Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

18 May 2009

Nak Berniaga Ke Tidak?

Fuh. Sungguh penat malam ini. Memang sengaja dicari penat, bukan datang secara tidak diundang. Saya sebenarnya bosan duduk terperap lama-lama di rumah. Kalau diikutkan hati, ingin diselongkar setiap pelosok dunia mencari kerja-kerja kosong, tetapi apakan daya. Tidak pernah kerja-kerja yang menerpa itu menyebelahi diri. Itu sebablah saya tergerak hati untuk ikut abang ipar saya berniaga.

Bukan sekadar mahu mengisi masa yang dibazirkan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah, bahkan saya sendiri mahu memerhati cara dan gaya seorang usahawan, melalui kaca mata seorang peniaga di dalam sebuah bazar larut malam di Setapak.

Kata orang, bazar ini sebenarnya dirampas daripada penduduk-penduduk sebelum ini yang rata-ratanya berbangsa Melayu (of course Muslim) atas alasan mahu mendirikan sebuah sekolah. Wallahu a'lam. Betul ataupun tidak, saya tidak dapat pastikan. Tetapi, tapak bazar itu sebelum ini sememangnya sebuah perkampungan Melayu.

Bak kata abang (ipar) saya, "Kerja orang kaki songlap, kita (orang Melayu) juga yang rugi akhirnya."

Kita tinggalkan segala percaturan politik. Sebab dalam post kali ini, saya malas nak fokus secara detail terhadap politik.

MANA MUNGKIN GARAM DIHURUNG SEMUT

Keadaan di bazar sememangnya menyedihkan. Kebanyakkan orang Melayu yang menyewa premis di bazar berkenaan sememangnya tidak langsung mahu memberikan kerjasama dalam membangunkan bazar, langsung tidak mahu beroperasi. Alasannya mudah, mahu tunggu sehingga orang ramai mengunjungi bazar berkenaan. Persoalannya, bila? Sehinggakan menyulitkan lagi usaha pihak pengurusan untuk mendapatkan dana daripada KeKKWa. Betul atau tidak, Wallahu a'lam.

Janganlah berfikiran sebegitu. Sampai bila kita harus menunggu pelanggan ramai sekiranya tiada yang mahu mengusahakannya? Apa yang penting, kita usahakannya terlebih dahulu sebelum mahu melihat mereka berduyun-duyun datang bak gula dan semut. Manakan mahu semut menghurung sesuatu sekiranya tiada gula, tiada manis. Itu perumpamaan. Manakan mungkin sesuatu tempat itu menjadi kunjungan ramai sekiranya ia bagai rumah usang yang sepi.

Abang saya ada inisiatif lain dalam menarik pembeli kerepek-kerepek jualannya. Nak tahu apa? Datang sendirilah, tengok. Tarikkannya bukan sekadar untuk gerainya sahaja, bahkan kepada keseluruhan bazar. Begitu besar sumbangannya. Dia sendiri tidak mahu orang Islam gulung tikar dalam perniagaan masing-masing. Sekiranya diikut sebilangan lain yang mahu menunggu riuh, jawapannya, memang jenuh membayar sewa bulanan. Yang seeloknya, kita sendiri mencari semut untuk menghurungi segala benda yang kita jamukan.

Kita nak berjaya, kita perlu berusaha. Setelah berusaha, bulatkan segala-galanya hanya pada Tuhan, Allah Yang Maha Esa. Kejayaan milik-Nya. Ditentukan berjaya, berjayalah. Jika tidak, mungkin ada rezeki suatu masa nanti. Sebagai orang Islam, kita sentiasa diuji. Sama ada bersifat kejayaan mahupun kegagalan. Yang penting, kita bersyukur, itu yang Dia mahukan.

Kerja kita, memakmurkan dunia dengan urusan agama. Mencari nafkah termasuk dalam urusan agama. Yang pasti, jangan kita tumpukan matlamat mencari nafkah itu kepada duniawi tetapi jadikan ia sebagai ibadah. Bekerja bukan mengharapkan kelebihan tetapi mengharapkan lebihan rahmat Allah swt agar dapat dilimpahkan ke atas kita dunia dan akhirat hendaknya.

Setapak, Kuala Lumpur

1 comment: