Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

14 September 2009

Akhir Ramadan atau Awal Syawal: Mana Pilihan Hati?

"Assalamualaikum, Farhan. Apa khabar?"

"Oh, Hanafi. Wa 'alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Sihat wal'afiat. Kau pula apa khabar?"

"Alhamdulillah, sihat. Macam mana dengan persiapan raya tahun ini, Farhan?"

"Aku sebelum puasa lagi dah prepare untuk raya dah. Kalau boleh tak mahulah ganggu bulan Ramadan ini, boleh buat ibadat dengan selesa. Kau pula macam mana?"

"Aku samalah macam orang lain, shopping last minute. Nak buat macam mana, bonus hari raya baru saja dapat, jadi nak tak nak terpaksalah aku shopping time begini. Nak beli awal-awal, masa tu duit tak cukup lagi."

"Tak mengapalah, Hanafi. Shopping, shopping juga. Ibadat jangan lupa. Lebih-lebih lagi sekarang ini kita telahpun masuk ke 10 malam terakhir, yang mana Allah janjikan kepada kita pembebasan daripada api neraka-Nya."

"Insya-Allah, aku tak lupa. Alhamdulillah, setakat ini aku masih lagi istiqamah dalam ibadat tu. Cuma untuk berqiam tu agak beratlah. Tak tahulah. Makin dekat raya, makin banyak pula kerja yang perlu aku lakukan. Bermula dengan shopping, buat kira-kira perbelanjaan untuk balik kampung, belanja anak-anak, persiapan, dan sebagainya. Seolah-olah macam tak bagi aku beribadatlah."

"Cubalah cari masa untuk Tuhan, mudah-mudahan dia lapangkan masa untuk kita dan dipermudah segala urusan dunia kita. Mudah-mudahan"

"Mudah-mudahan. Syaaban tahun depan jangan lupa ingatkan aku. Aku pun cuba nak jadi macam kaulah. Bila tiba Ramadan, tak adalah aku kelam-kabut aku macam ni."

"Insya-Allah, aku ingatkan nanti. Biasalah, manusia. Suka buat kerja last-last minute. Sebab itulah Allah suka buka peluang ganjaran berlipat kali ganda last-last minute. Dia buat begitu sebab bagi peluang hamba-Nya yang masih lagi lalai agar dapat kembali kepada-Nya dan turut bersama-sama beribadat dengan orang-orang bertakwa yang lain. Taubat pun Allah buka sampai masa nyawa kita dah nak habis dicabut. Begitulah kasih dan murahnya pengampunan-Nya."

"Mudah-mudahan kita semua tergolonglah dalam orang-orang yang diampunkan Allah dan juga dihindarkan daripada api neraka, Amin."

"Amin. Mudah-mudahan begitulah, Hanafi. Eh, dah nak berbuka dah. Aku balik dululah. Assalamualaikum, Hanafi."

"Walaikumussalam, Farhan."

Salam Ramadan 1430H.

Kurang seminggu lagi Ramadan tahun ini akan pergi meninggalkan kita semua. Dalam masa dan minit yang terakhir sebegini, Maharaja Segala Raja, Pentadbir Kerajaan Dunia dan Langit, Allah swt masih lagi membuka peluang kepada kita, rakyat-Nya, hamba-Nya, makhluk-Nya supaya kita dapat mendekatkan diri kepada-Nya, beribadat dengan lebih bersungguh-sungguh, dan merebutkan manifestonya iaitu pembebasan kita daripada api neraka-Nya yang maha dahsyat itu.

Maha Pengampunnya Allah sehinggakan dia sanggup tunggu hamba-hamba-Nya yang lalai hampir 20 hari dalam bulan yang diberkati ini, tunggu sehingga mereka semua hadir kepada-Nya, memohon ampun atas kesalahan dan maksiat yang dilakukan selama ini, memohon syurga yang disediakan-Nya, dan yang paling penting, meminta RAHMAT dan REDHA Allah swt yang semestinya lebih awla dan lebih utama.

Dialah yang menciptakan manusia. Jadi, Dia lebih mengetahui kondisi dan keadaan manusia itu lebih daripada apa yang manusia itu sendiri tahu. Manusia itu lalai dan leka dengan hasutan syaitan, mainan nafsu yang terpesong, serta hiasan dan kemewahan dunia. Dia senantiasa memberi peluang walaupun manusia itu ada yang menyekutukan-Nya, memaki hamun-Nya, menafikan hak-Nya, dan sebagainya. Tindakan sedemikian tiadalah merugikan Allah sebaliknya ia menempah satu tempat duduk yang ekslusif di dalam penjara neraka-Nya yang panas tiada tolok tandingnya.

Sudahlah Dia menunggu kita sehingga penghujung Ramadan, ditambah lagi disediakan satu malam yang mana menurut firman-Nya, malam tersebut lebih baik daripada 1000 bulan, Lailatul Qadar.

Lailatul Qadar? Malam apa itu? Bila malamnya?
Pada saya, tidak perlulah ditanya maknanya dan bila malam tersebut yang sebenarnya walaupun terdapat ulama silam dan kini membahaskan secara panjang lebar mengenainya. Yang paling penting, kita tahu kelebihan malam ini dan tindakan kita agar kita berjaya merebut kelebihan dan ganjaran yang dikurniakan Allah pada malam tersebut.

KEHEBATAN LAILATUL QADAR

Di sini hanya disebutkan tiga sahaja. Sebenarnya terdapat lebih lagi kehebatan malam ini yang mana dicatatkan oleh ulama dalam kitab masing-masing.

1. Malam barakah yang diturunkan padanya al-Quran.
Kepada yang masih tidak mengetahui atau terlupa apa yang pernah ustaz-ustazah ajarkan masa sekolah menengah dahulu, al-Quran diturunkan pada fasa pertama secara sekaligus dari Lawh Mahfuz (لوح محفوظ) ke Baitul 'Izzah (بيت العزة) yang terletak di langit dunia sebelum diturunkan kepada Rasulullah saw secara berperingkat-peringkat. Firman Allah swt:
إِنَّا أَنْزَلْنَـٰٰهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَـٰرَكَةٍۚ
Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang barakah (berkat).
AQ 44:3

2. Malam yang diumpamakan seumpama 1000 bulan.
Kata Imam at-Thabari:
وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر
Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti seribu bulan adalah "Beramal pada lailatul-Qadar sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya lailatul-Qadar (selain bulan Ramadan).

Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi seribu bulan.

3. Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas, dan mengharapkan redha Allah.

TIPS MEREBUT 10 MALAM TERAKHIR RAMADAN DAN LAILATUL QADAR

1. Bersedia untuk merebutnya dari awal Ramadan terutama disegi keyakinan, kesungguhan merebut peluang tahunan ini dan merancang kalender harian agar mengosongkan 10 malam-malam terakhir tersebut untuk tujuan itu semata-mata, tidak untuk kesibukan lain.

2. Memahami bahawa di mana jawatan, kedudukan dan kesibukan kita di dunia ini, tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk beribadah kepada Allah swt dengan penuh keikhlasan, bersedia untuk 'hari yang tiada gunanya lagi harta dan anak-anak, melainkan orang yang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera' (Hari Akhirat).

3. Putuskan lebih awal sekurang-kurangnya sebelum masuk malam 20, masjid mana yang akan kita gunakan untuk Iktikaf, siang dan malam, sama ada sebahagian atau 24 jam sehari. Pastikan AJK masjid tersebut memahami ibadah Iktikaf dan Qiyamullail 10 Malam terakhir agar tidak berlaku masalah pengurusan dengan mereka yang tidak memahaminya.

4. Dapatkan teman agar sama-sama dapat melakukan ibadah tersebut secara berjemaah.

5. Jika anda bekerja bawah majikan, kenalpasti hari-hari yang akan dimohon cuti agar dapat lebih hari untuk beriktikaf di masjid. Jika anda tidak dapat mengambil cuti kerja, anda boleh cuba beriktikaf di masjid sepenuhnya dalam cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad.

6. Jika anda seorang pelajar, cuba habiskan kerja-kerja rumah atau assignments awal agar tidak tertimbun pada 10 malam terakhir Ramadan. Beli tiket balik kampung lebih awal agar tidak disibukkan mencari tiket nanti.

7. Bersedia untuk hari raya lebih awal, sebelum 10 malam terakhir, agar kita tidak disibukkan nanti dengan membeli-belah, memasang langsir, membuat kuih-muih, menyiap atau menjahit pakaian raya dan sebagainya seperti yang sering berlaku pada ramai orang yang kurang memahami dan menghayati kelebihan 10 malam terakhir Ramadan.

8. Memahami bahawa asas perubahan ke arah kebaikan pada seseorang bahkan pada sesebuah umat ialah pembaikan jiwa yang ada di dalam diri masing-masing. Madrasah 10 malam terakhir Ramadan dan Lailatul Qadar yang bakal dilalui boleh turut membantu mencapai ke arah perubahan tersebut.

Semoga Allah swt mengurniakan ketakwaan kepada kita setelah menjalani ibadat pada bulan Ramadan ini. Kita keluar darinya nanti dengan beroleh rahmat, keampunan dan selamat dari api neraka. Amien.

Seksyen 3, Bandar Bukit Mahkota, Bangi

No comments:

Post a Comment