Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

14 October 2010

Bacalah Dengan Nama Tuhanmu


BACALAH dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia daripada segumpal darah. BACALAH dan Tuhanmu yang amat mulia. Dia yang mengajarkan manusia melalui al-Qalam (melalui pena dan pembacaan). Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
AQ 97:1-5

Surah al-Alaq bermula daripada ayat yang pertama sehinggalah ayat yang kelima merupakan wahyu yang pertama diturunkan oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad saw melalui perantaraan Jibril as. Dengan terturunnya lima ayat ini, secara rasminya Nabi Muhammad saw dilantik menjadi rasul untuk umat manusia akhir zaman.

Kehidupan masyarakat Arab ketika itu terlalu mundur sehinggakan zaman tersebut digelar Zaman Jahiliyyah (bermaksud zaman masyarakat yang bodoh, tidak berilmu). Ketamadunan masyarakat Arab Jahiliyyah bermula selepas empangan Saba' pecah, sekitar 300 tahun sebelum kedatangan Nabi Muhammad saw.

Kawasan jazirah Arab yang tandus tidak menarik minat dua kuasa besar dunia ketika itu, Rom dan Parsi untuk menakluki mereka (walaupun mereka mampu untuk melakukannya!). Mereka percaya, mereka pasti mendapat kesusahan sekiranya mereka menawan tanah Arab kerana kejahilan penduduknya dan ketandusan tanahnya.

Selain daripada kemunduran dan ketandusan, masyarakat Arab Jahiliyyah juga terkenal dengan sifat berpuak-puak yang menebal (asobiyyah). Mereka lebih mengagung-agungkan puak mereka dan saling berperang antara satu puak dengan puak yang lain. Terdapat satu riwayat yang mengatakan bahawa pernah tercetus perang antara dua puak selama 40 tahun hanya kerana selisih faham antara beberapa orang antara mereka sahaja!

Teruknya masyarakat Arab Jahiliyyah berpunca daripada banyak sebab, salah satunya ialah TIDAK BERILMU!

Islam sememangnya menekankan betapa pentingnya ilmu terhadap penganutnya. Oleh sebab itu, wahyu yang pertama diturunkan Allah swt ialah perintah untuk membaca (AQ 97:1). Membaca adalah salah satu proses pembelajaran dan dengan cara membacalah, kita mampu menambah ilmu pengetahuan dan menjadikan kita lebih mengetahui setiap perkara melalui pembacaan (AQ 97:5)

Bertitik tolak daripada penurunan wahyu ini, umat Islam mampu berkuasa dalam segala aspek kehidupan, bermula daripada asas keyakinan ketauhidan, pengurusan kehidupan, pembinaan sahsiah diri dan keluarga, masyarakat yang sistematik, sosial serta hubungan antara masyarakat, pengurusan ekonomi yang lebih efisyen, hiburan yang terkawal, kemajuan sains dan teknologi, keadilan, politik serta pengurusan polisi kenegaraan, hubungan antarabangsa dan diplomatik, kemajuan ketenteraan, dan yang paling penting: keberlansungan peradaban dan kekuasaan kaum Muslimin terhadap dunia. Hal ini menjadikan empayar Islam yang besar berjaya menjadi sebuah institusi yang melindungi umat Islam (walaupun terdapat sebilangan khalifah yang zalim) selain daripada menjadi icon dan figura keamanan kepada masyarakat bukan Islam sama ada mereka rakyat kerajaan Islam mahupun tidak.

Kedudukan dunia Islam yang maju ketika itu menjadi buah mulut masyarakat Eropah yang ketika itu masih dibelenggu zaman kegelapan. Institusi gereja yang mencengkap penguasaan istana menggubal polisi menghalang sebarang ilmu dari kerajaan Islam dibawa masuk ke Eropah. Akibat daripada polisi yang mundur ini, ramai yang ditangkap dan dipenjarakan kerana kononnya ia bertentangan dengan doktrin gereja.

Kesungguhan Eropah untuk mempelajar ilmu dan menjadikan dunia Islam ketika itu sebagai role model, mereka akhirnya menjadi masyarakat yang maju serta berjaya menumbangkan kekuasaan dunia Islam!

Budaya membaca kini berjaya diterapkan ke dalam masyarakat Barat dan penduduk di negara maju lain seperti Jepun. Mereka yakin, masyarakat yang membaca adalah masyarakat yang berilmu. Tanpa ilmu, kita tidak mungkin berjaya. Mereka mengadaptasi kandungan wahyu mengenai membaca ini ke dalam budaya mereka, sedangkan umat Islam kebanyakkannya makin ke belakang, bagai ingin kembali semula ke zaman Jahiliyyah kerana mengabaikan perintah menuntut ilmu.

Adakah kita ingin kembali mundur...?

Rasulullah saw pernah bersabda:
اطلب العلم فريضةً على كل مسلم. أو كما قال
Menuntut ilmu itu fardhu ke atas setiap orang Islam.

Tinta mencoret: Bulan Oktober, bulan membaca. Jadikan membaca sebagai salah satu wadah untuk menambah ilmu.

SRA Desa Putra, Bangi SDE

No comments:

Post a Comment