Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

28 August 2016

Ke Terengganu Mencari Damai

"Ke mana?"
"Terengganu."

Ini kali keempat saya menjejakkan kaki ke Terengganu. Pertama kali ketika menghantar Kak Long mendaftar di ITM (kini UiTM) Dungun pada awal tahun 1995. Kali kedua ketika rombongan pelajar tingkatan 3 selepas kami selesai menduduki Penilaian Menengah Rendah, PMR. Kali terakhir pula ketika saya menjadi guru pengiring rombongan Sekolah Rendah Agama Desa Putra pada tahun 2010.

Bergambar kenangan ketika rombongan ke Terngganu, tahun 2010.
Perjalanan yang tidak mengikut perancangan asal ini diusahakan juga sehingga berjaya, walaupun saya terpaksa bergerak berseorangan dalam keadaan saya tidak mengetahui selok-belok keadaan di Terengganu.

Lebih tepat, saya ke Kuala Terengganu.

Pagi, seawal jam 5 pagi, bas Sani Ekspress dua tingkat yang saya naiki tiba di Terminal Bas Kuala Terengganu. Saya turun, melihat kiri dan kanan. Melihat suasana Kuala Terengganu dengan lebih jelas sebagai orang biasa, bukan sebagai pelancong.

Keadaan Bandaraya Kuala Terengganu yang agak tenang begitu menarik minat saya. Ia tidak sesebuk Kuala Lumpur yang saya fikir terlalu sesak dan sendat dengan manusia. Warganya masih mengekalkan identiti masyarakat Melayu-Islam Terengganu dalam seni bina dan penggunaan tulisan Jawi masih dikekalkan dalam kebanyakkan papan tanda dan iklan.

Besar terpampang "Allah Peliharalah Terengganu" di Bukit Besar. Sana-sini ucapan mendaulatkan Sultan Terengganu dinaikkan.

Tiada gedung membeli-belah selain Giant dan Mydin, tiada tempat lepak-lepak umpama MidValley dan IOI City Mall.

Tenang... Sungguh tenang.

Saya dibawa mengelilingi Kuala Terengganu dan kawasan sekitarnya, melihat damai kampung-kampung. Sungguh saya menyukainya, berbeza dengan keadaan di Lembah Kelang yang begitu sesak hingga menyesakkan. Sekalipun Sepang tempat saya berkhidmat juga turut merasai kesesakan kerana tempias pembangunan yang berlaku.

Ya, pembangunan itu perlu. Tetapi jika berterusan mencabul alam sekitar dengan rakus, dan memartabatkan budaya dan jenama asing atas alasan pembangunan dan kemajuan sehingga mengetepikan agama dan mengorbankan budaya setempat, pada saya ia bukanlah sesuatu yang berbaloi untuk dikorbankan.

Ya, Selangor Maju 2005. Tetapi majulah dengan roh Islam, dengan budaya yang terus dipertahankan.

Mungkin ini adalah hikmah terhadap 'penolakan' dan 'ketidakjadian' selama ini yang akhirnya membawa dan memperkenalkan saya kepada Kuala Terengganu. Semoga kali ini Allah berkati pertemuan ini.

Doakan saya agar Terengganu dekat di hati.

Namun, hidup perlu diteruskan juga. Saya perlu pulang berhadapan dengan segala 'kesesakan' yang 'menyesakkan'. Demi anak bangsa, sesak pun sesaklah. Kerana setiap itu ada nilai di sisi Allah.

Tinta mencoret: Terengganu Darul Iman...g

Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bentong PDM