Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

21 February 2009

Rancang Sebelum Berjalan

"Rancanglah perjalanan anda. Semoga selamat tiba ke destinasi"

Pesanan seperti ini acap kali dipesan, diiklan dan diungkapkan setiba menjelangnya musim pulang ke desa. Tetapi berapa ramaikah di kalangan kita yang merancang setiap perjalanan kita?Sebelum barat mengeluarkan atau mencipta teori berkaitan dengan masa, Islam terlebih dahulu mendidik umatnya menguruskan masa dengan lebih teratur. Salah satu methode yang digunakan ialah solat. Seorang Muslim yang berdisiplin dengan masa akan cuba mengawalkan solatnya setiap kali masuknya waktu solat dan berasa bersalah sekiranya cuba melengah-lengahkannya tanpa alasan yang munasabah.

Allah s.w.t. sering bersumpah di dalam al-Quran dengan masa; وليال عشر (demi 10 malam), واليل إذا سجى (dan demi malam yang sunyi sepi) dan menukilkan nama-nama masa sebagai nama surah; الدهر (nama lain bagi surah الإنسان-masa), الواقعة (peristiwa besar), العصر (masa), الفجر (waktu fajar), الضحى (waktu dhuha). Ini menunjukkan Islam sememangnya menekankan soal pengurusan masa.
Tetapi pernahkah kita perhatikan;
ADAKAH KITA MENGAMBIL BERAT TENTANG MASA KEHIDUPAN KITA?

Di sini saya mengambil satu skop pengurusan masa, melalui pengurusan perjalanan. Bagaimana kita menguruskan perjalanan kita supaya kita dapat tiba ke satu tempat yang dituju dengan memenuhi beberapa kretiria di bawah:
1. tiba on time, ataupun sebelum waktu yang telah ditetapkan;
2. perjalanan yang dilalui tidak tergesa-gesa;
3. pemanduan yang berhemah (sekiranya memandu atau menunggang sendiri);
4. dapat berhenti rehat di beberapa checkpoint seperti RnR (sekiranya berkenderaan sendiri) atau di mana-mana pusat rehat (seperti restoran sekiranya menggunakan pengangkutan awam);
5. meminimakan seminima mungkin belanjawan untuk perjalanan;
6. tiba dengan selamat.

Cuba perhatikan contoh yang diberi ini. Abu ingin pergi ke Kompleks Kerajaan di Jalan Duta daripada Bandar Seremban. Dia berhasrat untuk menggunakan perkhidmatan awam sebagai medium perantaraan ke sana.

Setibanya di stesen komuter Seremban, Abu membeli tiket ke stesen Putra kerana pernah ketika dahulu, kawannya, Ali menghantarnya ke situ daripada Jalan Duta.

Setibanya di Stesen Komuter Putra, Abu kemudiannya terpinga-pinga. Dia kemudiannya ternampak bangunan PWTC dan berfikir mungkin ada bas transit ke Jalan Duta yang berhenti di sana. Tanpa berlengah, dia terus melangkahkan kaki ke sana.

Setibanya di hadapan PWTC, Abu terus menunggu bas dengan harapan banyak bas ke Jalan Duta yang melalui hadapan bangan PWTC itu. Sangkaannya hampa. Daripada jam di tangan menunjuk angka 10 sehingga melewati waktu zohor, dia langsung tidak melihat walau sebuah bas yang menuju ke Jalan Duta. Akhirnya Abu terpaksa menahan sebuah teksi kerana tidak lagi sanggup menunggu bas bagai menunggu kucing bertanduk.

Perhatikan keadaan ini. Abu sememangnya tidak mengetahui selok-belok keadaan di Kuala Lumpur. Bagaimana dia boleh terus yakin yang dia boleh tiba di Kompleks Kerajaan Jalan Duta awal sedangkan dia tidak pernah ke sana dengan public transport?

Pada saya, terdapat route yang lebih mudah. Abu sepatutnya turun di stesen KL Sentral dan kemudiannya mengambil bas ke Kompleks Kerajaan Jalan Duta di Level G. Bas ke sana juga tidak sesekerap bas-bas transit lain di mana Abu perlu mengetahui kekerapan masa perjalanan bas itu.

Perkara ini sebenarnya boleh dirancang dengan bertanya kepada mereka yang mengetahui selok-belok perjalanan pengangkutan awam di ibu kota ini. Sekiranya Abu lebih terkehadapan, dia sepatutnya terlintas untuk surf ke http://www.rapidkl.com.my untuk mendapatkan sedikit maklumat perjalanan di KL.

Dalam hal ini, kesalahan Abu mungkin boleh dimaafkan kerana dia sendiri tidak mengetahui bagaimana cara untuk ke Jalan Duta. Cuba kita perhatikan contoh berikutnya.

Ahmad perlu menghadirkan diri ke satu temuduga jawatan kosong di Bandar Tampin. Dia kini menetap di Selayang dan mahu ke Tampin dengan memandu sendiri kereta Kancilnya.

Ahmad sememangnya mengetahui lokasi temuduga itu kerana kerap ke Tampin. Dia begitu yakin mampu tiba 30 min sebelum waktu temuduga yang bermula tepat jam 9 pagi.

Malangnya, Ahmad tiba lewat 2 jam dan dia secara otomatiknya direject permohonannya kerana dikatakan tidak menepati waktu.

Dalam perjalanan, kita usah berfikir yang kita mampu tiba tepat pada waktu yang kita bayangkan. Sekiranya perjalanan mengambil masa 2 jam, kita tidak boleh bertolak tepat jam 2 petang sekiranya kita mahu tiba sebelum jam 4 petang, walaupun kita memecut laju daripada selalunya!

Cuba kita lihat kebarangkalian yang berlaku sepanjang perjalanan kita.
1. Kesesakan lalulintas akibat daripada kemalangan, penutupan jalan, bencana alam seperti ribut (pokok tumbang) dan banjir (jalan tenggelam) dan sebagainya.
2. Tren atau bas delay bagi yang menggunakan public transport. Ini selalu berlaku kepada perkhidmatan KTM Komuter yang kita sendiri tidak mengetahui penghujungnya.
3. Kecuaian kita sendiri kerana tersalah jalan atau tersalah naik tren/bas.

Kita sendiri perlu mengatur masa perjalanan kita agar kita tidak lewat ataupun tergesa-gesa dalam perjalanan kita. Sikap tergesa-gesa ini boleh menjadikan kita lebih agresif dan akhirnya boleh menyebabkan diri kita terdedah kepada kebarangkalian untuk terlibat dengan kemalangan jalan raya (نعوذ بالله من ذلك).

Pengurusan masa perlu dalam mengatur perjalanan perjalanan yang santai. Kita sendiri sememangnya ingin ke sesuatu tempat dan mempunyai masa yang panjang sebelum masa akhir. Kita sepatutnya meluangkan sedikit masa untuk merancang perjalanan dengan memikirkan beberapa perkara yang mungkin terjadi dan menyiapkan seberapa banyak backup terhadap perkara-perkara yang difikirkan itu supaya kita tidak menyesal di kemudian hari.

Kecewa, perancangan kawan silap...

Hulu Klang, Gombak
090221A-1343

No comments:

Post a Comment