Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

27 October 2010

Bukti Kesyukuran Dengan Undi?

Semalam adalah hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil (PRK) di DUN Galas di Kelantan dan Parlimen Batu Sapi di Sabah. Pertembungan tiga penjuru di Batu Sapi nampaknya kurang menjadi tarikan berbanding satu lawan satu di Galas. Saya lebih tertarik dengan PRK di DUN Galas berbanding PRK Parlimen Batu Sapi kerana terdapat satu jurang perbezaan dari segi mentaliti pengundi di Semenanjung berbanding negeri di utara Borneo. Oleh sebab itu, mungkin kita dapat menyaksikan perbezaan yang besar dalam pelbagai sudut antara dua kawasan Malaysia yang dipisahkan Laut China Selatan; Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

Kematangan politik rakyat Kelantan nampaknya lebih jauh kehadapan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Rakyat Kelantan berani memilih parti yang berlawanan dengan penguasa Persekutuan dan berani berhadapan dengan segala macam tindakan dan sekatan sekiranya memilih pemimpin yang tidak sehaluan (baca: berlainan politik) dengan Kerajaan Pusat.

Oleh kerana itulah, PAS berjaya menerajui Kerajaan Kelantan 30 tahun lamanya sejak Pilihanraya Kedua 1959 berbanding UMNO selama 12 tahun.

Pertembungan antara Dr Zulkefli Mohamad dan Abdul Aziz Yusof mungkin lebih mengujakan kerana keputusan pilihanraya sebelum in (2008), calon PAS, Allahyarham Chek Hashim Sulaiman menewaskan calon BN, Mohamed Saufi Deraman hanya dengan majoriti 646 undi daripada 10,000+ pengundi berdaftar.

Cakap pasal PRK DUN Galas, pesta kempen besar-besar sudah lama dimulakan pihak BN. Selepas kematian YB Chek Hashim, media arus perdana bertalu-talu mengkhabarkan keburukan kerajaan negeri PAS dan menceritakan betapa prihatinnya kerajaan Pusat BN.

Soal Ladang Rakyat yang dilaksanakan PAS diburuk-burukan media tali barut UMNO-BN kononnya ia dibina di atas tanah yang dirampas kerajaan negeri sedangkan tanah tersebut diduduki secara tidak sah. Perkara ini sudah dijelaskan oleh kerajaan negeri tetapi tidak mendapat liputan media tali barut UMNO-BN.

Selain itu, UMNO-BN juga mengatakan bahawa mereka lebih berkebajikan berbanding Kerajaan Berkebajikan PAS. Dikatakan bahawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat menyalurkan peruntukan sebanyak RM70.94 juta untuk mereka yang memerlukan seperti warga emas, OKU, dan ibu tunggal, jumlah yang terlalu besar berbanding RM6.8 juta yang dikeluarkan kerajaan negeri. Kenyataan seperti ini sepatutnya tidak dikeluarkan oleh orang yang 'berfikir' kerana kantung Kerajaan Persekutuan lebih besar berbanding Kerajaan Negeri, lebih-lebih lagi Kerajaan Negeri yang mereka sendiri kata antara kerajaan negeri yang miskin di Malaysia.

KENANGI JASA PEMIMPIN TERDAHULU

Paling biasa digembar-gemburkan oleh pihak BN termasuk media dan penulis bermentalitikan UMNO-BN adalah tentang pembangunan dan jasa pemimpin terdahulu membangunkan negara.

Pengundi zaman sekarang terutamanya pengundi muda dituduh tidak mahu mensyukuri nikmat pembangunan negara kerana tidak mengundi BN. Adakah dengan mengundi BN, kita boleh dikatakan bersyukur dengan sumbangan pemimpin-pemimpin negara terdahulu (baca: pemimpin UMNO)?

Bersyukur dengan nikmat pembangunan bukan ditonjolkan dengan mengundi parti yang telah membawa kepada kemajuan negara. Mengundi parti yang berkenaan tidak ada kait-mengait dengan cara bersyukur yang sepatutnya.

Cara yang paling baik untuk menzahirkan rasa kesyukuran kita dengan nikmat kemajuan dan pembangunan negara adalah dengan cara berganding bahu dengan kerajaan baik Pusat mahupun Negeri untuk sama-sama mengekalkan kemajuan yang kita nikmati dan memikirkan kaedah yang berkesan untuk meningkatkan lagi kemajuan dan pembangunan yang dinikmati.

Pilihanraya bukan medium terbaik untuk menzahirkan tanda kesyukuran kita kepada pembangunan yang dibawa pemimpin terdahulu.

Pilihanraya sebenarnya menentukan hala tuju dan dasar negara dalam tempoh 5 tahun dan mungkin lebih dari itu, bukan melihat sejarah silam negara. Pilihanraya sepatutnya dijadikan sebagai satu titik asas untuk mencorakkan Malaysia ke arah sebuah negara yang mampu bersaing dengan dunia melalui dasar-dasar yang digubal oleh pemimpin yang dilantik melalui undian, bukan melihat pemimpin-pemimpin lama yang membangunkan negara pada zaman yang sebahagian besar belia remaja yang mengundi belum lagi bernyawa.

Mengungkit kejayaan parti masing-masing sebenarnya bukanlah satu bentuk kempen yang sesuai dicanang-canangkan kepada mereka yang berakal kerana negara kita akan melangkah ke hadapan, bukan menoleh mengutip kaedah yang digunapakai pemimpin terdahulu yang mungkin tidak lagi sesuai dalam membangunkan negara.

Kejayaan sesebuah parti menerajui negara sebelum ini bukan satu bentuk KEYAKINAN dan FAKTA yang KONKRIT untuk mengatakan bahawa parti itu yang selayaknya dipilih (apatah lagi mengatakan hanya parti itu yang boleh mentadbir) kerana kriteria yang sepatutnya diambil berat oleh pengundi adalah dasar dan hala tuju parti selain daripada sahsiah calon yang diundi itu.

Dasar parti mungkin sesuai digunapakai pada zaman silap, tetapi adakah ia sesuai untuk zaman globalisasi yang kita harungi kini? Fikirlah sendiri.

Nabi saw pernah bersabda:
Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak bersyukur kepada Allah.

Berterima kasih kepada manusia dalam konteks kemajuan negara bukan dengan cara mengundi parti yang pernah membawa negara melangkah ke arah pembangunan, tetapi dengan cara yang saya nyatakan di atas.

Mudah kata, pilihanraya adalah medan untuk menentukan hala tuju negara melalui pemilihan pemimpin yang difikirkan mampu untuk membawa negara keluar daripada pelbagai bentuk kesukaran dan bersaing dengan negara-negara lain, bukan satu cara menzahirkan kesyukuran dengan pembangunan yang dibawa pemimpin terdahulu yang membangunkan negara.

Ingat Tuhan dan negara sebelum mengundi, BUKAN INGAT PARTI.

Semoga Allah swt meletakkan Malaysia di landasan yang benar dalam merealisasikan konsep "Baldatun thoyyibatun wa rabbun ghafur" (بلدة طيبة ورب غفور), yang bermaksud, "Negara yang sejahtera lagi diampunkan Allah.

والله أعلم بالصواب

Tinta mencoret: Apa tindakan yang kita ambil, firstly kita kena ingat Allah sebab kita hidup kena berada dalam ruang lingkup yang dibataskan-Nya. Kalau ingat jasa orang lama, lama-kelamaan kita lingkup kalau membelakangkan Tuhan dan masa depan.

SRA Desa Putra, Bangi SDE

No comments:

Post a Comment