Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

14 June 2009

Takziah Buat Nadiah Hani

Marilah kita sama-sama menghadiahkan surah al-Fatihah buat bapa Nadiah Hani yang kembali ke rahmatullah pada malam Sabtu, 13 Jun 2009. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjfeeSRULfSjvm-6SDCQRPEezK8A6rS8SH7NzCL4GISrbflMrS2G5A93PAWFM1oJvNC58NLwiIWFel5Pm_DwXfiuN5xVFtengxMBRxNHhWbnIxnjg9zkoCvG0TQVxaRyORKxrweTkhyIJA/s320/alfatihah.jpg

Amien

Ucapan takziah dihulurkan kepada Nadiah Hani sekeluarga, semoga tabah menghadapi ujian Tuhan atas pemergian orang yang dikasihi.

Jalan Cheras, Kajang

13 June 2009

Pesan Walau Terpaksa Syahid!

Luasnya dunia ciptaan Allah swt. Walaupun jika dibandingkan dengan Musytari yang seratus kali ganda lebih luas, lebih besar berbanding bumi, namun manusia masih tidak mampu mentadbirnya dengan terurus. Seratus kali lebih kecil berbanding Musytari dan permukaannya hanya dilitupi oleh 30% daratan berbanding bakinya lautan. Subhanallah. Maha Suci Allah! Dia Maha Mengetahui, sekiranya lebih luas kawasan yang diamanahkan untuk dijaga manusia, pastinya lebih besar kerosakan yang dilakukan manusia, sama ada yang beriman mahupun yang kufur.

Dia mengurniakan banyak kekayaan hasil gali bumi, hasil perhutanan, hasil buruan, dan sebagainya untuk makhluk-Nya, sama ada yang beriman mahupun tidak. Di situlah diukurnya keimanan kita terhadap-Nya.

Namun begitu, ramai manusia yang jatuh tersadung apabila dilonggokkan dengan 1001 macam kekayaan, 1001 macam kenikmatan. Mereka lupa pada janji-janji mereka terdahulu, di mana mereka akan memakmurkan bumi Allah yang sekangkang kera ini.

Itulah manusia. Perkataan 'manusia' itu sendiri diambil daripada perkataan Arab, nasia (نسي), yang bermaksud lupa. Memang lumrah sekiranya manusia itu lupa, lupa pada janji-janji mereka terhadap Tuhan Rabbul Jalil. Sebab itulah Allah swt berfirman kepada hamba-hamba-Nya:

بسم الله الرحمن الرحيم
وَالْعَصْرِ
إِنَّ الإنسَانَ لَفِي خُسْرٍ
إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّــلِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu benar-benar rugi! Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebaikan dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
AQ 103:1-3

Dia yang mencipta manusia, sememangnya Dia Maha Arif tentang kondisi manusia. Dia sengaja menciptakan manusia itu bersifat dengan pelupa, supaya dapat diberikan rahmat-Nya kepada mereka yang lupa dan kumpulan yang saling mengingati yang ma'aruf.

Usah dibincangkan mereka yang sering lupa, lupa kepada janji, lupa kepada kebenaran, lupa kepada Tuhan. Barangsiapa yang ingkar selepas didatangkan kumpulan yang menyeru dan mengingat mereka, maka nerakalah yang lebih layak buatnya. Dan barangsiapa yang tidak didatangi kumpulan itu, maka pertimbangan Allahlah yang Maha Adil buatnya.

Khalifah Umar al-Khattab ra ketika meletakkan dirinya dalam kumpulan yang lupa ketika diangkat menjadi pemimpin umat Islam, beliau memohon rakyat jelata supaya menjadi kumpulan yang menyeru dan mengingatinya kepada yang ma'aruf walaupun dengan mata pedang! Begitu tinggi kepentingan ingat-mengingati sehinggakan 'dihalalkan' perbuatan 'membunuh' seseorang khalifah seperti beliau, pemimpin yang lebih warak dan alim berbanding sultan-sultan Melayu yang masih dipertahankan walaupun telah khilaf dalam perhitungan.

Firman Allah swt dalam kalam-Nya:
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Kamu (umat Islam) dijadikan sebagai sebaik-baik manusia dalam kalangan manusia lain, (di mana) kamu berpesan-pesan dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran (kejahatan dan kezaliman) dan kamu (turut) beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab (orang Yahudi dan Kristian) beriman, pastinya itulah yang terbaik buat mereka. Dalam kalangan mereka, ada yang beriman, tetapi kebanyakkan daripada mereka (lebih suka) melakukan kefasiqan (tidak beriman).
AQ 3:110

Bangun berjaya umat Islam itu bergantung kepada salingnya membetulkan kesalahan sesama sendiri, antara ahli keluarga, kawan dengan kawan, pekerja dengan majikan, sehinggakan kepada rakyat dan khalifah.

Taat kepada pemimpin itu sememangnya menjadi tuntutan tetapi sekiranya mereka ter'khilaf' dalam membuat keputusan, kontra kepadanya, iaitu rakyat mestilah bertindak sama ada secara pasif mahupun agresif, supaya kesalahan itu dapat dineutralkan. Sekiranya pada zaman Khulafa-ur-Rasyideen, khalifah memberi green light kepada rakyat untuk menegur kepimpinannya, bermula daripada teguran mulut sehinggakan kepada teguran mata pedang, tidak mustahil sekiranya kita melaksanakannya pada zaman sekarang dengan menggunakan pendekatan yang lebih sesuai, sama ada pasif mahupun agresif.

Kumpulan dakwahlah yang memainkan peranan ini. Tidak kira sama ada mereka berada dalam jalur politik, ekonomi, kekeluargaan, NGO, dan sebagainya, mereka ini sepatutnya diberikan sokongan dan dorongan. Tetapi kebanyakkan daripada mereka ini ditentang habis-habisan sehinggakan segala kebaikan dan kebenaran yang dizahirkan itu cuba disembunyikan sebalik tabir kezaliman dan penipuan licik. Mereka ini yang bersifat 'lupa' terhadap 'janji' mereka kepada Tuhan! Benarlah firman Allah yang disebutkan di atas! Dia memberikan kita satu gambaran dimana orang yang fasiq itu lebih ramai, maka ramailah penentang-penentang kumpulan yang menyampaikan satu peringatan buat mereka yang lupa dan lalai dengan kuasa. Kuasalah yang menjadikan mereka rakus menyiat nikmat-nikmat kurniaan Allah swt.

Ingatlah! Tempatkanlah diri kita di dalam kumpulan yang bertindak sebagai penasihat. Sekiranya kita berada dalam kumpulan yang lupa dan perlu kepada nasihat dan peringatan, terimalah segala teguran yang membina supaya kita tidak sesal kemudian hari. Ingatlah! Pesanlah saudara kita walaupun terpaksa syahid!

والله أعلم بالصواب

Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat

10 June 2009

Kerajaan Perpaduan: Satu Pandangan

Isu kerajaan perpaduan tidak langsung disentuh di dalam ucapan dasar Muktamar PAS baru-baru ini. Ia adalah idea dan buah fikiran Presiden PAS yang meletakkan prinsip yang jelas tidak membelakangi Pakatan Rakyat dan menolak untuk bergabung bersama UMNO-BN.

Selepas PRU pada 2008 yang lalu, lanskap politik negara berubah. BN yang tak biasa kalah, akhirnya tumbang di beberapa negeri. Pakatan Rakyat dalam usia yang masih terlalu muda telah berjaya menawan beberapa buah negeri termasuk Kedah, Perak, Pulau Pinang, dan Selangor. Kelantan sejak 1990 telah dipelopori oleh PAS dan gabungan perpaduan yang silih berganti. Bermula dengan Aangkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, dan kemudiannya Pakatan Rakyat (PR). Situasi di bebarapa negeri yang dimenangi oleh PR sangat genting dengan memenangi majoriti lebih 2-3 kerusi terutama di Perak. kerajaan PR di Perak bila-bila sahaja boleh tumbang. Kebimbangan ini memang ada asasnya, kerana mereka yang kebanyakan memenangi kerusi dalam PRU 12 tidak sehebat dan sekualiti ADUN PAS di Kelantan yang ternyata masih boleh bertahan walaupun kelebihan satu kerusi. Akhirnya berlaku aksi 'katak melompat-lompat' menyebabkan Kerajaan PR di Perak yang baru berusia setahun tumbang!

Kemenangan kerusi Parlimen yang lebih besar hasil gabungan PAS, DAP, dan PKR nampaknya memberi satu petanda bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan UMNO juga boleh rebah bila-bila masa seandainya 30-40 orang ahli Parlimen BN melompat meninggalkan BN. Lalu dengan penuh keyakinan Penasihat PKR mengemukakan gagasan 16 September untuk mengambil alih kerajaan. Namun gagasan itu diterima secara berbelah bahagi, ada yang setuju dan ada pula yang menyatakan membentuk kerajaan dengan kaedah lompatan sebegitu menyebabkan kerajaan yang dibina tidak berkredebeliti. Akhirnya, idea 16 September itu menjadi iguan ngeri buat semua pejuang PR di seluruh negara dan hampir juga menyebabkan iguan berpanjangan buat BN.

Berdasarkan dua situasi ini, BN seumpama harimau yang luka, walaupun tercedara namun masih bertaring. Dia masih punya kuku yang tajam untuk mencederakan sesiapa sahaja. Mereka punya segala kemampuan dan kekuatan kerajaan di tangan mereka. Apabila idea melompat parti membentuk kerajaan mula boleh diterima berinspirasikan 16 September, maka UMNO-BN mengatur strategi dengan terlebih dahulu menumbangkan Kerajaan PR Perak yang hanya mempunyai kelebihan 3 kerusi sahaja. Sebagaimana yang kita sedia maklum akhirnya Kerajaan PR Perak dirampas. Tiada siapa yang setuju dan tiada ruang boleh menghalalkan perbuatan ini. Tetapi mereka tak kira itu semua. Sehingga hari ini nampakanya kemelut kerajaan Perak masih belum reda. Bagaimana pentadbiran negeri dapat dijalankan dengan baik dan bagaimana pula keadaan rakyat. PAS tidak pernah gila kuasa, tetapi apabila yang berkuasa itu adalah orang gila maka PAS mesti berbuat sesuatu. Dalam keadaan yang sebegitu, turun naik mahkamah, PR memberi signal untuk berunding dengan Dato' Seri Najib bagi menyelesaikan isu Perak. Bahkan Dato' Seri Anwar sendiri pernah menyatakan dalam akhbar kesediaanya untuk berunding. Berunding bukanlah bererti bergabung. Apa masalahnya? Yang PR mahukan tidak lain hanyalah pilihanraya semula atau dikembalikan kuasa kepada PR.

Keadaan ini menyebabkan Tuan Guru Haji Hadi mencadangkan supaya diwujudkan kerajaan perpaduan dengan maksud mempertahankan Kerajaan PR yang sedia ada dari diganggu-gugat oleh UMNO-BN. Mereka tidak pernah berhenti berusaha menjatuhkan PR. Jaga-jaga PR di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Mereka ini boleh buat apa sahaja, bahkan menghalalkan yang haram pun mereka tidak segan silu melakukannya. Atas dasar itu maka kesemua kerajaan PR yang ada dibiarkan mengurus negeri yang dimenangi dan Kerajaan Pusat hanya akan ditumbangkan melalui pilihanraya tidak melalui kaedah 16 September, dengan syarat Pusat tidak boleh membezakan negeri-negeri yang ditadbir oleh PR dan pembangkang menjadi suara untuk menegur kerajaan. Itulah kaedah kerajan Perpaduan!

PAS berhadapan dengan UMNO-BN bukan baru. Berapa ramai di kalangan pejuang PAS yang gugur di atas kezaliman UMNO-BN, bukan atas dasar dendam PAS menutup ruang untuk bersama UMNO tetapi pengalaman telah mematangkan PAS mendepani UMNO-BN. Pas pernah bersendirian kala Dato' Seri Anwar Ibrahim bersama UMNO. Saat itupun PAS tidak terlalu kuat, tidak pernah digagaskan idea untuk bersama UMNO. Usahkan bergabung bersetuju dengan pandangan UMNO pun PAS tak mungkin lakukan. Kerana kita melawan UMNO bukan kerana namanya UMNO tetapi kerana kebatilan yang didukungnya. Jangan terlalu beremosi. Siasat dan beri wala' pada pimpinan. Kembalilah kepada tarbiyah kemenangan yang dididik oleh Allah swt dalam surah al-Nasr (1-3)

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ
وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا
فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau, wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau lihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.
AQ 110:1-3

Jangan sombong dan angkuh dengan sedikit kemenangan yang diuji oleh Allah swt. Kita tetap akan teruskan perjuangan ini, walaupun ramai yang bersangka dengan sangkaan yang tidak sepatutnya pada pimpinan. Kajilah kemelut kerajaan perpaduan ini dengan mengkaji Perjanjian Hudaibiyyah.

Perjanjian Hudaibiyyah (صلح الحديبية) ialah sebuah perjanjian yang dهadakan di sebuah tempat di antara Madinah dan Makkah pada bulan Mac 628 (Dzulkaedah, 6 H)

Pada tahun 628 M, sekitar 1400 Muslim berangkat ke Mekkah untuk melaksanakan ibadah haji. Mereka mempersiapkan haiwan kurban untuk dipersembahkan kepada kaum Quraisy. Quraisy, walaupun begitu, menyiapkan pasukannya untuk menahan Muslim agar tidak masuk ke Mekkah. Pada waktu ini, bangsa Arab benar benar bersiap terhadap kekuatan tentera Islam yang sedang berkembang. Nabi Muhammad mencuba agar tidak terjadi pertumpahan darah di Makkah, kerana Makkah adalah tempat suci.

Akhirnya kaum Muslim setuju, bahwa jalur diplomasi lebih baik daripada berperang. Kejadian ini dinukilkan Allah dalam kalam-Nya:

هو الذي انزل السكينة في قلوب المؤمينين
Bahawa Allah telah memberikan ketenangan bagi hati mereka agar iman mereka bisa bertambah.
AQ 48:4

Isi Perjanjian Hudaibiyyah berbunyi (maksudnya):
Dengan nama Tuhan. Ini perjanjian antara Muhammad saw dan Suhail bin 'Amru, perwakilan Quraisy. Tidak ada peperangan dalam jangka waktu sepuluh tahun. Siapapun yang ingin mengikuti Muhammad saw, dibenarkan secara bebas. Dan siapapun yang ingin mengikuti Quraisy, dibenarkan juga secara bebas. Seorang pemuda, yang masih mempunyai bapa atau penjaga, jika mengikuti Muhammad saw tanpa izin, maka akan dikembalikan semula kepada ayah atau penjaganya. Bila seorang mengikuti Quraisy, maka ia tidak akan dikembalikan. Tahun ini Muhammad saw akan kembali ke Madinah (tanpa melakukan ibadat haji). Tetapi pada tahun hadapan, mereka dapat masuk ke Makkah, untuk melakukan tawaf di sana selama tiga hari. Selama tiga hari itu, penduduk Quraisy akan mundur ke bukit-bukit. Mereka hendaklah tidak bersenjata ketika memasuki Makkah

Manfaat Hudaibiyah bagi kaum Muslim adalah :
1. Bebas dalam menunaikan agama Islam
2. Tidak ada penentang dari Quraisy
3. Mengajak kerajaan-kerajaan luar seperti Ethiopia (Habsyah) untuk masuk Islam

Perjanjian Hudaibiyyah yang berat sebelah ini ternyata dilanggar sendiri oleh Quraisy, tapi kaum Muslim kemudiannya membalas yang mana akhirnya berlakulah peristiwa Fathul Makkah (Pembukaan Kota Makkah) pada tahun 630. Berbekalkan 10,000 orang tentera, kaum Muslimin dengan mudahnya memasuki Makkah dari empat penjuru, walaupun terdapat sedikit tentangan. 360 buah berhala yang terdapat di sekeliling Ka'abah kemudian dimusnahkan sebagai tanda tiadanya sekutu bagi Allah, Tuhan Yang Maha Esa.

Apapun khurafat UMNO-BN sahaja yang boleh memerintah perlu dihapuskan. Percayalah, PAS tidak akan bertindak sebegitu bodoh bersatu dengan UMNO-BN!

Bandar Bukit Mahkota, Bangi

09 June 2009

Sebab Sebenar Bumbung SSZA Runtuh

Tahukah anda sebab sebenar runtuhan bumbung Stadium Sultan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak tempoh hari? Bukan rasuah, bukan salah guna kuasa. Ia sebenarnya disebabkan oleh...

Sila scroll ke bawah post ini


TARIKAN GRAVITI


Sumber daripada kitab-kitab karangan Sir Isaac Newton.

(Sekadar melepaskan tekanan dalam situasi dunia yang tidak menentu sekarang ini)

Bandar Bukit Mahkota, Bangi

07 June 2009

Itulah Sebenarnya Kita Sembah

Lupakan kedaulatan Sultan Perak. Lupakan kedaulatan Raja-raja. Semua ini tidak penting. Semua kedaulatan ini tidak akan diambil kira dalam agenda globalisasi yang sedang berjalan saat ini.

Semua Tun, Tan Sri, Datin, pak haji, Ayatollah, paderi, sami, rabbai atau apa sahaja bentuk manusia semuanya menjadi tidak berguna dalam agenda baru yang sedang berjalan hari ini.

Tuhan baru telah muncul. Tuhan yang dibawa oleh sistem kapitalis. Tidak percaya? Sila renung dan periksa diri sendiri. Sistem ekonomi kapitalis telah menjadikan manusia berebut-rebut untuk mengumpul harta. Sistem ekonomi kapitalis telah melahirkan satu budaya sehingga umat manusia dalam dunia ini terlupa dan terlalai bahawa kita hanyalah transit di atas muka bumi ini.

Budaya kapitalis ini telah mencakupi semua aspek kehidupan manusia. Manusia moden kurun ke-21 telah dilalaikan untuk menjadi binatang konsumer yang mengguna dan mengumpulkan pelbagai 'biji-biji saga' dan barangan kodi untuk mainan. Manusia moden telah menjadi seperti toyol yang asyik bermain dengan biji-biji saga hingga terlupa bahawa tujuan hidup ini untuk mengenal diri sendiri dan melakukan kebaikan.

Sistem kapitalis telah membawa satu budaya di mana ia mengasak, meraba dan merangsang sifat jahat dalam diri manusia. Hukum induk ekonomi kapitalis - keuntungan maksimum – telah melupuskan nilai baik yang sedia wujud dalam diri manusia.

Justeru, apakah kita hairan apabila kita terbaca dalam akhbar bagaimana pembekal susu tepung di tanah besar China telah membubuh melamin dalam tepung untuk dijual sebagai susu. Mereka menjual susu ini bukan kepada orang Sweden tetapi kepada bayi-bayi China, sanak-saudara mereka sendiri. Justeru, apakah kita hairan apabila membaca berita di Sepanyol dan Portugal, ada pembekal minyak zaiton membubuh minyak hitam yang terpakai untuk dijual sebagai campuran minyak zaiton. Justeru, apakah kita hairan apabila membaca bagaimana kontraktor Bumiputera yang bersunat dan selalu naik umrah telah membuat bangunan sekolah, bilik makmal, hospital, mahupun stadium dengan menggunakan barangan tidak berkualiti dan akhirnya bangunan-bangunan ini runtuh?

Semua ini dilakukan kerana mereka hidup mengikut hukum dan budaya kapitalisme. Keuntungan maksimum adalah tuhan baru yang sedang disembah. Selama 30 tahun kebelakangan ini, tuhan baru ini muncul di serata pelusuk dunia. Tuhan ini akan berada di mana sahaja wujudnya sistem ekonomi kapitalis, termasuk di Malaysia.

Tiga puluh tahun dahulu, air, api, jalan raya, hospital, bank, sekolah, universiti, telefon, radio, tv – semua ini milik kita bersama. Semua ini hak milik negara, bermakna hak milik orang ramai. Tiba-tiba harta orang ramai ini telah diswastakan. Siapa sebenarnya yang menelurkan dan mencadangkan dasar penswastaan ini? Dasar ini dimunculkan oleh pemikir kabel-kabel Illuminati. Para pemikir daripada pelbagai think tank (kumpulan pemikir) ini yang telah mengajukan agenda penswastaan kepada Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebagai satu usaha untuk apa yang mereka panggil – cara untuk memperbaiki dan mengembangkan ekonomi di negara-negara sedang membangun.

IMF dan Bank Dunia menjadikan penswastaan ini sebagai dasar untuk diterima pakai. Negara Dunia Ketiga yang miskin, jika ingin meminjam dana dari bank-bank antarabangsa, diwajibkan menjalankan dasar penswastaan. Penswataan bermakna menjualkan harta hak milik orang ramai kepada kaum kapitalis antarabangsa.

Di belakang dasar penswastaan ini, para pemilik bank dari kabel Illuminati. Para pemilik bank yang telah mengumpulkan berbilion kertas dolar memerlukan pasaran pelaburan baru. Hukum ekonomi kapitalis mewajibkan kaum pemodal terus mencari pasaran baru. Di Eropah barat, pasaran telah tepu. Maka kabel Illuminati telah mengarahkan Bank Dunia dan IMF memaksa buka seluas mungkin pasaran di negara Dunia Ketiga. Hasilnya, kita melihat harta negara kita, air, telefon, tv, jalan raya, hospital, bangunan, bank, semuanya bertukar tangan.

Apabila Perang Dingin tamat lihat apa yang telah terjadi kepada Rusia dan Eropah Timur. Negara-negara ini yang sedang mengamalkan sistem ekonomi sosialis telah diasak dan diserang. Rusia dipecah-pecahkan. Perang dicetuskan di Bosnia, di Kosovo, di Montenegro dan di Chechen, semua ini perancangan licik untuk memaksa harta rakyat di Eropah timur dijual kepada kaum pemodal antarabangsa.

Sesudah dasar penswastaan diterima pakai, kita mula terdengar apa yang dikatakan "dunia tanpa sempadan". Dunia tanpa sempadan ini agenda Illiminati untuk melupuskan kedaulatan negara. Dunia tanpa sempadan bukan bererti orang Afrika boleh senang-senang masuk ke Eropah. Dunia tanpa sempadan bukan bererti buruh rakyat Pakistan boleh masuk ke Jepun untuk mencari kerja. "Tanpa sempadan" hanyalah untuk duit kaum pemodal masuk ke mana sahaja bagi memaksimumkan untung mereka. Modal antarabangsa ini tidak boleh diganggu-gugat ketika modal ini sedang mencari keuntungan maksimum di mana sahaja di dunia ini. Dunia tanpa sempadan hanyalah untuk para pelabur antarabangsa "bermain tikam dan berjudi" di pasaran saham negara-negara Dunia Ketiga. Lihat apa yang berlaku di Asia Tenggara pada 1997. Lihat bagaimana kaum kapitalis antarabangsa telah menerobos masuk dan menekan negara-negara Asia Tenggara dan akhirnya banyak hospital kita terjual, telefon kita terjual, sistem pendidikan kita terjual.

Lihat Tesco, Carrefour, Giant, Courts, AIA, ING, Ikea, Burger King, MacDonald, Shell, Esso, semua ini milik pemodal antarabangsa. Semua ini dipaksakan ke dalam pasaran kita melalui perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). WTO memaksa negara Dunia Ketiga membuka pasaran untuk pemodal antarabangsa masuk mencari untung. Perjanjian ini adalah perjanjian terbuka yang berat sebelah, sama seperti perjanjian-perjanjian East India Company yang telah dibuat oleh Sultan Johor dengan Raffles pada 1819, sama seperti perjanjian Sultan Kedah dengan Francis Light pada 1786, sama seperti Perjanjian Pangkor 1874 yang akhirnya Tanah Melayu jatuh ke tangan British.

Dari zaman penjajah dahulu, cita-cita kaum pemodal kapitalis ini untuk memiliki dunia ini tidak pernah padam-padam. Cita-cita kaum pemodal antarabangsa ini - untuk menjadikan umat manusia sebagai hamba - adalah manifesto Orde Baru Dunia. Kabel-kabel Illuminati saban hari merancang. Hari ini semua strategi telah dirancang, semua telah disusun. Para pemilik bank di belakang Iluminati sedang dalam persediaan akhir untuk melahirkan apa yang mereka cita-citakan itu.

Lihatlah nanti bagaimana kabel-kabel Illuminati ini akan memaksa Malaysia untuk menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). Dalam perjanjian ini, tidak ada yang ‘free’ (percuma atau bebas). FTA ini akan memaksa kita terus membuka semua pasaran negara kita untuk kaum pemodal antarabangsa mencari keuntungan maksimum.

Inilah dunia baru yang melenyapkan kedaulatan negara-negara. Rancangan ini sedang diatur – Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico telah disatukan. Kemudian, seluruh selatan Amerika akan dijerut masuk. Eropah sedang bersatu, ia akan menjerut masuk Afrika dan Timur Tengah. Asia akan dikepalai oleh Jepun yang akan menjerut semua negara di Asia.

Lihat sekarang, telah wujud Asean dan Apec untuk Asia, Kesatuan Afrika Union untuk benua tersebut, dan Kesatuan Negara Amerika Selatan untuk Amerika Latin. Semua ini adalah perancangan Illuminati. Semua ini direstui oleh kaum pemodal antarabangsa. Rancangan akhir mereka ialah untuk memastikan semua rakyat dunia ini akan tunduk kepada kuasa mereka.

Dalam masa yang tidak lama lagi, manusia akan dicap dengan mikrocip. Tidak percaya? Bukankah idea ini telah terkeluar dari mulut seorang pegawai polis Malaysia tiga tahun dahulu dan berita ini telah dilaporkan dalam Utusan Malaysia. Mikrocip ini untuk bayi yang baru lahir, atas alasan untuk mengekori penjahat. Tetapi hakikatnya mikrocip ini untuk mengawal semua umat manusia agar tunduk kepada sistem ekonomi kapitalis. Umat manusia akan taat bekerja dari jam 9 hingga 5, hanya bercuti Sabtu dan Ahad. Jika sopan dan tekun, mereka akan dapat gaji untuk membeli kondo, i-pod, Kancil, kasut Prada, beg Luis Vuitton dan pelbagai jenis "biji-biji saga" yang dijanjikan. Sila baca novel 1984 oleh George Orwell dan tontonlah filem Metropolis oleh Fritz Lang.

Ini semua bukan dongeng konspirasi. Ini bukan plot sebuah novel yang belum siap. Inilah hakikat politik dunia hari ini. Memahami politik dunia hari ini amat penting. Jika kita gagal untuk memahami garis dan strategi Illuminati, maka kita tidak akan melawan. Jika tidak bangun melawan, maka umat manusia dalam dunia ini akan dijadikan hamba abdi.

Taman Permata, Hulu Kelang

03 June 2009

Good Bye Windows Vista!

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah. Komputer saya selamat di-format-kan semula. Entah berapa banyak koloni virus yang bersarang dalam hard disk pun saya tidak tahu. Bermula dengan peng-harm-an display properties dan yang terakhirnya meng-disable-kan penggunaan removable storage (pendrivelah).

Saya sememangnya sudah lama terpendam hasrat untuk meng-format-kan komputer, cuma keadaan tidak mengizinkan sahaja.

Dalam post saya kali ini, saya cuma nak tunjukkan satu operating system, OS terbaru daripada Windows

Inilah Windows 7, dijangka dilancarkan lewat tahun ini. Saya sudah mencubanya. Windows 7 sememangnya satu solusi bagi ketidakbagusan Windows Vista selama ini. Kalau anda semua berpeluang menukar atau mengformat komputer, saya syorkan, gunalah Windows 7. Cuma belum competable lagilah.

Say Good Bye Windows Vista!

Masjid al-Azhar KUIS, Bandar Seri Putra, Bangi

02 June 2009

Bunuh Khalifah Itu!



Sepotong hadith ada menyebutkan bahawa jika ada dua orang khalifah, maka bunuhlah salah seorang daripadanya.



Lafaz hadith ini masih boleh diperdebatkan. Kesahihan dan martabat hadith ini juga boleh dipertikai apatah lagi dalam situasi genting di Perak. Barangkali, atas sebab inilah maka telah berlaku Perang Jamal dan Siffin yang menyaksikan sengketa dahsyat antara para sahabat dalam merebut kekuasaan.

Jadi secara kebetulan atau memang telah disahkan dalam agama, jika ada dua pemimpin yang berebut kuasa, maka bunuhlah salah seorang daripadanya.

Dalam Alam Melayu ada disebutkan pepatah, gajah sama gajah bertarung, pelanduk mati di tengah-tengah. Ertinya, raja sesama raja berperang, yang menanggung seksa adalah rakyat jelata yang tidak berdosa.

Sebab itu, bagi mengelak masalah pertumpahan ini berlaku, maka dalam ajaran Islam telah pun disebutkan suatu formula, bunuhlah khalifah tersebut. Cuma, yang tidak jelas kepada kita, siapakah yang dipertanggungjawabkan untuk membunuh khalifah itu?

Hanya yang kita boleh andaikan buat sementara waktu ialah, kumpulan insan soleh warak yang mendengar hadis ini dan bercita-cita mahu menamatkan sengketa ini, mereka inilah yang boleh membunuh salah seorang daripada khalifah tersebut.

ULASAN DAN TAFSIRAN HADITH

Dalam keadaan politik di Perak yang tidak menentu sekarang, kita cuba mengelakkan sebarang pertumpahan darah. Tetapi, dalam keadaan kita berhati-hati itu pun, dalam kita tidak isytihar perang membunuh khalifah sekali pun, telah muncul pergaduhan hingga 'tertumpahnya banyak darah', ekoran tercetusnya pergaduhan demi pergaduhan.

Entah berapa banyak operasi tangkapan oleh polis dan FRU terhadap pejuang demokrasi ekoran siri perhimpunan demi mempertahan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak sebelum ini.

Memang tepat, dalam apa jua keadaan, orang-ramai dan masyarakat Perak itulah yang akan lebih banyak menanggung derita sengsara.

Mahu tidak mahu kita perlulah kembali kepada kaedah, ajaran dan peraturan agama. Iaitu 'bunuhlah' salah seorang pemimpin, khalifah lalu secara tidak langsung, terhentilah perang antara kedua-dua belah pihak yang bersengketa itu.

Memang itulah yang kerap terjadi. Apabila pemimpin perang, khalifah telah mati. Perang pun tamatlah dan lebih banyak nyawa yang terselamat daripada libasan mata pedang.

Persoalan siapakah yang benar dan siapakah yang salah antara kedua-dua khalifah, hal itu terserahlah kepada Allah swt di akhirat kelak untuk menjatuhkan hukuman.

Hal ini, samalah keadaannya dengan kaedah li'an. Si suami yang menuduh isteri berzina akan bersumpah dan isteri pun boleh bersumpah. Akhirnya, mereka bercerai. Keputusan itu ditangguh ke mahkamah Allah di akhirat kelak. Itu sahaja.

'BUNUHLAH' KARIER POLITIK SALAH SEORANG KHALIFAH

Akan tetapi dalam kes 'perang' permusuhan antara Nizar dan Zambry, adakah kita sampai perlu saling berbunuhan sehingga menumpahkan darah?

Barangkali tak perlu atau tidak sampai ketikanya lagi untuk dibunuh dalam erti kata yang sebenarnya. Dalam pada itu pun, tidaklah salah jika kita mengemukakan pandangan dan ijtihad baru ke atas hadith ini.

Apa kata kalau kita tafsirkan lafaz 'bunuhlah salah seorang daripada khalifah' itu melalui tafsiran seperti ini, iaitu 'bunuhlah jawatan khalifah salah seorang daripadanya'?

Sebenarnya memang sudah ada usaha untuk membunuh dan mempertahan jawatan antara Nizar dan Zambry sendiri. Apa-apa yang berlaku mutakhir ini, khasnya pada 22 Mei lalu ketika mahkamah memutuskan Zambry sebagai MB adalah antara contoh popular.

Tapi, itu adalah contoh membunuh karier politik Nizar melalui jalan mahkamah. Nizar juga cuba mendapatkan haknya melalui mahkamah untuk membunuh karier politik Zambry sebelum ini. Nizar berjaya pada mulanya.

Tapi, akhirnya, melalui kaedah yang sama, Zambry telah ambil injuksi mahkamah, untuk menangguhkan keputusan itu, lalu dengan tidak semena-mena Zambry menjadi MB.

Zaman ini, semua orang menggunakan undang-undang lalu mengenepikan soal moral dan akhlak. Tindakan Zambry dan Najib berhubung hal ini seperti dikatakan orang Inggeris; legally right, but morally wrong.

Sedangkan, dalam kes Nizar itu, tindakannya bersifat legally right dan morally right. Secara perundangan, Nizar di pihak yang benar dan secara beradab, berakhlak, Nizar juga berada di pihak yang benar.

KALAH MORAL

Zambry menang melalui undang-undang, tapi dari segi moral dan akhlaknya, beliau tetap bersalah. Rakyat tidak merestui beliau. Sebab itu mereka enggan adakan pilihan raya negeri. Ini kerana, mereka sendiri tahu bahawa mereka akan kalah ditolak rakyat.

Pada zaman dahulu sultan-sultan mempunyai daulatnya. Dan daulat itu berasal dari bumi dan rakyat yang bernaung di bawah pemerintahan mereka.

Rakyat itulah yang menyebutkan Daulat Tuanku kepada baginda sultan. Zaman berubah. Tetapi, hal naik turun seseorang khalifah, pemerintah itu tetap kekal di tangan rakyat. Di sini amalan demokrasi mengambil peranan dengan menjadikan pilihan raya sebagai suatu mekanisme yang terpenting.

Apabila rakyat menaikkan seseorang pemimpin, maka di tangan rakyat itu jugalah kuasa seseorang pemimpin itu boleh berpindah tangan. Maka, rakyat itulah sebenarnya hakim.

'Industri kehakiman' di mana hakim-hakimnya boleh meletakkan nilai harga diri masing-masing bukanlah kuasa yang telah menaikkan pemimpin dan MB sebelum ini. Itu adalah bidang kuasa rakyat yang dibenarkan memilih perwakilan mereka dalam pilihan raya.

Itu bidang kuasa rakyat sebagai yang termaktub dalam perlembagaan kita. Itu jelas.

Maka berbalik kepada mafhum hadith tadi, hendaklah dibunuh karier politik salah seorang khalifah (Nizar atau Zambry) untuk mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah.

Hadis itu disebutkan oleh Rasulullah saw yang hidup pada zaman di mana pengasingan kuasa belum diwacanakan sebagai suatu teori. Baginda tidak ambil pusing soal eksekutif, parlimen dan semua ungkapan itu tentunya asing kepada baginda.

Akan tetapi lafaz yang terlompat daripada pengertian hadith ini amat jelas, iaitu kumpulan yang dimaksudkan sebagai layak 'membunuh' khalifah itu adalah rakyat itu sendiri. Ini kerana, khalifah itu dibai'ah oleh rakyat dan umat.

Samalah konsepnya dengan sistem politik hari ini iaitu semua ADUN perwakilan rakyat akan dipilih oleh rakyat melalui bai'ah atau proses pengundian dalam pilihan raya.

Pemimpin itu lahir, hidup dan diberi nafas pemerintahannya oleh rakyat. Dan, mereka ini boleh dimatikan, pemerintahannya boleh di'wafat'kan, riwayat kepemimpinannya bolehlah ditamatkan dan dikhatamkan oleh rakyat melalui proses pilihan raya.

APA KATA MUFTI PERAK?

Dan demikian kaedah kita menafsirkan hadith tersebut. Bukanlah kita inginkan berlakunya pertumpahan darah, saling berbunuhan semata-mata kerana wujudnya dua khalifah.

Ringkasnya, antara khalifah Nizar dan khalifah Zambry, siapakah yang mahu 'dibunuh'? Pertanyaan ini mestilah dikembalikan semula kepada rakyat. Ada rakyat yang nak 'bunuh' siasah Nizar dan ada kalangan mereka yang ingin 'bunuh' siasah Zambry.

Lalu, biarkan semua rakyat ini menjalankan proses pembunuhan politik khalifah ini lewat pilihan raya di Perak. Siapa yang mati dahulu, hendaklah berlapang dada.

Yang paling mustahak, dalam situasi gawat di Perak sekarang, adakah mufti negeri akan berani mengulas hadith ini di hadapan baginda Sultan Perak?

Yang kerap kita dengar ialah ungkapan 'malas' seorang mufti, iaitu "taatlah kepada pemerintah."

Kita dah mendengar babak perkelahian antara rakyat dan istana dalam cerita kisah silam, Hang Jebat menderhaka kepada istana kerana Hang Tuah dibunuh tanpa usul periksa dan dalam kes Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Megat Seri Rama (atau nama lainnya, Laksamana Bentan) menjadi penderhaka.

Ini semua berlaku gara-gara kezaliman pemimpin dan beberapa keputusan politik yang tidak dipandukan ajaran agama. Mufti adalah penentu dan pencorak tindak-tanduk siasah. Di manakah suara mufti ketika berlakunya kezaliman dalam kes-kes di atas?

Adakah ulama, syeikhul Islam dan mufti tidak mengambil peranan dalam siasah istana sebelum ini? Jika benar keadaan itu terjadi, maka muftilah yang patut diletakkan di dalam pertanggungjawaban ini.

Pada zaman ini pula siapa yang bersalah dan siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan jika berlaku peristiwa 'pertumpahan darah' di Perak? Insan itu tidak lain dan tidak bukan, ialah Mufti Perak sendiri, Dato' Seri Harussani Zakaria.

Beliaulah yang sepatutnya berbisik ke telinga sultan, membawa kupasan hadith tersebut di telinga Najib dan Zambry. Persoalan yang timbul,adakah beliau berani berbuat begitu? Wallahu a'lam.

Bandar Seri Putra, Bangi