Gambar diambil ketika Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah pada 20 Mei 2022 di Sekolah Rendah Agama Giching.
|
Semalam, seorang sahabat lama bertanya,
"Mengapa berhenti mengajar?"
Aku terdiam.
Bukan mudah untuk menjawab soalan yang begitu dekat dengan jiwa.
Sejujurnya, aku berbelah bagi.
Antara minat yang membara, dan peluang yang datang menyapa.
Antara rasa ingin terus memberi, dan hakikat cabaran realiti.
Kudrat dan kemampuan sudah sampai ke batas.
Sasaran telah digapai, penghargaan sudah dirasa.
Segala ilham, segunung daya, telah kucurahkan sepenuh jiwa.
Semuanya dengan izin Allah, dan bimbingan Guru Besar serta para pentadbir yang membuka ruang seluas-luasnya.
Namun...
Tatkala ingin terbang lebih tinggi, langit terasa terlalu rendah.
Minat masih mekar, tapi ruangnya semakin sempit, semakin sesak.
Lantas, dengan langkah yang berat, aku tinggalkan medan ini.
Bukan kerana jemu.
Bukan kerana kecewa.
Tapi kerana percaya, ada dunia baharu yang menanti untuk diteroka,
Ada potensi diri yang belum sempat ditumpahkan sepenuhnya.
Hanya Allah yang tahu, betapa pedihnya berpisah dengan sesuatu yang telah menjadi nadi,
Yang telah sebati dalam setiap hela nafas dan degup hati.
Jika waktu itu boleh disingkap semula,
Ingin aku kembali walau seketika,
Ke detik tawa dan tangis bersama anak-anak syurga,
Wajah-wajah suci yang menjadi pelangi dalam hari-hari mendungku.
Semoga Allah merahmati kalian semua,
yang pernah hadir dalam perjalanan ini,
Dengan ilmu, doa, dan kasih yang tidak bertepi.
Tinta mencoret: Terkadang, terpaksa memilih suatu pilihan, walaupun pahit untuk ditelan.
Hulu Kelang, WPKL
Via Realme 12x Pro