Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

25 February 2009

Tika Amanah Dirampas Kejam

قال الله سبحانه وتعالى في كتابه العزيز:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمـنـت إلى أهلها وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل إن الله نعما يعظكم به إن الله كان سميعا بصيرا

Tindakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini membuatkan saya sebagai rakyat di bawah naungan Tuanku bertambah rasa hormat. Semoga Tuanku terus-menerus menyokong usaha Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid selagi mana tidak bercanggahan dengan aspirasi rakyat jelata naungan Tuanku.

Pada hemah saya, tindakan Tuanku Sultan Selangor lebih bersifat professional berbanding dengan 'rakan sejawatnya' yang berada di sebelah utara. Baginda mengambil pendekatan mendengar dahulu penjelasan memanda Menteri Besar selaku ketua tadbir urus negeri. Tindakan inilah sebenarnya membuatkan daulat seseorang raja terutama Raja Melayu terus dijaga dan dipelihara rakyat jelata.

Jika dibandingkan dengan 'empayar' jirannya, Perak yang sanggup menghalang pengiring 'bekas' Menteri Besarnya yang terdiri daripada EXCO daripada turut menghadap baginda bertujuan untuk memberikan beberapa taklimat mengenai keadaan dan suasana negeri naungan baginda. Baginda Sultan Perak lebih suka mendapatkan maklumat daripada pihak yang lagi satu dengan membenarkan kesemua muka-muka peruntuh pentadbiran yang diketuai oleh seorang manusia yang dipilih baginda sendiri. Tindakan baginda inilah yang membuatkan 'empayar' naungan baginda sendiri kucar-kacir dan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat baginda sendiri terhadap ketelusan penggunaan kuasa baginda bagi menjatuhkan memanda Menteri Besar.

Firman Allah swt dalam Kalam-Nya:

إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمـنـت إلى أهلها وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل إن الله نعما يعظكم به إن الله كان سميعا بصيرا
بــأيها الذين ءامنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولى الأمر منكم فإن تنازعتم في شيء فردوه إلى الله ورسوله إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الأخر ذلك خير وأحسن تأويلا
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.
AQ 4:58-59

Ayat ketaatan kepada pemerintah atau Ulul-Amri yang selalu dicanang-canangkan oleh ulama (baca: ulama' su') sebenarnya dijelaskan oleh Allah swt ciri-cirinya pada ayat sebelum dan rangkap berikut dalam ayat yang sama.

Dalam ayat 58, Allah swt awal-awal lagi menegur hamba-hamba-Nya yang benar-benar mengaku Allah sebagai Tuhan dalam aspek melaksanakan demokrasi dalam pemerintahan negara. Setiap pengundi yang beriman pastinya akan berpegang kepada ayat ini dengan memilih wakil-wakil mereka yang benar-benar berpegang kepada amanahnya.

Kepada pemimpin (baca: Sultan), mereka sepatutnya mendengar dengan teliti nasihat penasihatnya (baca: Menteri Besar), bukannya nasihat daripada pihak yang tidak sepatutnya (baca: Najib dan konco-konconya). Natijahnya, negeri naungannya menjadi kucar-kacir dengan tindak-tanduknya yang tidak Islamik yang menjatuhkan kerajaan yang sah dipilih rakyat naungannya sendiri!

Kerajaan Ratu Balqis sendiri meminta pandangan daripada rakyatnya tentang surat utusan daripada Nabi Sulaiman as yang diterimanya. Walaupun ketika itu, Ratu Balqis belum menerima Allah swt sebagai Tuhannya, namun tindakannya ini dianggap Islamik dan dirakamkan dalam al-Quran oleh Allah swt tentang pendiriannya itu. Sikap Ratu Balqis itu sepatutnya diteladani oleh pemimpin-pemimpin di mana baginda mengutamakan pandangan pembesar, ketua kaum, dan rakyat jelata sebelum menitahkan sesuatu. Daulat sang ratu terletak di atas restu, suara, pendapat, pandangan rakyat yang mewakili jiwa, ruh serta pemikiran bangsa. Baginda tidaklah sesuka hati membuat keputusan tanpa merujuk orang-orang di sekelilingnya terlebih dahulu.

Kemudiannya, Allah berfirman:

فإن تنازعتم في شيء فردوه إلى الله ورسوله إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الأخر
Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.
AQ 4:59

Selepas kesilapan Sultan dalam perintahnya, timbullah huru-hara. Masih ada pihak termasuk mufti lantikan baginda yang memihak kepada Sultan dengan hanya berdalilkan 'Taatlah kepada Allah, taatlah kepada Rasul, dan Ulil-Amri' seperti yang terdapat pada pangkal ayat 58, surah an-Nisa' ini. Tetapi mereka sengaja menyembunyikan klausa-klausa yang mengapit klausa 'taat kepada Ulil-Amri' ini. Oleh sebab itu, saya nyatakan di atas ia dicanang-canangkan oleh ulama suk iaitu ulama' yang hanya pada nama tetapi hati sebenarnya terpaut dengan dunia termasuklah jawatan ulama' itu sendiri!

Mungkin Sultan kekurangan ilmu agama dalam membuat keputusan kerana baginda berkelulusan undang-undang. Tetapi apa tindakan ulama terutamanya yang dilantik baginda sendiri dalam menasihatkan baginda tentang Islam? Adakah mereka semua akur dengan tindakan baginda kerana Sultan itu 'maksum'?

Mujurlah saya bukan rakyat Perak yang mungkin membuatkan saya ter'hangguk' terhadap titah baginda itu. Walau bagaimanapun, saya mengucapkan tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor kerana tindakan baginda yang menyokong penuh memanda Menteri Besar, Tan Sri Khalid dalam isu lembu korban dan kereta Lexus dan juga memberikan kepercayaan 100% terhadap sebarang langkah Kerajaan Negeri Pimpinan Tan Sri Khalid terhadap isu perletakkan jawatan EXCO dan ADUN YB Elizabeth Wong.

والله أعلم بالصواب

Bandar Seri Putra, Bangi
090225W-2258

No comments:

Post a Comment