Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

24 February 2009

Masalah Yang Sengaja Ditimbulkan

Apa sudah jadi dengan dunia ini? Apakah kita semakin hampir dengan waktu yang dijanjikan Tuhan, Hari Kiamat? (Yang sememangnya dijawab dengan ya!).

Bumi terus berputar, matahari terus membakar, bulan terus menyuluh kegelapan, semuanya masih menjalankan khidmat dan tanggungjawabnya demi Tuhan Yang Maha Kuasa untuk kegunaan khalifah-Nya sama ada yang benar-benar ikhlas dalam menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah mahupun yang sengaja memporak-porandakan dunia yang sedia kabut ini...

SELANGOR TERUS BERGELUT

Mari kita perhatikan apa yang telah digembar-gemburkan di Selangor dalam masa sebulan dua ini.
1. Isu penyalahguna kuasa Tan Sri Khalid dalam sumbangan lembu korban.
2. Isu 'pembelian' kereta Toyota Lexus yang akhirnya menjadi penyelenggaraannya yang menggunakan wang rakyat.
3. Isu gambar bogel ADUN Bukit Lanjan, YB Elizabeth Wong yang disiarkan di internet.
4. Campur tangan dalam pengambilalihan konsensi air

Saya cuba kupas 'kulit-kulit bawang' ini menurut Islam mengikut kefahaman saya dan diharap tiada siapa yang 'meleleh air mata kerana pedihnya kulit bawang yang dikupas ini'. Betulkan saya sekiranya terdapat fakta yang saya nyatakan tidak tepat supaya apa yang saya ulas tidaklah nampak berat sebelah.

MANUSIA BERPERANG LEMBU MATI TERSEPIT

Mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo mendakwa Dato' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah 'memaksa' syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor untuk mengeluarkan belanja dalam menaja pembelian lembu-lembu korban yang akan diagihkan kepada surau-surau dan masjid-masjid di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak di mana beliau sendiri yang menjadi Ahli Parlimen (MP) di kawasan terbabit. Dakwaan ini kemudiannya ditepis oleh Tan Sri Khalid sendiri. Gerakan Rakyat Anti-Korupsi (GERAK) yang dikatakan memiliki bukti-bukti yang menunjukkan kesalahan Tan Sri Khalid kemudiannya membuat laporan di SPRM dan menghantar memorandum kepada Tuanku Sultan Selangor agar Tan Sri Khalid digantung selama mana SPRM menyiasat kes terbabit.

Pada saya, sekiranya benar apa yang didakwa oleh YB Khir Toyo itu, saya bertanyakan kepada saudara sekelian. Apakah dikatakan jenayah sekiranya kita menggunakan wang tersebut untuk tujuan ibadah? Sebelum saya mengulas dengan lebih lanjut, mari kita lihat secara kasar tentang lembu-lembu yang 'terkorban' ditengah-tengah kemelut 2 orang tokoh Selangor ini.

Tan Sri Khalid dikatakan telah mengeluarkan arahan kepada 6 buah syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor untuk menyumbangkan sebanyak 60+ ekor lembu kepada surau-surau dan masjid-masjid di dalam kawasan Parlimen Bandar Tun Razak di mana beliau merupakan MP di situ. Khalid kemudiannya membidas dakwaan tersebut dengan menyatakan bahawa itu adalah inisiatif syarikat-syarikat terbabit dalam memberikan bantuan kemasyarakatan yang menjadi tanggungjawab syarikat terbabit.

Yang menjadi persoalannya, mengapa Parlimen Bandar Tun Razak menjadi kawasan sumbangan? Secara kasarnya, sumbangan ini boleh dilihat sebagai beliau (Tan Sri Khalid) mempunyai beberapa kepentingan kerana diketahui umum bahawa Bandar Tun Razak sendiri bukanlah terletak di dalam negeri Selangor. Kes ini kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan diharapkan SPRM dapat menyiasat dengan telus dan adil.

Itu pendapat orang yang mendakwa. Pada saya, hati budi dan keikhlasan seseorang adalah rahsia Allah swt. Kita tidaklah sama sekali mengetahui apa yang tersirat dalam hati dan perlulah kita menyerahkannya 100% kepada Tuhan sama ada yang terlibat itu benar-benar ikhlas dalam memberikan bantuan kebajikan ataupun derma tersebut.

Mengapa perlunya kita menuduh seseorang itu bersikap tidak ikhlas dan memanipulasikan kedudukannya dalam memberikan khidmat masyarakat walaupun kawasan tersebut berada di luar kawasan yang dikuasainya? Sekiranya ia menjadi kesalahan, maka menjadi kesalahan sekiranya wang-wang zakat especially zakat Selangor di hantar ke negeri-negeri miskin di Malaysia ataupun dihantar ke Palestin bertujuan untuk membantu masyarakat-masyarakat yang sepatutnya dibantu.

Pemberian lembu-lembu korban ini tidak boleh dikategorikan sebagai rasuah mahupun kesalahan jenayah sekiranya kita beralasan dengan pemberiannya bermotifkan atas kepentingan diri sendiri. Alasan ini walaupun dilampirkan sekali dengan bukti-bukti hitam putih dan arahan daripada beliau, ia sama sekali tidak bercanggah dengan Islam kerana hukuman terhadap pesalah hanya kepada mereka yang dibuktikan bersalah secara zahir, manakala kesalahan secara batin seperti tidak ikhlas, iri hati dan penyakit-penyakit hati yang lain hanya boleh dihukum Tuhan totally tanpa sebarang campur tangan manusia. Oleh sebab itu, سوء الظن (su-udzh dzhon - bersangka buruk) digolongkan dalam صفات مذمومة (sifat-sifat mazmumah, yang terkeji). Kita disuruh supaya tidak bersangka buruk terhadap tindak-tanduk seseorang yang secara zahirnya, secara terang-terangan tidak membuat sebarang kesalahan.

BAGAI BEKERJA TANPA GAJI
(klik disini)

Isu seterusnya berkaitan dengan kenderaan Tan Sri Khalid, Toyota Lexus yang telah diisytiharkan beliau sebagai kenderaan rasminya. Beliau pada asalnya didakwa telah mengunakan wang negeri untuk membeli kereta ini. Khalid kemudiannya membidas dengan mengatakan bahawa Toyota Lexus ini ialah kenderaan miliknya tetapi digunakan dalam urusan kerajaan. Beliau mempunyai kenderaan lain yang boleh digunakan sebagai kenderaan persendirian. Alasan beliau adalah kerana beliau lebih selesa menggunakan Toyota Lexus berbanding kereta berjenama lain.

Isu ini kemudiannya diubah menjadi seperti berikut: Tan Sri Khalid menggunakan wang kerajaan negeri untuk membiayai Toyota Lexus milik beliau.

Izinkan saya menggunakan bahasa yang lebih 'kasar' dalam mengulas isu ini. Faham dan kaitkan cerita yang saya tulis di bawah dengan isu ini.

Wajarkah seseorang yang bekerja outstation tidak dibayar dengan elaun OT (overtime), elaun makan, tempat tinggal, elaun perjalanan dan sebagainya yang berkaitan dengannya? Adilkah majikan yang tidak membayar sebarang elaun yang berkaitan dengan kerja pekerjanya kerana bekerja diluar daripada yang sepatutnya yang diterima daripada gaji pokok?

Oleh itu, salahkah kereta Toyota Lexus itu diserenggara oleh wang milik rakyat kerana berbakti kepada rakyat? Semestinya TIDAK! Zalimlah kita sebagai rakyat (majikan) yang membiarkan MB (pekerja) menyelenggara kereta beliau dengan wang sendiri (bagai tiada sebarang elaun untuk kerja outstation). Beliau tidak mempunyai sebarang elaun rasmi dalam menyelenggara kenderaannya sendiri tetapi menggunakan peruntukan khas bagi kenderaan rasmi MB untuk menyelenggara keretanya yang digunakan untuk urusan-urusan rasmi MB yang menggantikan kereta rasminya.

Beliau dilaporkan menggunakan RM 8,000 (angka sebenar RM7,800) untuk menyelenggarakan kereta Toyota Lexus miliknya dalam jangka masa hampir setahun. Bandingkan kos ini dengan kos penyelenggaraan Proton Perdana sebagai kereta rasmi EXCO di Terengganu yang dilaporkan oleh YAB Menteri Besar melebihi ratusan ribu ringgit untuk sebuah kereta dalam tempoh 4 tahun (sepenggal - 2004-2008)! Sekiranya dilihat, seorang EXCO menggunakan SEKURANG-KURANGNYA RM30,000 setahun untuk menyelenggara sebuah kereta. Penggunaan peruntukan EXCO di sebuah negeri yang diklasifinikasikan sebagai negeri miskin ini melebihi peruntukan yang digunakan orang nombor satu di negeri maju! Apa cerita?

Sepertimana yang saya pernah nukilkan, gunakan akal dan hati yang Allah swt kurniakan berpandukan syara' untuk menilai sesuatu perkara. Jangan kita cepat melenting dan mengeluarkan statement yang bukan-bukan. Keadaan ini lebih adil (meletakkan sesuatu perkara kena pada tempatnya) dan ia dilihat dapat mengurangkan penggunaan wang rakyat dalam urusan kerajaan yang mana akhirnya wang tersebut dapat dikembalikan kepada kepentingan rakyat.

DITEKAP SUPAYA LONDEH

Saya tidak tahulah bagaimana kes ini boleh terjojol keluar. Akhbar Berita Harian hari ini melaporkan bahawa gambar separuh bogel (sebenarnya tiada istilah separuh bogel dalam Islam) ini menggunakan teknik pertindihan imej atau 'super impose' mengikut siasatan pihak polis.

Alhamdulillah, pelbagai pihak termasuk sebahagian orang Barisan Nasional sendiri yang bersimpati dengan pencerobohan kehidupan peribadi seorang ADUN terutamanya dalam perkara-perkara yang boleh mengaibkan diri mereka sebagai seorang yang menjadi public figure.

Tiadalah mahu saya ulas tentang 'tikam-elak mulut-mulut yang menyerang-menepis', cuma saya terkilan dengan kenyataan MP Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang mengatakan bahawa kehidupan seseorang wakil rakyat itu adalah milik rakyat, milik awam. Saya menyokong kenyataan ini TETAPI hanya kepada masa dan khidmat, bukan pada aibnya!

Kes ini berbeza dengan kes YB Datuk Seri Chua Soi Lek, bekas Menteri Kesihatan yang secara terang-terangan mengaku melakukan seks kepada seorang wanita yang bukan isterinya sendiri. Chua bersalah kerana hubungan seks itu, bukan kerana penyebaran video yang mengaibkannya. Dalam kes Chua, kedua-dua pihak, Chua dan penyebar video bersalah manakala dalam kes Elizabeth, beliau tidak melakukan kesalahan kerana beliau hanya 'tidak berpakaian' ketika berseorangan di rumah (sekiranya benar beliau berkeadaan begitu). Yang bersalah adalah penyebaran video & mereka yang mengubahsuai gambar tersebut menjadi 'terbogel'.

Islam tidak melarang seseorang membuka auratnya ketika bersendirian di tempat tertutup ataupun ketikda bersama pasangannya yang sah. Yang bersalah ialah penyebab dan penyebar gambar yang berunsurkan lucah itu.

TAMAK AIR

Air adalah kurniaan Allah swt kepada alam yang memerlukannya sama ada sebagai penyambung kitaran hidupnya atau kepada pelengkap kepadanya.

Manusia juga memerlukan air yang pada asalnya diberi Tuhan secara free tanpa sebarang bayaran wang ringgit.

Mengapa perlu dipertikaian pengambilalihan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Khalid semua syarikat konsensi air di Selangor? Mengapa perlu ditingkatkan tarif air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang dilihat dapat menghapuskan pemberian subsidi 20 meter padu kepada rakyat Selangor? Baru-baru ini, Khalid menyelar Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Puncak Niaga meletakkan keuntungan syarikat kepada 300%. "Perniagaan apa yang dapat 300% setahun? Berjudi di genting pun belum tentu dapat keuntungan sedemikian," tegasnya. Survey yang dijalankan oleh Edisi 7 menunjukkan 80% daripada pengundi poll sms ini menyokong kenyataan Tan Sri Khalid.

Tindakan SYABAS dan Puncak Niaga ini menyalahi cara muamalah yang telah digariskan oleh Islam. Islam pada awal-awal lagi melarang kita berurusniaga dengan cara menindas pembeli atau orang yang menerima khidmat. Pihak SYABAS dan Puncak Niaga secara terang-terangan mengambil untung dengan menindas rakyat yang menjadi 'pembeli' air secara paksa! Adakah berkat gaji yang diterima pegawai-pegawai yang terlibat dalam urusan dasar syarikat SYABAS dan Puncak Niaga ini dengan membelakangkan adab-adab bermuamalah?

Kerajaan Pusat melalui SPAN seolah-olah cuba menekan Kerajaan Negeri dan rakyat dengan menyokong tindakan SYABAS dan menaikkan tarif air. Adakah ini bersifat politik untuk menekan Kerajaan Negeri daripada memberikan subsidi air? Wallahu a'lam bissowab. Bab politik bukanlah dalam bidang yang ingin saya kupas tetapi kita lihat isu ini lebih kepada cara muamalah yang ditetapkan oleh Islam. Apa-apapun, kita lihat dan berhujah kes ini berdasarkan fakta dan realiti, bukan seperti apa yang saya nyatakan sebelum ini, dengan bersangka buruk terhadap pihak yang lain.

والله أعلم بالصواب

Bandar Seri Putra, Bangi
090224E-1147

No comments:

Post a Comment