Apakah yang kita rasa sekiranya seorang ayah datang mengadu kepada kita bahawa susu yang diminum anak kecilnya terpaksa dikurangkan disebabkan pendapatannya sudah tidak dapat menampung kos. Sudah tentunya kita berasa simpati, kasihan dengan keadaan si ayah.
Namun, bagaimana pula sekiranya kita mengetahui bahawa si ayah tersebut sering membelanjakan wang pada perkara-perkara yang bukan menjadi awla, priority, atau bukan pada perkara-perkara yang menjadi keutamaan, membazir, berfoya-foya, kuat merokok, melepak dengan kawan-kawan di kedai kopi, dan sebagainya? Adakah kita masih berasa kasihan, simpati terhadap si ayah atau perasaan kasihan dan simpati itu bertukar menjadi marah?
Kalau macam tu perangainya, buat apa perlunya kita simpati?
Begitulah tamsilan yang paling baik untuk menggambarkan terhadap tindakan kerajaan yang berhasrat untuk mengurangkan subsidi terhadap elektrik yang menatijahkan kenaikan tarif elektrik berkuatkuasa Isnin ini (30 Mei 2011).
Kita sebagai rakyat mungkin masih boleh menerima tindakan kerajaan menghapuskan pelbagai jenis subsidi kepada rakyat sekiranya kerajaan sudah mengambil pelbagai inisiatif dan langkah yang sepatutnya diambil bagi mengelakkan daripada wang negara tidak dibelanjakan dengan sewenang-wenangnya.