Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

31 December 2016

Saya Dah Maafkan Kamu. Eh?

"Semua saya dah maaf dan halalkan. InsyaAllah ada masa jumpa lagi."

Ini ayat tak nak mengaku salah.

Biasakan menggunakan ayat "memohon maaf" , daripada kita menggunakan ayat "memberi maaf" ketika berpisah.

Sebab kita tak tahu berapa banyak dosa kita terhadap orang lain.

25 December 2016

Masuk Kandang Kambing, Mengembeklah

Mengikut Mazhab asy-Syafi'e, bacaan Doa Qunut ketika Solat Fardhu Subuh adalah sunat ab'adh (hampir kepada wajib) dan amat-amatlah dituntut untuk melaksanakannya.

Walau bagaimanapun, Imam asy-Syafi'e Rahimahullahu 'anhu yang menjadi asas kepada pemikiran mazhab ini pernah meninggalkan sekali bacaan Qunut ketika Solat Subuh, sedangkan beliau sendiri secara konsisten melaksanakannya dan meyakini setiap ijtihad yang dikeluarkannya berdasarkan dalil yang kuat.

Bacaan Qunut ini ditinggalkan ketika beliau mengimamkan Solat Fardhu Subuh di Kota Baghdad.

Mengapa beliau meninggalkannya?


23 December 2016

Bumi Dipijak, Langit Didongak

Hidup perlu bermasyarakat.

Dalam bermasyarakat itu, pastinya kita perlu menerima kelemahan orang lain sebagaimana kekurangan kita ditampung mereka.

Dan perlu untuk kita memahami akan kekurangan saudara kita, supaya kita tidak sentiasa berjalan mendongak ke langit, tanpa menghiraukan rumput dan tanah yang dipijak.

Dan perlu diingatkan, tanpa rumput dan tanah itu, tidak mungkin untuk kita berjalan dengan mendada. Langit yang dipandang itu pastinya tidak akan membantu tika terjatuh melainkan rumput dan tanah yang dipijak itulah yang akan menyambut.

17 December 2016

Agong Menunjuk-nunjuk Solat Di Masjid (?)

13 tahun Rasulullah berdakwah membina nilai Aqidah dalam diri para sahabat di Makkah. Bila sudah mantap, baru Baginda beralih kepada pembentukan masyarakat, bermula daripada akhlak, budaya, sehinggalah kepada ekonomi dalam fasa kedua; 10 tahun di Madinah.

Kejayaan Rasulullah menanamkan keyakinan yang cukup tinggi kepada Allah membuatkan setiap wahyu yang diturunkan seterusnya mudah diserap dalam masyarakat. Kuncinya adalah KEIMANAN.

Namun, apabila manusia mula menukar kiblatnya daripada berkiblatkan Allah Yang Esa, maka masalah akan mula timbul, bermula daripada kerosakan akhlak sehinggalah kepada masalah ekonomi yang melanda.

Tiada masalah jika KBDYMM YDPA bersolat jemaah dengan jubah dan ketayap baginda selagi mana itu satu kebaikan. Dan Baginda YDPA, pada hemat saya, sudah menunjukkan satu contoh ikutan yang baik buat Rakyat jelata akan kepentingan menjaga hubungan dengan Allah sebelum berhadapan dengan masalah dan ujian atas muka bumi ini.

12 December 2016

Moana Konspirasi Dajjal (?)

Eh, kalau konspirasi Dajjal sekalipun, baguslah. Mereka ingatkan kita yang kita ni dah akhir zaman. Nak harapkan korang sedar hasil daripada ceramah agama, memang taklah. Khatib Jumaat tu berbuih mulut 'baca' teks khutbah Jumaat, korang sedap je tidur kat belakang, nak datang ceramah agama, jauh panggang dari api.

Kalau betul filem Moana itu konspirasi Dajjal sekalipun, Dajjal itu tetap akan keluar. Sebilangan besar daripada kita tetap akan ikut dia. Tiada siapa yang dapat menghalang Dajjal daripada memperdaya kita kecuali amalan kita sendiri.

05 September 2016

Enam Jam Itu Tidak Cukup

Kereta dihidupkan. Jam menunjukkan pukul 6.15 minit pagi. Saya melihat ke arah papan pemuka kereta, menanti masa enjin menjadi sedikit panas sebelum bergerak.

Batang gear ditolak ke arah gear satu, brek tangan pula diturunkan, dan kemudian pedal ditekan. Kereta Viva yang diparkir di hadapan rumah bergerak meninggalkan tempat ia ditinggalkan semalaman.

Saya memandu keluar dari arah Hulu Kelang menyusuri Jalan Lingkaran Luar 2 yang sedia maklum oleh warga Kuala Lumpur sebagai salah satu jalan utama yang begitu sesak, bukan sahaja pada waktu puncak, juga pada waktu malam dan hujung minggu.

Pemanduan saya agak santai, kerana tidak perlu bersesak-sesak dengan pengguna jalan raya yang lain.

Perjalanan sejauh lebih kurang 65 kilometer ke sekolah melalui Putrajaya dan Jenderam mengambil masa lebih kurang satu jam, jika tidak menempuh kesesakan jalan raya.

Walaupun saya bertugas pada sesi petang, namun saya merasakan perlunya saya hadir dengan lebih awal. Tugasan yang boleh dikatakan terlalu banyak melebihi daripada waktu bertugas menjadi satu sebab peribadi saya untuk hadir dengan lebih awal.
Suatu ketika dahulu di dalam sebuah bilik mesyuarat.
Waktu bertugas kami hanyalah lima jam, bermula jam 1.00 tengah hari sehingga 6.00 petang. Tiga jam daripadanya, bermula 2.30 petang sehingga 5.30 petang adalah waktu PdP, waktu pembelajaran di dalam bilik darjah. Maka berbaki dua jam untuk melaksanakan RPH, menanda buku, menyiapkan fail, kelas tambahan, kelas Iqra' dan sebagainya.

Itu belum lagi sekiranya ada tugas-tugas 'khas' yang mengiringi tugas-tugas hakiki.

"Syahmi, tolong fotostatkan sepuluh salinan."
"Syahmi, macam mana nak edit surat ni?"
"Syahmi, e-mailkan kepada PAID (pejabat agama daerah)."
"Syahmi, hantar buku kedatangan, akak nak hantar riten."
"Syahmi, tolong pasang bendera."
"Syahmi, tengokkan akaun e-Spek akak ni, tak boleh nak masuk."
"Syahmi, hari ni ada mesyuarat, uruskan kelas-kelas."
"Syahmi...!"

Secara peribadi, saya suka apabila saya menjadi tumpuan, saya dipanggil untuk membantu tugas, atau apa sahaja pertolongan berkaitan kerja ketika di tempat kerja. Tugas atau bentuan seperti ini menjadikan kehadiran saya di tempat kerja dihargai sebaiknya.



Namun, tugasan tambahan seperti ini menjadikan kerja yang sedia ada, ada kalanya menjadi tertunggak.

Itu belum lagi campur masa yang dihabiskan ketika 'sesi menggosip', waktu solat, makan, main fon, bisnes online, dan sebagainya yang tiada kena-mengena dengan tugas.

Akhirnya, fail-fail terbengkalai untuk disiapkan, keceriaan tidak dapat dilaksanakan. Kerja yang terhasil pula rendah kualitinya akibat dilaksanakan secara tergesa-gesa dan last minute.

Akan hilanglah keberkatan dalam hasil gaji yang diterima sekiranya dalam tempoh bertugas, kita disebukkan dengan perbuatan yang tiada kena-mengena dengan kerja yang diamanahkan untuk kita laksanakannya.

Langkah terbaik, saya melebihkan masa bertugas saya dua ke tiga jam sehari secara purata, bertujuan untuk menggantikan masa yang dibazirkan dengan perbuatan yang tidak berkaitan.


Namun, terbaru, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N. Gopal Krishnam dilapor meminta kerajaan mempertimbangkan untuk mengurang masa bekerja kepada enam jam sehari. Alasannya, melihat kepada negara Sweden yang melaksanakannya.


Secara peribadi, saya kurang bersetuju dengan cadangan tersebut walaupun ia dapat memberikan kelebihan kepada penjawat awam itu sendiri.

Sekiranya waktu 8 jam bertugas itu sendiri pun, masyarakat merungut tentang teruk dan lembapnya khidmat yang penjawat awam berikan walaupun saya yakin, sebahagian besarnya bukan salah pejawat awam tersebut, inikan pula mahu dikurangkan pula masa bertugas.



Entah la nak... Tak tahulah nak kata apa...

Teringat pula saya kepada satu kata-kata menyebut,
“Ask not what your country can do for you; ask what you can do for your country.”
John F. Kennedy

Tinta mencoret: Apa sumbangan kita kepada Negara?

SRA Giching, Sepang SDE

04 September 2016

Koleksi Rakan Bisu

http://jacquelineteo.com/time-to-look-for-another-job/
Mata membulat, melihat skrin komputer riba yang terpasang.

Laman sesawang Facebook diakses masuk. Kelihatan begitu ramai yang sedang berada di atas talian.

Daripada berpuluh-puluh nama yang tertera di skrin, hanya sedikit sahaja yang saya kenal di alam nyata, mungkin dalam tak sampai sepuluh peratus. Selebihnya hanya sekadar memenuhi senarai rakan Facebook sahaja.

Hati kecil berkata, tiada berguna jika senarai itu hanya hiasan tanpa dikenal siapakah yang berada di sebalik nama tersebut.

Sentiasa saya gagahkan diri untuk menyapa mereka yang nama akaunnya tertera di situ. Daripada puluhan yang saya hantar mesej, hanya sebahagian kecil sahaja yang membalasnya.

Sibuk, mungkin.

Tidak mungkin sibuk kalau statusnya kerap dikemaskini, gambar pula sering dimuatnaik.

Anggaplah seperti mesej tersebut semacam satu gangguan kepada mereka.


Manusia kini hanya dengan dunia mereka sendiri, lebih selesa berada dalam kelompok mereka tanpa cuba untuk keluar darinya.

"Aku Orang Kaya, mana layak nak berkawan dengan kau."
"Aku Alim. Kau pula fasik, ahli Neraka. Pergi jauh-jauh."
"Aku Bijak, kau bodoh. Ade hati nak kawan dengan aku."
"Aku Melayu, kau tu keling. Berambus...!"
"Kau siapa? Tetiba je menyemak..."

Oh, sungguh hina manusia yang mementingkan darjat dan meletakkan insan lain dalam kasta-kasta.

Bukankah Allah telah berfirman,
http://www.sacred-texts.com/isl/quran/04902.htm
"Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa (bukan sebab keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Lagi Maha Dalam Pengetahuan-Nya."

Itu dulu. Kini, aktiviti di alam maya dikurangkan. Saya cuba melangkah keluar, berhadapan dan 'berkenalan' dengan manusia dalam alam nyata, 'bermain' dengan 'benda hidup', daripada berinteraksi dengan nyalaan skrin dan bunyi audio yang bersifat 'mati'.

Berkenalanlah dengan semua manusia, sama ada setaraf mahupun tidak, mulia ataupun hina. Di situ kita akan dapat satu anugerah Allah yang akhirnya menjadikan kita semakin bersyukur dan semakin bersabar.


Rasulullah Sallallahu `Alayhi Wasallam pernah bersabda:
 تطعم الطعام وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرف أو كما قال
"Berilah makan dan ucapkanlah salam kepada mereka yang kamu kenal dan juga yang kamu tidak kenal."
HR al-Bukhari

Jangan jadi sombong. 'Menyautlah' sapaan orang lain.
Jangan jadi sombong. Bertegurlah dengan Salam.
Jangan hanya tahu menambah koleksi rakan maya, namun hanya membisu dengan koleksi tersebut.

Bergambar dengan pengantin, Arif Abd Aziz dengan pasangan. Ni antara individu yang saya muka kenal melalui medium maya yang pada mulanya berurusan berkaitan investment yang akhirnya menjadi sahabat. Maaf muka agak berserabut.
Tinta mencoret: Tebarkanlah Salam antara kita...

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP

28 August 2016

Ke Terengganu Mencari Damai

"Ke mana?"
"Terengganu."

Ini kali keempat saya menjejakkan kaki ke Terengganu. Pertama kali ketika menghantar Kak Long mendaftar di ITM (kini UiTM) Dungun pada awal tahun 1995. Kali kedua ketika rombongan pelajar tingkatan 3 selepas kami selesai menduduki Penilaian Menengah Rendah, PMR. Kali terakhir pula ketika saya menjadi guru pengiring rombongan Sekolah Rendah Agama Desa Putra pada tahun 2010.

Bergambar kenangan ketika rombongan ke Terngganu, tahun 2010.
Perjalanan yang tidak mengikut perancangan asal ini diusahakan juga sehingga berjaya, walaupun saya terpaksa bergerak berseorangan dalam keadaan saya tidak mengetahui selok-belok keadaan di Terengganu.

Lebih tepat, saya ke Kuala Terengganu.

Pagi, seawal jam 5 pagi, bas Sani Ekspress dua tingkat yang saya naiki tiba di Terminal Bas Kuala Terengganu. Saya turun, melihat kiri dan kanan. Melihat suasana Kuala Terengganu dengan lebih jelas sebagai orang biasa, bukan sebagai pelancong.

Keadaan Bandaraya Kuala Terengganu yang agak tenang begitu menarik minat saya. Ia tidak sesebuk Kuala Lumpur yang saya fikir terlalu sesak dan sendat dengan manusia. Warganya masih mengekalkan identiti masyarakat Melayu-Islam Terengganu dalam seni bina dan penggunaan tulisan Jawi masih dikekalkan dalam kebanyakkan papan tanda dan iklan.

Besar terpampang "Allah Peliharalah Terengganu" di Bukit Besar. Sana-sini ucapan mendaulatkan Sultan Terengganu dinaikkan.

Tiada gedung membeli-belah selain Giant dan Mydin, tiada tempat lepak-lepak umpama MidValley dan IOI City Mall.

Tenang... Sungguh tenang.

Saya dibawa mengelilingi Kuala Terengganu dan kawasan sekitarnya, melihat damai kampung-kampung. Sungguh saya menyukainya, berbeza dengan keadaan di Lembah Kelang yang begitu sesak hingga menyesakkan. Sekalipun Sepang tempat saya berkhidmat juga turut merasai kesesakan kerana tempias pembangunan yang berlaku.

Ya, pembangunan itu perlu. Tetapi jika berterusan mencabul alam sekitar dengan rakus, dan memartabatkan budaya dan jenama asing atas alasan pembangunan dan kemajuan sehingga mengetepikan agama dan mengorbankan budaya setempat, pada saya ia bukanlah sesuatu yang berbaloi untuk dikorbankan.

Ya, Selangor Maju 2005. Tetapi majulah dengan roh Islam, dengan budaya yang terus dipertahankan.

Mungkin ini adalah hikmah terhadap 'penolakan' dan 'ketidakjadian' selama ini yang akhirnya membawa dan memperkenalkan saya kepada Kuala Terengganu. Semoga kali ini Allah berkati pertemuan ini.

Doakan saya agar Terengganu dekat di hati.

Namun, hidup perlu diteruskan juga. Saya perlu pulang berhadapan dengan segala 'kesesakan' yang 'menyesakkan'. Demi anak bangsa, sesak pun sesaklah. Kerana setiap itu ada nilai di sisi Allah.

Tinta mencoret: Terengganu Darul Iman...g

Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bentong PDM

20 June 2016

Bonus Dan Tayar

Ramadhan Kareem.

Allahu Akram...!

Salam Ramadan 1437H.

Hari ni kakitangan Kerajaan Negeri Selangor. Kenapa ya...?
Alhamdulillah, hari ini (Isnin, 20 Jun 2016), Dato' Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Mohamad Azmin bin Ali mengumumkan tiga inisiatif kepada penjawat awam Kerajaan Negeri Selangor.

Tiga inisiatif tersebut ialah: bonus gaji 1.5 bulan yang akan dibayar pada 1 Julai 2016; kenaikan gaji sebanyak dua kali yang akan bermula Julai ini; dan kenaikan elaun perumahan untuk kakitangan Gred 41 ke bawah daripada RM180 kepada RM300 sebulan.

Alhamdulillah, rezeki lebih untuk Raya.
Tiga inisiatif ini diumumkan selaras dengan tema kerajaan "Membangun Smart Selangor Yang Peduli" yang mana kerajaan 'ingin' memulangkan semula hasil mahsul yang diperoleh kerajaan kepada rakyat untuk rakyat Selangor.

Pengumuman ini dibuat selepas Kerajaan Negeri berjaya mengutip RM 1.65 bilion, melepasi separuh daripada sasaran unjuran dalam Belanjawan 2016 Negeri Selangor.

Selain itu juga, rizab negeri pula melonjak daripada RM 3.6 bilion kepada RM 4.034 bilion pada 16 Jun 2016.

Semua ini nikmat kelebihan daripada Tuhan.

Jangan ditanya mengapa rakyat Selangor senyum hingga ke pipi.
Cerita pasal pemberian bonus, tanpa diduga, ketika dalam perjalanan ke sekolah, tayar kereta saya pecah. Eh, dia pun macam 'tahu' je saya akan menerima pemberian tu.

Semua itu dugaan daripada Allah.

Tayar pecah, perlu diganti.
Orang bertakwa itu belum dikira bertakwa sehinggakan dia diuji.

Ujian tayar pecah ni sikit je berbanding ujian yang Allah turunkan buat ulama-ulama silam, sehingga mempertaruhkan jiwa dan raga mereka untuk mempertahankan Islam. Walaupun kecil, mudah-mudahan ia mampu mendidik jiwa ini supaya bersabar, lebih-lebih lagi ketika berpuasa dan di bawah terik mentari. Fuh...

Tinta mencoret: Tahniah Selangor. Moga berkekalan Rahmat daripada Allah.

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP
via Asus Zenfone 4

12 June 2016

Lelaki, Jagalah Auratmu

Ramadhan Kareem.
Allahu Akram...!

Salam Ramadan 1437H

Aurat.

Bila cerita bab aurat, kita gemar menyalahkan kaum Hawa, kononnya mereka liat dalan melaksanakan ibadah tersebut.

Haa... Kan segak bergaya bila dah tutup aurat.
Dari kiri: Danial Ariff, Amin Hakim, Arif Syazani, dan Ashryl Haqiem.
Namun, sedarkah kita bahawa kaum Adamlah yang paling liat untuk menutup aurat berbanding kaum Hawa?

Mengapa saya katakan demikian?

Sebelum itu,  mari kita sama-sama buat sedikit ulangkaji berkaitan dengan aurat.

Perkataan "aurat" (عورة) berasal daripada perkataan "'ara" (عار) yang bermaksud malu atau aib.

Secara ringkasnya, aurat ialah bahagian anggota badan yang wajib ditutup atau disembunyikan daripada pandangan orang lain.

Bagi lelaki, aurat yang perlu ditutup daripada pandangan orang lain ialah bermula dari pusat sehingga ke lutut. Anggota-anggota yang perlu ditutup oleh kaum lelaki ialah pusat, lutut, betis,... eh perlu dinyatakan satu persatu ke...?

Manaka bagi wanita pula, auratnya ialah keseluruhan tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan.

Terbaru, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) melaksanakan Ops Ramadan dan Aurat bagi mengesan dan menahan pesalah yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan berpakaian tidak menutup aurat, ketat, selain tidak berpuasa secara terang-terangan.

Tahniah diucapkan buat JAHEIK dan Kerajaan Kelantan yang begitu bersungguh-sungguh dalam menghidupkan suasana Islami ke atas rakyat dan negeri Kelantan. Semoga Allah merahmati dan memberkati usaha kalian.

Namun, sedarkah kita bahawa kita terlalu tertumpu kepada kaum Hawa dalam menegur mereka agar menutup aurat dengan sempurna, bahkan ada sebahagian daripada kita mengambil pendekatan mengutuk, menghina, bahkan memulau wanita-wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna.

Terlampaunya kita melihat 'kesalahan' wanita yang tidak bertudung dan berseluar ketat ini akhirnya mengelabukan sebahagian daripada kita khususnya para lelaki dalam membaiki kelemahan dan kesalahan kita dalam menutup aurat.

Aurat lelaki 'lebih sedikit', hanya kawasan bermula pusat sehingga lutut berbanding wanita yang perlu menutup sebahagian besar daripada tubuh badannya.

Akan tetapi, para lelaki 'tidak mampu' menutupnya dengan sempurna berbanding wanita yang pada saya saban hari berusaha menutupnya dengan lebih baik.

Di sini, saya senaraikan beberapa waktu yang mana sang lelaki begitu mengabaikan aurat mereka.

RIADAH

Pasukan Futsal 5 Ibnu Bathutah 2014 yang diketuai oleh ketua kelas, Ahmad Shafie (berbaju jingga).
Waktu ketika yang paling kerap lelaki tidak menjaga aurat mereka dengan sempurna adalah ketika bersukan.

Baik yang budak, remaja, hinggalah ke pakcik pakcik, ramai di kalangan mereka yang gemar sangat memakai seluar pendek ketika bersukan. Antara alasan yang pernah diberikan mereka  adalah kerana ia memudahkan pergerakan mereka. Iyolah...

Walau bagaimanapun, itu bukanlah satu alasan yang kukuh untuk membenarkan kita membuka aurat.

Nak menang, biar menang dunia-akhirat.
Gambar dari Lebai Google.
MANDI

Di sini, saya nak bahagikan kepada dua, sama ada mandi di tempat awam atau mandi di tempat tertutup.

Mandi di tempat awam adalah seperti di pantai, sungai, kolam, atau mungkin di taman tema air. Manakala tempat tertutup pula seperti di asrama. Mungkin ada contoh lain.

Tak mau kata banyak, cuma perhatikan tuala (jika memakai tuala), pakaian renang, atau kain basahan yang dipakai itu, adakah ia menampakkan pusat, ataupun lutut, ataupun apa yang terdapat di antara keduanya? Sekiranya ya, maknanya, aurat itu tidak dijaga sempurna.

Contohlah budak-budak yang nak bersunat, walau pun mereka akan menanggalkan seluar mereka di hadapan mudim, tapi mereka tetap 'sopan' menutup aurat ketika mandi.
Sumber gambar dari Lebai Google.
RUMAH ATAU ASRAMA

Setiap kali saya memberikan penerangan kepada murid-murid saya, seringkali saya menekankan kepada mereka akan aurat ketika berada di rumah.

Setiap kali penerangan diberikan, akan pasti ada yang bermuka terkejut...

"Walau dengan keluarga sendiri?" (Tanya mereka)
"Ya, walau dengan keluarga sendiri."
"Abang sendiri?"
"Ya, dengan abang sendiri pun kita kena tutup aurat."
"Tapi abang saya lelaki."
"Ya, takkan kamu nak bogel je depan dia...?"(kadang-kadang kena jawab secara begitu dengan mereka buat mereka berfikir sikit...)
"Tapi kan, ustaz, saya sebilik dengan abang saya, dia selalu pakai boxer dalam bilik..."
"Er..."
Intipati dialog di atas adalah berdasarkan pengalaman saya ketika memberi penerangan.

Hensem Aaron Aziz pakai baju menutup aurat di rumah.
Jadilah seperti Aaron Aziz.
Aurat sesama lelaki tetap pusat hingga ke lutut, tidak berubah. Tidak seperti aurat  wanita yang berbeza sedikit antara sesama wanita dengan  lelaki ajnabi.

Walaupun kita berada di rumah, aurat tetap perlu ditutup. Di bilik-bilik asrama, aurat tetap perlu ditutup. Bukan boleh percaya kawan-kawan lelaki di dalam bilik asrama tu, dalam diam dia tengok roomate dia pakai boxer, habis naik 'adik' dia. Akhirnya, naluri songsang akan terangsang, korang juga yang meremang.

Haa... Tidur la macam tu.
Setan suka orang yang tak reti nak jaga aurat ni.
Ini antara situasi yang mana saya lihat lelaki khususnya begitu sukar untuk menutup aurat. Waktu-waktu lain memang ada yang pakai seluar pendek  pergi shopping mall tapi tu saya anggap sebagai lelaki pendedah aurat tegar.

Saya lelaki. Pesanan ini buat semua lelaki yang ada termasuk diri saya. Kita selalu tuding jari terhadap wanita yang tidak menutup aurat, tidak bertudung, berpakaian ketat, dan sebagainya sedangkan kita sendiri gagal dalam menjaga aurat yang takde la besar mana pun yang perlu di tutup.

Nak dalil ke...? Tak perlulah. Kewajipan menutup aurat tu ma'ruf, diketahui ramai.

Ingat...
Mendedahkan aurat itu dosa besar.
Dan pelaku dosa besar menjadi fasiq.
Dan seorang yang fasiq itu tidak layak menjadi wali.
Dan seorang yang fasiq itu kelak selayaknya di Neraka.

Tinta mencoret: Lelaki, jagalah auratmu.

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP 
via Asus Zenfone 4

05 June 2016

Kempen Sepak Side Mirror

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu mengumumkan bahawa umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa pada 6 Jun 2016 (Isnin).

Ini bermakna, bila yang mulia, bulan Ramadan datang bertamu lagi.

Buat semua umat Islam khususnya di Malaysia, saya mengucapkan selamat menjalani ibadah

Ramadhan Kareem.
Allahu Karam!

Baru-baru ini, berlegar-legar di laman sesawang tentang satu kempen menyepak cermin sisi atau side mirror kereta yang dipandu di lorong kecemasan, kereta yang memotong barisan, kereta yang tidak memberikan lampu isyarat ketika mengubah lorong, dan kereta yang diletakkan di garisan kuning.

Secara umumnya, saya tidak bersetuju jika pemandu kereta memandu seperti itu.

Namun, tindakan pihak yang mencetuskan idea kempen ini juga tidak wajar untuk di sokong.

MENGAPA?

Pertama, mereka telah menyalahi Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana berlaku khianat. Khianat dengan melakukan kerosakan terhadap harta individu lain.

Kedua, bayangkanlah kalau pemilik kereta tersebut merupakan seorang samseng atau ahli kongsi gelap, tak rasa takut ke kalau-kalau mereka akan mencari si menyepak tersebut, mungkin mereka mengesan melalui nombor plat motor...

Bukan tak pernah berlaku, samseng mencari sampai ke lubang cacing hanya kerana di hon...

Ketiga, kalaulah tetiba ketika menyepak cermin sisi itu, pemandu kereta tersebut bertindak menghimpit (mungkin kerana terdapat sedikit ruang) menyebabkan si penyepak terjatuh atau terbabas, mungkin lebih malang lagi dilenyek tayar kereta berkenaan atau kenderaan lain...? Lagi bertambah menyusahkan orang lain.

Keempat, kalaulah si penyepak tersebut menyepak, tindakan menyepak itu membuatkan dia hilang imbangan, dan terbabas atau terjatuh, baamm...! Pun menyusahkan orang lain juga.

Saya tidak membela pemandu kereta yang bertindak tidak beretika dalam memandu, tetapi cara untuk kita membanteras mereka mengikut emosi adalah satu TINDAKAN YANG SALAH.

Tindakan yang sebetulnya, kita serahkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan JPJ dalam menegakkan undang-undang. Atau kita membantu mereka dengan membekalkan gambar yang jelas atau video HD bagi membantu mereka membuat tindakan yang selaras undang-undang. Kita pun selamat, tidak jatuh, tidak tergolek, dan tidak dicari sekiranya kita 'ter'berhadapan dengan samseng.

Dan perlu diingat, video tentang penunggang motosikal yang menyepak cermin sisi kereta yang melalui lorong kecemasan itu juga melakukan satu kesalahan lain: menunggang di lorong kecemasan. Bukan sahaja kereta, malah motosikal juga dilarang daripada menggunakan lorong kecemasan. Ibarat ketam mengajar anak berjalan lurus. Dia pun tak betul.

Bukan semua kezaliman dan kesalahan orang lain itu perlu dibalas dengan kejahatan. Dan Rasulullah Sallallahu 'Alayhi wasallam sentiasa menunjukkan akhlak yang baik ketika berhadapan dengan golongan yang selalu berbuat jahat terhadap Baginda, dan membalas kelakuan buruk mereka dengan kemaafan.
Dibaling batu dibalas buah.

Jangan tunjuk akhlak tidak baik itu. Apatah lagi ketika kita sedang berada dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Hentikan kempen yang tidak berakhlak ini. Kita suruh orang beretika tetapi kita sendiri yang tidak beretika, berlagak samseng dalam membetulkan orang lain.

Tinta mencoret: Matlamat tidak menghalalkan cara.

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP
via Zenfone 4

19 April 2016

KAMIL Zon 1 Sepang 2016

Alhamdulillah, Program Ujian Kemahiran Amal Islami (KAMIL) Peringkat Zon 1 Daerah Sepang sudah berlangsung dengan jayanya. Oh ya, saya masih belum menyatakan yang saya sudah tidak lagi berkhidmat di SRA Bandar Bukit Puchong pada tahun ini sebaliknya sudah berpindah ke sebuah sekolah kampung yang lebih kecil; SRA Giching.

SRA Giching...? Ha... Nanti kalau ada kelapangan, saya akan coretkan serba sedikit berkenaan sekolah ni. Kalau tak ada masa, saya tak coretlah... Hihihi...

Seperti kebiasaannya, saya dipertanggungjawabkan untuk melatih peserta bagi acara Menulis Khat seperti ketika saya di SRA Bandar Bukit Puchong dan SRA Bandar Seri Putra. Cuma kali ini, saya perlu melatih peserta tahap 1 selain tahap 2 seperti sebelum ini.

Selain, peserta Menulis Khat, saya juga diamanahkan untuk melatih peserta Khutbah Jumaat.

Jumlah kesemua peserta yang perlu saya latih adalah lima orang.

Tahun ini, KAMIL Zon 1 Daerah Sepang diadakan di Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS) Sepang, Bagan Lalang pada hari Sabtu, 9 April 2016. 

Alhamdulillah, sekolah berjaya mendapat tempat dalam enam acara yang dipertandingkan; Johan bagi acara Rawi dan Marhaban (Perempuan); Naib Johan bagi acara Pidato (Lelaki), Hafazan dan Terjemahan (Perempuan), Menulis Khat Tahap 1 (Lelaki); dan Tempat Ketiga bagi acara Nasyid (Lelaki) dan Menulis Khat Tahap 2 (Lelaki).

Alhamdulillah, dua daripada lima peserta bawah kendalian dan seliaan saya berjaya mendapat tempat dan menjadi antara wakil Zon 1 ke Peringkat Daerah Sepang. Mereka adalah Mikhail Firhad bin Muzahary (Menulis Khat Tahap 2 Lelaki) dan Aniq Hazwan bin Azaman (Menulis Khat Tahap 1 Lelaki).

Tahniah...!

Bagi yang tidak berjaya, cuba dan cuba lagi pada masa mendatang.

Apa lagi, kita layanlah gambar pulak...!

Mikhail sanggup datang pada huujung minggu untuk training.
Ada peningkatan dalam kaedah khat tapi saya masih belum berpuas hati.
Peserta Pidato Lelaki sedang berlatih.
Peserta Nasyid Lelaki sedang menyanyi... Aaaaaaaa~~~
Jom kita gerak ke MITS Sepang...!
Peserta dibawah seliaan saya.
Dari kiri: Nurliyana Shazwani (Khat T2P), Nur Anneesa (Khat T1P), saya, Faris Aniq (Khutbah Jumaat), Mikhail Firhad (Khat T2L), dan Aniq Hazwan (Khat T1L).
Taklimat sebagai hakim yang dilantik.
"Ustaz kenal saya tak...?" Kalau Wafi tak ingatkan saya pasal peristiwa yang saya suruh dia bersilat, pasti saya tak ingat langsung pasal murid ni. Terima kasih kerana mengingati saya.
Gambar kenang-kenangan dengan Wafi and the gang yang menyertai acara Nasyid Terbuka Lelaki mewakili SRA Bandar Seri Putra.
Jumpa orang kampung. Ngeh...
Peserta Nasyid dari SRA Bandar Seri Putra. Mereka mendapat johan dalam acara ini.
Peserta Nasyid yang terpaksa dipindahkan tempat pertandingan ke tempat lain. Mungkin ini hikmahnya kami berjaya mendapat tempat ketiga.
Aniq Hazwan menerima piala.
Tak sempat nak ambil gambar Mikhail masa dia ambil piala atas pentas sebab bateri telefon dah habis...
Tahniah semua. Enam acara berjaya lepas ke peringkat daerah adalah satu kejayaan yang amat membanggakan bagi sebuah sekolah kampung yang kecil.

Tinta mencoret: Doakan kami berjaya menjejakkan kaki ke peringkat negeri...!

SRA Giching, Salak Tinggi SDE

07 March 2016

Pemuda Buta Bersama Telefon Pintar

Hari ini, saya ke sekolah menaiki komuter, kali kedua saya menaiki komuter sejak saya membeli kereta Viva pada Jun 2011.

Perjalanan yang mengambil masa lebih sejam ini saya gunakan untuk menyandarkan badan saya di kusyen komuter yang saya kira agak keras. Huhuhu.

Ketika tren komuter berhenti di Stesen KL Sentral, ramai penumpang yang menaiki tren, salah seorangnya, pemuda buta.

Pemuda buta tersebut memasuki tren dengan bantuan seorang lelaki, lingkungan 40-an saya kira. Pemuda buta melabuhkan duduknya bersebelahan kiri tempat duduk saya.

Tongkat putihnya dicabut-cabut dan diikat dengan tali, kemudian digenggam erat.

07 February 2016

Aku Nak Jadi MB...!

قال الرسول صلى الله عليه وسلّم
إذا ضيعت الأمانة فانتظر الساعة
قال كيف إضاعتها يا رسول الله؟
قال إذا أسند الأمر إلى غير أهله فانتظر الساعة
Rasulullah Sallallahu 'Alayhi Wasallam bersabda: Apabila amanah disia-siakan, maka tunggu sahajalah kedatangan Hari Kiamat. (Seorang sahabat) bertanya "Bagaimanakah amanah itu disia-siakan, Wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya (bukan bidangnya), maka tunggulah kedatangan Hari Kiamat.
HR Bukhari, Ahmad, Baihaqi, dan Ad-Dailami

01 February 2016

Krik Krik '16

Berkhidmat di dalam talian
kononnya.
Sekali lagi, saya meninggalkan blog CTB ini dalam keadaan sunyi sepi tanpa khabar berita. Coretan terakhir pula adalah berkaitan dengan penglibatan Hidayah Centre di Perhimpunan Tahunan Ikram (PTI) di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Selepas dari itu, tiada sebarang kemaskini dibuat.

Maaf. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini, hidup saya semakin sibuk. Mudah-mudahan setiap 'kesibukan' yang saya hadapi ini diredhai oleh Allah Subhanahu Wa Ta`ala hendaknya.