Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

29 September 2014

Ashiq, Aina, dan Ahmad

Ashiq masuk ke dalam kelas. Dilihat buku miliknya berada di dalam genggaman Ahmad. Buku itu dibelek-belek.

Terkandung di dalam buku itu, gambar-gambar Ashiq bersama Aina ditampal kemas berserta beberapa potong ayat yang menggambarkan bahawa Ashiq begitu suka dengan Aina.

Ashiq ketika itu ditempatkan di kelas kelima, juga kelas terakhir, manakala Aina pula berada di kelas pertama.

Boleh dikatakan mereka bagai langit dengan bumi.

"Tolong jangan bagitau Ustaz tau."

Itulah antara pesan Ashiq kepada Ahmad. Ashiq tahu, sekiranya buku tersebut 'jatuh' ke tangan saya, sudah tentu Ashiq akan diberi amaran, juga akan dimarahi.

Kebetulan, ketika itu, saya berada di dalam kelas Ashiq.

Entah mengapa, Ahmad kemudiannya tergelak, sehingga menimbulkan rasa curiga saya terhadapnya.

Saya memandang tepat kepada mereka berdua, bertanyakan sebab Ahmad tertawa. Ahmad dengan jujur menceritakan setiap perkara yang berlaku. Hati Ashiq tambah berdebar.

Saya bangkit dari tempat duduk guru dan mara kepada mereka berdua, meminta buku yang dimaksudkan Ahmad.

Setiap helaian dibelek, kelihatan gambar-gambar antara Ashiq dan Aina yang dipotong, dipadan, dan digam sehingga buku tersebut menjadi bagai sebuah novel percintaan antara mereka berdua.

Muka Ashiq semakin jelas ketakutannya.

Mana tidaknya, saya kerap berpesan kepada mereka agar melupakan 'cinta monyet' mereka dan menumpukan sepenuh perhatian mereka kepada pelajaran.

Dan pernah juga saya 'mengugut' mereka yang bercinta ini untuk diambil tindakan.

Saya beristighfar di dalam hati. Tidak disangka-sangka, masih ada yang masih bercinta saat pesanan demi pesanan, teguran demi teguran saya berikan agar mereka tidak bercinta ketika sekolah rendah.

Pesan sudah, ugut pun sudah. Apabila 'bukti' sudah diperoleh, saya meneruskan kepada langkah seterusnya, marah.

Juga pesanan buat Ashiq agar tidak meneruskan 'kisah percintaan'nya itu.

Jelas matanya berkaca...

Itu kisah yang berlaku, tiga tahun lepas...

۞   ۞   ۞  ۞   ۞

Selepas saya ke Taman Cabaran, Putrajaya (PCP), bersama Akmal Aim, Nazeeq, dan Aniq Akmal, salah seorang daripada bekas murid saya, Nazeeq, membuka cerita tentang apa yang pernah berlaku di kelas 4 al-Razi, tiga tahun lepas. Nazeeq ketika itu berada di kelas tersebut dan menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri.

Ashiq (bukan nama budak tu yang sebenar) kantoi dengan saya berkaitan buku yang dihasilkannya itu, yang mana Ashiq mengekspresikan rasa yang terbuku di hatinya terhadap seorang kawan perempuannya di kelas lain.

Apabila sampai ke pengetahuan saya, saya mengingatkan kepadanya supaya tidak lagi bercinta ketika masih di alam persekolahan.

Buku tersebut juga dirampas.

Walau bagaimanapun, saya memulangkan semula buku tersebut kepada Ashiq kerana bimbang jika buku tersebut dirampas, aib Ashiq mungkin akan lebih tersebar. Dan saya mengarahkan Ashiq agar membuang buku tersebut.

Dan menurut Nazeeq, Ashiq membuang buku tersebut. Jujur dan akur kepada apa yang saya minta walaupun Ashiq berdaya untuk tidak membuangnya. Saya pun tak sangka Ashiq membuang buku tersebut!

Sejak daripada peristiwa itu, Ashiq tidak lagi mahu 'melayan' perempuan walaupun ramai kawan perempuan yang 'cair'. Maklumlah, mukanya pun handsome.

Alhamdulillah, Ashiq banyak menghabiskan masa dengan aktiviti sukan, termasuk sukan lasak, juga mengambil kesempatan pada usianya yang masih muda untuk menghafaz al-Quran di sebuah madrasah di Bangi.

Semoga Ashiq akan berjaya dunia dan Akhirat. Amin.

Bergambar bersama selepas beraktiviti lasak di Taman Cabaran, Putrajaya.
Dari kiri: Akmal Aim, saya, Aniq Akmal, dan Nazeeq.
Tinta mencoret:  Ashiq sekarang 'tak suka' perempuan...

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP

5 comments:

  1. cinta monyet budak2.. biasalah tu.. jangan si Ashiq suka lelaki dah le.. huhu..

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah, dia bukan jenis manusia yang macam tu...

    ReplyDelete
  3. comel je cinta monyet budak2 nie....he3x...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehehe... Tu lah...

      Apa yang penting, pelajaran jangan dilupakan...

      Delete