Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

23 February 2009

First Time

FIRST TIME SEORANG MB DIGANTUNG DARIPADA MENGHADIRI SIDANG DUN

Cuba kita perhatikan lakaran pena seorang mantan ketua kerajaan kita.

TIMAH BUKAN PERAK
Kita sedang melihat banyak peristiwa yang pelik berlaku di Perak yang dahulu terkenal dengan timahnya. Tetapi tidak ada yang lebih lucu daripada nasihat Perdana Menteri kepada Dato' Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Barisan Nasional supaya beliau membuat laporan polis berkenaan dengan penggantungannya oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak.

Jika keputusan yang dibuat oleh Speaker boleh dianggap sebagai satu jenayah, apa akan jadi jika Speaker Dewan Rakyat menggantung ahli pembangkang kerana apa-apa sebab? Dan ini kerap berlaku. Apakah ahli pembangkang akan lapor kepada polis? Jika boleh maka bolehlah kita anggap bahawa polis berkuasa ke atas Speaker Dewan.

Memang ada jenayah yang boleh dilakukan oleh Tuan Speaker tetapi menggantung seseorang ahli Dewan bukanlah antara jenayah yang boleh diambil tindakan oleh Polis.
Sekarang dilaporkan yang Dr Zambry akan hadir sidang Dewan Undangan Negeri Perak. Mengikut aturan peraturan Dewan, Speaker boleh arah pegawai Dewan untuk keluarkan Yang Amat Berhormat Dr Zambry dari Dewan. Dapatkah pegawai berkenaan yang bukan terdiri daripada parti Pakatan Rakyat berbuat demikian?

Di mana pula tempat duduk YAB Zambry? Apakata kalau YB Dato Seri Mohamed Nizar Jamaluddin duduk di tempat Menteri Besar? Apakah pegawai Dewan akan disuruh oleh Speaker untuk paksa Nizar kosongkan kerusinya? Apakah YAB Zambry akan berada di Dewan atau di luar Dewan setelah Speaker mengarah pegawai sekat YAB Zambry daripada berada dalam Dewan.

Bersama-samalah kita rakyat lihat akan peristiwa yang akan berlaku.
Tun Dr. Mahathir Mohamad

Persoalannya di sini, adakah Speaker Dewan (Yang Dipertua Dewan) yang menggantung YAB Zambry dan 6 EXCOnya yang lain dikategorikan sebagai satu jenayah sehingga boleh dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak polis? Sekiranya ya, apakah peruntukannya dalam undang-undang?
Saya sendiri setelah membaca tulisan YBhg Tun sendiri berfikir panjang, adakah YAB Perdana Menteri selaku Presiden BN arif tentang undang-undang? Apakah beliau menyangka perbuatan Speaker Dewan Perak yang menggantung YAB Dr. Zambry itu sebagai 'menghina' ataupun 'derhaka' kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah?

Perlulah diketahui bahawa negara kita mengamalkan konsep Raja Berpelembagaan di mana Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia (sebagai orang Islam,
statement ini jangan dipegang kerana Syariat Islamlah yang paling tinggi, bukannya Perlembagaan Persekutuan!). Walaupun dia seorang Raja, seorang Sultan, tetapi setiap tindakannya yang menyanggahi Perlembagaan (Persekutuan & Negeri), ia dianggap sebagai salah dan terbatal. Seorang Raja itu perlu mengikut Perlembagaan yang mana ia sendiri memberikan Raja itu satu kuasa dalam mengetuai sesebuah negeri.

Sekiranya apa yang di dakwa oleh kerajaan Barisan Nasional Perak bahawa mereka dilantik berlandaskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak itu benar, tindakan Speaker Dewan tetap betul kerana Speaker Dewan mempunyai kuasa penuh terhadap perjalanan Sidang Dewan walaupun ada yang berpendapat bahawa Speaker Dewan perlu merujuk kepada Sidang Dewan untuk menggantung seseorang ADUN daripada menghadiri Sidang Dewan.
SEMBAH DERHAKA ATAU MENDERHAKA?

Mari kita singkap lembaran sejarah. Pada 1974, Menteri Besar Perak ketika itu, Tan Sri Mohamad Ghazali Jawi iaitu bapa bekas Menteri Besar Perak Dato' Seri Tajol Rosli pernah enggan untuk melepaskan jawatan walaupun dititahkan oleh Sultan Idris Shah.

Ketika itu tidak ada satu 'suara' terutamanya daripada UMNO yang mengatakan bahawa keengganan Ghazali itu sebagai menderhaka kepada Sultan bahkan menyokong sebagai tindakan yang mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
Sultan Idris Shah tidak berkenan dengan perlantikan Ghazali Jawi untuk menjadi MB buat kali kedua namun atas nasihat beberapa pihak, baginda melantiknya semula dengan syarat hanya selama dua tahun dan dipersetujui namun setelah 'tamat' tempoh, Ghazali tidak meletakkan jawatan.
Sultan ketika itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana tertakluk kepada undang-undang negeri yang mana tidak ada kuasa memecat atau mengarahkan menteri besar meletakkan jawatan.
Malah ketika itu Pemuda UMNO mengadakan rapat umum mempertahankan tindakan Ghazali itu dan dilaporkan Pemuda UMNO pernah mengeluarkan kenyataan:
"Sultan Perak mempunyai hak melantik dan berkenan seseorang memegang jawatan Menteri Besar, tetapi setelah dilantik dan diperkenankan, Sultan tidak ada hak mengikut Perlembagaan Negeri untuk memecat atau memerintahkan supaya meletakkan jawatan. Hak untuk memecat atau memerintahkan seseorang berhenti dari Menteri Besar, ialah Presiden UMNO."
Gara-gara keengganan Ghazali itu menyebabkan Sultan Idris murka dan bernazar tidak akan mencukur janggut dan jambangnya selagi Ghazali tidak berhenti menjadi MB dan untuk beberapa ketika baginda tampil di khalayak dengan keadaan berjangut dan berjambang sebagai menzahirkan kemurkaan baginda.
Ghazali meletakan jawatan sebagai MB Perak hanya setelah dinasihati oleh Presiden UMNO ketika itu (Tun) Hussein Onn pada 1977.
Sejurus lepas perletakkan jawatan tersebut, barulah Almarhum Tuanku Sultan mencukur janggut misainya di Pangkor. Semua orang tahu bahawa Tuanku Sultan ketika itu juga akur kepada ketetapan di dalam Perlembagaan Perak.
Sekiranya tindakan Datuk Seri Nizar itu dikatakan sebagai 'derhaka' berikutan daripada suratnya kepada Tuanku Sultan yang menyebut 'sembah derhaka' (istilah istana yang sebenarnya membawa maksud tidak bersetuju), tindakan Tan Sri Ghazali dan juga Pemuda UMNO sepatutnya dikategorikan sebagai 'maha derhaka' kerana menyebabkan Sultan murka dan bernazar supaya Ghazali berhenti daripada menjadi MB Perak ketika itu.

RAJA ZALIM RAJA DISANGGAH

Memang adat orang Melayu yang menyanjung tinggi Raja-raja Melayu, tetapi mesti kita ingat, Raja juga seorang manusia seperti kita, yang mana makan pakainya (gaji & elaun) diterima daripada hasil negeri (senang cerita wang rakyat). Baginda bukanlah seorang yang maksum yang perlu diturut segala titahnya. Perlu diingatkan, Allah swt memberikan kita akal dan hati untuk kita menilai sendiri kewajaran menjadi pak turut 100% terhadap institusi beraja sekiranya sesuatu situasi itu berlaku bagai dianaktirikan oleh mereka.

والله أعلم بالصواب

Bandar Seri Putra, Bangi

090223M-1629

No comments:

Post a Comment