Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

20 June 2016

Bonus Dan Tayar

Ramadhan Kareem.

Allahu Akram...!

Salam Ramadan 1437H.

Hari ni kakitangan Kerajaan Negeri Selangor. Kenapa ya...?
Alhamdulillah, hari ini (Isnin, 20 Jun 2016), Dato' Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Mohamad Azmin bin Ali mengumumkan tiga inisiatif kepada penjawat awam Kerajaan Negeri Selangor.

Tiga inisiatif tersebut ialah: bonus gaji 1.5 bulan yang akan dibayar pada 1 Julai 2016; kenaikan gaji sebanyak dua kali yang akan bermula Julai ini; dan kenaikan elaun perumahan untuk kakitangan Gred 41 ke bawah daripada RM180 kepada RM300 sebulan.

Alhamdulillah, rezeki lebih untuk Raya.
Tiga inisiatif ini diumumkan selaras dengan tema kerajaan "Membangun Smart Selangor Yang Peduli" yang mana kerajaan 'ingin' memulangkan semula hasil mahsul yang diperoleh kerajaan kepada rakyat untuk rakyat Selangor.

Pengumuman ini dibuat selepas Kerajaan Negeri berjaya mengutip RM 1.65 bilion, melepasi separuh daripada sasaran unjuran dalam Belanjawan 2016 Negeri Selangor.

Selain itu juga, rizab negeri pula melonjak daripada RM 3.6 bilion kepada RM 4.034 bilion pada 16 Jun 2016.

Semua ini nikmat kelebihan daripada Tuhan.

Jangan ditanya mengapa rakyat Selangor senyum hingga ke pipi.
Cerita pasal pemberian bonus, tanpa diduga, ketika dalam perjalanan ke sekolah, tayar kereta saya pecah. Eh, dia pun macam 'tahu' je saya akan menerima pemberian tu.

Semua itu dugaan daripada Allah.

Tayar pecah, perlu diganti.
Orang bertakwa itu belum dikira bertakwa sehinggakan dia diuji.

Ujian tayar pecah ni sikit je berbanding ujian yang Allah turunkan buat ulama-ulama silam, sehingga mempertaruhkan jiwa dan raga mereka untuk mempertahankan Islam. Walaupun kecil, mudah-mudahan ia mampu mendidik jiwa ini supaya bersabar, lebih-lebih lagi ketika berpuasa dan di bawah terik mentari. Fuh...

Tinta mencoret: Tahniah Selangor. Moga berkekalan Rahmat daripada Allah.

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP
via Asus Zenfone 4

12 June 2016

Lelaki, Jagalah Auratmu

Ramadhan Kareem.
Allahu Akram...!

Salam Ramadan 1437H

Aurat.

Bila cerita bab aurat, kita gemar menyalahkan kaum Hawa, kononnya mereka liat dalan melaksanakan ibadah tersebut.

Haa... Kan segak bergaya bila dah tutup aurat.
Dari kiri: Danial Ariff, Amin Hakim, Arif Syazani, dan Ashryl Haqiem.
Namun, sedarkah kita bahawa kaum Adamlah yang paling liat untuk menutup aurat berbanding kaum Hawa?

Mengapa saya katakan demikian?

Sebelum itu,  mari kita sama-sama buat sedikit ulangkaji berkaitan dengan aurat.

Perkataan "aurat" (عورة) berasal daripada perkataan "'ara" (عار) yang bermaksud malu atau aib.

Secara ringkasnya, aurat ialah bahagian anggota badan yang wajib ditutup atau disembunyikan daripada pandangan orang lain.

Bagi lelaki, aurat yang perlu ditutup daripada pandangan orang lain ialah bermula dari pusat sehingga ke lutut. Anggota-anggota yang perlu ditutup oleh kaum lelaki ialah pusat, lutut, betis,... eh perlu dinyatakan satu persatu ke...?

Manaka bagi wanita pula, auratnya ialah keseluruhan tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan.

Terbaru, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) melaksanakan Ops Ramadan dan Aurat bagi mengesan dan menahan pesalah yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan berpakaian tidak menutup aurat, ketat, selain tidak berpuasa secara terang-terangan.

Tahniah diucapkan buat JAHEIK dan Kerajaan Kelantan yang begitu bersungguh-sungguh dalam menghidupkan suasana Islami ke atas rakyat dan negeri Kelantan. Semoga Allah merahmati dan memberkati usaha kalian.

Namun, sedarkah kita bahawa kita terlalu tertumpu kepada kaum Hawa dalam menegur mereka agar menutup aurat dengan sempurna, bahkan ada sebahagian daripada kita mengambil pendekatan mengutuk, menghina, bahkan memulau wanita-wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna.

Terlampaunya kita melihat 'kesalahan' wanita yang tidak bertudung dan berseluar ketat ini akhirnya mengelabukan sebahagian daripada kita khususnya para lelaki dalam membaiki kelemahan dan kesalahan kita dalam menutup aurat.

Aurat lelaki 'lebih sedikit', hanya kawasan bermula pusat sehingga lutut berbanding wanita yang perlu menutup sebahagian besar daripada tubuh badannya.

Akan tetapi, para lelaki 'tidak mampu' menutupnya dengan sempurna berbanding wanita yang pada saya saban hari berusaha menutupnya dengan lebih baik.

Di sini, saya senaraikan beberapa waktu yang mana sang lelaki begitu mengabaikan aurat mereka.

RIADAH

Pasukan Futsal 5 Ibnu Bathutah 2014 yang diketuai oleh ketua kelas, Ahmad Shafie (berbaju jingga).
Waktu ketika yang paling kerap lelaki tidak menjaga aurat mereka dengan sempurna adalah ketika bersukan.

Baik yang budak, remaja, hinggalah ke pakcik pakcik, ramai di kalangan mereka yang gemar sangat memakai seluar pendek ketika bersukan. Antara alasan yang pernah diberikan mereka  adalah kerana ia memudahkan pergerakan mereka. Iyolah...

Walau bagaimanapun, itu bukanlah satu alasan yang kukuh untuk membenarkan kita membuka aurat.

Nak menang, biar menang dunia-akhirat.
Gambar dari Lebai Google.
MANDI

Di sini, saya nak bahagikan kepada dua, sama ada mandi di tempat awam atau mandi di tempat tertutup.

Mandi di tempat awam adalah seperti di pantai, sungai, kolam, atau mungkin di taman tema air. Manakala tempat tertutup pula seperti di asrama. Mungkin ada contoh lain.

Tak mau kata banyak, cuma perhatikan tuala (jika memakai tuala), pakaian renang, atau kain basahan yang dipakai itu, adakah ia menampakkan pusat, ataupun lutut, ataupun apa yang terdapat di antara keduanya? Sekiranya ya, maknanya, aurat itu tidak dijaga sempurna.

Contohlah budak-budak yang nak bersunat, walau pun mereka akan menanggalkan seluar mereka di hadapan mudim, tapi mereka tetap 'sopan' menutup aurat ketika mandi.
Sumber gambar dari Lebai Google.
RUMAH ATAU ASRAMA

Setiap kali saya memberikan penerangan kepada murid-murid saya, seringkali saya menekankan kepada mereka akan aurat ketika berada di rumah.

Setiap kali penerangan diberikan, akan pasti ada yang bermuka terkejut...

"Walau dengan keluarga sendiri?" (Tanya mereka)
"Ya, walau dengan keluarga sendiri."
"Abang sendiri?"
"Ya, dengan abang sendiri pun kita kena tutup aurat."
"Tapi abang saya lelaki."
"Ya, takkan kamu nak bogel je depan dia...?"(kadang-kadang kena jawab secara begitu dengan mereka buat mereka berfikir sikit...)
"Tapi kan, ustaz, saya sebilik dengan abang saya, dia selalu pakai boxer dalam bilik..."
"Er..."
Intipati dialog di atas adalah berdasarkan pengalaman saya ketika memberi penerangan.

Hensem Aaron Aziz pakai baju menutup aurat di rumah.
Jadilah seperti Aaron Aziz.
Aurat sesama lelaki tetap pusat hingga ke lutut, tidak berubah. Tidak seperti aurat  wanita yang berbeza sedikit antara sesama wanita dengan  lelaki ajnabi.

Walaupun kita berada di rumah, aurat tetap perlu ditutup. Di bilik-bilik asrama, aurat tetap perlu ditutup. Bukan boleh percaya kawan-kawan lelaki di dalam bilik asrama tu, dalam diam dia tengok roomate dia pakai boxer, habis naik 'adik' dia. Akhirnya, naluri songsang akan terangsang, korang juga yang meremang.

Haa... Tidur la macam tu.
Setan suka orang yang tak reti nak jaga aurat ni.
Ini antara situasi yang mana saya lihat lelaki khususnya begitu sukar untuk menutup aurat. Waktu-waktu lain memang ada yang pakai seluar pendek  pergi shopping mall tapi tu saya anggap sebagai lelaki pendedah aurat tegar.

Saya lelaki. Pesanan ini buat semua lelaki yang ada termasuk diri saya. Kita selalu tuding jari terhadap wanita yang tidak menutup aurat, tidak bertudung, berpakaian ketat, dan sebagainya sedangkan kita sendiri gagal dalam menjaga aurat yang takde la besar mana pun yang perlu di tutup.

Nak dalil ke...? Tak perlulah. Kewajipan menutup aurat tu ma'ruf, diketahui ramai.

Ingat...
Mendedahkan aurat itu dosa besar.
Dan pelaku dosa besar menjadi fasiq.
Dan seorang yang fasiq itu tidak layak menjadi wali.
Dan seorang yang fasiq itu kelak selayaknya di Neraka.

Tinta mencoret: Lelaki, jagalah auratmu.

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP 
via Asus Zenfone 4

05 June 2016

Kempen Sepak Side Mirror

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu mengumumkan bahawa umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa pada 6 Jun 2016 (Isnin).

Ini bermakna, bila yang mulia, bulan Ramadan datang bertamu lagi.

Buat semua umat Islam khususnya di Malaysia, saya mengucapkan selamat menjalani ibadah

Ramadhan Kareem.
Allahu Karam!

Baru-baru ini, berlegar-legar di laman sesawang tentang satu kempen menyepak cermin sisi atau side mirror kereta yang dipandu di lorong kecemasan, kereta yang memotong barisan, kereta yang tidak memberikan lampu isyarat ketika mengubah lorong, dan kereta yang diletakkan di garisan kuning.

Secara umumnya, saya tidak bersetuju jika pemandu kereta memandu seperti itu.

Namun, tindakan pihak yang mencetuskan idea kempen ini juga tidak wajar untuk di sokong.

MENGAPA?

Pertama, mereka telah menyalahi Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana berlaku khianat. Khianat dengan melakukan kerosakan terhadap harta individu lain.

Kedua, bayangkanlah kalau pemilik kereta tersebut merupakan seorang samseng atau ahli kongsi gelap, tak rasa takut ke kalau-kalau mereka akan mencari si menyepak tersebut, mungkin mereka mengesan melalui nombor plat motor...

Bukan tak pernah berlaku, samseng mencari sampai ke lubang cacing hanya kerana di hon...

Ketiga, kalaulah tetiba ketika menyepak cermin sisi itu, pemandu kereta tersebut bertindak menghimpit (mungkin kerana terdapat sedikit ruang) menyebabkan si penyepak terjatuh atau terbabas, mungkin lebih malang lagi dilenyek tayar kereta berkenaan atau kenderaan lain...? Lagi bertambah menyusahkan orang lain.

Keempat, kalaulah si penyepak tersebut menyepak, tindakan menyepak itu membuatkan dia hilang imbangan, dan terbabas atau terjatuh, baamm...! Pun menyusahkan orang lain juga.

Saya tidak membela pemandu kereta yang bertindak tidak beretika dalam memandu, tetapi cara untuk kita membanteras mereka mengikut emosi adalah satu TINDAKAN YANG SALAH.

Tindakan yang sebetulnya, kita serahkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan JPJ dalam menegakkan undang-undang. Atau kita membantu mereka dengan membekalkan gambar yang jelas atau video HD bagi membantu mereka membuat tindakan yang selaras undang-undang. Kita pun selamat, tidak jatuh, tidak tergolek, dan tidak dicari sekiranya kita 'ter'berhadapan dengan samseng.

Dan perlu diingat, video tentang penunggang motosikal yang menyepak cermin sisi kereta yang melalui lorong kecemasan itu juga melakukan satu kesalahan lain: menunggang di lorong kecemasan. Bukan sahaja kereta, malah motosikal juga dilarang daripada menggunakan lorong kecemasan. Ibarat ketam mengajar anak berjalan lurus. Dia pun tak betul.

Bukan semua kezaliman dan kesalahan orang lain itu perlu dibalas dengan kejahatan. Dan Rasulullah Sallallahu 'Alayhi wasallam sentiasa menunjukkan akhlak yang baik ketika berhadapan dengan golongan yang selalu berbuat jahat terhadap Baginda, dan membalas kelakuan buruk mereka dengan kemaafan.
Dibaling batu dibalas buah.

Jangan tunjuk akhlak tidak baik itu. Apatah lagi ketika kita sedang berada dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Hentikan kempen yang tidak berakhlak ini. Kita suruh orang beretika tetapi kita sendiri yang tidak beretika, berlagak samseng dalam membetulkan orang lain.

Tinta mencoret: Matlamat tidak menghalalkan cara.

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP
via Zenfone 4