Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

03 March 2012

3 Mac: Tarikh Hitam

3 Mac, satu tarikh yang seharusnya diingati oleh setiap umat Islam seluruh dunia. Namun malangnya, tarikh tersebut dilupai begitu sahaja.

Apa yang sebenarnya berlaku?

Tahukah kita, pada tarikh inilah, Khalifah Abdul Majid II, Khalifah terakhir Empayar Uthmaniyyah digulingkan. Ini menandakan Empayar Uthmaniyyah, kerajaan khilafah terakhir dibubarkan secara rasminya pada 3 Mac 1924, 88 tahun lampau.



*  *  * KEJATUHAN *  *  *

Keluasan Empayar Uthmaniyyah yang besar meliputi semenanjung Balkan, Asia Kecil, Arab Timur Tengah, Mesir dan Afrika.

Empayar Uthmaniyyah semasa pemerintahan Sultan Sulaiman al-Qanuni, lewat kurun ke-16.
Empayar Uthmaniyyah menjadi penaung kepada kerajaan-kerajaan Islam kecil yang lain. Akibat beberapa faktor, Empayar Uthmaniyyah akhirnya jatuh sehinggakan memberi kesan yang kepada kerajaan-kerajaan Islam yang berada di sekitarnya.

Empayar Uthmaniyyah mengalami kemerosotan bermula dari pemerintahan Sultan Salim II. Empayar tidak mampu bertahan dan akhirnya runtuh seperti yang pernah berlaku kepada pemerintahan khalifah yang terdahulu seperti Umayyah dan Abbasiyyah.

*  *  * PEMERINTAHAN YANG LEMAH *  *  *
Suleiman al-Qanuni, dikenali sebagai
Suleiman The Magnificent di dunia Barat.

Pemerintahan Empayar Uthmaniyyah mula rapuh selepas kemangkatan Sultan Suleiman al-Qanuni sekitar 1566.

Pada awal kurun ke-17, pemerintahan Empayar Uthmaniyyah tidak stabil apabila pemimpin kerap bertukar akibat kemangkatan sultan. Pertukaran sultan bermakna polisi kerajaan juga akan bertukar bergantung kepada apa yang diputuskan sultan. Tahap kestabilan kerajaan akan goyah setiap kali berlakunya pertukaran polisi.

Pertukaran jawatan khalifah yang kerap ini juga mendorong kepada perebutan kuasa daripada anggota-anggota Harem di dalam istana. Majlis Syura yang terbentuk untuk melantik pewaris takhta juga dilihat tidak berfungsi dengan sebaiknya kerana dilihat memilih khalifah berdasarkan kepada kekuatan, bukan kepada kelayakan.

Selain itu, terdapat beberapa orang sultan yang menaiki takhta tidak mempunyai kredibiliti yang baik dan bagus sebagaimana khalifah terdahulu. Antaranya, Sultan Mustafa I, Sultan Uthman II,  Sultan Murad IV, Sultan Ibrahim I, Sultan Muhammad IV, Sultan Suleiman II, Sultan Ahmad II, Sultan Mustafa II, Sultan Ahmed III, Sultan Mahmud I, Sultan Uthman III, Sultan Mustafa III, dan Sultan Abdülhamid I.

Sultan yang lemah ini akhirnya menjadikan gabenor-gabenor wilayah Empayar Uthmaniyyah berani mengambil tindakan membelakangkan keputusan sultan selaku khalifah. Selain itu juga, terdapat pembesar-pembesar wilayah takluk Empayar seperti Mamalik di Iraq cuba untuk memerdekakan wilayah mereka daripada naungan Empayar. Keadaan ini menjadi bukti kelemahan pemerintahan khalifah sehinggakan pembesar dan gabenor berani berpaling tadah dan melakukan beberapa siri pemberontakan.

*  *  * TANZIMAT *  *  *

Tanzimat bermaksud mengatur, menyusun, dan memperbaiki. Proses Tanzimat yang bermula 1839 bertujuan untuk membawa kemajuan dan kemodenan kepada setiap pelusuh wilayah Empayar. Proses Tanzimat ini berlaku dalam segenap bidang di dalam pentadbiran Empayar Uthmaniyyah.

Dalam bidang ekonomi, proses Tanzimat berjaya memajukan Empayar Uthmaniyyah dengan penubuhan bursa saham, perkhidmatan pos, jabatan bancian, rangkaian telegraf, penubuhan Majlis Perancang Bandar (İntizam-ı Şehir Komisyonu - City Planning Council), pembinaan jaringan kereta api, dan sebagainya.

Pembinaan dua jaringan kereta api pertama pada 1856 yang selia Oriental Railway Company dan ikuti oleh hampir 20 jaringan kereta api beberapa tahun kemudian.

Namun, pembinaan jaringan kereta api yang melingkari wilayah takluk telah membawa Empayar Uthmaniyyah kepada belenggu hutang sebanyak 200 juta pound sterling dan Empayar diisytiharkan muflis pada 1875.

Keadaan Empayar yang jatuh muflis memaksa kepada penubuhan Pusat Pentadbiran Hutang Awam (Düyun-u Umumiye-i Osmaniye Varidat-ı Muhassasa İdares - The Ottoman Public Debt Administration - OPDA). OPDA memberi kuasa kepada pemegang bond-bond kerajaan untuk mengutip pelbagai jenis cukai yang dikenakan di seluruh Empayar.

Dari sudut sosial, proses Tanzimat menyebabkan kewujudan sekolah-sekolah berpaksikan sekular menggantikan sekolah pendidikan Islam yang selama ini menjadi teras pendidikan di Empayar Uthmaniyyah. Pada tahun 1869, Peraturan Pelajaran Awam (Maârif-i Umûmiye Nizâmnâmesi - Regulation of Public Education) diterbitkan.

Oleh itu, pihak Barat berjaya membawa masuk ideologi kebangsaan (nationalism) dan sekularisme ke dalam Empayar Uthmaniyyah melalui beberapa institusi pendidikan tajaan mereka. Amerika menubuhkan Bosporus University (1863) dan Syrian Prostestant College (1866). Perancis pula mengasaskan Université de St. Joseph pada 1875.

Penubuhan beberapa buah institusi pengajian yang diselia Barat ini menggalakkan penerapan idea kebangsaan, kapitalisme, imperialisme, dan menyalakan sentimen perkauman di kalangan rakyat naungan Empayar Uthmaniyyah yang berbilang kaum.

Pengenalan kepada undang-undang Barat dalam sistam kehakiman mengurangkan skop undang-undang Syariah yang digunapakai sebelum itu. Pada 1869, Kementerian Kehakiman telah menubuhkan mahkamah Sekular yang mengehadkan bidang kuasa mahkamah Syariah.

Banyak kementerian ditubuhkan sepanjang proses Tanzimat berjalan. Pada asalnya, kementerian yang ditubuhkan bertujuan untuk menasihati Sultan dalam hal ehwal berkaitan kementerian tersebut, tetapi apa yang berlaku, sultan hanya menjadi pak turut kementerian terbabit.

Sentimen anti-Turki dan nasionalisme juga menyebabkan perpecahan yang begitu teruk di dalam wilayah Empayar.

Penguncupan wilayah naungan Empayar Uthmaniyyah sehingga membawa kepada kejatuhan, 1924.
Banyak lagi faktor-faktor dalaman yang menjadi punca keruntuhan Empayar Uthmaniyyah yang menjadi kebanggaan umat Islam seluruh dunia selama 600 tahun. Namun, keruntuhan Empayar ini pada asasnya adalah disebabkan PENOLAKAN NILAI ISLAMI DAN SISTEM SYARIAH dalam pentadbiran.

Ingat firman Allah Subhanahu Wa Ta 'ala:
Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka dan (Allah) mensia-siakan amal-amal mereka.

والله تعـالى أعـلـى أعـلـم

Hulu Klang, Kuala Lumpur WP

Bacaan lanjut:
  1. Selçuk Akşin Somel. 2001. The Modernization of Public Education In The Ottoman Empire, 1839-1908: Islamization, Autocracy, and Discipline. Leiden: Koninklijke Brill.
  2. Kejatuhan Turki Uthmaniyah: Berakhirnya Institusi Khilafah.
  3. Faktor Kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyyah.
  4. Faktor Kejatuhan Turki Uthmaniyah.
  5. TheOttomans.Org
  6. Dissolution of the Ottoman Empire.
  7. 3 Mac 1924 – Kronologi Kejatuhan Khilafah Islamiyah (Turki Uthmaniyah).
  8. Sejarah Kejatuhan Kuasa Islam Dunia.

3 comments: