Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

23 September 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1430H

Rasa-rasanya belum terlambat untuk mengucapkan

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan batin. Kalau ada salah dan silap tu harap-harap diampunkanlah ya... (ayat sama macam tahun lepas)

Alhamdulillah, Raya tahun ini terasa lebih meriah berbanding tahun lepas walaupun cuti yang majikan beri hanya seminggu sahaja. Cuma hari pertamalah yang agak kurang sedikit. Seperti biasalah, hari pertama, saya ikut beraya bersama abang ipar saya ke rumah sanak-saudaranya di sekitar Selangor Selatan.

Bagaimana rasanya ya kalau beraya di pusat membeli-belah ataupun terpaksa bekerja ketika Raya pertama?

Abang casher ni terpaksa bekerja ketika orang lain beraya bersama keluarga.

Gambar-gambar di atas dan di bawah ini saya tangkap ketika singgah di sebuah pusat membeli-belah di Setiawangsa semasa singgah membeli barang keperluan ketika keluar beraya pada Raya pertama.



Taman Permata, Hulu Kelang

19 September 2009

Ramadhan 1430 @ KL Part 2

Salam Ramadan 1430H.

Hari ini (Jumaat) adalah hari yang ke-28 kita berpuasa. Insya-Allah, esok adalah hari yang terakhir kita berada dalam bulan yang mulia ini sebelum kita meninggalkannya selama 11 bulan. Adakah kita berupaya mengisi kekosongan jiwa ketika didampingi Ramadan? Itu biarlah hati dan jiwa yang menjawabnya. Saya tiadalah mahu menjawab sama ada ia berjaya mahupun tidak kerana itu bukanlah tugas saya. Yang penting di sini, kita berubahlah. Sekiranya kita selama ini sering lalai dan alpa dengan amanah dan tanggung yang Tuhan galaskan kepada kita, maka kita perbaikilah agar kita berjaya melaksanakannya. Sekiranya kita berjaya sudah menempuhnya, maka kita tingkatkanlah mutu dan kualitinya agar kehidupan kita sebagai khalifah dan hamba akan senantiasa dilimpahkan rahmat dan redha daripada Allah swt hendaknya, insya-Allah.

Pada post saya kali ini, saya ingin berkongsi serba-sedikit dua tiga gambar yang saya snap ketika membeli-belah di Lorong Tuanku Abdul Rahman dua hari sebelum raya.

Disebabkan hari ini hari Jumaat (28 Ramadan 1430H), terpaksalah saya ambil keputusan untuk bergerak ke Kuala Lumpur sesudah solat Jumaat. Pada hari itu juga saya terlupa yang surau berhampiran dengan rumah saya ada mengadakan solat Jumaat. Puas saya bergegas ke masjid di Wangsa Melawati takut-takut terlambat sedangkan saya boleh ke Surau Taman Permata yang tidak sampai 1 km jauhnya dari rumah. Maklumlah, sudah berbulan-bulan tidak ber'Jumaat' di situ.

Macam biasalah, saya bergerak ke KL dengan pengangkutan awam. Lali dah keadaan KL masa begini. Tak usahlah berkenderaan ke pusat bandar melainkan tengah malam. Eloklah kita bersesak-sesak dalam public transports daripada kita memandu atau menunggang. Maklumlah, banyak masalah kita kena hadapi kalau berkenderaan sendiri. Selain terpaksa terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas, kita akan berhadapan dengan kekurangan kawasan parkir walaupun parkir berbayar. Kalau parkir sesuka hati, tunggu sahajalah surat saman daripada DBKL atau polis trafik atau kenderaan anda ditunda. Jawab sendiri di balai. Itu antara keburukannya. Oleh itu, eloklah kita naik bas atau LRT. Sambil bersendat-sendat bagai ikan dalam tin, mata kita akan 'dicuci' oleh awek-awek cun (astaghfirullah, bulan puasa belum habis lagi). Kalau awek-awek cun yang berpakaian sendat dan singkat itu bukan Muslim, bolehlah dimaafkan lagi. Tetapi kalau awek-awek cun itu Islam agamanya, tak tahulah apa nak kata. Kalau kita tegur, silap-silap tangan di pipi. Entahlah. Seolah-olah mereka langsung tidak menghormati Allah sebagai Tuhan, Ramadan sebagai bulan yang mulia. Serahkan semua itu kepada Tuhan. Jangan sampai kita terliur time bulan mulia sebegini, sudahlah...

Pintu masuk Stesen LRT Aliran Kelana Jaya (PUTRA LRT) Masjid Jamek. Orang ramai bersesak-sesak untuk bershopping last minute sebegini.

Itulah kehidupan. Bagi rakyat kelas pertengahan seperti saya, pengangkutan awam menjadi pilihan untuk bergerak. Lebih-lebih lagi jika arah tujuan itu ke tengah kota metropolitan yang sentiasa sesak. Pengangkutan awam yang menjadi nadi warga kota kelas pertengahan ini sepatutnya dijaga dan terus-menerus disubsidikan supaya kos menaikinya tidak meningkat dengan mendadak. Sebelum ini, saya boleh merayau-rayau sekitar ibu kota seharian dengan hanya RM 4 untuk pengangkutan sebelum kerajaan menaikkan tambang bas seluruh negara Ogos lepas. Tak percaya? Sebelum ini, bas RapidKL menggunakan sistem pas harian sebagai tiket. Jika mahu ke ibu kota, saya hanya perlukan 2 pas harian untuk menaiki bas Utama dan Bandar. Tiket ini boleh digunakan berulang-ulang kali tanpa had selama sehari dan juga boleh digunakan pada mana-mana bas yang dikategorikan pada pas harian tersebut. Tidak seperti sekarang. Setiap penumpang dikenakan cas mengikut zon. Minimum cas yang dikenakan adalah sebanyak RM 1 bagi setiap pejalanan.

Adakah itu pembangunan yang selama ini diidam-idamkan?
Adakah itu pembangunan yang selama ini didambakan?
Adakah itu pembangunan yang selama ini diharapkan?

Pada saya, TIDAK. Saya tidak menolak ini adalah salah satu bentuk pembangunan. Tetapi ia bukanlah bentuk pembangunan yang saya dan majoriti warga kota mahukan. Semakin hari semakin menekan pengguna setianya. Manakah pemimpin yang mengaku prihatin dengan masalah rakyat? Mana mereka?

Hidup Bari*** ********.
Hidup UM**.

Ops... Ini bukan ceramah politik. Cuma mahu membuka minda agar kita dapat melihat realiti kehidupan, bukan pada indahnya taburan janji. Mereka sebenarnya menanam tebu di bibir mereka. Usahlah ditunggu air daripada tebu itu, kelakkan merana.

Target saya, sepasang baju Melayu berwarna hijau pucuk pisang, samping, butang baju, dan songkok hitam. Budget pula seboleh-bolehnya tidak lebih daripada RM 100. Tahun lepas, saya mampu membeli sepasang baju Melayu berwarna biru cair beserta samping, butang, dan songkok dengan harga tepat RM 101. Entah macam mana, tahun lepas, semua orang (termasuk YDPA) mengenakan baju Melayu berwarna biru cair. Masing-masing macam sokong Tan Sri Khalid je... Maklumlah, warna PKRkan biru cair. Wallahu a'lam.

Bazar Jalan Masjid India

Tahun ini, saya memilih warna hijau pucuk pisang sebab saya berkenan tengok gambar artis dalam akhbar, bukan berkenan pada artis itu, berkenan dengan warna baju yang dipakai. Kebetulan pula saya selak akhbar itu beberapa minit sebelum saya keluar rumah untuk ke KL. Mak saya pula setuju dengan pilihan itu.

Jadi, mata melilau sahajalah bila sampai Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR). Dari hujung ke hujung saya mencari dan memerhati harganya. Walaupun banyak baju Melayu berwarna hijau, kebanyakkannya adalah kain SB Line Germany. Apa tu? Entahlah. Jenis kain agaknya. Jenis kain itu memang langsung tidak berkenan pada saya walaupun harganya menyentuh jiwa, ala murah...

Bukan kata Lorong TAR, saya juga ke Kamdar, Globe (atau Sarah Huggies) dan setiap kedai berhampiran kedua-duanya di Jalan TAR. Ada gedung pakaian yang menawarkan potongan harga sehingga 50% tetapi warna dan jenis kainnya langsung tidak menarik perhatian.

Mahu tidak mahu terpaksalah ber'saie' semula di Lorong TAR. Nasib baiklah ada juga bro ni yang jual baju Melayu yang saya cari. Cuma harganya lebih RM 100 sepasang. Itu harga asallah. Harga yang saya beli dengan bro ni cuma RM 70. 70 pun 70-lah. Janji baju Melayu yang saya 'dambakan' berjaya dimiliki. Selesai mencari baju Melayu, tugas seterusnya pula mencari butang yang sesuai dan samping. Mencari butang tidaklah sesusah mencari samping. Butang harganya semurah RM 10 sedangkan samping yang cantik molek dijual beratus-ratus ringgit. Mana boleh beli samping beratus-ratus ringgit sedangkan baju Melayu sahaja sudah RM 70.Kalau dibeli juga, larilah budget yang telah ditetapkan sebelum ini. Ingat, ini pengurusan kewangan yang bersistematik dan cara bershopping yang smart.

Akhirnya, bertemu juga dengan seorang pakcik bersama anaknya yang cun (astaghfirullah, Ramadan belum habis lagi) yang jual samping murah yang berkenan di hati. Apa lagi, sebelum warna yang saya suka dikebas orang, lebih baik saya kebas dulu.

Baju Melayu, sudah. Butang, sudah. Samping, sudah. Tinggal songkok pula. Pencarian songkok tidaklah sesusah mana. Pergi sahaja ke Mydin, harga songkok serendah RM 8.50. Memang belambak. Cuma masalahnya, saiz 21 ¾ hanya tinggal satu. Itupun setelah saya selongkar timbunan songkok yang menggunung itu. Semua itu ujian Tuhan, sabar atau tidak hamba-Nya. Lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan.

Pergh... 'Peperiksaan' Tuhan bukan hanya pada sabarnya mencari baju Melayu, samping, dan songkok. Itu semua 'soalan' satu. Rupa-rupanya 'belakang kertas soalan' ada pula 'soalan kedua'. Hujan pula turun mencurah-curah. Sudahlah payung tak bawa, rasa sayang bila terus balik ke rumah. Apa lagi, saya redah sahajalah hujan. Kalau tidak rugi datang sekadar beli baju sahaja. Rasa puas seputar sekitar, barulah saya pulang ke rumah dalam keadaan menggigil kesejukan. Sejuk cuaca hujan campur sejuk air-cond LRT dan bas RapidKL.

Alhamdulillah. Budget baju Melayu satu pasang tahun ini tidaklah terlalu mahal walaupun melebihi budget dan harga tahun lepas.
Baju Melayu: RM 70.00 (setelah membodek bro yang jual baju)
Samping: RM 25.00 (harga selepas potongan nak raya)
Butang baju: RM 10.00 (nett price. Tak boleh kurang)
Songkok: RM 8.50 (jimat kos berbanding beli dekat tempat lain)
Jumlah harga: RM 113.50

Walaupun menangis jugalah sebab terlebih RM 13.50 daripada budget, tetapi rasa berbaloi sebab mampu juga mengcontrol aliran wang daripada berbelanja sehingga dua tiga ratus.

Saya rasa lebih berbaloi tika mana sampai ke rumah, Pak Cik Adnan sekeluarga datang berbuka puasa bersama dengan family saya di rumah. Memang tidak pernah miss Pak Cik Adnan datang setiap bulan Ramadan untuk berbuka bersama kami walaupun taraf kami tidak setinggi Pak Cik Adnan.

Lorong Tuanku Abdul Rahman

Hujan... Cepat lari...


Walaupun hujan, orang ramai masih lagi berpusing-pusing mencari apa yang dicari.

Kelihatan kompleks Balai Polis Dang Wangi baru yang masih dalam pembinaan.

Patung pun tahu senseng (lipat) kaki seluar...

Biasalah bersesak-sesak dan bersendat-sendat di dalam LRT.

Ramadan belum keluar rumah, kenapa hati tetiba teringat Syawal yang belum hadir?

Salam Ramadan dan Salam Aidilfitri.

Taman Permata, Hulu Kelang

16 September 2009

Ramadhan 1430 @ KL

Salam Ramadan 1430H.

Alhamdulillah. Artikel ini adalah yang ke-100 saya post di blog ini, Coretan Tinta Berdakwat. Setinggi-tinggi syukur saya panjatkan kepada Allah Jalla Jalaluh kerana dengan kehendak-Nyalah saya diberikan kekuatan dan digerakkan hati agar sentiasa mengupdate blog walaupun pada awalnya saya agak berat untuk kerap membukanya.

Pada post yang kali ini, saya cuma ingin berkongsi beberapa gambar yang saya rakam di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur sekitar bulan Ramadan 1430H ini.

Lokasi: Stesen LRT KL Sentral
Tarikh: 2 September 2009
Masa: 1840 - 1910
Gambar-gambar di atas saya ambil ketika terkandas di platform LRT KL Sentral. Kebetulan tren pertama yang tiba ketika saya sedang beratur panjang adalah tren yang bermasalah. Saya menunggu bermula jam 6.45 petang hinggalah hampir 7.10 malam. Disebabkan masa berbuka makin hampir, saya ambil keputusan mudah untuk pulang dengan teksi. Harga kupon teksi dari KL Sentral ke rumah saya telah naik dan saya terpaksa membayar RM 22.00 untuk menaiki teksi... Geram punya pasal, mahal pun saya bedal...

Lokasi: MRR2 berhampiran Taman Tasik Ampang Hilir
Tarikh: 4 September 2009
Masa: 1750 - 1800Seperti biasalah, siapa yang keluar masuk KL atau Lembah Kelang pada waktu puncak dengan kenderaan 4 tayar, pastinya akan terkandas.

Lokasi: Sekitar Dayabumi, Pejabat Pos Besar, dan Stesen LRT Pasar Seni
Tarikh: 15 September 2009
Masa: 1018 - 1024
Saya sendiri pun kurang pasti bila Pos Malaysia buat renovation di sini?

Ini gambar bangunan baru (berwarna kuning di dalam bulatan) yang mana saya tidak pernah perasan langsung bila ia mula dibina.

Ini pula gambar 'mural' yang diconteng beberapa orang 'kaki seni' sukarela. Kelihatan macam tembok Sungai Kelang itu baru sahaja dicat putih kerana sebelum ini juga terdapat contengan yang lebih kurang. Cadangan saya, pihak kerajaan sepatutnya mencari inisiatif supaya bakat 'pelukis' sukarela seperti ini dapat disalurkan ke tempat yang sepatutnya.

Ini pula jambatan pejalan kaki yang menghubungkan terus ke Stesen LRT Pasar Seni dari seberang Sungai Kelang. Ini pun baru pada saya kerana saya tidak pernah melihat kerja-kerja pembinaannya walaupun selalu berulang-alik dengan LRT di situ.

Lokasi: Stesen LRT Wangsa Maju
Tarikh: 15 September 2009
Masa: 1053
Lorong Touch n' Go di Stesen LRT Wangsa Maju. Bukan tol sahaja yang ada lorong khas macam ini tetapi LRT pun ada. (15 September)

Lokasi: Bazar Ramadan Taman Melawati
Tarikh: 15 September 2009
Masa: 1708
Selasa terakhir sebelum raya, saya ke bazar Ramadan di Taman Melawati selepas selesai beberapa urusan di sini. Agak awal saya ke sana, dalam 5 petang. Dalam banyak-banyak benda dan perkara yang ada di situ, saya terkilan dengan apa yang berlaku seperti gambar di atas. Orang menggantung bendera ini sebenarnya telah membuat dua kesalahan terhadap Jalur Gemilang. Pertama, menggantungkannya secara terbalik. Ia simbolik kepada penghinaan terhadap bendera kita. Kedua, digantungkannya di tempat yang kurang sesuai yang mana membolehkan bendera tersebut dipijak secara sengaja mahupun tidak orang orang yang membeli jualannya ataupun mereka yang lalu-lalang di situ. Ini betul-betul satu penghinaan buat Jalur Gemilang! Ataupun pelakunya orang Indonesia yang ekstrimis dan Anti-Malaysia. Maklumlah, mereka marahkan Kerajaan Malaysia yang kononnya mencuri tarian tradisi mereka. Gara-gara marah tidak bertempat itu, mereka menghalau pula rakyat Malaysia di sana. Kalau ada rakyat Malaysia yang terbaca ini, saya katakan satu perkara: BAGAIMANA PULA JIKA KAMI MENGHALAU RAKYAT INDONESIA TERMASUK YANG MAKAN GAJI DI MALAYSIA? Kalau dasar negara miskin, buat macam negara miskin, jangan mahu menunjuk samseng. Rakyat kamu itu yang kami tatang, yang kami bela di sini juga yang membuat kacau, membuat jenayah, adakah kami melenting membabi buta seperti kamu? Walau siapapun yang melakukannya, tindakan ini sememangnya biadap! Sayang sekali tindakan ini hanya dapat dilihat sahaja kerana pengusahanya tidak berniaga pada hari tersebut.

Lokasi: Menara Celcom, Jalan Semarak
Tarikh: 16 September 2009
Masa: 1350
Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Taman Permata, Hulu Kelang

14 September 2009

Akhir Ramadan atau Awal Syawal: Mana Pilihan Hati?

"Assalamualaikum, Farhan. Apa khabar?"

"Oh, Hanafi. Wa 'alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Sihat wal'afiat. Kau pula apa khabar?"

"Alhamdulillah, sihat. Macam mana dengan persiapan raya tahun ini, Farhan?"

"Aku sebelum puasa lagi dah prepare untuk raya dah. Kalau boleh tak mahulah ganggu bulan Ramadan ini, boleh buat ibadat dengan selesa. Kau pula macam mana?"

"Aku samalah macam orang lain, shopping last minute. Nak buat macam mana, bonus hari raya baru saja dapat, jadi nak tak nak terpaksalah aku shopping time begini. Nak beli awal-awal, masa tu duit tak cukup lagi."

"Tak mengapalah, Hanafi. Shopping, shopping juga. Ibadat jangan lupa. Lebih-lebih lagi sekarang ini kita telahpun masuk ke 10 malam terakhir, yang mana Allah janjikan kepada kita pembebasan daripada api neraka-Nya."

"Insya-Allah, aku tak lupa. Alhamdulillah, setakat ini aku masih lagi istiqamah dalam ibadat tu. Cuma untuk berqiam tu agak beratlah. Tak tahulah. Makin dekat raya, makin banyak pula kerja yang perlu aku lakukan. Bermula dengan shopping, buat kira-kira perbelanjaan untuk balik kampung, belanja anak-anak, persiapan, dan sebagainya. Seolah-olah macam tak bagi aku beribadatlah."

"Cubalah cari masa untuk Tuhan, mudah-mudahan dia lapangkan masa untuk kita dan dipermudah segala urusan dunia kita. Mudah-mudahan"

"Mudah-mudahan. Syaaban tahun depan jangan lupa ingatkan aku. Aku pun cuba nak jadi macam kaulah. Bila tiba Ramadan, tak adalah aku kelam-kabut aku macam ni."

"Insya-Allah, aku ingatkan nanti. Biasalah, manusia. Suka buat kerja last-last minute. Sebab itulah Allah suka buka peluang ganjaran berlipat kali ganda last-last minute. Dia buat begitu sebab bagi peluang hamba-Nya yang masih lagi lalai agar dapat kembali kepada-Nya dan turut bersama-sama beribadat dengan orang-orang bertakwa yang lain. Taubat pun Allah buka sampai masa nyawa kita dah nak habis dicabut. Begitulah kasih dan murahnya pengampunan-Nya."

"Mudah-mudahan kita semua tergolonglah dalam orang-orang yang diampunkan Allah dan juga dihindarkan daripada api neraka, Amin."

"Amin. Mudah-mudahan begitulah, Hanafi. Eh, dah nak berbuka dah. Aku balik dululah. Assalamualaikum, Hanafi."

"Walaikumussalam, Farhan."

Salam Ramadan 1430H.

Kurang seminggu lagi Ramadan tahun ini akan pergi meninggalkan kita semua. Dalam masa dan minit yang terakhir sebegini, Maharaja Segala Raja, Pentadbir Kerajaan Dunia dan Langit, Allah swt masih lagi membuka peluang kepada kita, rakyat-Nya, hamba-Nya, makhluk-Nya supaya kita dapat mendekatkan diri kepada-Nya, beribadat dengan lebih bersungguh-sungguh, dan merebutkan manifestonya iaitu pembebasan kita daripada api neraka-Nya yang maha dahsyat itu.

Maha Pengampunnya Allah sehinggakan dia sanggup tunggu hamba-hamba-Nya yang lalai hampir 20 hari dalam bulan yang diberkati ini, tunggu sehingga mereka semua hadir kepada-Nya, memohon ampun atas kesalahan dan maksiat yang dilakukan selama ini, memohon syurga yang disediakan-Nya, dan yang paling penting, meminta RAHMAT dan REDHA Allah swt yang semestinya lebih awla dan lebih utama.

Dialah yang menciptakan manusia. Jadi, Dia lebih mengetahui kondisi dan keadaan manusia itu lebih daripada apa yang manusia itu sendiri tahu. Manusia itu lalai dan leka dengan hasutan syaitan, mainan nafsu yang terpesong, serta hiasan dan kemewahan dunia. Dia senantiasa memberi peluang walaupun manusia itu ada yang menyekutukan-Nya, memaki hamun-Nya, menafikan hak-Nya, dan sebagainya. Tindakan sedemikian tiadalah merugikan Allah sebaliknya ia menempah satu tempat duduk yang ekslusif di dalam penjara neraka-Nya yang panas tiada tolok tandingnya.

Sudahlah Dia menunggu kita sehingga penghujung Ramadan, ditambah lagi disediakan satu malam yang mana menurut firman-Nya, malam tersebut lebih baik daripada 1000 bulan, Lailatul Qadar.

Lailatul Qadar? Malam apa itu? Bila malamnya?
Pada saya, tidak perlulah ditanya maknanya dan bila malam tersebut yang sebenarnya walaupun terdapat ulama silam dan kini membahaskan secara panjang lebar mengenainya. Yang paling penting, kita tahu kelebihan malam ini dan tindakan kita agar kita berjaya merebut kelebihan dan ganjaran yang dikurniakan Allah pada malam tersebut.

KEHEBATAN LAILATUL QADAR

Di sini hanya disebutkan tiga sahaja. Sebenarnya terdapat lebih lagi kehebatan malam ini yang mana dicatatkan oleh ulama dalam kitab masing-masing.

1. Malam barakah yang diturunkan padanya al-Quran.
Kepada yang masih tidak mengetahui atau terlupa apa yang pernah ustaz-ustazah ajarkan masa sekolah menengah dahulu, al-Quran diturunkan pada fasa pertama secara sekaligus dari Lawh Mahfuz (لوح محفوظ) ke Baitul 'Izzah (بيت العزة) yang terletak di langit dunia sebelum diturunkan kepada Rasulullah saw secara berperingkat-peringkat. Firman Allah swt:
إِنَّا أَنْزَلْنَـٰٰهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَـٰرَكَةٍۚ
Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang barakah (berkat).
AQ 44:3

2. Malam yang diumpamakan seumpama 1000 bulan.
Kata Imam at-Thabari:
وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر
Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti seribu bulan adalah "Beramal pada lailatul-Qadar sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya lailatul-Qadar (selain bulan Ramadan).

Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi seribu bulan.

3. Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas, dan mengharapkan redha Allah.

TIPS MEREBUT 10 MALAM TERAKHIR RAMADAN DAN LAILATUL QADAR

1. Bersedia untuk merebutnya dari awal Ramadan terutama disegi keyakinan, kesungguhan merebut peluang tahunan ini dan merancang kalender harian agar mengosongkan 10 malam-malam terakhir tersebut untuk tujuan itu semata-mata, tidak untuk kesibukan lain.

2. Memahami bahawa di mana jawatan, kedudukan dan kesibukan kita di dunia ini, tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk beribadah kepada Allah swt dengan penuh keikhlasan, bersedia untuk 'hari yang tiada gunanya lagi harta dan anak-anak, melainkan orang yang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera' (Hari Akhirat).

3. Putuskan lebih awal sekurang-kurangnya sebelum masuk malam 20, masjid mana yang akan kita gunakan untuk Iktikaf, siang dan malam, sama ada sebahagian atau 24 jam sehari. Pastikan AJK masjid tersebut memahami ibadah Iktikaf dan Qiyamullail 10 Malam terakhir agar tidak berlaku masalah pengurusan dengan mereka yang tidak memahaminya.

4. Dapatkan teman agar sama-sama dapat melakukan ibadah tersebut secara berjemaah.

5. Jika anda bekerja bawah majikan, kenalpasti hari-hari yang akan dimohon cuti agar dapat lebih hari untuk beriktikaf di masjid. Jika anda tidak dapat mengambil cuti kerja, anda boleh cuba beriktikaf di masjid sepenuhnya dalam cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad.

6. Jika anda seorang pelajar, cuba habiskan kerja-kerja rumah atau assignments awal agar tidak tertimbun pada 10 malam terakhir Ramadan. Beli tiket balik kampung lebih awal agar tidak disibukkan mencari tiket nanti.

7. Bersedia untuk hari raya lebih awal, sebelum 10 malam terakhir, agar kita tidak disibukkan nanti dengan membeli-belah, memasang langsir, membuat kuih-muih, menyiap atau menjahit pakaian raya dan sebagainya seperti yang sering berlaku pada ramai orang yang kurang memahami dan menghayati kelebihan 10 malam terakhir Ramadan.

8. Memahami bahawa asas perubahan ke arah kebaikan pada seseorang bahkan pada sesebuah umat ialah pembaikan jiwa yang ada di dalam diri masing-masing. Madrasah 10 malam terakhir Ramadan dan Lailatul Qadar yang bakal dilalui boleh turut membantu mencapai ke arah perubahan tersebut.

Semoga Allah swt mengurniakan ketakwaan kepada kita setelah menjalani ibadat pada bulan Ramadan ini. Kita keluar darinya nanti dengan beroleh rahmat, keampunan dan selamat dari api neraka. Amien.

Seksyen 3, Bandar Bukit Mahkota, Bangi

05 September 2009

Kemerdekaan: Benci atau Ikut Penjajah?

Sudah 52 tahun negara kita merdeka, tetapi kita masih lagi ditanamkan semangat 'bencikan penjajah'.

Benarkah kita benci dengan penjajah? Tanyalah diri kita sendiri sama ada ia benar atau tidak.

Bagi saya, saya tidak langsung bencikan penjajah. Saya 'sayaaaaaaaaaaaaaangkan' penjajah. Tidak usahlah dibenci mereka. Tiada faedah langsung.

Sultan Ibrahim Iskandar al-Masyhur Ibni Sultan Abu Bakar, Sultan Johor ke-22
Sekiranya orang Melayu sejak dahulu kala bencikan penjajah, kenapa masih ada yang mempertahankan kerajaan British di Tanah Melayu ketika kemasukan tentera Jepun? Sekiranya orang Melayu sejak dahulu kala bencikan penjajah, kenapa tiada seorangpun rakyat Johor yang menasihati dan mempertahankan Sultan Ibrahim, Sultan Johor daripada menerima D.G. Campbell sebagai seorang Residen British pada 1909 sekaligus mengiktiraf (secara lisan) dan melengkapkan penjajahan British di Tanah Melayu? Sekiranya orang Melayu sejak dahulu kala bencikan penjajah, kenapa masih ada daripada orang Melayu dahulu yang menerima segala jenis pentadbiran dan pengurusan daripada British ketika kita masih lagi dijajah seperti asas Pelembagaan Persekutuan yang berasaskan daripada Suruhanjaya Reid dan sebagainya? Sekiranya orang Melayu sejak dahulu kala bencikan penjajah, kenapa kita mengikut segala telunjuk mereka semata-mata mahu mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu? Bukankan semua itu bukti yang kita 'sayaaaaaaaaaaangkan' penjajah?


Suruhanjaya Reid

Sepatutnya kita tidaklah terburu-buru menanamkan sifat kebenciaan terhadap penjajah yang menjajah tanah kelahiran kita. Takdir Allahlah yang menjadikan Tanah Melayu terkehadapan sedikit ketika di dalam era penjajahan British. Walaupun kerajaan British masuk membawa bersama dengannya ideologinya yang bertentangan dengan adat budaya masyarakat Melayu, tetapi kita juga tidak dapat menafikan teknologi-teknologi yang turut dibawa mereka memasuki Tanah Melayu.

Apa yang terbaik, apa yang berguna, kita ambil. Yang menjadi hampas, kita buanglah.

Adakah kita boleh dikatakan merdeka daripada penjajahan sekiranya kita terus menerus menanamkan perkataan 'bencikan penjajah' walhal realitinya masih lagi diselubungi penjajahan mentaliti dan budaya?

Lihatlah gaya pemakaian muda-mudi Melayu yang menayangkan pusat dan betis. Lihatlah kehidupan sebahagian kaum elit dan pemuda Melayu yang suka berfoya-foya dengan arak, perempuan, dan segala macam maksiat. Lihatlah pemikiran Melayu yang masih lagi ekstrimis dengan perkauman sempitnya. Adakah ini boleh dianggap sebagai kemerdekaan bangsa Melayu?

Penterjemahan kemerdekaan daripada penjajahan penjajah sepatutnya ditafsirkan sebagai mengaplikasikan segala kemajuan dan kelebihan yang ada pada kaum penjajah kini untuk kelebihan negara kita. Janganlah kita masih lagi bermimpi-mimpi yang kejayaan membebaskan diri daripada belenggu penjajahan yang sudah 52 tahun berlalu. 50 tahun bukanlah masa untuk kita terus menerus bermimpi dengan mimpi indah kemerdekaan daripada penjajahan sebaliknya kita menterjemahkan pengertian tersebut kepada yang lebih realistik.

Kini, penjajah yang selama ini kita tanam dengan sifat kebencian terhadap mereka telah jauh lebih maju berbanding negara kita. Mereka mengamalkan kebebasan bersuara sedangkan kita menghalang kebebasan yang bertentangan dengan pemimpin. Mereka menghormati kepelbagaian penganut agama sedangkan kita sebuk mengarak kepala lembu. Mereka menilai statistik kegunaan wang rakyat termasuklah pembelanjaan pihak istana sedangkan kita masih lagi merahsiakan jumlah keuntungan yang dikaut kroni di dalam Petronas. Mereka mendidik anak kecil mereka supaya menghormati budaya dan agama yang pelbagai sedangkan kita terus menerus menyuntik dadah perkauman yang semakin hari semakin menebal ke dalam minda anak-anak.

Terbuktilah, kita terus menerus kebelakang sedangkan penjajah yang kita benci itu terus menerus terkehadapan dan semakin jauh meninggalkan kita.

Lihatlah iklan kemerdekaan FINAS yang terbaru. Seorang budak (mungkin budak sekolah rendah) yang bersemangat melaungkan perkataan 'merdeka' apabila tepat jam 12 tengah malam. Budak tersebut mengenakan baju Melayu dan songkok (tetapi berseluar pendek) dan turut mengibarkan Jalur Gemilang. Mereka terpekik dengan perkataan 'merdeka' tersebut sedangkan ibunya sedang tidur bersebelahan dengan mereka (terdapat dua orang budak, seorang budak yang memakai baju Melayu dan seorang lagi adiknya). Adakah hanya laungan perkataan 'merdeka' itu boleh diertikan sebagai satu penghayatan? Sesungguhnya, kebanyakkan kanak-kanak terutamanya mereka yang masih lagi bersekolah rendah tidak menghayati erti kemerdekaan yang sebenar-benarnya. Bukanlah penghayatan itu semata-mata mengibarkan Jalur Gemilang dan menunggu detik 12 tengah malam untuk terpekik. Penghayatan yang sebenarnya ialah kita mampu bertindak tanpa belenggu mana-mana pihak yang mampu menjajah sama ada orang luar, pemimpin yang kolot, dan mana-mana fahaman yang ektrimis terhadap kaum dan puak.

RAKYAT DIDAHULUKAN


Perdana Menteri kita, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebelum ini melancarkan slogan "1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" sepatutnya dipegang oleh seluruh rakyat Malaysia bermula daripada akar umbi sehinggalah mereka yang berada di pucuk hijau seperti pemimpin.

Pendapat saya, 1 Malaysia ini sememangnya sesuai untuk dijadikan pegangan rakyat Malaysia. Cuma masalahnya ialah, ke manakah hala tujunya jika kita masih lagi dijajah dengan pemikiran kebangsaan dan kemelayuan sahaja?

Lihatlah kenyataan orang nombor dua negara, Tan Sri Muhyidin sebelum ini yang melabelkan Datuk Seri Anwar sebagai seorang pengkhianat Melayu. Bukankah ini satu statement yang bersifat perkauman? Lihatlah perarakan kepala lembu, bukankah ini satu tindakan bersifat anti-Hindu? Lihatlah kempen-kempen politik yang diadakan sepanjang pilihanraya kecil selepas Mac 2008 yang kebanyakkannya bersifat perkauman. Adakah semua ini dapat merealisasikan hasrat YAB Perdana Menteri kita yang mahukan 1 Malaysia?

Adakah benar beliau benar-benar ikhlas dalam merealisasikan hasratnya, itu urusan dia dengan Tuhan. Persoalannya di sini, sampai bilakah negara kita mahu dijajah dengan bentuk pemikiran perkauman sebegini? Pemikiran perkauman ini akhirnya menolak semua jenis cadangan dan idea baru yang bertentangan dengan kaum itu sendiri.

Buangkanlah idea kesatuan kemerdekaan kita selagi mana kita terus dibelenggu dengan masalah perkauman dan tiada langsung bertolak ansur dalam urusan kaum lain. Sekiranya kita terlampau dengan fahaman perkauman dan kemelayuan kita yang fanatik dan ekstrimis, bunuh sahajalah mereka yang bukan Melayu itu atau lucutkan terus kewarganegaraan mereka. Bukankah ia lebih menyenangkan hati daripada mencetuskan kekacauan dan kegelisahan kaum berterusan.

Jangan jadikan 1 Malaysia sebagai retorik sebaliknya jadikanlah ia sebagai satu cara menyatu padukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, budaya, dan agama. Jauhilah segala tindakan yang bertentangan dengannya agar kita dapat hidup dalam keadaan yang jauh lebih harmoni, bukannya harmoni yang hanya dimainkan di kaca TV sedangkan realitinya berbeza.

والله أعلم بالصواب

Taman Permata, Hulu Kelang

02 September 2009

Kuil, Kepala, Kebebasan, Kemuliaan...

قال تعالى في كتابه العزيز
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
وَلاَ تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Antara Pembinaan kuil, 'hadiah' kepala lembu, dan kemuliaan Islam...

YB Rodziah, Untuk pengetahuan kamu, ini bukan orang-orang UMNO, tetapi semua orang ada di sini, orang PKR, orang PAS, orang UMNO. Yang ada di sini adalah semangat Islam mereka, semangat kemelayuan mereka. Mereka marah! Mereka marah dengan tindakan kamu! Mereka marah dengan tindakan kamu yang membelakangkan Melayu, membelakangkan Islam! Di manakah akidah kamu? Di manakah Islam kamu? Di manakah kiblat kamu? Wahai YB-YB yang bertopeng menjadi syaitan! Dengar, ini amaran kami! Pindahkah kuil daripada Seksyen 23 dan buatlah di Seksyen 22. Itu amaran kami hari ini.
Wakil jawatankuasa bertindak membantah pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam pada 28 Ogos 2009


Sila klik di sini untuk video tambahan.

Salam Ramadan 1430H.

Hampir seminggu sudah, Selangor dikejutkan dengan 'tragedi berdarah' di mana sekumpulan NGO yang mengaku diri mereka 'penyelamat akidah dan kesucian Islam' berdemo di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, atau lebih dikenali sebagai Bangunan SUK Selangor. Tindakan ini gara-gara pembantahan mereka di atas cadangan pemindahan sebuah kuil dari Seksyen 19 ke kejiranan mereka di Seksyen 23.

Kira-kira 50 orang berarak dari Masjid Negeri selepas Solat Jumaat terus ke Bangunan SUK sebagai menyatakan bantahan mereka kepada MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, EXCO kebajikan negeri, YB Rodziah Ismail, dan EXCO kesihatan, Dr A Xavier Jayakumar. Turut menjadi sasaran Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

Penunjuk perasaan ini berjalan sambil membawa kepala lembu yang masih 'berdarah' dan melaungkan "Kami bantah" sepanjang perjalanan ke Bangunan SUK. Selain daripada kepala lembu, mereka turut membawa sepanduk, antaranya tertulis "Take Beer", "Islam untuk semua, kuil untuk Khalid dan Rodziah", "Kuil haram sekangkang kera, bila pindah sebesar Putrajaya", dan "Pindahkan kuil ke Seksyen 22".

"Mana Xavier? Kami ada kepala lembu untuk dia," jerit seorang penyokong, setibanya di pintu masuk bangunan kerajaan tersebut yang segera ditutup kerana kehadiran mereka.

Kira-kira 10 anggota polis hanya memerhati dan mengawal keadaan sekitar kawasan tersebut.

Selepas kepala lembu itu diletakkan di hadapan pintu masuk utama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak membantah pembinaan kuil itu, Ibrahim Sabri tampil berucap ringkas dan berapi-api. "Ini amaran. Pindahkan kuil dari Sekysen 23, buatlah di Seksyen 22. Lembu ini kami hadiahkan kepada kerajaan negeri, kepada Khalid Ibrahim, Khalid Samad dan Rodziah. Ini hadiah kami."

Dalam sidang media selepas itu, pengerusi jawatankuasa itu, Mahyuddin Manaf berkata, mereka membantah tindakan kerajaan itu kerana 80 peratus penduduk kawasan itu beragama Islam. "Mungkin ada yang salah tafsir bahawa kami biadab, tetapi pemimpin yang mengajar supaya biadab kerana mereka membiarkan (tidak peduli) penduduk di Seksyen 23." Mahyuddin kemudiannya menafikan yang kepala lembu tersebut dibawa oleh pihak penganjur.

PINDAH KUIL HINDU

Mari kita lihat kedudukan kuil yang asal di Seksyen 19 dan tapak cadangan kuil baru di Seksyen 22 dan 23.
Maklumat lanjut, sila klik pada pautan MP Shah Alam di sini.

Peta pertama di atas menunjukkan kedudukan Seksyen 19, 20, 22, dan 23 serta kedudukan kuil asal, tapak cadangan asal oleh bekas Kerajaan BN Selangor di Seksyen 22, dan tapak yang dicadangkan di Seksyen 23.

Kedudukan kuil baru yang dicadangkan adalah di pinggir kawasan industri Seksyen 23. Jarak rumah terdekat ke kuil adalah 200 meter, 30 kali lebih jauh berbanding jaraknya dengan rumah terdekat di Seksyen 19.

Kedua-dua kawasan Seksyen 19 dan 23 adalah kawasan MAJORITI MUSLIM. Namun, kuil Seksyen 19 dipindahkan bukan kerana ia terletak di kawasan majoriti Muslim. Ia dipindahkan kerana kuil tersebut berada 20 kaki di hadapan rumah orang. Kawasan itu juga tidak mempunyai tempat parkir kereta dan ini akan menyebabkan kesesakan apabila pihak kuil mengadakan upacara keagamaan mereka.

ISLAM DAN KEBEBASAN

Masalah di sini, mengapa perlu dibantah pembinaan kuil Hindu tersebut? Kerana 80 peratus penduduk Seksyen 23 menganut Islam? Hanya semata-mata 80 peratus penduduk Seksyen 23 Muslim? Semata-mata? Adakah Seksyen 19 dan 22 bermajoriti Hindu? Ketiga-tiga kawasan tersebut, Seksyen 19, 22, dan 23 adalah majoriti Muslim.

Mengapa kita jijik melihat bumbung kuil, bumbung tokong tatkala membuka jendela? Mengapa kita jijik bila kita melihat mereka berhimpun memuji berhala-berhala dewa mereka?

Adakah ini yang Islam ajar? Adakah ini yang syariat ajar? Adakah dengan membenarkan pembinaannya, kita menggadaikan akidah kita?

Ingat! Pemimpin perlu berlaku adil. Sebagaimana mereka membangunkan masjid yang megah menjulang tinggi, mereka perlu menyediakan kawasan buat yang lain sekurang-kurangnya memberi sebidang tanah untuk membina 'tempat teduhan' tuhan-tuhan mereka. Sebagaimana mereka memastikan orang Islam ada tempat untuk bersolat, seperti itulah mereka perlu memastikan orang Kristian, Hindu, atau Buddha mempunyai rumah sembahan mereka.

Tindakan mereka yang membawa 'Kepala Tuhan' mereka juga dianggap biadap dan menghina agama mereka. Orang Hindu menganggap lembu sebagai Tuhan, suci. Mengapa perlu digunakan kepala lembu sebagai simbol 'kebodohan' kerajaan negeri? Sekiranya mereka menggunakan kepala lembu sebagai simbol 'kebodohan' kerajaan negeri, mengapa perlu disepak-sepak kepala itu? Bukankah itu satu tanda kegeraman? Geram ke atas pembinaan kuil, geram ke atas penganut Hindu, sekaligus geram ke atas tuhan penganut Hindu yang mana kepala lembu yang dipijak dan yang disepak adalah tuhan mereka. Itu bukan mesej kebodohan kerajaan negeri, tetapi lebih kepada pencetus peperangan antara penganut Islam (yang BODOH) dan penganut Hindu yang marah lalu bangkit membalas!

Bukan masalah akidah seperti yang didakwa. Bukan masalah Islam seperti yang dikata. Bukan masalah kiblat seperti yang dinyata. Ini masalah keadilan buat semua penganut. Ini masalah kedudukan kuil lama. Sebagai kerajaan negeri, mereka bertanggungjawab memindahkan kuil tersebut ke kawasan yang lebih sesuai, lebih terurus, lebih teratur, dan melancarkan seisi penduduk yang menghuni di kawasan yang berhampiran.

Sekiranya Allah izinkan kepala lembu itu bertutur, pasti iakan berkata:
Baculnya manusia ini. Marah orang, kepala aku yang ditendang. Kalau berani, kalau jantan, pergilah tendang kepala orang yang kamu marah tu!

Sewaktu perarakan bukan main bersemangat. Kepala lembu dipijak dan ditendang. Marah kepada kerajaan negeri tetapi kepala lembu yang dipijak.

Bulan Ramadan seperti ini kita, umat Islam yang beriman, bertakwa seharusnya bertindak biarlah menampakkan kewarasan kita dan pandangan molek terhadap Islam hendaklah dipelihara serapinya. Tindakan memprovokasi dengan simbol dewa dan ketuhanan agama lain sepatutnya dihindarkan walaupun niat kita berbeza (benarkah berbeza atau benci terhadap mereka?). Tidak salah berdemontrasi. Yang menjadi salah kita seolah-olah cuba memprovok penganut agama lain dengan tindakan 'keberukan' tersebut. Natijahnya, kesempurnaan dan keadilan Islam dipijak dan bara Islamofobia semakin membuak-buak.

Ingatlah tika saudara kita di Eropah, khasnya di Jerman, mereka dahulu berjuang berhadapan dengan kumpulan Anti-Masjid semata-mata mahu mendirikan SEBUAH rumah Allah, tempat mereka memulakan ritual keagamaan dan kehidupan Islam mereka. Ketika kita mendengar keluh-kesah saudara di sana, kita mengeji, kita mengutuk tindakan orang-orang Kafir la'natullahi aleyhim yang memprotes pembinaan masjid. Jadi, mengapa perlu kita menghalang orang-orang Kafir yang mahukan rumah ibadat mereka didirikan? (Dalam konteks peristiwa di Shah Alam tadi ialah dipindahkan ke tempat yang lebih sesuai.) Kita tidak tumpah seperti orang Kafir yang kita kutuk itu, yang kita keji itu. Saudara kita di sana juga adalah minoriti sama seperti penganut Hindu di sini. Adakah mereka tidak berhak mendapatkan sebuah masjid? Celakalah kita jika perangai kita sama seperti mereka yang bencikan tertegaknya menara azan di Eropah sana.

Walaupun Allah swt hanya mengiktiraf Islam sebagai agama yang benar dan diterima di sisi-Nya, tetapi manusia diberikan kebebasan dalam mengamalkan kepercayaan masing-masing. Islam melarang rumah-rumah ibadat dirosakkan, dipecahkan ketika tentera Islam berjaya menakluk sesuatu kawasan. Islam menghormati agama-agama lain, bukan mencemuh, bukan menghina.

Islam tidak bermusuh dengan sesiapa semata-mata kerana agamanya berbeza dengan Islam. Islam hanya akan bangkit menentang dan menyerang bersama saff pejuang-pejuangnya apabila Islam dihina dan diperlekeh sebagaimana Islam sangat menghormati siapa jua yang menghormati dan memelihara kesucian Islam. Jangan cemari kesucian agama Islam dan mendorong orang salah faham terhadap dasar dan prinsip agama dengan tindakan yang menyalahi kehendak agama Islam itu sendiri.

Firman Allah swt:
وَلاَ تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan mengenai-Nya. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.
AQ 6:108

والله أعلم بالصواب

Seksyen 3, Bandar Bukit Mahkota, Bangi

Sila rujuk al-Quran Rasm Uthmani untuk membaca petikan ayat yang diberikan bagi mengelakkan daripada kesilapan dalam pembacaan.