Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

19 February 2017

Pindah Ke Giching

"Bukan ke Ustaz diarahkan pindah?"

Itu antara berita pertama yang saya peroleh ketika saya melangkah masuk ke dalam bilik guru.

Bingung. Cukup bingung. Saya kemudiannya berjumpa dengan dengan GPK1 untuk kepastian.

Pasti. GPK1 mengiyakan pertanyaan saya. Senarai perpindahan guru-guru seluruh daerah sudah dikeluarkan beberapa minggu sudah. Cumanya, surat arahan berpindah itu berada di tangan Puan Guru Besar. Dan Guru Besar pula tiada di sekolah.

"Saya kena berpindah ke mana?" tanya saya.

"SRA Giching," jawabnya ringkas.

Nama sekolah itu tidaklah asing pada saya.

"Kak tau tak sekolah tu kat mana?" saya bertanya kembali. Namun jawapannya sungguh menghampakan saya.

Saya terus bergegas menuruni anak tangga dengan beg yang masih tergalas sejak tiba tadi.

Buka Waze, mencari sekolahnya. Hasil carian juga menghampakan. Cuma yang ada hanyalah Klinik Kampung Giching. Saya memilih hasil carian tersebut, dengan harapan saya tiba di kawasan yang berhampiran dengan sekolah yang akan saya lapor diri itu nanti.

Saya akhirnya tiba di Sekolah Rendah Agama Giching, itu pun selepas terpandang satu papan tanda yang agak tersorok sedikit. Kalau tidak kerana bonggol yang dibina di hadapan pintu masuk, pastinya saya hanya meluru laju.

Sunyi.

Saya memakirkan kereta berhadapan dengan pintu pejabat. Saya keluar daripada kereta dan memerhatikan ke sekeliling kawasan sekolah.

Dua blok sekolah yang mengandungi kelas, sebuah surau, dan kantin.

Tidak pernah langsung saya menggambarkan yang saya akan turun mengajar di sebuah sekolah yang kecil seperti ini.

Saya melaporkan diri di hadapan GPK1, Ustazah Saprah, sambil-sambil berborak berkenaan perihal sekolah.

Ya, saya kena akui bahawa khidmat saya diperlukan di sekolah ini yang jumlah muridnya (ketika itu) sekitar 280 orang, sekolah paling sedikit yang pernah saya berkhidmat.

۞   ۞   ۞  PINDAH-RANDAH  ۞   ۞   ۞

Seperti yang pernah saya katakan dahulu, setiap perpindahan saya pastinya terselit seribu satu hikmah. Tatkala saya berpindah dari SRA Desa Putra ke SRA Bandar Seri Putra (SRABSP), saya terima dengan hati yang terbuka. SRABSP ketika itu merupakan sebuah sekolah baru dibuka.

Banyak kejayaan yang diperoleh pihak sekolah ketika saya berkhidmat di situ, dan kejayaannya bertambah saban tahun. Paling mengembirakan, kami (ketika saya masih lagi berkhidmat di situ) pernah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan ketika Program Kemahiran Amal Islami Peringkat Zon 1 Daerah Sepang dan seterusnya melangkah ke peringkat Daerah dan Negeri dengan megah.

Kejayaan sekolah ini berterusan sehingga kini.

Untuk catatan, ketika saya melangkah keluar dari sekolah ini, jumlah keseluruhan murid adalah 2048.

Saya kemudiannya berpindah dan berkhidmat di SRA Bandar Bukit Puchong (SRABBP), juga sebuah sekolah baru, mempunyai lebih kurang 700 orang murid (ketika itu) termasuk pelajar Kelas Kafa Menengah.

Saya menenangkan hati saya yang begitu berat untuk meninggalkan SRABSP. Mungkin terdapat hikmahnya setiap percaturan Allah itu.

Dan kemudiannya, saya berpindah lagi, kini ke SRA Giching (SRAG).

۞   ۞   ۞  POSITIF  ۞   ۞   ۞

Dan selepas setahun saya berkhidmat di SRAG, saya memperoleh bermacam-macam ilmu yang saya tidak perolehnya sebelum ini di sekolah-sekolah besar. Siapa sangka, ilmu perkomputeran yang amat penting dalam penyediaan data dan dokumentasi saya peroleh di sini di mana majoriti guru-gurunya bukanlah yang mahir menggunakannya. Dan saya pula menjadi rujukan guru-guru di sini dalam menggunakan komputer.

Di sini juga saya dipersiapkan dengan pelbagai ilmu pengurusan, penyusunan fail, dan yang seumpamanya.

Walaupun arahan berpindah itu boleh membuat sesetengah daripada kita menjadi down dan berprasangka negatif, namun sekiranya kita mengambil pendekatan dengan memandangnya dari satu sisi yang positif, insya-Allah, kita akan memperoleh hasil yang positif.

Sekiranya kita terus-terusan memandangnya dengan negatif, hasil yang negatif juga akan berbalik kepada kita.

Dan saya mengucapkan jutaan terima kasih dengan semua Guru-guru Besar yang pernah saya berkhidmat di bawah mereka sebelum ini: Ustazah Rafidah, Ustaz Amri, Ustazah Nor Maizah, Ustazah Fazilah, dan yang terbaru, Ustaz Samani. Mereka ini banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya sepanjang saya berkhidmat sebagai guru.


Coretan ini bukanlah untuk menidakkan jasa dan kelebihan sekolah-sekolah yang pernah saya berkhidmat terdahulu, sebaliknya apa yang ingin saya tonjolkan adalah sikap segelintir daripada kita yang suka bersikap negatif terhadap arahan pihak atasan, khususnya terhadap arahan perpindahan yang bukan pilihan kita.

Apa yang perlu, bersangka baik dan hadapinya dengan penuh rasa positif, walaupun terpaksa berhadapan dengan perpisahan dan kepayahan.

Positif. Itu kata kunci.

Alhamdulillah, sudah setahun saya berkhidmat di SRAG. Banyak kepercayaan yang diberikan pihak sekolah kepada saya walaupun saya sebenarnya rasa tidak mampu untuk melaksanakan kesemuanya.

Doakan saya istiqamah dalam bersangka baik dengan setiap ketentuan Allah.

Tinta mencoret: Positif, itu kunci kebahagian.

Permata Orange CC, Kuala Lumpur WP

No comments:

Post a Comment