Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

26 August 2014

Usia 10 Tahun Bangun Qiyamullayl

Cerita baik rasanya wajar disebarkan. Mudah-mudahan cerita ini dapat dijadikan iktibar buat kita semua.

Tahun lepas, ketika sesi menandatangani buku rekod kemajuan murid selepas Peperiksaan Akhir Tahun (PAT), 9 November 2013, bapa kepada salah seorang murid kelas jagaan saya merangkap ketua kelas 4 Ibnu Khaldun, bertemu dengan saya untuk sesi 'beramah mesra' dan berbincang akan keputusan yang diperoleh anaknya.

Namanya Aqil Ilham bin Mohd Fadzil.

Alhamdulillah, keputusan Aqil meningkat daripada 78.0 peratus ketika Peperiksaan Pertengahan Tahun (PPT) kepada kepada 83.8 peratus dalam PAT.

Tiada apa yang ingin saya nyatakan kepada bapa murid tersebut melainkan ucapan tahniah atas usaha murid tersebut yang berusaha untuk meningkatkan peratusannya. Akhlaknya pun bagus, kata-katanya penuh sopan. Tugasnya sebagai seorang ketua kelas pun dilaksanakannya dengan baik.

Bergambar dengan Aqil selepas dinobatkan sebagai kelas kedua terceria bagi bulan... er... lupa bulan berapa, tapi tahun lepaslah.
Tergambar kegembiraan pada wajah bapa murid tersebut. Setelah saya mengucapkan tahniah atas kejayaan tersebut, serta 'sedikit' pujian terhadap akhlaknya, bapa murid tersebut membuka mulut atas apa yang belaku menjelang PAT.

Saya diberitahu bapanya, setiap hari, Aqil akan bangun awal dan membuat ulangkaji pelajaran sehingga Subuh. Pada sebelah malam juga, masa Aqil juga terisi dengan sesi ulangkaji.

Huish, hebat. Usia seawal 10 tahun mampu bangun awal untuk belajar. Saya agak terkedu dengan kerajinan Aqil ketika itu. Memang tak kata apa dah. Rupa-rupanya sikap Aqil yang tekun belajar itu lebih daripada apa yang dapat saya lihat di sekolah.

Ketika bapanya menceritakan perkara terbabit, saya rasa sungguh hina. Seorang murid berumur 10 tahun (ketika itu) mampu untuk bangun 'Qiyamullayl' (قِيَامُ اللَّيْلِ - bangun malam bertujuan untuk bertahajud, tapi bangun untuk belajar pun kira ibadat juga) setiap hari sedangkan saya yang lebih dewasa tidak mampu untuk berbuat demikian.

Ya Allah, ampunilah aku. Sesungguhnya aku tidak mampu untuk kerap bangun malam untuk bertahajud kepadamu sebagaimana yang muridku lakukan itu.

Ada lagi perkara yang bapanya bagitau, tapi saya tak ingat.

Usaha tangga kejayaan, mungkin itu yang sesuai untuk saya sampaikan buat murid-murid saya yang 'terbaca' coretan ni seperti Irfan Rosdin yang pernah tanya saya bila nak update. Maaflah, saya tak punya banyak masa kebelakangan ni.

Tetapi, bagi saya, sikap Aqil sebagaimana yang diceritakan bapanya itu memberikan tamparan hebat dan mungkin 'teguran halus' dan tarbiyyah daripada Allah, agar janganlah culas untuk bangun bertahajud walau seberat mana sekali pun. Kata nak jadi tentera Bridget al-Qassam.

Allah, bantulah aku untuk mencontohi apa yang baik, walaupun contoh tersebut datang daripada murid saya sendiri.

Jap, layan gambar lama...

Seronok ye dapat banyak piala.
Dari kiri: Hakim (depan), Zikri Hazeem (belakang, nampak mata je), Fakhrul Hameezan, Abie Aifa, saya, Aqil, Syahmi (berkaca mata, pegang piala), Aidil Hakim (belakang, sebelah saya), Zaihan Hanafi (mata terpejam), dan Fadhil Rais.

Satu kelas bergambar dengan piala kemenangan yang dimenangan 4 Ibnu Khaldun
sepanjang tahun lepas.

Nak lagi gambar? Klik pautan ini: Aqil Ilham.

Untuk catatan, berikut adalah markah mengikut mata pelajaran yang diperoleh Aqil dalam PAT 2013.
93% Mumtaz - Tajwid (pelajaran yang saya ajar ketika itu)
100% Mumtaz - Tauhid dan Feqah
81% Jayyid Jiddan - Akhlak dan Sirah
66% Jayyid - Bahasa Arab
79% Jayyid Jiddan - Jawi, Imlak, dan Khat
Jumlah keseluruhan 83.8% Jayyid Jiddan
Nombor 1 daripada 35 orang murid 4 Ibnu Khaldun (kelas kedua daripada 9 buah kelas)

Lagi satu sebelum saya terlupa, Aqil selalu ingatkan saya agar jangan memuji kebaikannya, katanya takut dia bangga dan riak dengan pujian yang saya berikan.

Tinta mencoret: Budak 10 tahun bangun awal. 'Budak' 30 tahun takkan tunggu azan Zohor baru nak bangun...?

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP

2 comments: