النظافة من الإيمان
Kebersihan itu sebahagian daripada iman.
Kata-kata hikmah ini (ia bukanlah hadith) sebenarnya perlu diterapkan dalam setiap aktiviti dan perkara yang berkaitan dengan agama kerana Allah sukakan benda-benda yang cantik, baik, dan bagus, dan kebersihan itu semestinya suatu perkara yang bagus dan baik. Perkara ini dinukilkan dalam sebuah hadith Nabi saw:
لا يدخل الجنة من كان في قلبه مثقال ذرة من كبر . قال رجل : إن الرجل يحب أن يكون ثوبه حسنا ونعله حسنة . قال : إن الله جميل يحب الجمال . الكبر بطر الحق وغمط الناس. أو كما قال
"Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar zarah (atom). Seorang lelaki bertanya: "(Bagaimana sekiranya) seorang lelaki menyukai baju dan seliparnya yang bagus?" Baginda menjawab: "Sesungguhnya Allah itu cantik, Dia menyukai setiap perkara yang cantik. Kesombongan adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia."
HR Muslim, Ahmad, dan al-Hakim
Maksudnya, Allah suka sekiranya kita berhias-hias dengan segala perhiasan yang ada, menggunakan sesuatu benda yang ternyata memiliki keselesaan dan branded, dan yang pastinya ia sedap pada mata yang memandangnya. Tentunya, kebersihan juga dikelaskan dalam kategori yang sama.
Yang menjadi masalah kepada saya ialah kelas sentiasa kotor, kotor dengan debu, pasir, dan sebagainya. Itu belum lagi ditambah dengan sampah yang 'dihasilkan' sendiri oleh murid-murid, lagi bertambah bersepah. Saya berfikir, kaedah apa yang boleh digunapakai untuk mengekalkan tahap kebersihan bilik darjah ke tahap yang optimum dalam jangka masa yang begitu sedikit.