sekitar kawasan kem tersebut dan kemudiannya descript benda tersebut sesuai dengan diri masing-masing.

Aktiviti ketiga pula ialah berada di dalam satu kumpulan, setiap seseorang perlu memikirkan satu objek sekitar dan kemudiannya semua ahli pasukan perlu sampai ke setiap objek yang difikirkan tanpa memberitahu kepada ahli kumpulannya sendiri apakah objeknya itu.

Aktiviti yang keempat, aktiviti mengumpat. Hehehe... Aktiviti ini yang lebih saya minat berbanding aktiviti lain. Setiap peserta perlu melukiskan tapak tangan masing-masing di atas sehelai kertas A4 kemudian pass kepada setiap rakan-rakan. Setiap orang dimestikan menulis satu sikap negatif dan satu sikap positif terhadap diri kita...

Agak-agak, dapat tak fikirkan apa objektif keempat-empat aktiviti ini?

Objektif aktiviti pertama ialah tentang sesuatu kelebihan atau nikmat yang selalu digunakan tetapi apabila ia hilang, barulah kita terngadah. Misalnya, selipar. Selama ini kita 'pijak-pijak', kita jarang 'menghargai' kelebihan yang ada padanya, tambahan pula kedudukannya dibawah. Bila ia hilang, barulah kita 'sumpah-seranah' orang yang mengambilnya, mencurinya. Kita perlu hargai setiap kurniaan, setiap penerimaan dan sebagainya sebagai satu konsep bersyukur. Bersyukur bukan sahaja terhadap sesuatu benda yang baharu kita terima, tetapi juga kepada sesuatu yang selalu kita gunakan. Hargai kesemuanya.

Aktiviti kedua banyak objektif dan kesimpulan. Kita boleh fikirkan sendiri sekiranya kita mencuba aktiviti ini.

Aktiviti ketiga pula mahu melihat sejauh mana penyatuan kita dalam sesuatu kumpulan, organisasi atau masyarakat dalam melahirkan hasrat kita terhadap sesuatu. Setiap seorang ada hasrat, pandangan dan cadangan tetapi bagaimana mahu direalisasikan kesemua rancangan tersebut? Melalui aktiviti inilah, kita dapat mencari jawapannya.

Aktiviti keempat, simple. Kita mengetahui apakah sikap yang disukai rakan-rakan yang terdapat dalam diri kita dan juga sikap yang kurang disenang. Kalau maklumbalas di dalam kertas itu tidak penuh atau kurang, maknanya kita kurang dikenali dalam kalangan rakan-rakan.

Sungai Chongkak, Hulu Langat

30 January 2009

PKBM - Sesi Taklimat

Insya-Allah, esok kami akan bertolak ke Sungai Congkak untuk mengadakan Program Eksplorasi Bersama Mentor (PKBM). Alhamdulillah, saya baru sahaja menyampaikan taklimat mengenai atur-jalan atau tentatif program dan juga hemat pemakaian yang sepatutnya dipakai sewaktu program.

Ustazah Sahla kemudiannya menambah saki-baki yang saya terlepas pandang seperti menjelaskan secara terperinci tentang adab dan pergerakan serta pakaian para peserta.

Program santai, tiada slot-slot yang berat diselitkan. Cuma, masih lagi ada keraguan dalam hati. Manalah tahu, apa yang dirancang selama sebulan ini tidak menjadi dan akhirnya menyulitkan keadaan ketika di sana kelak.

Ya Allah! Kauberilah kami sebagai urusetia program ini kelancaran perjalanan. Moga rakan-rakan yang lain selesa dan santai sepanjang menjalani program ini. Amien.

Bandar Seri Putra, Bangi

28 January 2009

CGPA 4.00 Hanya Atas Kertas

Sistem pembelajaran kita lebih menjurus kepada sistem berpaksikan kepada peperiksaan. Penggunaan cara pembelajaran sebegini dapat mengukur sejauh mana tahap pengetahuan seseorang pelajar atau mahasiswa terhadap apa yang telah dipelajari selama ini.

Pada pendapat saya, penggunaan sistem sebegini sebagai melemahkan penguasaan sesuatu ilmu yang dipelajari secara menyeluruh. Seseorang mahasiswa itu lebih terjurus untuk belajar semata-mata untuk mendapatkan pointer yang tinggi dan akhirnya menipu mereka sendiri. Keputusan peperiksaan ini sebenarnya tidak menunjukkan penguasaan mereka terhadap apa yang dipelajari.

Mahasiswa kebanyakannya hanya akan mengulangkaji ilmu-ilmu dan pelajaran dan memfokuskannya hanya untuk cemerlang dalam peperiksaan. Persoalannya ialah, adakah mereka dapat mengadaptasikan apa yang dipelajarinya dalam kehidupan seharian? Mereka hanya mencari ilmu yang hanya berkaitan dengan kursus-kursus dan program-program yang berkaitan sahaja, yang berkaitan dengan ilmu di dalam dewan kuliah dan kelas-kelas tutorial sahaja, dan akhirnya mereka melupakan majlis-majlis ilmu yang alternatif seperti kuliah-kuliah agama di surau-surau mahupun di masjid-masjid, forum-forum ilmu, pembacaan bersifat ilmiah, dan sebagainya. Dari situ, mereka sebenarnya kekurangan ilmu yang berkaitan dengan masyarakat dan isu-isu semasa. Ada juga sebilangan mereka yang tidak mengetahui sesuatu perkara walaupun perkara tersebut berada di dalam bidang yang dipelajarinya di kuliah!

Penguasaan dalam keputusan peperiksaan ini akhirnya menjadikan diri mereka tertipu dengan kebodohannya sendiri. Mereka juga cenderung untuk mempertahan keputusan dan hujah-hujah mereka walaupun tanpa asas-asas ilmu dan sumber yang kukuh. Ini melanggar disiplin ilmu di mana kita perlu kepada sumber-sumber yang sahih dalam memberikan pendapat atau mempertahankan sesuatu perkara. Keadaan mereka inilah yang akhirnya akan menghancurkan masyarakat sekiranya mereka memegang tampuk jawatan tertinggi yang mempunyai kuasa authority seperti jawatan ahli majlis fatwa dan jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara.

Tidak salah sekiranya kita ingin mencapai markah atau pointer tertinggi tetapi yang lebih awla, kita sepatutnya menjaga keberkatan ilmu itu sendiri. Keberkatan ilmu itulah yang dapat mengukur penguasaan ilmu seseorang melalui pengamalannya seharian, bukannya di dalam dewan peperiksaan!

Oleh itu, wahai sahabat sekalian, usahlah dirimu tertipu dengan mainan dunia melalui ilmu. Walaupun kita dituntut mencari ilmu sedalam mungkin, tetapi yang paling penting ialah barakahnya, bukan pointernya.

والله أعلم بالصواب
Bandar Seri Putra, Bangi
1302 090128

22 January 2009

Tahniahlah Buat Antum Semua...

Alhamdulillah... Majlis pembubaran lajnah baru selesai. Saya di sini mengucapkan tahniah kepada MT dan biro-biro yang baru dilantik. Jalankanlah amanah yang diberi dengan penuh bertanggungjawab dan adil. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kalian dalam menjalankan tanggungjawab... Amien...

20 January 2009

Kayanya Kita Atas Kubur Warga Gaza

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم
لا تزال طائفة من أمتي على الحق ظاهرين ، لعدوهم قاهرين ، لا يضرهم من جابههم ، إلا ما أصابهم من لأواء حتى يأتي أمر الله وهم على ذلك. قالوا : وأين هم يا رسول الله؟ قال: ببيت المقدس وأكناف بيت المقدس


Sekumpulan dari kalangan ummatku akan mempertahankan kebenaran, mereka mengalahkan musuh-musuh mereka dan orang-orang yang menentang mereka tidak dapat mengalahkan mereka dan mereka hanya mendapat sedikit kerosakan sehinggalah datangnya kiamat mereka tetap dalam keadaan demikian. Para sahabat bertanya “Di manakah mereka ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab: Di Baitul Maqdis dan di sekelilingnya. HR Abdullah bin Ahmad dan Thabrani

Moga kita semua mendapat rahmat daripada Allah swt terhadap perbahasan ini...

Sebelum ini, saya ada menerima beberapa (lebih daripada satu) artikel-artikel, makalah-makalah, perbincangan, buletin, emel, dan sebagainya dan saya rasa terpanggil untuk memberikan respons.

Ia berkaitan dengan larangan memboikot barangan yang memberikan keuntungan kepada pihak Zionis.

Pada saya, usaha memboikot produk-produk mereka adalah sesuatu KEWAJIPAN, bukan suatu kemestian.
Relakah kita hidup dalam kesenangan, kekayaan, keselesaan sedangkan saudara kita berjuang BERMATI-MATIAN dalam mendapatkan hak mereka untuk hidup di bumi al-Quds?

Adakah kita masih tidak bersedia hidup SUSAH akibat daripada usaha kita melumpuhkan sistem ekonomi mereka yang sedia rapuh walaupun kita terkena tempiasnya? Sedangkan para sahabat sehelai sepinggang berhijrah ke Madinah tanpa harta walau sedinar.

Apakah jawapan kita di hadapan Allah swt kelak sekiranya ditanya saudara kita dari bumi al-Quds tentang usaha kita membantu mereka? Adakah kita mampu pergi mengangkat senjata berhadapan dengan mereka? Tiket kapal terbang pun belum tentu mampu kita beli.
Jangan kita asyik sibuk dengan periuk nasi kita tetapi tidak pernah memikirkan nasib saudara kita yang mungkin akan hilang nyawanya bila-bila masa. Kita lihat usaha Tun Mahathir pada 1980an dahulu dengan memperkenalkan dasar 'Buy British Last' dengan cara mengutamakan barangan dan kepakaran timur, adakah ekonomi kita meleset?

Jadi, usaha yang terbaik ialah dengan MEMBOIKOT barangan-barangan mereka. Dengan ini, mereka lemah dari segi kewangan dan akhirnya dapat membantutkan usaha zalim mereka ke atas umat Islam di al-Quds.

Dan ingatlah, bumi al-Quds itu adalah tanah suci umat Islam yang ketiga selepas Makkah dan Madinah. Adakah kita rela Makkah dan Madinah dinodai sepertimana yang dilakukan pihak Zionis ke atas Masjidil Aqsa?

Renungkanlah kembali...

Semoga Allah memberikan jalan yang terbaik kepada kita...

والله أعلم بالصواب