Semacam tidak mengetahui dunia luar bila sudah sibuk dengan tugasan. Apa yang berlaku di Dewan Rakyat pun sudah tidak diambil peduli, sudah habiskah perbahasan penggal ini ataupun belum tidak diketahui. Bukan setakat semacam tidak mengetahui dunia luar, internet pun kadang-kadang buka, itupun kalau ada kelapangan.
Apa yang paling penting, adik-adik di sekolah, bagaimanakah caranya bagi memantapkan ilmu ukhrawi mereka. Nakal mereka, tak boleh dinukilkan. Hanya pengalaman sahaja mampu mengungkapkannya.
Nakal, itulah salah satu perkara yang sukar untuk dihadapi. Otak nakal mereka sentiasa berfungsi, walaupun mereka di dalam kelas dan sedang dalam sesi pembelajaran. Bila guru mereka berdiri di hadapan, mereka boleh lagi bergurau senda. Bila guru menerangkan tentang isi pelajaran, mereka sempat mengacah kawan mereka. Bila guru memberikan latihan, tangan mereka lebih tangkas mencuit yang lain sedangkan lesu dalam melaksakan tugasan yang diberikan.
Nakal... Nakal... Nakal...
Nakal itulah yang membuatkan diri ini lebih seronok menyampaikan ilmu kepada mereka... Sebenarnya. Tetapi kenakalan itu sepatutnya berpada-pada, bukan kenakalan yang diluar kawalan.
Nakalnya murid-murid kelas 5 Umar berbeza dengan nakalnya murid-murid 5 Usman. Bagaimana pula dengan kelas 5 Abu Bakar? Setakat ini, tidak nampak lagi tanda-tanda 'kenakalan' mereka. Memasuki kelas mereka umpama memasuki sekolah tika cuti sekolah, sunyi. Jikalau diuji pelajaran terdahulu, ternyata mereka (5 Abu Bakar) mampu menjawabnya, hatta pelajaran yang dipelajari mereka ketika darjah tiga. Namun mereka hanya mengambil peduli apa yang ada di dalam buku teks sahaja, tidak langsung mengambil peduli apa yang berada di luar!
Berbeza dengan kelas 5 Umar, sebahagian daripada mereka mendengar penjelasan dan bertanya meskipun ilmu yang ditanya itu sebenarnya dipelajari pada peringkat menengah, malah universiti! Jenuh juga menjelaskan apa yang ditanya dan sebahagiannya terpaksa dijawab secara personally kerana penerangannya terlalu panjang untuk dijelaskan di dalam kelas yang mana waktunya terlalu singkat.
Kelas 5 Usman pula, lebih kurang dengan 5 Umar, cuma lebih sedikit kedegilannya. Corak kenakalan mereka pun berbeza, sesuai dengan tahap mereka.
Saya bersyukur bila berjumpa dengan seorang anak murid saya di sebuah surau di Desa Pinggiran Putra. Budak surau rupanya, semacam tidak percaya. Mana tidaknya, dia antara yang di'zikir'kan oleh ustazah-ustazah yang mengajarnya kerana kenakalannya yang agak 'terlebih' (pada mereka).
Saya akui dia memang berkelakuan agak nakal dan kadang-kadang agak degil dengan arahan yang saya keluarkan. Namun, kerajinannya berjemaah di surau berhampiran dengan rumahnya itu sememangnya mengagumkan saya. Saya sendiri tidaklah rajin berjemaah di surau ketika saya sebaya dengannya dahulu, 11 tahun sudah...
Mungkin dididik dengan didikan yang sempurna oleh kedua ibu bapanya. Mudah-mudahan dia menjadi seorang yang soleh dan terpelihara daripada bisikan duniawi yang penuh dengan kelazatan dalam kemaksiatan.
Nakal... Semoga kenakalan mereka ini menjadikan mereka lebih tahan dalam menghadapi kemungkaran dan lebih 'lasak' merempuh lopak-lopak dunia yang melalaikan.
Harapanku sebagai ustazmu...
SRA Desa Putra, Bangi SDE
No comments:
Post a Comment