Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

02 September 2018

Filem Munafik 2

Pagi semalam, sekitar jam 11.56 pagi, saya menerima satu mesej ringkas melalui aplikasi WhatsApp daripada seseorang, mengajak saya untuk menonton filem Munafik 2 yang baru sahaja keluar di pawagam, 30 Ogos lepas.

Saya bersetuju. Kemudiannya saya terus membeli tiket secara atas talian.

Memang saya nak tengok sambungan filem Munafik, tapi takkan nak tengok sorang-sorang. Tunggu kawan ajak, barulah pergi.

Kami tonton filem Munafik 2 di TGV Dpulze, Cyberjaya jam 11.00 pagi tadi.

Pada saya, secara keseluruhan, filem ini wajar mendapat 5 daripada 5. Jalan ceritanya agak sarat dengan pengajaran dan teguran buat kita, selain daripada babak seram dan jumpscare, maklumlah, cerita seram.

Tidak peliklah bila cerita yang best seperti ini berjaya mengutip jualan sehingga RM 5 juta hanya pada hari pertama tayangan termasuk tayangan awal.

Saya nak komen panjang lebar pun tak guna sebab saya bukan pengkritik filem. Cuma, saya mengharapkan penghujung filem bukanlah seperti drama Tanah Kubur, tak muka jenazah jadi babi, liang lahad penuh ular.

Saya lebih mengharapkan watak antagonisnya, Abuja ditahan pihak berkuasa berbanding kilat sabung-menyabung, gempa bumi, dan yang sama waktu dengannya. Ya, bantuan Allah pasti tiba bagi hamba-hamba-Nya yang bertakwa, tapi rasanya kan lagi elok kesudahannya lebih bersifat realistik yang dalam masa yang sama dikaitkan dengan apa yang Allah firmankan dalam Surah at-Talaq, ayat  2, yang kita lebih kenali sebagai ayat Seribu Dinar:
 ومن يتق الله يجعل له مخرجا.
"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (kepada setiap masalah)."
AQ 65:2

Dan lagi satu yang boleh dipersoalkan, takkan pihak berkuasa terutamanya polis dan penguatkuasa agama tak dapat menghidu apa yang berlaku di kampung berkenaan? Misalnya kematian Imam Malik, pastinya setiap kematian itu perlu dilaporkan kepada polis kalau mengikut undang-undang. Kehilangan penduduk kampung yang dibunuh Abuja juga boleh dipersoalkan. Takkan tak ada yang mencari?

Watak antagonis, Abuja dizahirkan agak keterlaluan dalam membawa ajaran sesatnya. Diulangi, keterlaluan. Mungkin boleh diperhalusi watak tersebut dengan melihat kepada kes-kes ajaran sesat yang ada di negara kita, bergerak atas nama tarikat.

Tapi, kalau dah nama filem, janganlah terlalu serius sangat dengan apa yang saya tulis ini. Cuma kalau nak dipertingkatkan kualiti jalan penceritaannya, mungkin perlu dilihat apa yang saya kritik ini. Kalau hanya untuk hiburan semata-mata seperti drama cintan-cintun kat TV, abaikanlah sahajalah tulisan ini.

Tiga perkara yang saya nak puji filem Munafik dan Munafik 2.

Pertama, watak-watak wanita, semuanya memakai tudung, atau dalam erti kata lainnya, menutup aurat. Comel pula bila tengok lembaga yang mengganggu Ustaz Adam tu berhijab. Hahaha... Kiranya filem Munafik 2 ni boleh dikategorikan sebagai filem patuh Syariah. Cumanya yang tonton tu yang tak tau patuh syariah ke tidak.

Kedua, filem ini tidak sebarangan dalam memetik zikir dan kalam suci. Mereka menggunakan beberapa petikan ayat ruqyah yang digunakan pengamal perubatan Islam dalam berhadapan dengan gangguan makhluk halus. Berbeza dengan filem-filem seram yang lain, main hentam aje guna zikir tanpa diketahui adakah bersesuaian ataupun tidak.

Ketiga, filem ini berjaya menzahirkan watak Ustaz Adam yang baik, warak, dan istiqamah dalam berdakwah. Dalam masa yang sama, watak Ustaz Adam juga tidak terlepas daripada gangguan-gangguan, juga tidak terlepas daripada tersalah niat dan tindakan. Ya, ustaz juga orang alim yang lain tidak terlepas daripada melakukan salah dan silap. Motif dipaparkan sedikit sisi negatif Ustaz Adam juga watak Abuja adalah bagi memberi pengajaran agar kita tidak secara membabi buta mematuhi mana-mana 'ustaz' sekiranya ada keraguan. Lihat sahajalah kes-kes ajaran sesat yang dilaporkan. Bagaimana boleh diterima akal dan iman untuk beriman kepada Rasul Melayu sedangkan tiada Rasul selepas Nabi Muhammad Sallallahu 'Alayhi Wasallam? Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana patuh dan taat secara membuta tuli.

http://hansrollodepelicula.blogspot.com/2018/08/review-filem-munafik-2.html
Kalau ikut penghujung filem Munafik 2, watak Ustaz Adam dimatikan. Tak tahulah kalau Munafik 3 nanti Ustaz Adam hidup balik. Hahaha...

Untuk ulasan lebih lanjut, boleh klik di sini. Saya sependapat dengan ulasan beliau.

Jangan ambil berat sangat dengan apa yang saya tulis. Sebab saya terhibur aje sergah-sergah dalam Munafik 2 tu.



Tinta mencoret: Jangan jadi MUNAFIK.

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP

1 comment:

  1. kelinci99
    Togel Online Terpercaya Dan Games Laiinnya Live Casino.
    HOT PROMO NEW MEMBER FREECHIPS 5ribu !!
    NEXT DEPOSIT 50ribu FREECHIPS 5RB !!
    Ada Bagi2 Freechips Untuk New Member + Bonus Depositnya Loh ,
    Yuk Daftarkan Sekarang Mumpung Ada Freechips Setiap Harinya
    segera daftar dan bermain ya selain Togel ad juga Games Online Betting lain nya ,
    yang bisa di mainkan dgn 1 userid saja .
    yukk daftar di www.kelinci99.casino

    ReplyDelete