Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

02 March 2009

Kita Bukan Pengkritik

Titisan air hujan dirasai dikepala. Saya kemudiannya berfikir sejenak, adakah perlu saya menunggu bas yang bakal tiba entah bila ataupun mengambil teksi yang sudah menunggu dihadapan bus stop, menunggu pelanggan yang masih tidak kunjung tiba.

Saya mengambil keputusan menaiki teksi untuk ke stesen komuter Putra. Keadaan yang mendesak saya untuk cepat tiba selain keadaan cuaca yang tidak mengizikan antara punca saya nekad untuk menaiki teksi terus ke komuter.

Berdebar juga bila saya menaiki teksi. Mana tidaknya, sebelum ini, saya pernah dikenakan charge sebanyak RM 7.80 dari hentian bas Jalan Pekeliling sehingga ke bus stop berhampiran dengan rumah. Saya tawakal, moga-moga Allah memberikan yang terbaik buat saya yang sememangnya sudah lari dari perancangan masa yang dibuat.

"Adik nak ikut jalan Genting Kelang ataupun melalui Batu Caves?" tanya pemandu teksi. Saya mulanya bingung untuk memberikan. Saya bertanya semula kepadanya mengenai jalan yang lebih cepat untuk tiba ke sana. Pemandu teksi itu tidak dapat memberikan kata putus kerana kedua-dua jalan tersebut lebih kurang sahaja, cumanya jika melalui Batu Caves keluar ke simpang Jalan Kuching, keadaan jalan lebih terkawal berbanding melalui Jalan Genting Kelang, Jalan Pahang dan kemudiannya susur masuk ke Jalan Pekeliling selain jalannya lebih mudah dan lebih lebar.

"Ikut Batu Caveslah, pakcik," saya memberikan kata putus kemudiannya. Sambil-sambil dalam perjalanan, kami berborak-borak. Manis sungguh bicara pakcik pemandu tersebut. Memang ramah.

HUJAN, RAHMAT ATAU LAKNAT?

Ketika teksi yang saya naiki tiba dekat persimpangan ke Lebuhraya DUKE, hujan tiba-tiba turun. Alhamdulillah, hujan rahmat. Pakcik pemandu teksi itu kemudiannya mengeluh dengan keadaan semasa yang sering hujan sejak kebelakangan ini.

"Pakcik sebenarnya nak ambil penumpang kemudian pakcik nak ke sini (kawasan sekitar Giant Batu Caves), nak berehat-rehat dengan kawan-kawan yang lain. Tapi nampaknya hujan, tak jadilah nak ke sini." Tetapi dia mengakui keadaan sebelum ini, ketika bulan Februari dulu yang panas terik berbanding sekarang.

Kemudiannya, kami melalui susur masuk ke Jalan Kuching dari MRR2. Hujan mulai reda. Pakcik bertanya, adakah keadaan di Bangi (tempat tujuan saya) hujan setiap hari seperti di sini atau tidak. Saya beritahu yang keadaannya memang tidak jauh bezanya antara Bangi dengan KL. Cumanya, masa turunnya sahaja yang berlainan.

"Hari tu, saya balik Bangi, tiba je kat stesen UKM, hujan turun mencurah-curah. Masa saya kat stesen Bangi, saya tunggu hujan teduh dari pukul 4 sampai dekat-dekat pukul 6. Last sekali, saya redah gak hujan sebab dah lambat," saya khabarkan keadaan ketika saya balik ke kampus minggu lepas. "Itu okey lagi. Macam mana kalau betul-betul kita baru sampai, tiba-tiba saja hujan turun. Padahal kita hampir nak sampai ke tempat destinasi," balas pakcik tersebut. Saya gelak kecil. "Itu lagi kesian."

LEBUH KESABARAN

Mata tajam melihat kubah bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dan dua menara Masjid Wilayah yang saya nampak walau dari jauh.

Keadaan jalan sememangnya tidak mengizinkan. Kereta bertaburan dan semuanya tidak memandu dengan keadaan yang laju, sesuai dengan keadaan jalan yang pack dengan kenderaan.

"Alhamdulillah, sejak persimpangan ke Jalan Duta ni siap, kurang sikit jam kat jalan (Jalan Kuching) ni, pakcik," ujar saya. "Tak juga. Pagi-pagi masih lagi sesak." Walaupun pelbagai inisiatif kerajaan dalam mengurangkan lagi kesesakkan telah dilaksanakan, namun jumlah kenderaan yang melalui jalanraya antara punca kesesakkan lalulintas tidak dapat dibendung. Bagaikan meletakkan 1 gram emas ke dalam sebelah dacing di mana terdapatnya 1 gram kapas di dalam dulangnya yang lagi satu. Seimbang, tiada perubahan atau perbezaan.

"Macam mana nak buat, pakcik. Satu kereta naik sorang-sorang. Sepatutnya mereka berkongsilah kereta kalau nak ke tempat kerja." Pakcik kemudiannya hanya mengiyakan bicara saya.

Entah macam mana, ada seorang pemandu berbangsa India menunjukkan isyarat tangan yang agak tidak senonoh kepada seorang pemandu perempuan. "Keling sekarang ni makin kurang ajar. Kalau tak puas hati, berhenti saja la, cakap depan-depan, bukannya bagi isyarat tangan yang macam tu. Kurang ajar betul!" marah pakcik teksi terhadap sikap pemandu India tersebut. Saya setuju dengan apa yang dikatakan itu. Buat apa kita mengeluarkan isyarat-isyarat seperti itu. Sekurang-kurangnya kita hon supaya pemandu yang dihonkan itu mengetahui kesalahan yang dilakukannya, bukannya dengan cara yang tidak senonoh. Sememangnya keadaan tersebut menyuramkan sedikit suasana borakan kami.

Kami kemudiannya memasuki susur dari Jalan Kuching ke arah PWTC. "Kenapa kamu tak turun kat Sentul?" tanya pakcik teksi. "Saya sebenarnya malas nak tukar-tukar tren. Kalau saya turun kat Sentul, saya kena tukar tren setidak-tidaknya kat stesen Putra," jawab saya. "Kalau kita ke Shah Alam, ke Klang, tren dari Sentul tu terus ke?" Saya mengiyakannya. "Kalau ke Bangi, satu jalan ke Serembanlah?" saya mengiyakannya juga. "Maaflah sebab pakcik asyik bawa teksi saja. Jadi pakcik jarang naik benda-benda ni." Saya kemudiannya membalas mudah "Saya cuba semua jenis kemudahan, kemudian saya pilih yang mana lebih mudah." Pakcik itu bersetuju dengan apa yang saya katakan.

Bicara kami berdua berakhir selepas saya membayar tambang RM 14.90 yang mana perjalanannya sejauh hampir 20km itu.

MENGAPA PERLUNYA RUNGUTAN?

Bila panas terik, kita mengeluh. Kalau nak naik kereta, kena sejukkan kusyen dahulu, sejukkan suhu kereta sebelum bertolak. Kalau panas berterusan, paras air di empangan berkemungkinan turun. Boleh dikatakan berbagai-bagai jenis rungutanlah.

Selepas kita menempuh suasana yang serba panas, kita dikurniakan air dari langit. Alhamdulillah pada mulanyalah. Bila nak naik kereta, tidaklah terlampau berhaba sangat, boleh terus bertolak tanpa perlu menunggu sejuk dahulu.

Keadaan kita yang bersyukur itu hanya tahan 2-3 hari sahaja. Selepas itu, kita kembali kepada 'tugas asal' iaitu perungut dan pengkritik tetap kepada Tuhan Allah Rabbul Jalil. Keadaan hujan itu menghalang kita bergerak dengan lancar, melambatkan jemuran kering dan sebagainya. Mengapa perlu kita banyak merungut kepada empunya kerajaan dunia ini? Mengapa?

Bila kita menyusur di atas jalanraya, kita bising dengan gelagat pengguna jalanraya yang lain. Sama ada kita betul ataupun tidak, itu soal lain. Kita langsung tidak bertindak dengan penuh berakhlak ketika berhadapan dengan situasi-situasi yang boleh menduga tahap kesabaran.

Saya teringat satu berita tentang cadangan daripada ahli parlimen BN di dalam Dewan Rakyat tempoh hari yang mencadangkan satu kursus budi pekerti perlu diadakan kepada wakil rakyat agar mereka ini tidak mengeluarkan sebarang statement secara semberono sahaja. Jika mentaliti, moral, dan kesusilaan wakil rakyat yang menjadi pemimpin itu 'macam sial', gambaran kepada mereka di bawah kepimpinannya adalah lebih teruk daripada mereka.

Kita sebenarnya terlupa. Kita sebenarnya tidak memerlukan bentuk-bentuk pendidikan khusus kepada moral dan tatasusila sekiranya kita benar-benar serius menerapkan pendidikan aqidah terhadap anak-anak kita. Soal aqidah inilah yang akhirnya membentuk mentaliti dan akhlak seseorang.

SEJARAH MENGAJAR KITA

Kita ungkap kembali sirah Nubuwwah di mana Nabi Muhammad saw secara total membangunkan jiwa Islamiah ke dalam para sahabatnya. Baginda tidak pernah menyentuh sebarang perkara bersifat muamalah, pengurusan sesebuah institusi, negara dan sebagainya yang tidak berkaitan secara khusus mengenai aqidah tetapi masa 13 tahun pertama dakwah baginda digunakan untuk menanamkan i'tiqad kepada pengikutnya terhadap Tuhan Yang Maha Esa. Dalam banyak-banyak ibadat yang utama, hanya solat sahaja yang difardukan sebelum hijrahnya Nabi saw ke Kota Suci Madinah.

10 tahun kedua, barulah sistem kehidupan secara Islami diwahyukan dan diajar baginda. Sistem politik, sistem pengurusan perniagaan, sistem kehakiman dan perundangan, sistem bermasyarakat, sistem pertahanan wilayah takluk dan ketenteraan, sistem kebajikan, dan sebagainya diajar dalam bentuk yang diwahyukan Allah swt, sesuai dengan cara hidup manusia.

Sekiranya i'tiqad, kepercayaan dan keimanan ini sudah berakar umbi dalam hati seorang Muslim itu, pasti mudah mereka menerima wahyu-wahyu dan syariat yang diturunkan kepada Rasulullah saw.

Keadaan kini jauh berbeza dengan cara yang diajarkan baginda. Kita lebih menekankan usaha yang zahir, yang bersifat fizikal berbanding mahu membina pendirian dan kekuatan keimanan dan ketakwaan dalam diri. Contohnya mudah. Ibu bapa bertegas mendidik dan menyuruh anak-anaknya mendirikan solat sedangkan mereka lupa mendidik dan bertegas dalam mengisi ruh dalam solat. Mereka hanya melihat badan solat daripada betul-betul menghidupkan solat anak-anaknya.

Firman Allah swt dalam Surah al-Ma'un:
أرءيت الذي يكذب بالدين
Tidakkah engkau pehatikan orang yang mendustakan agamanya?
AQ 107:1

Allah kemudiannya menyatakan sifat-sifat orang yang mendustakan agama. Salah satunya ialah solat tanpa ruh yang akhirnya didirikan hanya untuk tontonan umum. Firman-Nya lagi:

فويل للمصلين الذين هم عن صلاتهم ساهون الذين هم يرآءون
Maka, celakalah orang-orang yang mendirikan solat! Yang mana solatnya didirikan dalam keadaan yang lalai! Yang mengerjakan (sesuatu kebaikan) hanya untuk dipertontonkan.
AQ 107:4-6

TIADA RUH DALAM KEHIDUPAN ISLAMI

Siang-siang lagi Allah swt men'celaka'kan mereka yang solat hanya pada jasmani semata-mata tetapi sebenarnya pada perjalanan kehidupannya penuh dengan penentangan terhadap pemerintahan-Nya Yang Maha Agung. Bagaimana boleh kita hipokrit dalam menjalankan kehidupan secara Islami seperti penubuhan institusi kewangan Islam tetapi pada masa yang sama kita mengkhianati Allah sebagai Tuhan dengan mengekalkan institusi kewangan konvensional. Kita mengaku kita hidup secara Islami dengan tertubuhnya mahkamah syariah tetapi dalam masa yang sama kita menghina wahyu dari Allah dengan menghukum penzina dengan hanya memenjarakan mereka dengan alasan ia hukum ta'zir yang juga terdapat dalam Islam (inilah jawapan orang-orang yang jahil tentang Islam). Kita mengaku kita mendidik anak-anak kita mengaji al-Quran sedangkan kita sendiri 'memijak' kitab suci itu dengan membiarkan anak-anak melanggari amanat-amanat yang terkandung di dalamnya. Kita mengaku kita berjihad dengan melaung-laungkan kalimah takbir dan cuba menurunkan pemimpin yang diktator dan zalim tetapi hati kita masih lagi penuh dengan hasad dengki, iri hati dan menghukum pemimpin itu dengan hatinya, bukan berpandukan syariat.

Nah! Kita sibuk mengata orang, sedangkan diri kita serupa dengan orang yang dingumpatkan itu. Kita menyifatkan orang yang menentang kita itu tidak berakhlak sedangkan asalnya kita tidak membentuk mereka pada rebungnya tatkala masih mempunyai kuasa dan kudrat. Daripada kita memerhatikan kesilapan dan kesalahan manusia, akhirnya kita menyalahkan Tuhan dalam setiap ketetapan-Nya.

Bila hujan, melenting. Bila terik, mengamuk. Apakah kita sudah hilangnya keimanan dengan tidak reda (redha) terhadap setiap perkara termasuk juga ketetapan daripada-Nya?

Adakah kita mahu menjadi seperti Bani Israel atau Yahudi la'natullah 'alaihim ajma'een yang mana mereka menyalahkan Allah swt dalam agama mereka? Menfitnah Allah? Mengeji Allah? Dalam masa yang sama mengiktiraf mereka sebagai 'hamba-hamba Allah yang terbaik' (sons of God)?

Perhatikan setiap adab kita. Ini sebagai satu bentuk dakwah kita terhadap orang bukan Islam, dakwah dengan perbuatan (دعوة بالحال) di mana cara ini lebih membawa kesan yang lebih mendalam kepada mad'u (مدعو-orang yang didakwahkan itu). Sekiranya dengan Tuhan sendiri kita mampu kritik, bagaimana pula hubungan sesama manusia, mungkin lebih teruk lagi!

Kita isi kehidupan kita dengan ruh. Bagaimana? Dengan cara kita meningkatkan keimanan terhadap Allah swt dan belajar mengenai Tauhid. Kukuh dahulu i'tiqad kita sebelum kita berbicara tentang sistem-sistem kehidupan secara Islami. Melalui keimanan dan ketakwaan yang mantap terhadap Allah Jalla Jalaluh, kita ada guide dalam berurusniaga dan bersistem dengan manusia termasuklah moral dan akhlak sesama insan.

والله أعلم بالصواب

Bandar Seri Putra, Bangi
090302M-2204

Terima kasih kepada sahabatku, Shai yang bagi buah epal hijau. Ingatkan macam dalam cerita Snow White, ada racun. Tetapi sebenarnya terkandung ilham di dalamnya.

No comments:

Post a Comment