Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

13 June 2009

Pesan Walau Terpaksa Syahid!

Luasnya dunia ciptaan Allah swt. Walaupun jika dibandingkan dengan Musytari yang seratus kali ganda lebih luas, lebih besar berbanding bumi, namun manusia masih tidak mampu mentadbirnya dengan terurus. Seratus kali lebih kecil berbanding Musytari dan permukaannya hanya dilitupi oleh 30% daratan berbanding bakinya lautan. Subhanallah. Maha Suci Allah! Dia Maha Mengetahui, sekiranya lebih luas kawasan yang diamanahkan untuk dijaga manusia, pastinya lebih besar kerosakan yang dilakukan manusia, sama ada yang beriman mahupun yang kufur.

Dia mengurniakan banyak kekayaan hasil gali bumi, hasil perhutanan, hasil buruan, dan sebagainya untuk makhluk-Nya, sama ada yang beriman mahupun tidak. Di situlah diukurnya keimanan kita terhadap-Nya.

Namun begitu, ramai manusia yang jatuh tersadung apabila dilonggokkan dengan 1001 macam kekayaan, 1001 macam kenikmatan. Mereka lupa pada janji-janji mereka terdahulu, di mana mereka akan memakmurkan bumi Allah yang sekangkang kera ini.

Itulah manusia. Perkataan 'manusia' itu sendiri diambil daripada perkataan Arab, nasia (نسي), yang bermaksud lupa. Memang lumrah sekiranya manusia itu lupa, lupa pada janji-janji mereka terhadap Tuhan Rabbul Jalil. Sebab itulah Allah swt berfirman kepada hamba-hamba-Nya:

بسم الله الرحمن الرحيم
وَالْعَصْرِ
إِنَّ الإنسَانَ لَفِي خُسْرٍ
إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّــلِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu benar-benar rugi! Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebaikan dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
AQ 103:1-3

Dia yang mencipta manusia, sememangnya Dia Maha Arif tentang kondisi manusia. Dia sengaja menciptakan manusia itu bersifat dengan pelupa, supaya dapat diberikan rahmat-Nya kepada mereka yang lupa dan kumpulan yang saling mengingati yang ma'aruf.

Usah dibincangkan mereka yang sering lupa, lupa kepada janji, lupa kepada kebenaran, lupa kepada Tuhan. Barangsiapa yang ingkar selepas didatangkan kumpulan yang menyeru dan mengingat mereka, maka nerakalah yang lebih layak buatnya. Dan barangsiapa yang tidak didatangi kumpulan itu, maka pertimbangan Allahlah yang Maha Adil buatnya.

Khalifah Umar al-Khattab ra ketika meletakkan dirinya dalam kumpulan yang lupa ketika diangkat menjadi pemimpin umat Islam, beliau memohon rakyat jelata supaya menjadi kumpulan yang menyeru dan mengingatinya kepada yang ma'aruf walaupun dengan mata pedang! Begitu tinggi kepentingan ingat-mengingati sehinggakan 'dihalalkan' perbuatan 'membunuh' seseorang khalifah seperti beliau, pemimpin yang lebih warak dan alim berbanding sultan-sultan Melayu yang masih dipertahankan walaupun telah khilaf dalam perhitungan.

Firman Allah swt dalam kalam-Nya:
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Kamu (umat Islam) dijadikan sebagai sebaik-baik manusia dalam kalangan manusia lain, (di mana) kamu berpesan-pesan dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran (kejahatan dan kezaliman) dan kamu (turut) beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab (orang Yahudi dan Kristian) beriman, pastinya itulah yang terbaik buat mereka. Dalam kalangan mereka, ada yang beriman, tetapi kebanyakkan daripada mereka (lebih suka) melakukan kefasiqan (tidak beriman).
AQ 3:110

Bangun berjaya umat Islam itu bergantung kepada salingnya membetulkan kesalahan sesama sendiri, antara ahli keluarga, kawan dengan kawan, pekerja dengan majikan, sehinggakan kepada rakyat dan khalifah.

Taat kepada pemimpin itu sememangnya menjadi tuntutan tetapi sekiranya mereka ter'khilaf' dalam membuat keputusan, kontra kepadanya, iaitu rakyat mestilah bertindak sama ada secara pasif mahupun agresif, supaya kesalahan itu dapat dineutralkan. Sekiranya pada zaman Khulafa-ur-Rasyideen, khalifah memberi green light kepada rakyat untuk menegur kepimpinannya, bermula daripada teguran mulut sehinggakan kepada teguran mata pedang, tidak mustahil sekiranya kita melaksanakannya pada zaman sekarang dengan menggunakan pendekatan yang lebih sesuai, sama ada pasif mahupun agresif.

Kumpulan dakwahlah yang memainkan peranan ini. Tidak kira sama ada mereka berada dalam jalur politik, ekonomi, kekeluargaan, NGO, dan sebagainya, mereka ini sepatutnya diberikan sokongan dan dorongan. Tetapi kebanyakkan daripada mereka ini ditentang habis-habisan sehinggakan segala kebaikan dan kebenaran yang dizahirkan itu cuba disembunyikan sebalik tabir kezaliman dan penipuan licik. Mereka ini yang bersifat 'lupa' terhadap 'janji' mereka kepada Tuhan! Benarlah firman Allah yang disebutkan di atas! Dia memberikan kita satu gambaran dimana orang yang fasiq itu lebih ramai, maka ramailah penentang-penentang kumpulan yang menyampaikan satu peringatan buat mereka yang lupa dan lalai dengan kuasa. Kuasalah yang menjadikan mereka rakus menyiat nikmat-nikmat kurniaan Allah swt.

Ingatlah! Tempatkanlah diri kita di dalam kumpulan yang bertindak sebagai penasihat. Sekiranya kita berada dalam kumpulan yang lupa dan perlu kepada nasihat dan peringatan, terimalah segala teguran yang membina supaya kita tidak sesal kemudian hari. Ingatlah! Pesanlah saudara kita walaupun terpaksa syahid!

والله أعلم بالصواب

Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat

No comments:

Post a Comment