Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

16 May 2009

Selamat Hari Guru 2009

Dedikasi buat guru-guruku yang tercinta
Sajak

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


Usman Awang
1979


Tiada hari yang lebih keramat dan bermakna bagi seseorang guru, jika bukan HARI GURU yang disambut 16 Mei setiap tahun. Hari yang memartabatkan profesion perguruan.

“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA” adalah tema yg dipilih menghiasi sambutan pada tahun ini. Diharapkan maksud tema tersebut bukan saja perlu diamati dan difahami oleh para guru, malah semestinya didalami oleh ibubapa dan masyarakat sejauh manakah arah tujunya. Guru akan gagal membina budaya bangsa jika tiada sokongan padu daripada ibubapa dan masyarakat.

Khas kepada warga pendidik, Selamat Hari Guru buat anda semua. Teruskan berjuang dengan ikhlas walau apa pun tanggapan negatif masyarakat dilontarkan. Bersama kita selami rintihan hati & jiwa warga guru, semoga ia dapat membantu memartabatkan budaya bangsa & negara.

Berilah sedikit penghargaan kepada guru-guru walau sekadar ucapan “Terima kasih, cikgu!”

Taman Permata, Hulu Kelang

1 comment: