Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

14 September 2014

5A-Mumtaz VS Akhlak: Pilih Yang Mana?

Bergambar dengan Raqib yang mewakili rumah
kuning menjadi johan acara Khutbah Jumaat
KAMIL Peringkat Sekolah. Acara Khutbah Jumaat
merupakan acara yang perlu saya latih bagi
rumah kuning.
Saya selalu berpesan kepada murid-murid saya di SRA Bandar Seri Putra yang saya tidak pandang keputusan yang mereka perolehi sebaliknya yang saya harapkan mereka mampu menjadi murid-murid saya yang berakhlak mulia dan menjadi anak-anak yang soleh.

Pesanan ini saya berikan kepada semua murid yang saya ajar dan saya lebih kerap mengulangi pesanan ini ketika saya berhadapan dengan murid-murid yang berada di kelas terkehadapan; kelas Ibnu Sina dan Ibnu Khaldun.

Sebab saya tahu, murid-murid yang berada di kelas hadapan lebih obses untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang lebih baik berbanding kelas pertengahan dan belakang. Bukan salah untuk mendapatkan keputusan cemerlang, tetapi alangkah lebih baik sekiranya mereka memiliki akhlak yang baik terlebih dahulu sebelum mereka cemerlang dalam pelajaran mereka.

Apalah gunanya keputusan peperiksaan yang terlebih cemerlang andai akhlaknya mengecewakan. Biarlah mereka tidak cemerlang dalam peperiksaan tetapi mereka memiliki akhlak yang baik.

Sekiranya mereka mempunyai kedua-duanya; keputusan peperiksaan mereka cemerlang dan akhlak mereka cantik, itu adalah lebih baik.

Kepandaian seseorang itu adalah anugerah daripada Allah. Apa yang Allah nak lihat adalah usaha kita dalam menuntut ilmu. Usaha inilah yang akan diberikan ganjaran pahala di sisi Allah, bukannya kepandaian yang akan dilihat-Nya.

Akhlak yang cantik pula bukanlah satu anugerah. Semua orang boleh memilikinya, asalkan mereka berusaha untuk menerapkan akhlak tersebut di dalam diri mereka. Manusia yang memiliki akhlak yang baik ini pastinya disenangi oleh semua orang, baik keluarga, kawan, dan tidak keterlaluan juga saya katakan mereka ini juga disenangi oleh 'lawan'.

Namun, mentaliti masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu lebih menekankan kepada keputusan peperiksaan. Ibu bapa berasa malu jika anak mereka tidak mampu memperoleh 5A sedangkan perangai anak serupa gangster dibiarkan begitu sahaja.

Anak tak dapat 5A bukannya ada menyusahkan orang lain. Tetapi sekiranya perangai anak langsi, tentunya ia akan mengganggu semua orang yang berhampiran.

Dan mungkin juga sikap masyarakat yang terlampau melihat kepada keputusan peperiksaan ini menjadikan semua orang termasuk guru sanggup membuat apa sahaja cara untuk memastikan pelajar mereka mendapat keputusan A sedangkan mereka lupa, pelajar yang menipu itu hanya mendapat keputusan yang cemerlang ketika itu sahaja sedangkan dalam kepala otak mereka kosong, tiada kefahaman terhadap apa yang dipelajari.

Dan sikap guru seperti ini merosakkan nama baik profesyen perguruan di Malaysia.

Guru bukan sahaja mengajar, tetapi juga mendidik, mendidik membangunkan kefahaman dan sahsiah pelajar mereka.

Apabila guru dan pegawai pendidikan sendiri sudah menyisihkan akhlak dan integriti dan mengutamakan keputusan murid yang berada di bawah kelolaan mereka, mereka akan bertindak untuk memenuhi kepentingan mereka, meningkatkan kecemerlangan sekolah, PPD, dan sebagainya sedangkan mereka lupa, kecemerlangan yang murid perolehi itu hanyalah topeng dan bukanlah menggambarkan kefahaman pelajar mereka sendiri.

Ibu, bapa, guru, masyarakat, berhentilah daripada merobotkan anak-anak bangsa kita, memprogramkan mereka untuk mereka mendapat keputusan 5A dan Mumtaz itu sebaliknya installlah akhlak, moral, tatasusila, dan integriti dalam diri mereka. Jadikanlah akhlak sebagai perkara utama dalam mendidik anak-anak. Letakkanlah kecemerlangan dalam peperiksaan sebagai alat untuk mereka meraih khazanah dunia. Bukannya kecemerlangan itu menjadi 'segala-galanya'.

Semoga murid-murid ingat setiap apa yang pernah dan kerap saya titipkan.

Sekolah tempat membangunkan anak bangsa,
bukan tempat merobotkan pemikiran mereka. (Gambar sekadar hiasan)
Wahai murid-muridku, bersabarlah semua atas kerakusan segelintir manusia yang bukan nak membangunkan bangsa kita sebaliknya tindakan mereka itu sebenarnya bakal meranapkan generasi akan datang.

Semoga terdapat hikmah atas pengulangan semula kertas Bahasa Inggeris dan Sains UPSR tahun ini.

Biar kita kelihatan 'bodoh' pada pandangan penduduk bumi, asalkan kita dimuliakan mereka yang menghuni di langit.

Yang paling penting, kita diredhai oleh Allah Subhanahu Wa Ta`ala.

Tinta mencoret: Kau nak kawan dengan budak bodoh tapi baik atau budak pandai tapi jahat?

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP

No comments:

Post a Comment