Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

02 November 2010

Pinky Boys: Salah Siapa?


Tengah hari semalam, rancangan Wanita Hari Ini ada menampilkan beberapa orang pereka fesyen lelaki. Tidak pastilah apa yang dibualkan dalam bual bicara tersebut. Saya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada perbualan tersebut kerana sedang menggosok seluar yang berkedut. Ustaz ******** dan Ustaz ***** (dibintangkan nama mereka kerana mahu manjaga aib) yang baru sahaja selesai menjalankan tugasan masing-masing nampaknya sibuk menceritakan tentang satu gaya yang terdapat dalam kesemua (rasanyalah, sebab saya tak perhatikan, hanya berdasarkan mereka berdua) pereka-pereka fesyen tersebut: LEMBUT.

Semua orang yang berpegang teguh dengan ajaran Islam mengetahui bahawa tindakan menyerupai sifat jantina lawannya adalah berdosa dan barangsiapa yang cuba menyerupai, maka mereka akan menjadi bahan bakar api neraka, na'uzubillahi min zalik! Bahkan, Nabi Muhammad saw sendiri tidak mahu mengakui orang-orang sebegini sebagai umat baginda!

Betapa berat sekali hukuman yang bakal diterima oleh orang-orang 'lembut' ini.

Tetapi, adakah kita boleh meletakkan seratus peratus kesalahan menjadi 'lembut' ke atas bahu mereka? Jawapan saya: Tidak.

Mereka tetap bersalah kerana 'melembutkan' diri, tetapi kita sebagai orang yang peka seharusnya tidak menuding ke arah mereka dan mentertawakan 'kelembutan' mereka berterusan.

Sebelum ini saya pernah terbaca (tidak ingat bila dan di mana) bahawa lelaki 'lembut' menjadi 'lembut' adalah disebabkan oleh penghasilan satu jenis enzim yang begitu banyak di mana ia menghasilkan sifat-sifat kewanitaan terhadap empunya diri (jikalau tidak silap). Penghasilan enzim tersebut yang banyak di dalam diri seseorang lelaki memungkinkan dia memiliki sifat-sifat kewanitaan dan seterusnya menjadikan mereka sebagai lelaki 'lembut'. Tidak dapat dipastikan kebenaran perkara ini sama ada benar atau pun tidak.

Sekiranya perkara ini adalah satu kebenaran dan sudah terbukti secara saintifik, lelaki-lelaki 'lembut' seharusnya tidak boleh menjadikan perkara ini sebagai satu alasan untuk terus menjadi 'lembut'. Tindakan tersebut akan menambahkan lagi barah yang seharusnya dihindarkan.

Dalam artikel ini, saya tidak mahu menceritakan mengenai lelaki 'lembut' kerana secara terang-terangan mereka sudah menyerupai wanita dan bagai mencabar perintah Allah.

Apa yang saya mahu bicara ialah mengenai kesalahan mereka yang dipanggil 'straight guy', yang tidak melencong ke arah 'kelembutan' apatah lagi menyimpan perasaan menyukai sesama jenis atau gay.

Begitu mudah kita melemparkan caci maki terhadap mereka yang lembut, tetapi adakah kita menggalas tugas kita sebagai seorang da'ie, sebagai seorang pendakwah?

Firman Allah swt:
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk sekelian manusia, yang mana kamu menyuruh mereka ke arah yang kebaikan dan mencegah perkara yang salah serta (yang paling penting) kamu beriman kepada Allah. Kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman, pastinya itulah yang terbaik buat mereka. Kegelintir daripada mereka beriman tetapi kebanyakkannya masih fasiq.

Begitu mudah untuk kita menitipkan kesalahan tersebut kepada mereka bulat-bulat sedangkan kita sendiri tidak mengambil sebarang inisiatif untuk mendampingi mereka untuk memimpin ke arah yang sepatutnya.

Sudahlah masyarakat menyisihkan mereka, membuang mereka kerana sifat mereka yang 'lembut', tetapi adakah kita yang sudah mendalami Islam bertahun-tahun ini mengambil sikap yang sama seperti masyarakat yang rata-rata jahil dengan pendekatan Islam? Oleh kerana mereka tidak diterima di dalam masyarakatlah, mereka berkumpul membina kelompok sendiri yang sama-sama 'nyah' dan mengasingkan diri daripada masyarakat.

Mereka hidup dalam 'kelembutan' bertahun-tahun lamanya kerana sikap kita sendiri yang menyisihkan mereka. Mereka mungkin sukar berubah kerana tiadanya pembimbing yang sudi bersama mereka membimbing kepada jalan yang sebenarnya.

Mungkin ada sebahagian daripada masyarakat yang menyangkal tulisan saya di atas ini dengan alasan bahawa mereka sepatutnya tahu yang sifat lembut itu salah di sisi agama dan 'kelembutan' itu adalah pilihan mereka sendiri. Benar, sebahagian atau mungkin kebanyakkan daripada mereka yang 'lembut' ini mengetahui bahawa tindakan tersebut salah di sisi agama, tetapi pernahkah kita terfikir adakah kita melaksanakan tugas kita sebagai "amar makruf wa nahyu 'ani mungkar" (menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran)? Mungkin ada yang terfikir sikap mengasingkan mereka daripada masyarakat adalah penyelesaian terbaik sebagai jalan untuk mereka merenung kembali kekhilafan mereka.

Tindakan mengasingkan tersebut mungkin sesuai dilaksanakan pada zaman orang tua kita dahulu, tetapi bukan dalam era globalisasi ini yang mana mereka yang mudah mencari teman yang se'lembut' dengan mereka. Dengan itu, mereka tidak langsung akan memikirkan tentang kesilapan mereka oleh kerana ditutupi dengan sekumpulan yang agak sama dengan mereka.

'Kelembutan' mereka akhirnya menjadi barah dan akan membiak-biak. Tidak mustahil sekiranya suatu hari nanti mereka lebih lantang menuntut 'hak' mereka untuk menjadi 'lembut' atas nama hak asasi manusia di dalam negara kita sebagaimana yang sudah pun terjadi di negara-negara Eropah dan Barat.

PINKY BOYS

Pada kaca mata saya, selain daripada lelaki 'lembut' yang telah disisihkan oleh masyarakat kita dewasa ini, terdapat beberapa tabiat lain yang jarang-jarang (mungkin tiada langsung) dibincangkan masyarakat. Ia mengenai sifat anak-anak muda khususnya yang suka memiliki barangan yang mirip-mirip barang biasanya dimiliki kaum Hawa. Bukan setakat memiliki, bahkan menggaya dan menggunakan barangan tersebut. Misalnya banyak; menggunakan wallet yang panjang persis dompet wanita, menggunakan beg sandang yang seakan-akan tas tangan, memakai baju berwarna merah jambu (pink), dan sebagainya. Gaya mereka tidaklah lembut seperti lelaki 'lembut' yang saya nyatakan tadi, tetapi pemilihan barangan yang menyerupai barangan yang sudah menjadi trademark wanita juga boleh digolongkan sebagai menyerupai wanita. Adakah kita menyedari hakikat ini? Fikirlah sendiri.

Trend fesyen yang menyerupai wanita selain keinginan memiliki apa yang wanita suka untuk memiliki barangan yang bersifat kewanitaan juga sepatutnya kita bimbangkan, yang mana prioritynya adalah sama dengan bimbangnya terhadap kelompok 'nyah'.

Apa yang paling penting, kita sepatutnya menjalankan tugas kita sebagai seorang da'ie dengan memimpin mereka yang sepatutnya dipimpin, bukan menghukum mereka dengan neraka Tuhan tanpa sebarang pun tindakan yang sewajarnya diambil. Adakah dengan cara menghukum tersebut, kita tergolong dalam kelompok umat terbaik yang diiktiraf Allah seperti firman-Nya?

والله أعلم بالصواب

Tinta mencoret: Orang kita memang suka mengambil sikap menghukum memBABI BUTA dan memBUTA TULI daripada mengikhtiarkan satu jalan agar mereka sedar.

SRA Desa Putra, Bangi SDE

No comments:

Post a Comment