Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

19 September 2009

Ramadhan 1430 @ KL Part 2

Salam Ramadan 1430H.

Hari ini (Jumaat) adalah hari yang ke-28 kita berpuasa. Insya-Allah, esok adalah hari yang terakhir kita berada dalam bulan yang mulia ini sebelum kita meninggalkannya selama 11 bulan. Adakah kita berupaya mengisi kekosongan jiwa ketika didampingi Ramadan? Itu biarlah hati dan jiwa yang menjawabnya. Saya tiadalah mahu menjawab sama ada ia berjaya mahupun tidak kerana itu bukanlah tugas saya. Yang penting di sini, kita berubahlah. Sekiranya kita selama ini sering lalai dan alpa dengan amanah dan tanggung yang Tuhan galaskan kepada kita, maka kita perbaikilah agar kita berjaya melaksanakannya. Sekiranya kita berjaya sudah menempuhnya, maka kita tingkatkanlah mutu dan kualitinya agar kehidupan kita sebagai khalifah dan hamba akan senantiasa dilimpahkan rahmat dan redha daripada Allah swt hendaknya, insya-Allah.

Pada post saya kali ini, saya ingin berkongsi serba-sedikit dua tiga gambar yang saya snap ketika membeli-belah di Lorong Tuanku Abdul Rahman dua hari sebelum raya.

Disebabkan hari ini hari Jumaat (28 Ramadan 1430H), terpaksalah saya ambil keputusan untuk bergerak ke Kuala Lumpur sesudah solat Jumaat. Pada hari itu juga saya terlupa yang surau berhampiran dengan rumah saya ada mengadakan solat Jumaat. Puas saya bergegas ke masjid di Wangsa Melawati takut-takut terlambat sedangkan saya boleh ke Surau Taman Permata yang tidak sampai 1 km jauhnya dari rumah. Maklumlah, sudah berbulan-bulan tidak ber'Jumaat' di situ.

Macam biasalah, saya bergerak ke KL dengan pengangkutan awam. Lali dah keadaan KL masa begini. Tak usahlah berkenderaan ke pusat bandar melainkan tengah malam. Eloklah kita bersesak-sesak dalam public transports daripada kita memandu atau menunggang. Maklumlah, banyak masalah kita kena hadapi kalau berkenderaan sendiri. Selain terpaksa terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas, kita akan berhadapan dengan kekurangan kawasan parkir walaupun parkir berbayar. Kalau parkir sesuka hati, tunggu sahajalah surat saman daripada DBKL atau polis trafik atau kenderaan anda ditunda. Jawab sendiri di balai. Itu antara keburukannya. Oleh itu, eloklah kita naik bas atau LRT. Sambil bersendat-sendat bagai ikan dalam tin, mata kita akan 'dicuci' oleh awek-awek cun (astaghfirullah, bulan puasa belum habis lagi). Kalau awek-awek cun yang berpakaian sendat dan singkat itu bukan Muslim, bolehlah dimaafkan lagi. Tetapi kalau awek-awek cun itu Islam agamanya, tak tahulah apa nak kata. Kalau kita tegur, silap-silap tangan di pipi. Entahlah. Seolah-olah mereka langsung tidak menghormati Allah sebagai Tuhan, Ramadan sebagai bulan yang mulia. Serahkan semua itu kepada Tuhan. Jangan sampai kita terliur time bulan mulia sebegini, sudahlah...

Pintu masuk Stesen LRT Aliran Kelana Jaya (PUTRA LRT) Masjid Jamek. Orang ramai bersesak-sesak untuk bershopping last minute sebegini.

Itulah kehidupan. Bagi rakyat kelas pertengahan seperti saya, pengangkutan awam menjadi pilihan untuk bergerak. Lebih-lebih lagi jika arah tujuan itu ke tengah kota metropolitan yang sentiasa sesak. Pengangkutan awam yang menjadi nadi warga kota kelas pertengahan ini sepatutnya dijaga dan terus-menerus disubsidikan supaya kos menaikinya tidak meningkat dengan mendadak. Sebelum ini, saya boleh merayau-rayau sekitar ibu kota seharian dengan hanya RM 4 untuk pengangkutan sebelum kerajaan menaikkan tambang bas seluruh negara Ogos lepas. Tak percaya? Sebelum ini, bas RapidKL menggunakan sistem pas harian sebagai tiket. Jika mahu ke ibu kota, saya hanya perlukan 2 pas harian untuk menaiki bas Utama dan Bandar. Tiket ini boleh digunakan berulang-ulang kali tanpa had selama sehari dan juga boleh digunakan pada mana-mana bas yang dikategorikan pada pas harian tersebut. Tidak seperti sekarang. Setiap penumpang dikenakan cas mengikut zon. Minimum cas yang dikenakan adalah sebanyak RM 1 bagi setiap pejalanan.

Adakah itu pembangunan yang selama ini diidam-idamkan?
Adakah itu pembangunan yang selama ini didambakan?
Adakah itu pembangunan yang selama ini diharapkan?

Pada saya, TIDAK. Saya tidak menolak ini adalah salah satu bentuk pembangunan. Tetapi ia bukanlah bentuk pembangunan yang saya dan majoriti warga kota mahukan. Semakin hari semakin menekan pengguna setianya. Manakah pemimpin yang mengaku prihatin dengan masalah rakyat? Mana mereka?

Hidup Bari*** ********.
Hidup UM**.

Ops... Ini bukan ceramah politik. Cuma mahu membuka minda agar kita dapat melihat realiti kehidupan, bukan pada indahnya taburan janji. Mereka sebenarnya menanam tebu di bibir mereka. Usahlah ditunggu air daripada tebu itu, kelakkan merana.

Target saya, sepasang baju Melayu berwarna hijau pucuk pisang, samping, butang baju, dan songkok hitam. Budget pula seboleh-bolehnya tidak lebih daripada RM 100. Tahun lepas, saya mampu membeli sepasang baju Melayu berwarna biru cair beserta samping, butang, dan songkok dengan harga tepat RM 101. Entah macam mana, tahun lepas, semua orang (termasuk YDPA) mengenakan baju Melayu berwarna biru cair. Masing-masing macam sokong Tan Sri Khalid je... Maklumlah, warna PKRkan biru cair. Wallahu a'lam.

Bazar Jalan Masjid India

Tahun ini, saya memilih warna hijau pucuk pisang sebab saya berkenan tengok gambar artis dalam akhbar, bukan berkenan pada artis itu, berkenan dengan warna baju yang dipakai. Kebetulan pula saya selak akhbar itu beberapa minit sebelum saya keluar rumah untuk ke KL. Mak saya pula setuju dengan pilihan itu.

Jadi, mata melilau sahajalah bila sampai Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR). Dari hujung ke hujung saya mencari dan memerhati harganya. Walaupun banyak baju Melayu berwarna hijau, kebanyakkannya adalah kain SB Line Germany. Apa tu? Entahlah. Jenis kain agaknya. Jenis kain itu memang langsung tidak berkenan pada saya walaupun harganya menyentuh jiwa, ala murah...

Bukan kata Lorong TAR, saya juga ke Kamdar, Globe (atau Sarah Huggies) dan setiap kedai berhampiran kedua-duanya di Jalan TAR. Ada gedung pakaian yang menawarkan potongan harga sehingga 50% tetapi warna dan jenis kainnya langsung tidak menarik perhatian.

Mahu tidak mahu terpaksalah ber'saie' semula di Lorong TAR. Nasib baiklah ada juga bro ni yang jual baju Melayu yang saya cari. Cuma harganya lebih RM 100 sepasang. Itu harga asallah. Harga yang saya beli dengan bro ni cuma RM 70. 70 pun 70-lah. Janji baju Melayu yang saya 'dambakan' berjaya dimiliki. Selesai mencari baju Melayu, tugas seterusnya pula mencari butang yang sesuai dan samping. Mencari butang tidaklah sesusah mencari samping. Butang harganya semurah RM 10 sedangkan samping yang cantik molek dijual beratus-ratus ringgit. Mana boleh beli samping beratus-ratus ringgit sedangkan baju Melayu sahaja sudah RM 70.Kalau dibeli juga, larilah budget yang telah ditetapkan sebelum ini. Ingat, ini pengurusan kewangan yang bersistematik dan cara bershopping yang smart.

Akhirnya, bertemu juga dengan seorang pakcik bersama anaknya yang cun (astaghfirullah, Ramadan belum habis lagi) yang jual samping murah yang berkenan di hati. Apa lagi, sebelum warna yang saya suka dikebas orang, lebih baik saya kebas dulu.

Baju Melayu, sudah. Butang, sudah. Samping, sudah. Tinggal songkok pula. Pencarian songkok tidaklah sesusah mana. Pergi sahaja ke Mydin, harga songkok serendah RM 8.50. Memang belambak. Cuma masalahnya, saiz 21 ¾ hanya tinggal satu. Itupun setelah saya selongkar timbunan songkok yang menggunung itu. Semua itu ujian Tuhan, sabar atau tidak hamba-Nya. Lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan.

Pergh... 'Peperiksaan' Tuhan bukan hanya pada sabarnya mencari baju Melayu, samping, dan songkok. Itu semua 'soalan' satu. Rupa-rupanya 'belakang kertas soalan' ada pula 'soalan kedua'. Hujan pula turun mencurah-curah. Sudahlah payung tak bawa, rasa sayang bila terus balik ke rumah. Apa lagi, saya redah sahajalah hujan. Kalau tidak rugi datang sekadar beli baju sahaja. Rasa puas seputar sekitar, barulah saya pulang ke rumah dalam keadaan menggigil kesejukan. Sejuk cuaca hujan campur sejuk air-cond LRT dan bas RapidKL.

Alhamdulillah. Budget baju Melayu satu pasang tahun ini tidaklah terlalu mahal walaupun melebihi budget dan harga tahun lepas.
Baju Melayu: RM 70.00 (setelah membodek bro yang jual baju)
Samping: RM 25.00 (harga selepas potongan nak raya)
Butang baju: RM 10.00 (nett price. Tak boleh kurang)
Songkok: RM 8.50 (jimat kos berbanding beli dekat tempat lain)
Jumlah harga: RM 113.50

Walaupun menangis jugalah sebab terlebih RM 13.50 daripada budget, tetapi rasa berbaloi sebab mampu juga mengcontrol aliran wang daripada berbelanja sehingga dua tiga ratus.

Saya rasa lebih berbaloi tika mana sampai ke rumah, Pak Cik Adnan sekeluarga datang berbuka puasa bersama dengan family saya di rumah. Memang tidak pernah miss Pak Cik Adnan datang setiap bulan Ramadan untuk berbuka bersama kami walaupun taraf kami tidak setinggi Pak Cik Adnan.

Lorong Tuanku Abdul Rahman

Hujan... Cepat lari...


Walaupun hujan, orang ramai masih lagi berpusing-pusing mencari apa yang dicari.

Kelihatan kompleks Balai Polis Dang Wangi baru yang masih dalam pembinaan.

Patung pun tahu senseng (lipat) kaki seluar...

Biasalah bersesak-sesak dan bersendat-sendat di dalam LRT.

Ramadan belum keluar rumah, kenapa hati tetiba teringat Syawal yang belum hadir?

Salam Ramadan dan Salam Aidilfitri.

Taman Permata, Hulu Kelang

No comments:

Post a Comment