Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

05 September 2009

Kemerdekaan: Benci atau Ikut Penjajah?

Sudah 52 tahun negara kita merdeka, tetapi kita masih lagi ditanamkan semangat 'bencikan penjajah'.

Benarkah kita benci dengan penjajah? Tanyalah diri kita sendiri sama ada ia benar atau tidak.

Bagi saya, saya tidak langsung bencikan penjajah. Saya 'sayaaaaaaaaaaaaaangkan' penjajah. Tidak usahlah dibenci mereka. Tiada faedah langsung.

Sultan Ibrahim Iskandar al-Masyhur Ibni Sultan Abu Bakar, Sultan Johor ke-22
Sekiranya orang Melayu sejak dahulu kala bencikan penjajah, kenapa masih ada yang mempertahankan kerajaan British di Tanah Melayu ketika kemasukan tentera Jepun? Sekiranya orang Melayu sejak dahulu kala bencikan penjajah, kenapa tiada seorangpun rakyat Johor yang menasihati dan mempertahankan Sultan Ibrahim, Sultan Johor daripada menerima D.G. Campbell sebagai seorang Residen British pada 1909 sekaligus mengiktiraf (secara lisan) dan melengkapkan penjajahan British di Tanah Melayu? Sekiranya orang Melayu sejak dahulu kala bencikan penjajah, kenapa masih ada daripada orang Melayu dahulu yang menerima segala jenis pentadbiran dan pengurusan daripada British ketika kita masih lagi dijajah seperti asas Pelembagaan Persekutuan yang berasaskan daripada Suruhanjaya Reid dan sebagainya? Sekiranya orang Melayu sejak dahulu kala bencikan penjajah, kenapa kita mengikut segala telunjuk mereka semata-mata mahu mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu? Bukankan semua itu bukti yang kita 'sayaaaaaaaaaaangkan' penjajah?


Suruhanjaya Reid

Sepatutnya kita tidaklah terburu-buru menanamkan sifat kebenciaan terhadap penjajah yang menjajah tanah kelahiran kita. Takdir Allahlah yang menjadikan Tanah Melayu terkehadapan sedikit ketika di dalam era penjajahan British. Walaupun kerajaan British masuk membawa bersama dengannya ideologinya yang bertentangan dengan adat budaya masyarakat Melayu, tetapi kita juga tidak dapat menafikan teknologi-teknologi yang turut dibawa mereka memasuki Tanah Melayu.

Apa yang terbaik, apa yang berguna, kita ambil. Yang menjadi hampas, kita buanglah.

Adakah kita boleh dikatakan merdeka daripada penjajahan sekiranya kita terus menerus menanamkan perkataan 'bencikan penjajah' walhal realitinya masih lagi diselubungi penjajahan mentaliti dan budaya?

Lihatlah gaya pemakaian muda-mudi Melayu yang menayangkan pusat dan betis. Lihatlah kehidupan sebahagian kaum elit dan pemuda Melayu yang suka berfoya-foya dengan arak, perempuan, dan segala macam maksiat. Lihatlah pemikiran Melayu yang masih lagi ekstrimis dengan perkauman sempitnya. Adakah ini boleh dianggap sebagai kemerdekaan bangsa Melayu?

Penterjemahan kemerdekaan daripada penjajahan penjajah sepatutnya ditafsirkan sebagai mengaplikasikan segala kemajuan dan kelebihan yang ada pada kaum penjajah kini untuk kelebihan negara kita. Janganlah kita masih lagi bermimpi-mimpi yang kejayaan membebaskan diri daripada belenggu penjajahan yang sudah 52 tahun berlalu. 50 tahun bukanlah masa untuk kita terus menerus bermimpi dengan mimpi indah kemerdekaan daripada penjajahan sebaliknya kita menterjemahkan pengertian tersebut kepada yang lebih realistik.

Kini, penjajah yang selama ini kita tanam dengan sifat kebencian terhadap mereka telah jauh lebih maju berbanding negara kita. Mereka mengamalkan kebebasan bersuara sedangkan kita menghalang kebebasan yang bertentangan dengan pemimpin. Mereka menghormati kepelbagaian penganut agama sedangkan kita sebuk mengarak kepala lembu. Mereka menilai statistik kegunaan wang rakyat termasuklah pembelanjaan pihak istana sedangkan kita masih lagi merahsiakan jumlah keuntungan yang dikaut kroni di dalam Petronas. Mereka mendidik anak kecil mereka supaya menghormati budaya dan agama yang pelbagai sedangkan kita terus menerus menyuntik dadah perkauman yang semakin hari semakin menebal ke dalam minda anak-anak.

Terbuktilah, kita terus menerus kebelakang sedangkan penjajah yang kita benci itu terus menerus terkehadapan dan semakin jauh meninggalkan kita.

Lihatlah iklan kemerdekaan FINAS yang terbaru. Seorang budak (mungkin budak sekolah rendah) yang bersemangat melaungkan perkataan 'merdeka' apabila tepat jam 12 tengah malam. Budak tersebut mengenakan baju Melayu dan songkok (tetapi berseluar pendek) dan turut mengibarkan Jalur Gemilang. Mereka terpekik dengan perkataan 'merdeka' tersebut sedangkan ibunya sedang tidur bersebelahan dengan mereka (terdapat dua orang budak, seorang budak yang memakai baju Melayu dan seorang lagi adiknya). Adakah hanya laungan perkataan 'merdeka' itu boleh diertikan sebagai satu penghayatan? Sesungguhnya, kebanyakkan kanak-kanak terutamanya mereka yang masih lagi bersekolah rendah tidak menghayati erti kemerdekaan yang sebenar-benarnya. Bukanlah penghayatan itu semata-mata mengibarkan Jalur Gemilang dan menunggu detik 12 tengah malam untuk terpekik. Penghayatan yang sebenarnya ialah kita mampu bertindak tanpa belenggu mana-mana pihak yang mampu menjajah sama ada orang luar, pemimpin yang kolot, dan mana-mana fahaman yang ektrimis terhadap kaum dan puak.

RAKYAT DIDAHULUKAN


Perdana Menteri kita, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebelum ini melancarkan slogan "1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" sepatutnya dipegang oleh seluruh rakyat Malaysia bermula daripada akar umbi sehinggalah mereka yang berada di pucuk hijau seperti pemimpin.

Pendapat saya, 1 Malaysia ini sememangnya sesuai untuk dijadikan pegangan rakyat Malaysia. Cuma masalahnya ialah, ke manakah hala tujunya jika kita masih lagi dijajah dengan pemikiran kebangsaan dan kemelayuan sahaja?

Lihatlah kenyataan orang nombor dua negara, Tan Sri Muhyidin sebelum ini yang melabelkan Datuk Seri Anwar sebagai seorang pengkhianat Melayu. Bukankah ini satu statement yang bersifat perkauman? Lihatlah perarakan kepala lembu, bukankah ini satu tindakan bersifat anti-Hindu? Lihatlah kempen-kempen politik yang diadakan sepanjang pilihanraya kecil selepas Mac 2008 yang kebanyakkannya bersifat perkauman. Adakah semua ini dapat merealisasikan hasrat YAB Perdana Menteri kita yang mahukan 1 Malaysia?

Adakah benar beliau benar-benar ikhlas dalam merealisasikan hasratnya, itu urusan dia dengan Tuhan. Persoalannya di sini, sampai bilakah negara kita mahu dijajah dengan bentuk pemikiran perkauman sebegini? Pemikiran perkauman ini akhirnya menolak semua jenis cadangan dan idea baru yang bertentangan dengan kaum itu sendiri.

Buangkanlah idea kesatuan kemerdekaan kita selagi mana kita terus dibelenggu dengan masalah perkauman dan tiada langsung bertolak ansur dalam urusan kaum lain. Sekiranya kita terlampau dengan fahaman perkauman dan kemelayuan kita yang fanatik dan ekstrimis, bunuh sahajalah mereka yang bukan Melayu itu atau lucutkan terus kewarganegaraan mereka. Bukankah ia lebih menyenangkan hati daripada mencetuskan kekacauan dan kegelisahan kaum berterusan.

Jangan jadikan 1 Malaysia sebagai retorik sebaliknya jadikanlah ia sebagai satu cara menyatu padukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, budaya, dan agama. Jauhilah segala tindakan yang bertentangan dengannya agar kita dapat hidup dalam keadaan yang jauh lebih harmoni, bukannya harmoni yang hanya dimainkan di kaca TV sedangkan realitinya berbeza.

والله أعلم بالصواب

Taman Permata, Hulu Kelang

No comments:

Post a Comment