Perkataan "aurat" (عورة) berasal daripada perkataan "'ara" (عار) yang bermaksud malu atau aib.
Secara ringkasnya, aurat ialah bahagian anggota badan yang wajib ditutup atau disembunyikan daripada pandangan orang lain.
Bagi lelaki, aurat yang perlu ditutup daripada pandangan orang lain ialah bermula dari pusat sehingga ke lutut. Anggota-anggota yang perlu ditutup oleh kaum lelaki ialah pusat, lutut, betis,... eh perlu dinyatakan satu persatu ke...?
Manaka bagi wanita pula, auratnya ialah keseluruhan tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan.
Terbaru, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) melaksanakan
Ops Ramadan dan Aurat bagi mengesan dan menahan pesalah yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan berpakaian tidak menutup aurat, ketat, selain tidak berpuasa secara terang-terangan.
Tahniah diucapkan buat JAHEIK dan Kerajaan Kelantan yang begitu bersungguh-sungguh dalam menghidupkan suasana Islami ke atas rakyat dan negeri Kelantan. Semoga Allah merahmati dan memberkati usaha kalian.
Namun, sedarkah kita bahawa kita terlalu tertumpu kepada kaum Hawa dalam menegur mereka agar menutup aurat dengan sempurna, bahkan ada sebahagian daripada kita mengambil pendekatan mengutuk, menghina, bahkan memulau wanita-wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna.
Terlampaunya kita melihat 'kesalahan' wanita yang tidak bertudung dan berseluar ketat ini akhirnya mengelabukan sebahagian daripada kita khususnya para lelaki dalam membaiki kelemahan dan kesalahan kita dalam menutup aurat.
Aurat lelaki 'lebih sedikit', hanya kawasan bermula pusat sehingga lutut berbanding wanita yang perlu menutup sebahagian besar daripada tubuh badannya.
Akan tetapi, para lelaki 'tidak mampu' menutupnya dengan sempurna berbanding wanita yang pada saya saban hari berusaha menutupnya dengan lebih baik.
Di sini, saya senaraikan beberapa waktu yang mana sang lelaki begitu mengabaikan aurat mereka.
RIADAH
Waktu ketika yang paling kerap lelaki tidak menjaga aurat mereka dengan sempurna adalah
ketika bersukan.
Baik yang budak, remaja, hinggalah ke pakcik pakcik, ramai di kalangan mereka yang gemar sangat memakai seluar pendek ketika bersukan. Antara alasan yang pernah diberikan mereka adalah kerana ia memudahkan pergerakan mereka.
Iyolah...
Walau bagaimanapun, itu bukanlah satu alasan yang kukuh untuk membenarkan kita membuka aurat.
|
Nak menang, biar menang dunia-akhirat.
Gambar dari Lebai Google. |
MANDI
Di sini, saya nak bahagikan kepada dua, sama ada mandi di tempat awam atau mandi di tempat tertutup.
Mandi di tempat awam adalah seperti di pantai, sungai, kolam, atau mungkin di taman tema air. Manakala tempat tertutup pula seperti di asrama. Mungkin ada contoh lain.
Tak mau kata banyak, cuma perhatikan tuala (jika memakai tuala), pakaian renang, atau kain basahan yang dipakai itu, adakah ia menampakkan pusat, ataupun lutut, ataupun apa yang terdapat di antara keduanya? Sekiranya ya, maknanya, aurat itu tidak dijaga sempurna.
|
Contohlah budak-budak yang nak bersunat, walau pun mereka akan menanggalkan seluar mereka di hadapan mudim, tapi mereka tetap 'sopan' menutup aurat ketika mandi.
Sumber gambar dari Lebai Google. |
RUMAH ATAU ASRAMA
Setiap kali saya memberikan penerangan kepada murid-murid saya, seringkali saya menekankan kepada mereka akan aurat ketika berada di rumah.
Setiap kali penerangan diberikan, akan pasti ada yang bermuka terkejut...
"Walau dengan keluarga sendiri?" (Tanya mereka)
"Ya, walau dengan keluarga sendiri."
"Abang sendiri?"
"Ya, dengan abang sendiri pun kita kena tutup aurat."
"Tapi abang saya lelaki."
"Ya, takkan kamu nak bogel je depan dia...?"(kadang-kadang kena jawab secara begitu dengan mereka buat mereka berfikir sikit...)
"Tapi kan, ustaz, saya sebilik dengan abang saya, dia selalu pakai boxer dalam bilik..."
"Er..."
Intipati dialog di atas adalah berdasarkan pengalaman saya ketika memberi penerangan.
|
Hensem Aaron Aziz pakai baju menutup aurat di rumah.
Jadilah seperti Aaron Aziz. |
Aurat sesama lelaki tetap pusat hingga ke lutut, tidak berubah. Tidak seperti aurat wanita yang berbeza sedikit antara sesama wanita dengan lelaki ajnabi.
Walaupun kita berada di rumah, aurat tetap perlu ditutup. Di bilik-bilik asrama, aurat tetap perlu ditutup. Bukan boleh percaya kawan-kawan lelaki di dalam bilik asrama tu, dalam diam dia tengok roomate dia pakai boxer, habis naik 'adik' dia. Akhirnya, naluri songsang akan terangsang, korang juga yang meremang.
|
Haa... Tidur la macam tu.
Setan suka orang yang tak reti nak jaga aurat ni. |
Ini antara situasi yang mana saya lihat lelaki khususnya begitu sukar untuk menutup aurat. Waktu-waktu lain memang ada yang pakai seluar pendek pergi
shopping mall tapi tu saya anggap sebagai lelaki pendedah aurat tegar.
Saya lelaki. Pesanan ini buat semua lelaki yang ada termasuk diri saya. Kita selalu tuding jari terhadap wanita yang tidak menutup aurat, tidak bertudung, berpakaian ketat, dan sebagainya sedangkan kita sendiri gagal dalam menjaga aurat yang takde la besar mana pun yang perlu di tutup.
Nak dalil ke...? Tak perlulah. Kewajipan menutup aurat tu
ma'ruf, diketahui ramai.
Ingat...
Mendedahkan aurat itu dosa besar.
Dan pelaku dosa besar menjadi
fasiq.
Dan seorang yang
fasiq itu tidak layak menjadi wali.
Dan seorang yang fasiq itu kelak selayaknya di Neraka.
Tinta mencoret: Lelaki, jagalah auratmu.
Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP
via Asus Zenfone 4