Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

25 December 2016

Masuk Kandang Kambing, Mengembeklah

Mengikut Mazhab asy-Syafi'e, bacaan Doa Qunut ketika Solat Fardhu Subuh adalah sunat ab'adh (hampir kepada wajib) dan amat-amatlah dituntut untuk melaksanakannya.

Walau bagaimanapun, Imam asy-Syafi'e Rahimahullahu 'anhu yang menjadi asas kepada pemikiran mazhab ini pernah meninggalkan sekali bacaan Qunut ketika Solat Subuh, sedangkan beliau sendiri secara konsisten melaksanakannya dan meyakini setiap ijtihad yang dikeluarkannya berdasarkan dalil yang kuat.

Bacaan Qunut ini ditinggalkan ketika beliau mengimamkan Solat Fardhu Subuh di Kota Baghdad.

Mengapa beliau meninggalkannya?


Kerana di Kota Baghdad itulah bersemadinya jasad seorang tokoh ilmuan fiqh yang dihormati, Imam Abu Hanifah, pengasas Mazhab Hanafi.

Atas dasar penghormatan kepada Imam Abu Hanifah, serta pegangan mazhab masyarakat setempat, Imam asy-Syafi'e tidak membaca Qunut, sekaligus berlawanan dengan ijtihad yang dikeluarkannya.

Para ulama dan ilmuan memahami betapa pentingnya sifat saling menghormati antara satu sama lain. Walaupun terdapat banyak perbezaan antara mereka dalam isu khilafiyyah, namun mereka tidak menjadikan perbezaan itu sebagai satu asas kepada perbalahan yang akhirnya menimbulkan perpecahan di kalangan umat.

Sesungguhnya setiap orang yang 'alim, apabila berijtihad, mereka akan dikurniakan dua ganjaran, namun sekiranya ijtihad yang mereka keluarkan atas dasar ilmu itu terkhilaf, Allah tetap mengurniakan ganjaran kepada mereka, tetapi hanya satu.

Hentilah berbalah.

Hormatilah.

Insya-Allah kita dapat bersatu atas satu Aqidah yang sama.

Bila kita masuk kandang kambing mengaum, pastinya kandang yang asalnya itu tenang dengan suara mengembek kambing-kambing menjadi hiruk-pikuk, kacau-bilau, haru-biru kerana menyangkakan harimau datang ingin menerkam.

Bila aku hadir ke kenduri kahwin orang kaya dengan pakai T-Shirt dan berseluar jeans, rasa segan dengan dif-dif yang hadir berbusana cantik, berbaju Melayu lengkap bersongkok, berkemeja kemas, berbaju batik, formal. Maafkan aku kerana main redah ikut suka nak pakai baju apa...

Harap aku tidak menjadi perosak majlis.

Selamat pengantin baru, wahai jiranku.

Barakallahu lakuma,
Wa baraka 'alaykuma,
Wa jama'a baynakuma fi khayr.

Akhukum fillah,
Muhammad Syahmi

Tinta mencoret: Bukan kambing menyamar harimau di dalam kandang.

Catatan Facebook
Achare18, Shah Alam SDE

No comments:

Post a Comment