Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

Showing posts with label al-Quds. Show all posts
Showing posts with label al-Quds. Show all posts

13 July 2014

Ramadan 1435H: Gaza Dibedil

Salam Ramadan 1435H.

Makan moreh di sekolah, tahun lepas.
Gambar tiada kena mengena dengan coretan kali ini.

21 November 2012

Memperkecilkan Usaha Burung Kecil

Palestine, you're not alone.
Hari ini sudah masuk 7 hari Israel membedil bumi Gaza. Seperti mana-mana peperangan masa kini, pastinya akan ada yang menyokong, walaupun pada hakikat yang sebenarnya lebih ramai yang menentang.

Dan pastinya, pemimpin Barat akan menyokong apa sahaja yang Israel putuskan. Pelbagai alasan akan dihamburkan dari mulut mereka bagi membenarkan setiap tindak tanduk durjana Israel.

Dan setiap kali isu yang berkaitan dengan penindasan di tanah suci Baitul Maqdis, juga kawasan sekitarnya seperti Gaza, pastinya satu perkara yang tidak akan terlepas daripada perbincangan masyarakat; boikot.

20 January 2009

Kayanya Kita Atas Kubur Warga Gaza

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم
لا تزال طائفة من أمتي على الحق ظاهرين ، لعدوهم قاهرين ، لا يضرهم من جابههم ، إلا ما أصابهم من لأواء حتى يأتي أمر الله وهم على ذلك. قالوا : وأين هم يا رسول الله؟ قال: ببيت المقدس وأكناف بيت المقدس


Sekumpulan dari kalangan ummatku akan mempertahankan kebenaran, mereka mengalahkan musuh-musuh mereka dan orang-orang yang menentang mereka tidak dapat mengalahkan mereka dan mereka hanya mendapat sedikit kerosakan sehinggalah datangnya kiamat mereka tetap dalam keadaan demikian. Para sahabat bertanya “Di manakah mereka ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab: Di Baitul Maqdis dan di sekelilingnya. HR Abdullah bin Ahmad dan Thabrani

Moga kita semua mendapat rahmat daripada Allah swt terhadap perbahasan ini...

Sebelum ini, saya ada menerima beberapa (lebih daripada satu) artikel-artikel, makalah-makalah, perbincangan, buletin, emel, dan sebagainya dan saya rasa terpanggil untuk memberikan respons.

Ia berkaitan dengan larangan memboikot barangan yang memberikan keuntungan kepada pihak Zionis.

Pada saya, usaha memboikot produk-produk mereka adalah sesuatu KEWAJIPAN, bukan suatu kemestian.
Relakah kita hidup dalam kesenangan, kekayaan, keselesaan sedangkan saudara kita berjuang BERMATI-MATIAN dalam mendapatkan hak mereka untuk hidup di bumi al-Quds?

Adakah kita masih tidak bersedia hidup SUSAH akibat daripada usaha kita melumpuhkan sistem ekonomi mereka yang sedia rapuh walaupun kita terkena tempiasnya? Sedangkan para sahabat sehelai sepinggang berhijrah ke Madinah tanpa harta walau sedinar.

Apakah jawapan kita di hadapan Allah swt kelak sekiranya ditanya saudara kita dari bumi al-Quds tentang usaha kita membantu mereka? Adakah kita mampu pergi mengangkat senjata berhadapan dengan mereka? Tiket kapal terbang pun belum tentu mampu kita beli.
Jangan kita asyik sibuk dengan periuk nasi kita tetapi tidak pernah memikirkan nasib saudara kita yang mungkin akan hilang nyawanya bila-bila masa. Kita lihat usaha Tun Mahathir pada 1980an dahulu dengan memperkenalkan dasar 'Buy British Last' dengan cara mengutamakan barangan dan kepakaran timur, adakah ekonomi kita meleset?

Jadi, usaha yang terbaik ialah dengan MEMBOIKOT barangan-barangan mereka. Dengan ini, mereka lemah dari segi kewangan dan akhirnya dapat membantutkan usaha zalim mereka ke atas umat Islam di al-Quds.

Dan ingatlah, bumi al-Quds itu adalah tanah suci umat Islam yang ketiga selepas Makkah dan Madinah. Adakah kita rela Makkah dan Madinah dinodai sepertimana yang dilakukan pihak Zionis ke atas Masjidil Aqsa?

Renungkanlah kembali...

Semoga Allah memberikan jalan yang terbaik kepada kita...

والله أعلم بالصواب

13 January 2009

Usul Mengecam Serangan Zionis

UCAPAN PERDANA MENTERI MALAYSIA, Y.A.B. DATUK SERI ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI DALAM USUL MENGECAM SERANGAN ZIONIS ISRAEL DI DEWAN RAKYATSAYA mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang hadir walaupun notis dikeluarkan mengenai sidang ini adalah secara tergempar. Saya berterima kasih atas keprihatinan Ahli-Ahli Parlimen Malaysia, tidak mengira agama, bangsa atau haluan politik, yang bersedia membahaskan bersama satu isu yang sangat rapat di hati rakyat Malaysia iaitu penderitaan semasa yang dialami rakyat Palestin dan masa depan keamanan dan keselamatan bagi negara Palestin. Semua telah menjadi terancam akibat serangan berterusan ke atas wilayah Palestin oleh rejim Zionis di Israel.

Sesungguhnya, tindak-tanduk tentera Israel, khususnya pengeboman, pembedilan dan pemusnahan harta benda, tanpa sebarang timbang rasa, yang sedang dilakukan oleh mereka di wilayah Gaza perlu dikecam dan dikutuk oleh seluruh dunia. Perkara ini membabitkan isu pencabulan undang-undang antarabangsa, pencerobohan dan kezaliman ke atas manusia yang dilakukan oleh manusia juga.

Demi mempertahankan kredibiliti negara, kita harus bersepakat menjelaskan kepada seluruh dunia akan pendirian Malaysia terhadap tindakan yang tidak berperikemanusiaan oleh rejim Zionis ke atas rakyat Palestin, khususnya mereka yang berada di wilayah Gaza.

Maka dengan ini saya ingin mencadangkan bahawa mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 27(3) Dewan ini mengambil ketetapan berikut:

  • Bahawa Israel telah melancarkan serangan ketenteraan yang dinamakan operasi 'cast lead' pada 27 Disember 2008 ke atas wilayah Palestin di Gaza meliputi pengeboman dari udara dan diikuti dengan serangan oleh pasukan tentera darat bermula pada 3 Januari 2009;

  • Bahawa serangan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza adalah tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ia adalah jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 Perlindungan Orang Awam Dalam Masa Perang;

  • Bahawa rakyat Malaysia berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas wilayah Palestin di Gaza dan dengan itu menolak tindakan hukuman kolektif yang diambil ke atas rakyat Palestin di Gaza; dan

  • Bahawa rakyat Malaysia berasa sangat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan PBB, untuk menghentikan serta-merta keganasan negara Israel yang dilakukan ke atas wilayah Palestin di Gaza.

    Dengan ini, Dewan ini mengambil ketetapan seperti berikut:

    (1) Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin, termasuk golongan wanita, kanak-kanak, termasuk bayi dan warga tua dan menggesa pengunduran menyeluruh Israel dari wilayah Palestin di Gaza;

    (2) Menggesa Majlis Keselamatan PBB membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraannya ke atas wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata dan memutuskan untuk menempatkan pasukan pengaman PBB bagi menguatkuasakan gencatan senjata itu;

    (3) Menggesa Perhimpunan Agung PBB supaya mengadakan sesi tergempar khas Perhimpunan Agung PBB � 'uniting for peace' - di bawah resolusi 377a (v) sekiranya pelaksanaan ketetapan Majlis Keselamatan PBB gagal menguatkuasakan ketetapannya yang diputuskan pada 8 Januari 2009;

    (4) Menggesa pihak yang terbabit supaya menyambung semula usaha terhadap proses damai serta melaksanakan dan mematuhi pelbagai resolusi yang telah ditetapkan oleh PBB berhubung isu Palestin dan konflik Arab-Israel;

    (5) Memutuskan Malaysia bekerjasama dengan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara sependapat untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa dan piagam PBB dalam menangani konflik yang berlaku di Asia Barat sekarang;

    (6) Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat;

    (7) Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu padu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat;

    (8) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk wilayah Palestin di Gaza dengan serta-merta;

    (9) Menggesa Perhimpunan Agung PBB untuk menubuhkan dengan serta-merta satu tribunal jenayah antarabangsa untuk Palestin bagi menyiasat dan mendakwa penjenayah perang Israel yang disyaki terbabit dengan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin; dan

    (10) mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan Perundangan dan Parlimen yang berkenaan, khasnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.

    Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang Dipertua kerana membenarkan Dewan yang mulia ini membahaskan isu serangan Israel ke atas wilayah Gaza.

    Israel melancarkan serangan yang diberi nama 'cast lead', dengan izin, pada 27 Disember 2008, menggunakan kelengkapan perang yang serba canggih, termasuk jet pengebom F-16. Tentera udara Israel telah membunuh lebih 200 orang rakyat Palestin pada hari pertama itu saja.

    Lapan hari kemudian, pada tanggal 3 Januari 2009, serangan ke atas Gaza diperhebat oleh Israel dengan menggunakan tentera darat, termasuk serangan dan bedilan oleh beratus kereta kebal besar. Pada hari ini, sekurang-kurangnya 800 orang telah mati di Gaza. Lebih 3,000 orang cedera. Hampir 15,000 orang telah menjadi pelarian dalam negeri kerana hendak lari dari kawasan pertempuran.

    Persatuan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dalam satu laporannya pada tarikh 5 Januari 2008 menyatakan bahawa keadaan kehidupan manusia di Gaza sangat membimbangkan kerana makanan, bahan bakar, ubatan dan keperluan asas yang lain terlalu kurang bagi penduduk setempat.

    Pada 8 Januari 2009, atas permintaan dari Malaysia dan Brazil, Presiden Perhimpunan Agung PBB atau UNGA, dengan izin, mengumumkan bahawa beliau akan mengadakan sidang tergempar UNGA dan mengambil sesuatu keputusan yang sesuai, khususnya untuk mendesak Majlis Keselamatan PBB, supaya bertindak untuk mengisytiharkan gencatan senjata tanpa syarat dan memaksa pihak Israel berundur dari bumi Gaza.

    Seolah-olah bertujuan menghalang berlakunya Perhimpunan Agung PBB - hasil permintaan dari Malaysia dan Brazil itu - Majlis Keselamatan berjaya bersidang dan meluluskan satu ketetapan atau resolusi pada 9 Januari 2009.

    Harap Ahli Yang Berhormat sekalian ambil perhatian bahawa Majlis Keselamatan hanya bertindak setelah mereka membiarkan serangan Israel berlaku selama dua minggu tanpa sebarang keredaan dan kita semua tahu mengapa Majlis Keselamatan tiada maya untuk bertindak. Israel tidak mahu Majlis Keselamatan bertindak dan dia ada penyokong kuat dalam Majlis Keselamatan yang menghalang Majlis Keselamatan mengambil tindakan.

    Sebenarnya, mengenai isu Palestin, Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya sebanyak 28 kali dalam tempoh 36 tahun sejak 1973, iaitu menyekat Majlis Keselamatan supaya tidak dapat bertindak.

    Marilah kita bersama-sama menyeru bakal Presiden, Barack Obama, melakukan sesuatu yang benar-benar membawa pembaharuan. Amerika Syarikat mengaku negara demokrasi yang terulung di dunia. Mengapa ia menolak keputusan pilihan raya umum di Palestin pada 2006 yang memberi kemenangan kepada parti Hamas. Amerika Syarikat mengaku dirinya jaguh mempertahankan hak asasi manusia. Mengapa ia membiarkan Israel membunuh kanak-kanak, orang tua dan wanita biasa serta orang awam lain, semuanya tidak berdosa.

    Benar, pada 9 Januari 2009, Majlis Keselamatan meluluskan Resolusi Nombor 1860 (2009) yang mengisytiharkan gencatan senjata di Gaza, mendesak supaya semua pihak mematuhi gencatan senjata dan tentera Israel diarah undur keluar dari wilayah Palestin. Tetapi resolusi ini senyap saja mengenai kepungan atau 'blockade' yang dikenakan oleh pihak Israel ke atas Palestin.

    Tetapi, ada dua perkara yang sangat tidak memuaskan bersabit resolusi ini. Pertama, semua 14 negara anggota Majlis Keselamatan mengundi menyokong resolusi berkenaan melainkan Amerika Syarikat yang mengambil keputusan mengundi berkecuali. Kedua, resolusi itu tidak mengandungi sebarang peruntukan untuk mengadakan satu pasukan antarabangsa, sama ada satu kumpulan pengawasan atau satu pasukan tentera 'peace-keeping', dengan izin, untuk menyelia gencatan senjata dan menentukan segala arahan dipatuhi.

    Oleh kerana tiadanya kumpulan atau pasukan antarabangsa, maka tiada siapa untuk menentukan supaya tentera Israel berundur keluar dari wilayah Gaza. Tiada siapa untuk menentukan bahawa gencatan senjata benar-benar berlaku. Inilah kelemahan Resolusi Nombor 9567 itu.

    Akibatnya, pada ketika ini - iaitu sudah empat hari sejak gencatan senjata diisytiharkan - iaitu pada masa Dewan yang mulia ini sedang bersidang, serangan hebat Israel ke atas Gaza masih berlaku dan berterusan. Orang di Gaza terus mati dan cedera. Bilangan yang mati bertambah hari demi hari. Bilangan yang cedera dan kehilangan rumah tangga serta harta benda bertambah hari demi hari.

    Bekalan makanan, bahan bakar, ubatan dan keperluan asas terus berkurangan hari demi hari. Bekalan bantuan dari dunia luar tidak dapat sampai kepada mangsa peperangan yang memerlukannya kerana jalan-jalan ditutup dan tidak selamat bagi pembantu-pembantu untuk bergerak bebas. Barang bantuan juga tidak dapat sampai menerusi Pantai Gaza kerana lautan sekeliling Gaza di kepung atau, dengan izin, di 'blockade' oleh Israel.

    Serangan ke atas wilayah Gaza kali ini adalah yang terburuk pernah dilakukan oleh rejim Zionis terhadap Palestin sejak penaklukan wilayah itu pada 1967. Kanak-kanak Palestin ada yang mati terbunuh kena tembak, dengan izin, 'sniper fire'. Pengeboman dan bedilan kereta kebal Israel secara rambang telah kena tiga buah sekolah yang ditadbir oleh United Nations Relief and Works Agency dan serangan ini mengorbankan berpuluh anak sekolah. Kekejaman tentera Israel terhadap orang Palestin tiada tolok bandingnya.

    Malaysia berasa amat sedih dan kesal dengan situasi yang berlaku di Gaza akibat serangan dan tindakan kejam tentera Israel. Beratus orang rakyat Palestin yang tidak berdosa menjadi mangsa. Serangan ini melumpuhkan sebuah wilayah kecil yang tidak berupaya mempertahankan dirinya daripada serangan kejam yang bertubi-tubi. Sekatan atau dengan izin, 'blockade', yang dilakukan oleh tentera laut Israel menyekat bantuan tiba melalui laut wilayah Gaza. Malaysia hampa dengan kegagalan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan menghentikan serangan ini, terutama kegagalan Majlis Keselamatan PBB.

    Seperti yang sering dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen Malaysia di Dewan yang mulia ini, Israel sering kali dan secara berterusan bersikap angkuh melakukan tindakan agresif dan kejam ke atas rakyat Palestin sejak sekian lama. Pelbagai resolusi dilulus oleh Majlis Keselamatan tetapi tidak dihiraukan oleh Israel. Namun, Israel lebih memilih untuk tidak mengendahkan dan membelakangi undang-undang antarabangsa. Sebaliknya, Israel mengambil langkah lebih biadab dan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin.

    Malaysia pernah menaruh harapan akan usaha pihak Amerika Syarikat untuk membuka jalan penyelesaian melalui proses damai Annapolis yang diadakan pada 27 November 2007. Ketika persidangan Annapolis itu, persetujuan dicapai oleh kedua-dua pihak, Palestin dan Israel, bagi mengadakan rundingan berterusan agar dapat mewujudkan negara Palestin yang bebas dan berdaulat pada akhir 2008.

    Persetujuan semasa persidangan itu disaksikan oleh masyarakat antarabangsa, termasuk oleh Malaysia yang turut dijemput menyertai. Kita berasa amat kecewa apabila proses damai Annapolis menemui jalan buntu.

    Masyarakat antarabangsa merata-rata mengutuk tindakan rejim Israel menyerang Gaza. Demonstrasi dan protes bagi mengecam tindakan Israel itu diadakan di beberapa negara. Malangnya, ada juga pihak yang bersikap serong dan meletakkan tanggungjawab bulat-bulat ke atas pejuang Hamas di Gaza yang melancar roket ke arah Israel. Tetapi, Ahli Yang Berhormat sekalian haruslah sedar bahawa ini adalah tindakan orang yang terkepung, tidak boleh bebas dan merentas sempadan wilayah mereka sendiri.

    Pada 27 Disember 2008, Profesor Richard Falk, pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia di wilayah yang diduduki, menyifatkan pengeboman Israel ke atas Gaza sebagai pencabulan besar terhadap perundangan kemanusiaan antarabangsa seperti ditetapkan oleh Konvensyen Geneva.
    Bagaimanapun, Malaysia tetap tidak berputus asa. Kerajaan, melalui Kementerian Luar Negeri sudah mengarahkan Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York supaya terus berusaha demi keamanan dan keselamatan bumi Palestin. Khususnya, beliau sudah diarah bekerjasama dan berurusan rapat dengan wakil negara anggota OIC dan NAM.

    Sekiranya gencatan senjata terus tidak berkuat kuasa dan keadaan buruk di Gaza tidak berubah, maka negara yang sependapat dengan Malaysia mestilah berusaha semula untuk meminta Presiden Perhimpunan Agung PBB mengadakan sidang tergempar Perhimpunan Agung berlandaskan Resolusi No.377 a (v) tahun 1950 � 'uniting for peace'.

    Saya sendiri juga sudah mengutus kepada Setiausaha Agung PBB, Presiden Perhimpunan Agung PBB, Ketua-Ketua Kerajaan negara anggota Majlis Keselamatan, negara anggota OIC, negara NAM serta beberapa tokoh seperti Pope Benedict XVI, Barack Obama dan Jimmy Carter, untuk membantu dalam usaha mencari kedamaian di Asia Barat amnya dan di Gaza khasnya.

    Kementerian Luar Negeri juga secara rasminya sudah mengaktifkan 'Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin' bagi membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin. Kerajaan sudah menyumbang AS$1 juta kepada penduduk Gaza melalui Mercy Malaysia.

    Mengambil kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada Ahli Dewan yang mulia ini untuk turut membantu usaha murni ini dengan menggalakkan semua rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat untuk membantu rakyat Palestin yang kini berada dalam keadaan yang amat daif akibat serangan tentera rejim Zionis.

    Selaku masyarakat Malaysia yang sentiasa prihatin dan simpati kepada kesengsaraan golongan yang tertindas, marilah kita sama-sama menghulurkan sedikit sumbangan ikhlas bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.

    Bersama-samalah kita memanjatkan doa kepada yang maha Esa agar bencana kemanusiaan ini dapat dihentikan serta-merta. Malaysia akan terus memantau perkembangan krisis di wilayah Palestin di Gaza.

  • 08 January 2009

    Israel Boleh Lumpuh Dengan Serangan Kuasa Ekonomi?

    Kenyataan Tzipi Livni pada 4 Januari lalu amat keras bersulam benang kesombongan dan dengan bongkaknya, Livni berkata, itulah padahnya jikalau Hamas berani menyentuh Israel lagi.

    Kata Livni, "Saya harap hasil daripada operasi (membedil Gaza) ini akan memberi kesan jangka panjang. Saat mereka melepaskan tembakan, kita akan membalas dengan serangan besar-besaran.

    Mungkin beberapa operasi diperlukan bagi mencapai matlamat ini. Kita telah lama berjuang dan kita mesti lakukan secara kekerasan dari semasa ke semasa."

    Livni dalam wawancara bersama sebuah stesen penyiaran Israel itu telah secara lantang, menolak perbincangan bersama Hamas. Menurut Livni, selama ini dia cuma berpura-pura bagi memastikan seluruh dunia memandang kerajaan Hamas sebagai tidak sah.

    "Saya menolak mengadakan perbincangan dengan Hamas. Sejak Hamas berkuasa tiga tahun lalu, saya hanya berpura-pura agar seluruh dunia melihat Hamas sebagai tidak sah. Helah itu berjaya dan saya tiada hasrat untuk menukarkannya sekarang," katanya.

    Di sebalik kesombongan itu, Livni juga mengakui bahawa mungkin rejim Israel tak akan dapat mencapai apa-apa yang dicita-citakan mereka melalui serangan itu. Wawancara itu berlaku, kira-kira sehari sebelum berlakunya serangan darat di Gaza.

    Amerika melalui dutanya ke PBB, Alejandro Wolff, telah pun mengecam Hamas dengan berkata, "Majlis Keselamatan beberapa kali melahirkan kebimbangan mengenai serangan Hamas ke atas Israel."

    "Piagam pertubuhan ini menghormati hak setiap anggota mempertahankan dan hak Israel mempertahan diri tidak boleh dirunding," kata Wolff lagi. Sikap ini menunjukkan kepada kita dengan jelasnya bahawa umat Islam tak boleh lagi mendesak badan bukan Islam itu menerajui apa-apa perubahan di wilayah bergolak itu.

    KUASA BESAR ISLAM DI MANA?
    Prof Dr Ahmad Atory Hussain dalam suatu wawancaranya berkata, berkata, umat Islam hari ini tidak boleh lagi berharap kepada orang bukan Islam bagi menyelesaikan masalah mereka sendiri.

    "Orang Islam dan Palestin mesti selesaikan masalah sendiri. Saya lihat, orang-orang Arab asyik salahkan Barat. Tapi, masalah dalaman mereka sendiri, tak pernah diperbaiki.

    "Selain itu, mesti wujudkan kuasa besar Islam atau dua buah tiga negara Islam yang mesti disokong orang Islam sendiri. Bukan untuk berperang tapi cukup sekadar menggerunkan Amerika," kata beliau lagi.

    Selain itu, tambah Dr Ahmad Atory, masyarakat atau negara bukan Islam seperti Rusia, Perancis dan China keruh hubungannya dengan Amerika dan Israel perlu dilibatkan.


    Di samping itu, kita dapat melihat betapa betapa banyaknya syor dan cadangan itu. Sama ada syor itu bersifat tindakan yang boleh dilaksanakan di peringkat rakyat bawahan atau pun peringkat kerajaan atau pihak atasan.

    Contohnya, Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar diwujudkan suatu pasukan tentera pengaman OIC sendiri. Tapi syor begini, siapa yang mahu lobi agar ia dapat diwujudkan? Idea banyak, tetapi seolah-olah tiada orang yang menggerakkan, melobi idea itu.

    Misalnya, pendapat Dr Ahmad Atory tadi, rasanya pernah disuarakan oleh bekas Presiden Iran, Khatami dahulu dengan namanya Islamic Union yang mirip kepada European Union (EU), iaitu sebuah pakatan ekonomi dan politik di rantau Eropah.

    Hasil pakatan EU itu antaranya telah melahirkan mata wang Euro sebagai saingan kepada mata wang Dollar Amerika.

    MAHATHIR TIDAK ENDAHKAN ISLAMIC UNION?
    Tapi, Mahathir tidak endahkan gagasan itu dan akhirnya gagasan itu sepi begitu saja. Dan dalam kalangan pemberita, wartawan arus perdana pula tidak tergerak pula mereka untuk menggarisbawahkan isu itu menerusi akhbar mereka.

    Tetapi akhir-akhir ini, dalam kenyataan terbaru, Dr Mahathir kembali semula dengan idea memulaukan mata wang dollar Amerika itu. Ini sememangnya syor yang baik juga.

    Mahathir berkata, antara lain kenapa Dollar Amerika mesti dipulaukan, ialah kerana mata wang itu tiada disandarkan apa-apa nilai terhadapnya.

    "Jika anda berhenti mengguna matawang itu, Amerika tak dapat berdagang dan tak dapat banyak duit. Dengan ini, negara itu akan terus menjadi miskin dan Amerika akhirnya akan berhenti menghasilkan senjata-senjata," katanya.

    Tetapi, Mahathir mengakui bahawa usaha memulaukan matawang Amerika ini menuntut kepada hubungan kerjasama yang erat di seluruh negara di dunia.

    Adakah Mahathir atau Yayasan Perang Jenayah KL Yayasan Kepimpinan Perdana berdaya membawa seruan ini kepada negara-negara dan mampu melobi tindakan ini kepada seluruh kerajaan?

    "Tindakan ini tidak terbatas kepada Malaysia saja. Ini tidak akan berkesan. Seluruh dunia mesti terlibat. Kerajaan-kerajaan tak akan bertindak kerana mereka takut kepada Amerika Syarikat," kata beliau seperti menyindir dan mencabar kerajaan Malaysia sendiri.

    Adakah Tun Mahathir boleh menyarankan kepada Najib sebagai Menteri Kewangan agar tidak lagi mengguna mata wang dollar Amerika dalam urusan perniagaan sedunia.

    Tidak salah ingatan saya, Mahathir pernah menggesa agar ringgit Malaysia diikat kepada RM3.30 untuk setiap dollar Amerika, tetapi Najib berkata bahawa ringgit Malaysia mahu nilai ringgit itu teruskan ditentukan oleh pasaran sahaja.

    Tak salah ingatan saya juga, Iran sudah menjalankan urusniaga minyak dalam mata wang Euro dan bukan lagi Amerika Syarikat. Adakah kita bersedia menggunakan Euro?

    Tak salah saya juga ada satu laporan menunjukkan bekas Perdana Menteri itu menyimpan sejumlah wang di dalam akaun bank di Israel. Adakah wang itu masih tersimpan atau pun sudah dikeluarkan, tidaklah diketahui pula.

    Inilah antara masalah kita sekarang. Watak-watak yang mempunyai buah fikiran terbaik, tetapi ternyata ada konflik lewat tindakannya yang tersendiri.

    EU sudah wujudkan Euro. Jika wujud Islamic Union itu, mungkin boleh ada wang dinar emas yang akan dipersetujui pemakaian dan penggunaannya dalam hubungan kerjasama perdagangan antara negara-negara Islam. Tun Mahathir juga setuju dengan dinar ini.

    Perjalanan kita membantah Israel sungguh panjang. Tapi, umat Islam masih gagal meraih wacana yang betul-betul kuat dan mantap. Yang tidak banyak melibatkan pemikiran agak senang dilakukan seperti membakar bendera dan berdemo.

    Sedangkan, dalam 60 tahun belakangan ini (1948 hingga 2008) pemikir-pemikir Yahudi Zionis telah menyusun protokol-protokol mereka mengguna pemikiran yang tinggi. Jadi, seminggu berdemo dengan semata-mata tenaga belum tentu dapat menyaingi mereka.

    Tinta berdakwat: Kadang-kadang, benda-benda macam ni kita tak ambil perhatian, tapi kalau kita betul-betul menyerang mereka dengan metode ni, insya-Allah, mereka mungkin berfikir dua kali sebelum menyentuh Gaza...

    07 January 2009

    Bagaimana Bermulanya Yahudi Menguasai Palestin?

    Ketika rencana ini ditulis kita tidak tahu bagaimana akhrnya nasib penduduk Gaza, Palestin yang sedang dikepung, diseksa dan dibunuh oleh rejim Israel, pada ketika yang sama pemimpin dunia Islam, khususnya dunia Arab, hanya 'terkebil-kebil' mendengar dan melihat penyeksaan rejim Yahudi ini di kaca TV.

    Kutukan demi kutukan dari pemimpin umat Islam, dari anggota OIC dan NGO-NGO hak-hak asasi manusia. Sementara Kesatuan Eropah dan Bangsa-Bangsa Bersatu serta Amerika hanya meminta tentera Israel tidak menyerang kawasan penduduk awam, ertinya bolehlah menyerang untuk sasaran militan Arab di Gaza saja.

    ULANG TAYANG

    Peristiwa serangan ini adalah ulangan tindakan Israel sejak puluhan tahun lalu dan hingga kini, iaitu sejak zaman Presiden Richard Nixon, malah sebelum itu lagi, hingga zaman Barack Obama yang sesetengah orang diharapkan ada perubahan.

    Kini serangan itu berterusan, ratusan rakyat Gaza terbunuh setiap hari, mayat bergelimpangan, bangunan runtuh, hospital musnah, tiada jalan keluar bagi rakyat Gaza untuk mendapatkan makanan.

    Mesir juga menutup sempadannya untuk tidak membenarkan pelarian Palestin tumpang lagi ke negara itu. Syria, Libya, Jordan dan negara Arab lain tidak lagi mampu menerima pelarian yang berjumlah berjuta-juta banyaknya.

    Ini adalah episod yang sangat mememilukan, sebuah tragedi kemanuiaan yang tidak ada tandingannya, bahkan tragedi kemanusiaan ini melebihi pembunuhan Nazi Jerman terhadap orang Yahudi di Eropah.

    Tiada siapa yang ditakuti oleh rejim Tel Aviv sekarang, justeru kerana Amerika, di bawah presiden barupun tetap menyokong mereka. Malah Amerika terus menerus melindungi kepentingan Yahudi.

    Maka jadilah rakyat Paletin di Gaza itu 'bahan ratahan' tentera Israel. Anak-anak muda Palestin meluru ke jalan-jalan raya melemparkan batu ke arah tentera dan kereta kebal Israel, lalu dari muncung kereta kebal Israel itu memuntahkan peluru meriam yang membunuh mereka dengan mudah.

    Bayangkan bagaimana anak-anak muda Palsetin yang hanya bersenjatakan batu di tangan boleh melawan tentera Israel dengan segala peralatannya. Namun itulah yang terjadi. Inilah pemandangan ngeri yang berterusan disaksikan oleh masyarakat antarabangsa seluruh dunia.

    ADAKAH HARAPAN BUAT OBAMA?

    Adakah rakyat Palestin ini mempunyai masa depan? Ini pertanyaan yang sangat sukar dijawab, walaupun daripada pakar mengenai Asia Barat sendiri. Memang ada sesetengah pihak mengharapkan Obama yang berkulit hitam itu melakukan sesuatu dalam menyelesaikan isu Palestin, namun nampaknya rejim tentera Tel Aviv, pimpinan menteri pertahanannya yang sangat ganas, Ehud Barat, tidak mungkin bersedia menghentikan serangannya. Ini kerana dia tahu, Amerika dan sekutunya akan terus menyokong Israel.

    Jika begitu keadaannya, bagaimana masalah ini dapat diselesaikan? Israel menuduh para pejuang Hamas melancarkan roket ke kawasan Israel, ada yang mengena sasaran dan ada yang tidak. Namun hujan roket dari Israel, di samping meriam kereta kebal mereka terus menerus membunuh rakyat Palestin.

    Sementara itu bagaimana sikap pemimpin umat Islam, khususnya pemimpin dunia Arab? Selagi mereka masih kekal dengan sikap assobiyah Arab mereka, tidak bersatu atas nama Islam untuk memerangi rejim Yahudi, maka tidak mungkin rejim itu boleh berundur.

    KERDILNYA NEGARA ARAB

    Bayangkan setiap tahun negara Arab membelanjakan beratus bilion dollar Amerika untuk membeli senjata api tercanggih dari pelbagai negara Barat, khususnya Amerika. Namun negara Arab tidak juga mampu memperlihatkan kekuatan tentera mereka untuk menghadapi Israel.

    Akhirnya negara Arab hanya menjadi 'pengguna' setia senjata moden Barat, sementara senjata itu tidak juga menolong memperlihatkan 'izzah' (keunggulan, kehebatan) negara Arab sehingga menggerunkan Israel.

    Inilah yang berlaku terus menerus, pada ketika yang sama, siapapun yang menjadi Presiden Amerika, negara itu terus melindungi kepentingan Israel.

    Benarlah kata ulama tersohor, Sayyid Hasan Ali An-Nadawi dalam bukunya "Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam" bahawa negara umat Islam perlulah memiliki ilmu dan kekuatan senjata yang cukup disertai kemajuan teknologi supaya dengan kekuatan itu mereka mampu memimpin dunia.

    Malangnya, kata An-Nadawi, hampir semua kekuatan ini kini tidak dimiliki oleh umat Islam, pada hal di zaman dulu, umat Islamlah yang memiliki semua kekuatan ini. Kini, katanya, pemimpin negara Arab hanya memikirkan kepentingan negara masing-masing, dilatari oleh sikap assobiyah, atau perkauman Arab yang semakin menebal.

    Perlu diingat, kata An-Nadawi lagi, sikap ini menyebabkan runtuhnya Daulah Islamiyah Turki pada tahun 1924, iaitu di tengah-tengah Assobiyah Arab yang tebal itu, ia bertembung pula dengan assobiyah Turki kerana ketika itu Turki juga sangat angkuh dan merasakan ia adalah bangsa besar. Inilah kesan buruk yang dialami sehingga keadaan menjadi begini.

    MULA TERGADAI

    Sementara itu, ketika menyaksikan penyiksaan dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin oleh rejim Irael itu, kita teringat bagaimana mulanya tanah atau bumi Palestin ini tergadai dan dijual kepada Palestin.

    Pada zaman pemerintahan Sultan Abd Hamid II, Sultan Turki terakhir, telah digubal undang-undang dan disahkan di Parlimen Turki bahawa semua tanah yang dimiliki oleh orang Arab di Palestin (ketika itu di bawah riayah Daulah Uthmaniyyah Turki) dilarang dijual kepada Yahudi.

    Ini menimbulkan kemarahan British dan Perancis, justru kerana dua negara Eropah itu mahu memperkukuh kedudukan masa depan Yahudi di negara Palestin.

    Namun setelah kejatuhan Daulah Uthmaniyyah Turki, undang-undang itu dimansuhkan oleh Kamal Attaturk yang merampas kuasa. Lalu dengan pantas orang Yahudi di Palestin berebut-rebut membeli tanah orang Arab di sana, sementara orang Arab Palestin itu sendiri rela pula menjual tanah mereka.

    Dengan itu banyak tanah hak milik Arab Palestin bertukar tangan menjadi hak milik Yahudi hingga kini.

    Tanah itu kini didiami oleh orang Yahudi, ditambah pula wujudnya penempatan baru, iaitu tanah yang dirampas dari rakyat Palestin sendiri. Demikianlah sejarah hitam bumi Palestin.

    Maka itu ketika Israel menguatkan cengkamannya di bumi para anbia ini, dalam usaha mereka hendak menghapuskan rakyat Palestin, wajar kita merenung semua sejarah pahit ini. Namun pandangan An-Nadawi ini sangat wajar diberikan perhatian.

    Tinta berdakwat: Al-Islam ya'lu wala yu'la 'alaih... Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Zaman sekarang, bukan Islam yang memimpin tetapi sifat kebangsaan. Sifat inilah yang memakan semangat persaudaraan Muslim yang mana suatu jke

    06 January 2009

    Gaza Terpotong Menjadi Dua

    Kemaraan tentera darat serta kereta kebal zionis Israel telah bergerak jauh ke dalam Jalur Gaza, memotong wilayah itu menjadi dua bahagian.

    Dengan serangan bom dari angkatan laut, udara dan darat, pasukan Israel merebut posisi-posisi di kedua sisi bandar Gaza, dan sepanjang jalan timur-barat.

    Selepas melancarkan serangan udara selama lapan hari, awal pagi semalam tentera Yahudi berkenaan telah mara memasuki Gaza dalam fasa kedua pencerobohannya tanpa menghiraukan bantahan antarabangsa dengan angka kematian warga Palestin kini mencecah 500 orang dan 2,500 lainnya cedera.

    Seorang ibu Palestin dan empat orang kanak-kanaknya dilaporkan terbunuh dalam satu serangan terbaru rejim Zionis di Gaza pada petang Ahad (4/1/09). Setidaknya 17 orang terbunuh dan 130 cedera ketika roket-roket Israel ditembakkan ke bahagian selatan Gaza.

    Menteri Kesihatan Palestin, Dr Fathi Abumoghli, mengatakan tentera Israel mengekang pergerakan ambulans, yang menyebabkan para korban meninggal dunia sebelum mereka mendapatkan perawatan.

    Badan amal Inggris, Oxfam, juga mengatakan bahawa seorang perawat yang bekerja untuk organisasi bantuan mereka juga maut dan dua lainnya cedera dalam pengeboman Israel tersebut.

    Banyak berita tidak dapat dilaporkan dengan jelas. Israel telah melarang para wartawan antarabangsa masuk ke Gaza dalam usaha mereka untuk menutup hal kekejaman dan kezaliman yang mereka lakukan di sana.

    Tinta mencoret: Orang Islam sendiri tak bersatu, tu pasallah diorang ambil kesempatan atas kelemahan kita.