Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

15 March 2012

Salahkah Prejudis Terhadap Pengemis?

"Eh, ada makcik mintak sedekah la kat depan tuh."                             
"Nape?"
                              "Kau tak nak derma sikit ker?"
"Buat apa nak derma? Kau tau tak, diorang semua ni mintak derma ada sindiket, tau tak?"
"Ish, tak baik la kita buruk sangka."
"Iye, silap hari bulan, diorang ni lebih kaya dari kita,
hanya dengan mintak sedekah."
"Eh, yeke...?"

*  *  *  *  *

"Assalamualaikum, abang. Adik datang nak mintak derma untuk Madrasah Imam Syahmi, Bangi."
"Derma? Betul ke derma untuk Madrasah Imam Syahmi?"
"Betul, bang, untuk Madrasah Imam Syahmi."
"Kau jangan nak kelentong abang. Abang duduk Bangi gak. Tak de pun nama madrasah macam tuh...?"
"Betul bang. Kami sememangnya memerlukan dana untuk terus beroperasi. Harap abang dapat menderma untuk kami."
"Boleh caya ker...?"


*  *  *  *  *

Petang tadi, saya ke Pasar Malam Taman Melawati. Agak bosan duduk terperap lama-lama berhadapan dengan komputer. Nak berchatting, dah tak tau dengan siapa lagi saya nak chat. Selepas muak berhadapan dengan Pak Cik Facebook, saya mengakses blog-blog yang saya ikut untuk membaca. Tidak cukup dengan itu, saya 'berhubung' dengan Lebai Google dan Haji Wikipedia untuk melanjutkan bacaan dalam beberapa perkara selepas hampir kesemua blog-blog yang saya ikut usai dibaca.

Penat baca...

Itu sebablah saya keluar ke pasar malam. Lagipun, dah lama saya tidak ke Pasar Malam Taman Melawati.

30 minit saya bertawaf mengelilingi pasar.

Yang bestnya, tengah syok-syok cuti mata (ehem~~), tiba-tiba hujan turun. Habis kalut peniaga-peniaga mengalihkan bahan jualan, memasang plastik tambahan semata-mata tidak mahu barang jualan mereka rosak ditimpa hujan. Penjual pirate DVD pun kalut macam penguatkuasa datang buat rush.

Hujan turut tak lah lebat sangat. 5 minit je, lepas tu dah teduh.

Saya tertarik dengan seorang mak cik tua berkerusi roda yang duduk berhampiran dengan gerai ayam goreng. Dari tadi dia duduk atas kerusi rodanya. Time hujan, tetiba dia pakai payung pula. Eh? Mana datangnya payung tuh? Orang tua sememangnya mengaplikasikan apa yang terdapat dalam pepatah Melayu "Sediakan payung sebelum hujan."

"Apa yang mak cik tu buat?"

Mak cik tua berkerusi roda tersebut antara pengemis yang mengemis di Pasar Malam Taman Melawati, hari ini. Ada yang mengemis macam mak cik ni, ada juga yang terpacak berdiri di sebelah tabung derma yang dibawa, yang didakwa akan disalurkan kepada pusat pengajian tahfiz, pondok, atau sebagainya.

Itulah senario yang berlaku di negara yang kita cintai, Malaysia. Keadaan rakyat yang pemurah menjadi salah satu faktor semakin banyak pengemis dan tabung-tabung derma kelihatan. Kalau siapa yang suka pekena teh tarik kat kedai mamak, pastinya tidak terlepas daripada memandang kotak derma yang disediakan di atas kaunter cashier.

Persoalannya,
Adakah benar mereka ini mengutip derma kerana mereka kedana?
Adakah benar mereka mengutip derma untuk pondok pengajian Islam mereka?
Wow... Pengemis ada BMWlah... Kalau macam tuh, saya pun nak mengemis.

Jika saya mengisi petrol di sebuah stesen minyak berhampiran rumah saya, pastinya ada dua orang 'petugas', mungkin pelajar sekolah berdasarkan kepada fizikal, menunggu di situ. Agak rimas juga mereka datang kepada saya untuk memunggut derma.

Antara pusat tahfiz yang menghantar 'wakil' untuk memungut derma.
(Gambar diambil dari blog Tuan Mazidul)
Bukan saya kikir untuk mengeluarkan derma, tetapi melihatkan kepada nama madrasah yang tertera di resit tersebut membuatkan saya sangsi untuk menderma. Kenapa? Kerana ada madrasah yang mengutip derma  diselia sebuah pertubuhan yang sebelum ini pernah diisytiharkan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kerana tarikat yang mereka bawa songsang dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Kemudian timbul persoalan, di mana jabatan agama? di mana Baitulmal? di mana agensi kerajaan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama Islam dan yang berkaitan?

Sebagai rakyat biasa, kita tidak boleh bersikap curiga atau buruk sangka dengan senario ini.

Kita tidak boleh mengatakan pengemis yang kita jumpa itu bekerja di bawah satu sindiket? Mungkin mereka benar-benar susah sehingga terpaksa mengemis?

Kita tidak boleh mengatakan ustaz yang datang meminta derma untuk pusat pengajiannya itu bohong atau tipu melainkan terdapat bukti jelas. Mereka mungkin salah di sisi undang-undang kerana menggunakan pelajar pusat pengajiannya untuk mendapatkan derma daripada orang ramai, tetapi duit tersebut mungkin disalurkan kepada pusat pengajian tersebut?

Pernahkah terbaca tulisan Ustaz Hasrizal bertajuk "Hikayat Negara Entah Berentah" yang diadaptasi daripada karangan Randy Flood?

Tugas kita selaku rakyat perlu melihat setiap kejadian yang menimpa itu secara optimis, baik sangka, dan tiada sebarang prejudis. Bukan tugas kita untuk melihat sesuatu perkara itu secara pesimis, buruk sangka, dan penuh dengan prejudis. Kita tiada sebarang gerak kerja untuk memperbaiki sebarang sangkaan buruk yang kita terbitkan. Hanya pihak kerajaan dan yang bersangkutan sahaja dibenarkan untuk bersangka buruk tetapi perlu disusuli dengan tindakan untuk memperbaiki keburukan tersebut.

Alhamdulillah, rata-rata rakyat Malaysia termasuk kita optimis dengan setiap yang berlaku. Dengan itu, kita mampu berbaik sangka terhadap hampir semua pengemis dan peminta sedekah dan itu menjadikan tangan kita lebih ringan dalam menghulurkan bantuan.

Seluruh dunia tahu rakyat Malaysia pemurah dan sangguh membantu negara lain yang berada dalam kesusahan, walaupun pernah dihalau ketika menghantar bantuan.

Rakyat Malaysia dilatih untuk menjadi pemurah.

Namun, apa guna pelbagai agensi yang ditubuhkan di negara kita yang kononnya membantu golongan-golongan yang meminta sedekah ini? Apa yang mereka buat? Tidur?

Ke mana kementerian yang menjaga kebajikan masyarakat? Ke mana lembaga zakat? Ke mana perginya jabatan agama? Mereka sepatutnya turun padang mencari sendiri golongan yang benar-benar memerlukan bantuan, bukan hanya menunggu di kaunter yang sejuk di pasang penghawa dingin, menunggu golongan tersebut datang mengisi borang untuk mendapatkan bantuan. Itu pun belum tentu dapat lagi.

Yang sepatutnya dapat, tak dapat. Yang terang-terang tak layak, dapat bantuan.

Kes sama juga terpakai dalam Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Pusat pengajian seperti sekolah tahfiz dan pondok mampu pergi lebih jauh sekiranya pihak kerajaan peka dengan keperluan mereka. Terjadinya pelajar sekolah tahfiz atau pondok keluar mencari dana dek kerana kerajaan, tidak kira sama ada Kerajaan Pusat atau Kerajaan Negeri, tidak memainkan peranan yang proaktif dalam membantu mereka.

Jadi, jangan salahkan rakyat yang pemurah menghulurkan derma sekiranya dipinta. Jangan juga diracuni pemikiran rakyat sekiranya mereka membantu.


Sikap pemurah dan berbaik sangka adalah sifat Mahmudah, sifat yang dituntut dalam Islam. Tugas agensi berkaitan adalah memastikan agar duit yang dikeluarkan insan yang pemurah tersebut disalurkan tepat ke arah yang sepatutnya, bukan kepada manusia yang mengambil kesempatan atas pemurahnya rakyat Malaysia.

Hulu Klang, Kuala Lumpur WP

1 comment:

  1. kalau nk menderma biar ikhlas, tak perlu ada rasa syak wasangka... kita ikhlas kita akan dpat pahala.. x rugi pun.. soal peminta derma atau pengemis itu menipu, itu urusan dia dgn Tuhan.. wallahua'lam..

    ReplyDelete