Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

02 September 2009

Kuil, Kepala, Kebebasan, Kemuliaan...

قال تعالى في كتابه العزيز
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
وَلاَ تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Antara Pembinaan kuil, 'hadiah' kepala lembu, dan kemuliaan Islam...

YB Rodziah, Untuk pengetahuan kamu, ini bukan orang-orang UMNO, tetapi semua orang ada di sini, orang PKR, orang PAS, orang UMNO. Yang ada di sini adalah semangat Islam mereka, semangat kemelayuan mereka. Mereka marah! Mereka marah dengan tindakan kamu! Mereka marah dengan tindakan kamu yang membelakangkan Melayu, membelakangkan Islam! Di manakah akidah kamu? Di manakah Islam kamu? Di manakah kiblat kamu? Wahai YB-YB yang bertopeng menjadi syaitan! Dengar, ini amaran kami! Pindahkah kuil daripada Seksyen 23 dan buatlah di Seksyen 22. Itu amaran kami hari ini.
Wakil jawatankuasa bertindak membantah pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam pada 28 Ogos 2009


Sila klik di sini untuk video tambahan.

Salam Ramadan 1430H.

Hampir seminggu sudah, Selangor dikejutkan dengan 'tragedi berdarah' di mana sekumpulan NGO yang mengaku diri mereka 'penyelamat akidah dan kesucian Islam' berdemo di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, atau lebih dikenali sebagai Bangunan SUK Selangor. Tindakan ini gara-gara pembantahan mereka di atas cadangan pemindahan sebuah kuil dari Seksyen 19 ke kejiranan mereka di Seksyen 23.

Kira-kira 50 orang berarak dari Masjid Negeri selepas Solat Jumaat terus ke Bangunan SUK sebagai menyatakan bantahan mereka kepada MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, EXCO kebajikan negeri, YB Rodziah Ismail, dan EXCO kesihatan, Dr A Xavier Jayakumar. Turut menjadi sasaran Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

Penunjuk perasaan ini berjalan sambil membawa kepala lembu yang masih 'berdarah' dan melaungkan "Kami bantah" sepanjang perjalanan ke Bangunan SUK. Selain daripada kepala lembu, mereka turut membawa sepanduk, antaranya tertulis "Take Beer", "Islam untuk semua, kuil untuk Khalid dan Rodziah", "Kuil haram sekangkang kera, bila pindah sebesar Putrajaya", dan "Pindahkan kuil ke Seksyen 22".

"Mana Xavier? Kami ada kepala lembu untuk dia," jerit seorang penyokong, setibanya di pintu masuk bangunan kerajaan tersebut yang segera ditutup kerana kehadiran mereka.

Kira-kira 10 anggota polis hanya memerhati dan mengawal keadaan sekitar kawasan tersebut.

Selepas kepala lembu itu diletakkan di hadapan pintu masuk utama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak membantah pembinaan kuil itu, Ibrahim Sabri tampil berucap ringkas dan berapi-api. "Ini amaran. Pindahkan kuil dari Sekysen 23, buatlah di Seksyen 22. Lembu ini kami hadiahkan kepada kerajaan negeri, kepada Khalid Ibrahim, Khalid Samad dan Rodziah. Ini hadiah kami."

Dalam sidang media selepas itu, pengerusi jawatankuasa itu, Mahyuddin Manaf berkata, mereka membantah tindakan kerajaan itu kerana 80 peratus penduduk kawasan itu beragama Islam. "Mungkin ada yang salah tafsir bahawa kami biadab, tetapi pemimpin yang mengajar supaya biadab kerana mereka membiarkan (tidak peduli) penduduk di Seksyen 23." Mahyuddin kemudiannya menafikan yang kepala lembu tersebut dibawa oleh pihak penganjur.

PINDAH KUIL HINDU

Mari kita lihat kedudukan kuil yang asal di Seksyen 19 dan tapak cadangan kuil baru di Seksyen 22 dan 23.
Maklumat lanjut, sila klik pada pautan MP Shah Alam di sini.

Peta pertama di atas menunjukkan kedudukan Seksyen 19, 20, 22, dan 23 serta kedudukan kuil asal, tapak cadangan asal oleh bekas Kerajaan BN Selangor di Seksyen 22, dan tapak yang dicadangkan di Seksyen 23.

Kedudukan kuil baru yang dicadangkan adalah di pinggir kawasan industri Seksyen 23. Jarak rumah terdekat ke kuil adalah 200 meter, 30 kali lebih jauh berbanding jaraknya dengan rumah terdekat di Seksyen 19.

Kedua-dua kawasan Seksyen 19 dan 23 adalah kawasan MAJORITI MUSLIM. Namun, kuil Seksyen 19 dipindahkan bukan kerana ia terletak di kawasan majoriti Muslim. Ia dipindahkan kerana kuil tersebut berada 20 kaki di hadapan rumah orang. Kawasan itu juga tidak mempunyai tempat parkir kereta dan ini akan menyebabkan kesesakan apabila pihak kuil mengadakan upacara keagamaan mereka.

ISLAM DAN KEBEBASAN

Masalah di sini, mengapa perlu dibantah pembinaan kuil Hindu tersebut? Kerana 80 peratus penduduk Seksyen 23 menganut Islam? Hanya semata-mata 80 peratus penduduk Seksyen 23 Muslim? Semata-mata? Adakah Seksyen 19 dan 22 bermajoriti Hindu? Ketiga-tiga kawasan tersebut, Seksyen 19, 22, dan 23 adalah majoriti Muslim.

Mengapa kita jijik melihat bumbung kuil, bumbung tokong tatkala membuka jendela? Mengapa kita jijik bila kita melihat mereka berhimpun memuji berhala-berhala dewa mereka?

Adakah ini yang Islam ajar? Adakah ini yang syariat ajar? Adakah dengan membenarkan pembinaannya, kita menggadaikan akidah kita?

Ingat! Pemimpin perlu berlaku adil. Sebagaimana mereka membangunkan masjid yang megah menjulang tinggi, mereka perlu menyediakan kawasan buat yang lain sekurang-kurangnya memberi sebidang tanah untuk membina 'tempat teduhan' tuhan-tuhan mereka. Sebagaimana mereka memastikan orang Islam ada tempat untuk bersolat, seperti itulah mereka perlu memastikan orang Kristian, Hindu, atau Buddha mempunyai rumah sembahan mereka.

Tindakan mereka yang membawa 'Kepala Tuhan' mereka juga dianggap biadap dan menghina agama mereka. Orang Hindu menganggap lembu sebagai Tuhan, suci. Mengapa perlu digunakan kepala lembu sebagai simbol 'kebodohan' kerajaan negeri? Sekiranya mereka menggunakan kepala lembu sebagai simbol 'kebodohan' kerajaan negeri, mengapa perlu disepak-sepak kepala itu? Bukankah itu satu tanda kegeraman? Geram ke atas pembinaan kuil, geram ke atas penganut Hindu, sekaligus geram ke atas tuhan penganut Hindu yang mana kepala lembu yang dipijak dan yang disepak adalah tuhan mereka. Itu bukan mesej kebodohan kerajaan negeri, tetapi lebih kepada pencetus peperangan antara penganut Islam (yang BODOH) dan penganut Hindu yang marah lalu bangkit membalas!

Bukan masalah akidah seperti yang didakwa. Bukan masalah Islam seperti yang dikata. Bukan masalah kiblat seperti yang dinyata. Ini masalah keadilan buat semua penganut. Ini masalah kedudukan kuil lama. Sebagai kerajaan negeri, mereka bertanggungjawab memindahkan kuil tersebut ke kawasan yang lebih sesuai, lebih terurus, lebih teratur, dan melancarkan seisi penduduk yang menghuni di kawasan yang berhampiran.

Sekiranya Allah izinkan kepala lembu itu bertutur, pasti iakan berkata:
Baculnya manusia ini. Marah orang, kepala aku yang ditendang. Kalau berani, kalau jantan, pergilah tendang kepala orang yang kamu marah tu!

Sewaktu perarakan bukan main bersemangat. Kepala lembu dipijak dan ditendang. Marah kepada kerajaan negeri tetapi kepala lembu yang dipijak.

Bulan Ramadan seperti ini kita, umat Islam yang beriman, bertakwa seharusnya bertindak biarlah menampakkan kewarasan kita dan pandangan molek terhadap Islam hendaklah dipelihara serapinya. Tindakan memprovokasi dengan simbol dewa dan ketuhanan agama lain sepatutnya dihindarkan walaupun niat kita berbeza (benarkah berbeza atau benci terhadap mereka?). Tidak salah berdemontrasi. Yang menjadi salah kita seolah-olah cuba memprovok penganut agama lain dengan tindakan 'keberukan' tersebut. Natijahnya, kesempurnaan dan keadilan Islam dipijak dan bara Islamofobia semakin membuak-buak.

Ingatlah tika saudara kita di Eropah, khasnya di Jerman, mereka dahulu berjuang berhadapan dengan kumpulan Anti-Masjid semata-mata mahu mendirikan SEBUAH rumah Allah, tempat mereka memulakan ritual keagamaan dan kehidupan Islam mereka. Ketika kita mendengar keluh-kesah saudara di sana, kita mengeji, kita mengutuk tindakan orang-orang Kafir la'natullahi aleyhim yang memprotes pembinaan masjid. Jadi, mengapa perlu kita menghalang orang-orang Kafir yang mahukan rumah ibadat mereka didirikan? (Dalam konteks peristiwa di Shah Alam tadi ialah dipindahkan ke tempat yang lebih sesuai.) Kita tidak tumpah seperti orang Kafir yang kita kutuk itu, yang kita keji itu. Saudara kita di sana juga adalah minoriti sama seperti penganut Hindu di sini. Adakah mereka tidak berhak mendapatkan sebuah masjid? Celakalah kita jika perangai kita sama seperti mereka yang bencikan tertegaknya menara azan di Eropah sana.

Walaupun Allah swt hanya mengiktiraf Islam sebagai agama yang benar dan diterima di sisi-Nya, tetapi manusia diberikan kebebasan dalam mengamalkan kepercayaan masing-masing. Islam melarang rumah-rumah ibadat dirosakkan, dipecahkan ketika tentera Islam berjaya menakluk sesuatu kawasan. Islam menghormati agama-agama lain, bukan mencemuh, bukan menghina.

Islam tidak bermusuh dengan sesiapa semata-mata kerana agamanya berbeza dengan Islam. Islam hanya akan bangkit menentang dan menyerang bersama saff pejuang-pejuangnya apabila Islam dihina dan diperlekeh sebagaimana Islam sangat menghormati siapa jua yang menghormati dan memelihara kesucian Islam. Jangan cemari kesucian agama Islam dan mendorong orang salah faham terhadap dasar dan prinsip agama dengan tindakan yang menyalahi kehendak agama Islam itu sendiri.

Firman Allah swt:
وَلاَ تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan mengenai-Nya. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.
AQ 6:108

والله أعلم بالصواب

Seksyen 3, Bandar Bukit Mahkota, Bangi

Sila rujuk al-Quran Rasm Uthmani untuk membaca petikan ayat yang diberikan bagi mengelakkan daripada kesilapan dalam pembacaan.

No comments:

Post a Comment