Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

27 May 2009

Rahsia Jatuhnya Constantinople

Hari ini, 546 tahun yang silam, Muhammad bin Murad melukir satu sejarah dengan menawan kota yang sangat kuat pertahanannya, Constantinople.

Tulisan ini cuba melihat bagaimana seorang pemimpin seperti Muhamad Murad yang kemudiannya diberikan gelaran Muhammad al-Fateh, telah berjaya dilahirkan. Adakah di sana satu metode tertentu untuk mencetak pemimpin seperti beliau dan bagaimanakah cara untuk berbuat demikian.

Peribadi dan kepimpinan Muhammad Al Fateh menunjukkan beliau mempunyai ciri berikut;
a. Asuhan dan disiplin Islam yang kuat
b. Mempunyai matlamat hidup yang ingin dijayakan
c. Kehendak yang kuat
d. Sabar dan ketahanan ruhani yang kuat
e. Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk misinya, atau mendapatkan bantuan pakar dalam bidang masing-masing bagi tujuan melengkapkan skil berkenaan
f. Ibadah dan pergantungan yang kuat dengan Pencipta

Sebelum isu ini dikupas lebih lanjut, kita tinjau dulu bentuk pertahanan Kota Constantinople itu sendiri yang sangat menakjubkan;

Kota ini berbentuk tiga segi. Dua bahagian kota menghadap laut iaitu Selat Bosporus dan Laut Marmara. Bahagian daratan dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh;

a. Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Dalamnya 10 meter dan lebarnya 60 meter
b. Ada dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter
c. Tembok dalam pula setinggi 40 kaki tinggi dan 15 meter tebal
d. Terdapat menara kawalan sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter!
e. Terdapat 400 batalion tentera terlatih mengawal tembok ini sepanjang masa

Dengan kedudukan pertahanan seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini dicerobohi.

Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat diletakkan di Selat Bosporus yang digunakan untuk menghalang kapal-kapal melepasinya.

Constantinople telah menjadi ibu kota Empayar Byzantine untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah dan Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik dari segi perdagangan mahupun geopolitik.

Sejak Rasulullah saw mengungkapkan bahawa nanti kota penting ini akhirnya akan jatuh di tangan seorang pemerintah yang terbaik, memimpin tentera yang terbaik sepanjang zaman, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun tidak berjaya. Sahabat seperti Abu Ayub al-Ansari juga telah berusaha dan mereka telah mengepung kota ini selama tujuh tahun, tetapi masih gagal.

Hanya 800 tahun selepas sabda Nabi yang Mulia itu, sabda yang menakjubkan ini menjadi kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad al Fateh telah memulakan pengepungan ke atas Constantinople pada hari Khamis, 5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453.

Sungguhpun pengepungan ini berlangsung selama hampir dua bulan sahaja, program penaklukan ini telah berjalan lama!

Ia bermula apabila bapa Sultan Muhammad al-Fateh, Sultan Murad memilih guru-guru yang terpilih untuk mendidik anak raja ini, yang waktu itu, seorang anak yang nakal.

Sejak berumur sembilan tahun, Sultan Muhammad telah mengalami pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapa baginda memberikan kebebasan kepada guru-guru beliau untuk membentuk dan mendidik Muhammad.

Rotan turut digunakan oleh gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad telah sengaja dirotan dengan teruknya tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh beliau.

Tujuan guru beliau berbuat demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan dan sikap adil dan saksama dalam jiwa bakal Sultan ini. Supaya nanti baginda dapat mengambil keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang tidak diperlakukan dengan adil!

Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal al-Qur'an, dilatih untuk sembahyang malam, dibentuk menjadi warak dan zuhud, diasuh mencintai ilmu dan ulama', diasuh supaya mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan kerohanian Sultan Muhammad ternyata apabila baginda akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai pemerintah Kesultanan Uthmaniah, beliau menangis teresak-esak.

Gurunyalah yang telah mengarahkan beliau menerima tanggungjawab itu atas hujah bahawa seorang berkaliber seperti beliau wajib memikul amanah ummah dan itu jihad dan ibadah yang lebih besar.

Pendidikan Sultan Muhammad di istana baginda hampir komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran Eropah dan pusat perdagangan dan diplomatik, baginda dapat berbahasa lebih dari lima bahasa.

Sudah tentu baginda fasih dalam bahasa Arab.

Baginda juga diajar matapelajaran sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk memberikan pendedahan ketenteraan kepada beliau.

Lama sebelum program pembebasan Constantinapole dimulakan, Muhammad al-Fateh telah berbincang dengan pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan Constantinople sebelum ini.

Apa rahsia kekuatan pertahanan kota itu dianalisis. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi halangan-halangan itu juga dibincangkan.

Dari perbincangan itu, antara lain mereka mengenal pasti hal berikut:

a. Dinding tembok itu terlalu tebal dan pada waktu itu belum ada teknologi yang boleh meruntuhkannya. Sultan Muhammad telah mengarahkan dicari satu teknologi yang boleh meruntuhkan tembok itu.

Tentera baginda akhirnya berjaya mencipta meriam yang paling canggih dengan bantuan seorang pakar senjata bangsa Hungary yang telah diculik dari kurungan dalam penjara Constantinople dengan mengorek lubang bawah tanah yang dalam dan panjang!v

Berat setiap meriam ciptaan baru ini ialah 700 paun! Ia perlu ditarik oleh 100 ekor kuda dan seratus orang tentera. Bila diletupkan, bunyinya boleh didengar sejauh 13 batu! Setiap tembakannya akan menyebabkan tembok yang kuat berlubang seluas enam kaki. Nah! Benteng besar itu sekarang telah menemui ruasnya.

b. Rantai besi yang kuat yang dirintangi menghalang laluan kapal. Ia menghalang bantuan dan pergerakan melalui laut.

Sultan Muhammad telah mencipta satu plan luar biasa mengatasi halangan ini. Ia adalah antara rekod sejarah yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan seorang pemimpin. Baginda mengarahkan pembinaan kapal di daratan. Dibuat pada sebelah malam supaya tidak disedari oleh musuh.

Mesti disiapkan dalam masa yang singkat. Kapal ini diluncurkan dari daratan sejauh 5km ke lautan dengan meletakkannya tergelunsur di atas batang-batang kayu yang telah diatur dan telah diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu.

Pada masa yang telah ditetapkan, kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota Constantinople sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang telah terpasang! Ia memeranjatkan tentera musuh. 400 kapal musuh terbakar dan serangan dari lautan berjalan serentak dengan pengepungan sebelah daratan.

c. Lazimnya bila tentera sampai di pantai menghadap Kota ini, mereka terdedah kepada serangan musuh kerana kawasan yang terbuka dan jika sekiranya satu benteng pertahanan mengelakkan serangan hendak dibina, ia memakan masa selama setahun.

Sultan Muhammad telah mengarahkan benteng pertahanan menghadap tembok kota Constantinople itu dibina dalam masa tiga bulan dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih.

Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu.

Ia memang berjaya disiapkan seperti direncanakan.

Dari mana kekuatan keinginan seorang pemimpin ini diperolehi oleh Sultan Muhammad?

Gurunya bukan sekadar menyuntikkan kekuatan rohani kepada bakal Sultan in, tetapi juga telah menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baru yang diperlukan untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif.

Sultan Muhammad dapat menganalisis dengan tepat permasalahan dan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya.

Tetapi yang paling penting, sejak kecil lagi guru-guru baginda telah membentuk minda baginda untuk merasakan dirinya lah yang disebutkan oleh Rasulullah saw sebagai raja terbaik yang memimpin tentera terbaik yang akan dapat membebaskan Constantinople.

Sasaran, visi dan misi yang jelas, yang disuntikkan ke dalam minda baginda ternyata berkesan. Dari kecil, Sultan Muhammad mengimpikan bagindalah pembebas itu!

Baginda bergerak selari dengan impian ini. Akhirnya, ia adalah sebuah kenyataan.

Dari sudut kepimpinan, bapa baginda seorang yang berpandangan jauh. Sejak umur 14 tahun, Muhammad telah diminta menguruskan empayar dengan alasan, bapanya ingin menumpukan kepada ibadah.

Namun, dalam dua keadaan kritikal, bapa baginda pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniah. Selepas ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberikan peluang untuk menguruskan semula empayar yang sedang berkembang itu.

Melalui pendedahan berbentuk bimbingan ini, Sultan Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti.

Ditambah, sepanjang hayat baginda, guru-guru baginda yang menjadi rujukan kerohanian dan kebijaksanaan, sentiasa bersama baginda. Hatta, ketika pengepungan kota itu berlangsung, gurunya mengimamkan solat hajat semua tentera Sultan Muhammad.

Melihat 150,000 tentera Islam berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu, cukup untuk menakutkan musuh yang sedang berkawal dalam kota!

Pada hari pembukaan Kota Constantinople yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur.

Sepanjang kempen, baginda tidak putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Constantinople akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang dijanjikan oleh Nabi itu.

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Constantinople yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu.

Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!".

Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Pertanyaan seterusnya, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!".

Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian baginda bertitah, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!".

Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhanallah!

Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah saw dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Istanbul.

Sekarang, marilah kita mengenali secara ringkas guru-guru yang berjasa besar membentuk Sultan Muhammad.

Pertama, Ahmad 'ibn Ismail Al-Kori:

Guru istimewa ini menunjukkan role model kepada Sultan Muhammad al-Fateh. Seorang yang warak, tidak menyembah sultan sama seperti orang lain memberikan tunduk hormat, memanggil nama sultan dan kerabat mereka dengan nama mereka masing-masing tanpa sebarang panggilan gelaran, bersalaman dengan mereka tanpa mencium tangan mereka. Sepanjang Ramadan, Sultan Muhammad menghadhiri kelas mentafsir ayat-ayat al-Quran yang diadakan di istana baginda selepas solat zohor, dengan guru-guru yang bersilih ganti.

Ahmad ibn Ismaillah yang mengajarkan al-Quran, hukum-hakam agama dan kepatuhan padanya. Ia juga membentuk rasa takwa dalam jiwa Sultan Muhammad dengan berbagai cara, termasuk nasihat-nasihat yang berkaitan dengan tugas pemerintah.

Kedua ialah Sheikh Muhammad bin Hamzah al-Rouhy, lebih dikenali sebagai Ba'q Shamsuddin. Beliau meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap keperibadian Sultan Muhammad.

Beliau telah menginspirasikan Sultan Muhammad al-Fateh meningkatn aktiviti dakwah dan keislaman di bawah Empayar Uthmaniah sebagai satu cara memperkuatkan empayar tersebut.

Beliaulah yang paling giat meyakinkan Sultan Muhammad bahawa beliau adalah raja terpilih seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya itu.

Selain mengajarkan teras-teras ilmu Islam, Shamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains, matematik, sejarah, strategi perang, astronomi dan lain-lain.

Beliaulah yang telah merotan Muhammad pada masa kecil tanpa sebab. Beliaulah yang mententeramkan Sultan Muhammad yang menangis kerana enggan menjadi raja. Beliaulah yang telah ditanya oleh Sultan Muhammad sama ada beliau boleh bersara selepas lama memerintah kerana ingin menumpukan kepada ibadah tetapi dijawab, ibadah sebagai Sultan yang adil adalah lebih berharga lagi.

Shamsuddin meletakkan insipirasi dalam dada sultan, memberikan baginda tujuan dan misi pemerentahan yang jelas dan bersama baginda sehingga cita-cita itu tercapai.

Kerana itu lah, beliau dikenali sebagai Penakluk Rohani Constantinople. Guru yang merancang lahirnya seorang pemimpin dan terukirnya sebuah sejarah. Insan pada sisi lain Sultan Muhammad al-Fateh.

Bukit Mahkota, Bangi

24 May 2009

Permata Di Dalam Kotak Emas


"Bukan apa. Sebenarnya, saya rimaslah. Bukan awak tak tau. Negara kita panaskan. Apa salahnya kalau saya tak pakai tudungkan..."

Bukan senang untuk menerangkan kepada Puteri tentang pentingnya menutup aurat. Sudah lama Solehah bersahabat dengannya. Namun begitu, dia belum dapat menarik bersama-sama sahabatnya itu sama-sama dengannya mengamalkan tuntutan agama.

Puteri bukan sahaja tidak menutup aurat, bahkan turut meninggalkan solat fardhu. Amalan wajib yang hanya dilaksanakannya hanyalah puasa Ramadan, itupun ikut-ikutan daripada orang sekeliling. Maklumlah, Puteri merupakan seorang anak Tan Sri dan kedua ibu bapanya juga tidak mengendahkan suruhan agama.

Solehah juga anak orang berada. Namun begitu, dia dididik dengan didikan agama sejak kecil. Beliau ditarbiyyah dengan sepenuhnya oleh keluarganya sebelum dihantar ke sekolah tahfiz ketika berusia 9 tahun. Hasilnya, beliau seorang yang taat dalam agama.

Ditakdirkan, Tan Sri Muhaimeen, bapa Puteri dan Datuk Rahman, bapa Solehah merupakan dua orang rakan kongsi dalam Sulaman Kasih Sdn. Bhd.. Keadaan inilah yang menemukan Solehah dan Puteri sejak mereka kecil.

Walaupun cara hidup berbeza, namun mereka berdua sememangnya akrab bersahabat.

"Bersahabat, jangan biarkan sahabat hanyut dalam kefana'an dunia." Itulah kata-kata guru Solehah ketika belajar di sekolah tahfiz suatu masa dahulu. Dia seboleh-bolehnya mahu sahabatnya itu, sekurang-kurangnya mengamalkan secara istiqamah, amalan-amalan yang wajib. Bukan senang ingin menerangkan kepada sahabatnya itu.

Bukan senang mahu menerangkan kepada Puteri. Dia tetap dengan cara baratnya itu.

"Kenapa ni, Lehah? Monyok aje muka awak?" Puteri seolah-olah merasakan ada sesuatu yang tidak kena. "Kita berdua sudah lama sambung belajar kat oversea. It's a very long time. Bila dah berjumpa, your face like... mencuka."

Solehah bukanlah seorang yang terburu-buru dalam menerangkan kepentingan aurat itu. Cuma mencari masa yang sesuai sahaja untuk menerangkannya. Lebih-lebih lagi kepada Puteri yang kurang didikan agama.

"Alang-alang awak dah datang ke rumah saya, I got something to show you," kata Solehah. "This. My new handphone. My dad bought it last week at California. How nice it's." Telefon bimbit barunya itu sebenarnya di simpan di dalam almari kaca di biliknya sahaja.

"Why don't you use it?" tanya Puteri. Solehah rasa inilah waktu yang sesuai untuk menerangkan kepada sahabatnya tentang kepentingan menutup aurat.

"Puteri, can I ask you something?" Puteri menganggukkan kepalanya. "If you have a diamond, do you give it to somebody to touch it, to belek-belek or keep it in a very nice box and put it in a nive glass cupboard? Somebody can't touch it. Just can see a part of it," tanya Solehah.

"Of course I will put it in a box, simpan baik-baik. If I give it to others, tak pasal-pasal hilang. Kan dah rugi," jawab Puteri.

"Ha... Itu sebablah Islam mensyariatkan kita agar menutup aurat, especially kaum Hawa. Kecantikan tubuh badan yang Allah jadikan ini sebenarnya hanya untuk yang teristimewa sahaja, buat suami kita," terang Solehah.

Puteri terpaku mendengar penjelasan Solehah. "Oh, macam tu ke?"

"Suamilah orang yang kita cinta. Takkan kita nak beri tubuh badan kita yang sudah 'dimamah' orang, sisa 'ratapan' mata orang lain sebelum 'dihidangkan' buat yang tercinta?" Penjelasan Solehah membuatkan Puteri berfikir panjang.

"Macam tu ke? Detail juga ya agama tu. Sampai macam tu sekali," kata Puteri. "Tapi takkan awak tak nak guna henset tu? Kalau tak nak, bagi saya ajelah. Cantik tau." Mereka kemudiannya ketawa.

Begitulah Islam. Kewajipan dalam agamanya pasti mempunyai hikmah yang tersembunyi. Laksanakannya, pasti kita mendapat hikmah-hikmah yang tersirat tersebut.

Taman Permata, Hulu Kelang

18 May 2009

Itulah Kita Sebenarnya

Bila seronok, aku cari...
Pasanganku.
Bila sedih, aku cari...
Ibuku.

Bila berjaya, aku ceritakan pada...
Pasanganku.
Bila gagal, aku ceritakan pada...
Ibuku.

Bila bahagia, aku peluk erat...
Pasanganku.
Bila berduka, aku peluk erat...
Ibuku.

Bila nak bercuti, aku bawa...
Pasanganku.
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah...
Ibuku.

Bila sambut Valentine's Day,
aku bagi hadiah pada pasanganku.
Bila sambut hari ibu,
aku cuma dapat ucapkan "Selamat Hari Ibu".

Selalu...
Aku ingat pasanganku.
Selalu...
Ibuku ingat kat aku.

Bila-bila...
Aku akan telefon pasanganku.
Entah bila...
Aku nak telefon ibuku.

Selalu...
Aku belikan hadiah untuk pasanganku.
Entah bila...
Aku nak belikan hadiah untuk ibuku.

Itulah kita yang sebenarnya...

"Kalau kau sudah habis belajar dan bekerja, bolehkah kau kirim wang untuk mak? Mak bukan nak banyak. Lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah."

Tapi kalau Mak sudah tiada...
Makkkkk!!! Rindu Makkkkk!!! Rindu SANGAT!!!
Berderai air mata jika kita mendengarnya...

Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya?
Berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya?
Berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya?
Berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya?
Berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya?
Berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya?
Dan akhir sekali...
Berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya?

Buatmu IBUKU...
Engkaulah INSAN DALAM HATI SANUBARIKU...
Takkan kutinggalkan dirimu demi untuk orang lain...
Hatta isteriku sekalipun.
Itulah JANJIKU buatmu...

Taman Permata, Hulu Kelang

Nak Berniaga Ke Tidak?

Fuh. Sungguh penat malam ini. Memang sengaja dicari penat, bukan datang secara tidak diundang. Saya sebenarnya bosan duduk terperap lama-lama di rumah. Kalau diikutkan hati, ingin diselongkar setiap pelosok dunia mencari kerja-kerja kosong, tetapi apakan daya. Tidak pernah kerja-kerja yang menerpa itu menyebelahi diri. Itu sebablah saya tergerak hati untuk ikut abang ipar saya berniaga.

Bukan sekadar mahu mengisi masa yang dibazirkan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah, bahkan saya sendiri mahu memerhati cara dan gaya seorang usahawan, melalui kaca mata seorang peniaga di dalam sebuah bazar larut malam di Setapak.

Kata orang, bazar ini sebenarnya dirampas daripada penduduk-penduduk sebelum ini yang rata-ratanya berbangsa Melayu (of course Muslim) atas alasan mahu mendirikan sebuah sekolah. Wallahu a'lam. Betul ataupun tidak, saya tidak dapat pastikan. Tetapi, tapak bazar itu sebelum ini sememangnya sebuah perkampungan Melayu.

Bak kata abang (ipar) saya, "Kerja orang kaki songlap, kita (orang Melayu) juga yang rugi akhirnya."

Kita tinggalkan segala percaturan politik. Sebab dalam post kali ini, saya malas nak fokus secara detail terhadap politik.

MANA MUNGKIN GARAM DIHURUNG SEMUT

Keadaan di bazar sememangnya menyedihkan. Kebanyakkan orang Melayu yang menyewa premis di bazar berkenaan sememangnya tidak langsung mahu memberikan kerjasama dalam membangunkan bazar, langsung tidak mahu beroperasi. Alasannya mudah, mahu tunggu sehingga orang ramai mengunjungi bazar berkenaan. Persoalannya, bila? Sehinggakan menyulitkan lagi usaha pihak pengurusan untuk mendapatkan dana daripada KeKKWa. Betul atau tidak, Wallahu a'lam.

Janganlah berfikiran sebegitu. Sampai bila kita harus menunggu pelanggan ramai sekiranya tiada yang mahu mengusahakannya? Apa yang penting, kita usahakannya terlebih dahulu sebelum mahu melihat mereka berduyun-duyun datang bak gula dan semut. Manakan mahu semut menghurung sesuatu sekiranya tiada gula, tiada manis. Itu perumpamaan. Manakan mungkin sesuatu tempat itu menjadi kunjungan ramai sekiranya ia bagai rumah usang yang sepi.

Abang saya ada inisiatif lain dalam menarik pembeli kerepek-kerepek jualannya. Nak tahu apa? Datang sendirilah, tengok. Tarikkannya bukan sekadar untuk gerainya sahaja, bahkan kepada keseluruhan bazar. Begitu besar sumbangannya. Dia sendiri tidak mahu orang Islam gulung tikar dalam perniagaan masing-masing. Sekiranya diikut sebilangan lain yang mahu menunggu riuh, jawapannya, memang jenuh membayar sewa bulanan. Yang seeloknya, kita sendiri mencari semut untuk menghurungi segala benda yang kita jamukan.

Kita nak berjaya, kita perlu berusaha. Setelah berusaha, bulatkan segala-galanya hanya pada Tuhan, Allah Yang Maha Esa. Kejayaan milik-Nya. Ditentukan berjaya, berjayalah. Jika tidak, mungkin ada rezeki suatu masa nanti. Sebagai orang Islam, kita sentiasa diuji. Sama ada bersifat kejayaan mahupun kegagalan. Yang penting, kita bersyukur, itu yang Dia mahukan.

Kerja kita, memakmurkan dunia dengan urusan agama. Mencari nafkah termasuk dalam urusan agama. Yang pasti, jangan kita tumpukan matlamat mencari nafkah itu kepada duniawi tetapi jadikan ia sebagai ibadah. Bekerja bukan mengharapkan kelebihan tetapi mengharapkan lebihan rahmat Allah swt agar dapat dilimpahkan ke atas kita dunia dan akhirat hendaknya.

Setapak, Kuala Lumpur

16 May 2009

Selamat Hari Guru 2009

Dedikasi buat guru-guruku yang tercinta
Sajak

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


Usman Awang
1979


Tiada hari yang lebih keramat dan bermakna bagi seseorang guru, jika bukan HARI GURU yang disambut 16 Mei setiap tahun. Hari yang memartabatkan profesion perguruan.

“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA” adalah tema yg dipilih menghiasi sambutan pada tahun ini. Diharapkan maksud tema tersebut bukan saja perlu diamati dan difahami oleh para guru, malah semestinya didalami oleh ibubapa dan masyarakat sejauh manakah arah tujunya. Guru akan gagal membina budaya bangsa jika tiada sokongan padu daripada ibubapa dan masyarakat.

Khas kepada warga pendidik, Selamat Hari Guru buat anda semua. Teruskan berjuang dengan ikhlas walau apa pun tanggapan negatif masyarakat dilontarkan. Bersama kita selami rintihan hati & jiwa warga guru, semoga ia dapat membantu memartabatkan budaya bangsa & negara.

Berilah sedikit penghargaan kepada guru-guru walau sekadar ucapan “Terima kasih, cikgu!”

Taman Permata, Hulu Kelang