Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

07 March 2016

Pemuda Buta Bersama Telefon Pintar

Hari ini, saya ke sekolah menaiki komuter, kali kedua saya menaiki komuter sejak saya membeli kereta Viva pada Jun 2011.

Perjalanan yang mengambil masa lebih sejam ini saya gunakan untuk menyandarkan badan saya di kusyen komuter yang saya kira agak keras. Huhuhu.

Ketika tren komuter berhenti di Stesen KL Sentral, ramai penumpang yang menaiki tren, salah seorangnya, pemuda buta.

Pemuda buta tersebut memasuki tren dengan bantuan seorang lelaki, lingkungan 40-an saya kira. Pemuda buta melabuhkan duduknya bersebelahan kiri tempat duduk saya.

Tongkat putihnya dicabut-cabut dan diikat dengan tali, kemudian digenggam erat.

Saya meneliti pemuda buta tersebut. Terfikir ke manakah hendak pemuda buta tersebut tuju?

Berdasarkan perbualan antara pemuda buta dan lelaki yang membantunya itu, kedengaran pemuda buta bergerak dari Shah Alam, menuju ke satu destinasi yang tidak saya ketahui, tetapi yakinnya menghala ke Seremban.

Kedengaran telefon bimbitnya berbunyi. Kocek seluarnya diseluk, telefon pintar berskrin boleh sentuh jenama Lenovo dikeluarkan.

Saya agak kagum, pemuda buta tersebut mampu menggunakan telefon pintar tanpa butang kekunci dengan baik atas bantuan aplikasi yang mengeluarkan suara dan bunyi bagi setiap item yang ditekan dan 'ditarik'.

Bertambah kagum, beliau mampu membalas mesej kumpulan di aplikasi WhatsApp dengan baik. Satu persatu aksara pada skrin telefon disentuh.

"N", dipadam semua. Disentuh huruf "N", kemudian dipadam lagi. Disentuh lagi "N" kemudian dipadam semula.

Kedudukan speaker telefon yang diletakkan ke telinga kanan pemuda tersebut menyebabkan saya dapat melihat dengan jelas setiap apa yang beliau sentuh di atas skrin.

Tiga kali huruf "N" di picit diikuti dengan "Backspace". Mungkin beliau tidak tahu apa yang menyala di atas skrin telefonnya, sangka saya.

Huruf seterusnya dipicit, tetapi kali ini, bukan huruf "N" tetapi huruf "M" yang terletak disebelah huruf "N" pula dipicit. Berbeza dengan sebelum ini, pemuda buta tersebut tidak memadam huruf "M" tersebut tetapi tangannya beralih ke sebelah kiri skrin untuk mencari huruf seterusnya.

Satu persatu huruf disentuh, dipadam sehinggalah huruf yang diingini berjaya dipilih dengan betul.

"Mesyuarat jam 10.30 di G***" (saya lupa ayat penuh yang beliau taip)

Dalam keadaannya menaip tidak melihat ke arah skrin (kerana buta, dan skrin tersebut dihalakan ke arah saya), saya begitu kagum pemuda tersebut hanya bergantung kepada bunyi yang keluar setiap kali aksara disentuh. Bunyinya kedengaran hampir sama di telinga saya tetapi berbeza di telinganya.

Subhanallah. Sungguh peka telinga pemuda buta jika dibandingkan dengan telinga saya yang kadang-kadang tak berapa nak dengar. Walaupun nikmat penglihatan ditarik, namun beliau dikurniakan nikmat pendengaran yang tajam, yang jarang dimiliki oleh insan yang celik.

Jam menunjukkan 7.53 pagi. Saya meninggalkan pemuda buta tersebut sendirian selepas tren komuter tiba di Stesen Nilai. Pemuda buta tersebut masih duduk, meneruskan perjalanan ke arah Seremban.

Entah mengapa hati saya sayu tatkala memandang pemuda buta tersebut melalui jendela keretapi. Bukan sayu kerana beliau cacat penglihatan, tetapi sayu terhadap diri saya yang selalu tidak mensyukuri terhadap nikmat yang Allah berikan, mencurah-curah.

Sekali Allah tarik satu nikmat, pasti hidup kita akan tempang.

Biar buta mata. Jangan buta hati.
Bersyukurlah. Dari sekecil-kecil nikmat seperti tidur hinggalah sebesar-besar nikmat seperti keamanan.

Tinta mencoret: Lihat sekeliling, ambil 'ibrah, pengajaran.

Stesen Komuter Nilai Nilai NSDK
Via Asus Zenfone 4

No comments:

Post a Comment