Salam Ramadan 1433H.
Sudah masuk malam kelima belas kita beribadat dalam bulan Ramadan pada tahun ini. Ini bermakna tinggal setengah bulan sahaja lagi sebelum Ramadan pergi meninggalkan kita.
Nak tunggu Ramadan tahun depan, belum tentu kita diketemukan semula.
So, sementara masih bernafas, eloklah kita berhempas pulas beribadat sebelum terlambat.
Alhamdulillah, Allah beri saya kekuatan untuk sama-sama bertadarus di Surau Taman Permata bersama ahli kariah yang lain. Hanya dua hari sahaja saya miss atas sebab tertentu.
Kelihatan beberapa kumpulan tadarus al-Quran dibentuk, yang terdiri daripada kanak-kanak dan orang dewasa.
Walaupun kawasan perumahan saya boleh dikategorikan sebagai kawasan bandar, namun sambutan terhadap aktiviti keagamaan di sini mendapat sambutan yang begitu memberansangkan daripada orang ramai, ditambah pula jawatankuasa surau yang aktif melaksanakan pelbagai aktiviti dan program bagi meningkatkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat setempat.
Seringkali saya memerhatikan beberapa kumpulan kanak-kanak yang bertadarus setiap malam. Tidak dinafikan, ada sebahagian kecil daripada mereka yang bermain, dan ada juga yang 'ghaib' bagai Chipsmore, 'kejap ada kejap tak de', namun kesungguhan mereka untuk membaca al-Quran setiap malam sememangnya wajar diberikan pujian.
Mana tidaknya, setiap malam, mereka akan bertadarus sehingga 11.30 malam, ada juga kumpulan yang melajakkan bacaan mereka sehingga jam 12.00 tengah malam. Mereka bersemangat untuk bertadarus bersama-sama walaupun mereka tahu, mereka akan bangun bersahur dan akan ke sekolah pada keesokkan harinya.
Kumpulan tadarus yang bersebelahan dengan kumpulan saya. |
Tabik springlah buat mereka...!
Hanya sebahagian sahaja yang datang bertadarus bersama ayah mereka mungkin kerana disuruh, tetapi sebahagian besar daripada mereka menghadirkan diri secara sukarela.
Kebetulan, semalam (Khamis, 3 Ogos 2012), kumpulan saya agak cepat dalam menghabiskan bacaan. Sebelum pulang, saya meluangkan sedikit masa untuk duduk bersama dengan salah satu daripada kumpulan tadarus kanak-kanak yang masih berada dalam halaqah, masing-masing mendengar dan menyemak bacaan rakan mereka yang sedang bertilawah.
Bertambah kagum, mereka mampu membantu rakan mereka yang agak tersangkut-sangkut ketika membaca al-Quran.
Seorang baca, seorang semak. Yang baju hijau tu dari kumpulan lain, dah habis baca. |
Sempat juga saya bertanyakan kepada mereka satu soalan, mereka darjah berapa? Paling muda, darjah tiga, lima, enam, dan ada yang sudah tingkatan satu.
Itu dalam satu kumpulan tadarus yang berada bersebelahan dengan kumpulan saya.
Ketika melihat keadaan mereka yang bersungguh-sungguh berdampingan dengan al-Quran sepanjang Ramadan ini, terlintas difikirkan saya, tidakkah mereka berasa rugi mengorbankan masa bermain, masa mengulangkaji pelajaran, masa tidur, dan masa bersama keluarga semata-mata untuk bertadarus al-Quran di surau?
Kesungguhan mereka bertadarus al-Quran setiap hari mengingatkan saya kepada sebuah hadith:
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: سمعْتُ رسول الله صلى الله يقول: "سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله إمام عادل وشاب نشأ في عبادة الله عز وجل ورجل قلبه معلّق بالمساجد ورجلان تحابا في الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال إني أخاف الله ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه ورجل ذكر الله خاليًا ففاضت عيناه" أو كما قال
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'Anhu, beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alayhi Wasallam bersabda, "Tujuh golongan dilindungi di bawah naungan Allah pada hari yang mana tiada naungan melainkan naungan-Nya (iaitu); pemimpin yang adil; PEMUDA YANG HIDUPNYA DIPENUHI DENGAN MELAKUKAN IBADAT KEPADA ALLAH; LELAKI YANG HATINYA TERIKAT DENGAN MASJID; dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, kedua-duanya bertemu dan berpisah semata-mata kerana Allah; lelaki yang apabila digoda oleh seorang perempuan yang berkedudukan tinggi dan rupawan, lantas dia berkata "Sesungguhnya aku takutkan Allah!"; lelaki yang bersedekah dan menyembunyikan apa yang dilakukannya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya; dan lelaki yang berzikir mengingati Allah dalam sunyi sehingga menitiskan air matanya".
Semoga mereka semua menjadi anak-anak yang soleh, Ameen.
Sedang mendengar bacaan daripada ahli kumpulan tadarus pada malam keempat belas. |
Kumpulan tadarus tahun lepas. |
۞ ۞ ۞ ۞ ۞
Di SRA Bandar Seri Putra, saya mencadangkan agar beberapa orang murid dipilih untuk bertadarus al-Quran setiap hari sepanjang Ramadan, dan cadangan ini diterima dengan pindaan oleh Ustaz Misnan selaku penasihat dalam aktiviti ibadat yang saya rencanakan untuk bulan Ramadan tahun ini.
Beberapa kelas dipilih secara mandatori untuk bertadarus al-Quran, lebih kurang setengah jam sebelum belajar, manakala beberapa orang murid yang bagus dalam bacaan al-Quran dipilih daripada kelas lain untuk turut sama bertadarus.
Aiman Hazim sedang memperdengarkan bacaan sambil disemak dan ditasmik oleh Fikree. |
Pernah saya bertanyakan kepada beberapa kelas yang saya ajar secara rambang, berapa orang antara mereka yang bertadarus al-Quran di surau-masjid, atau sekurang-kurangnya bertadarus al-Quran di rumah bersama keluarga?
Hanya sebilangan kecil sahaja yang mengangkat tangan.
Yang mengangkat tangan tidak sepadan dengan jumlah keseluruhan, tidak sepadan dengan jumlah surau-surau yang bertaburan di sekitar Putra Mahkota.
Pelbagai sebab dan alasan yang diberikan, antaranya; bertimbun dengan kerja sekolah yang banyak daripada sekolah kebangsaan, tidak punya masa, ayah tidak bertarawih di surau, tidak dibenarkan pergi ke surau, dan ada juga yang malas...!
Yang malas tu, saya tak mau komen. Kalau malas, Malaikat Raqib pun 'malas' nak catat kebaikan, dan Allah juga 'malas' nak bagi pahala dan mengurniakan syurga buatnya. Ni ayat daripada sharpshooter.
Bagi yang bertimbun dengan kerja sekolah, itu berkait dengan guru yang memberikannya. Sekiranya guru tersebut bukan beragama Islam, mereka mungkin tidak mengetahui perihal Ramadan sebagai bulan ibadat. Keadaan tersebut mungkin boleh dimaafkan dan sesi pencerahan terhadap mereka berkaitan bulan Ramadan seharusnya diadakan.
Namun jika lambakan kerja sekolah tersebut diberikan guru yang beragama Islam, mereka seharusnya memikirkan semula tindakan mereka memberikan kerja yang begitu banyak sehingga menghalang anak murid mereka membiasakan diri dengan ibadat pada malam Ramadan. Juga, tindakan tersebut boleh membantutkan usaha untuk menyemai dan menyuburkan biah solehah (بيئة صالحة) dalam masyarakat setempat.
Bagi yang tidak mendapat kebenaran daripada ibu bapa, atau ibu bapa tidak bertarawih yang menyebabkan anak-anak mereka tidak bertarawih dan bertadarus di surau, saya hanya mahu bersangka baik (husnu-zhon حسن ظن) kepada ibu bapa mereka atas faktor saya masih tiada anak, dan keadaan tersebut menghalang daripada saya berfikir sebagaimana seorang bapa akan berfikir untuk kebaikan anak mereka.
Namun, cadangan berikut mungkin boleh dipraktikkan oleh ibu bapa sebegini agar anak-anak mereka dibiasakan dengan ibadat dan menjadi anak yang hampir dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala selepas keluar daripada madrasah Ramadhan.
Sekiranya keberatan untuk ke surau atau masjid atau keberatan untuk memberikan kebenaran kepada anak untuk ke surau atau masjid, ibu bapa disarankan agar menjadikan rumah mereka sebagai masjid. Mereka boleh bertarawih bersama-sama dalam satu keluarga, dan kemudian diikuti dengan aktiviti bertadarus. Alangkah indahnya jika satu keluarga mampu menghidupkan setiap malam Ramadan dengan ibadat bersama-sama. Selain daripada anak-anak mereka didedahkan dengan suasana ibadat, ikatan kekeluargaan sesama ahli keluarga bertambah erat.
Anak-anak yang dilatih dalam suasana yang Islami berpotensi untuk menjadi penyelamat kepada ibu bapa mereka yang sudah meninggal dunia. Ingat sabda Rasulullah Sallallahu 'Alayhi Wasallam:
إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له أو كما قال
Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan 3 perkara; sedekah jariah, atau ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang MENDOAKAN (kebaikan) bagi mereka.
HR Bukhari dan Muslim
Siapa yang mendapat hasilnya kalau bukan ibu bapa mereka sendiri...?
Sesungguhnya Allah membiarkan kita seharian mencari kekayaan dunia tanpa halangan daripada-Nya. Kenapa kita agak keberatan untuk meluangkan masa hanya beberapa jam untuk-Nya?
والله تعالى أعلم
Selamat bersahur, berpuasa, ifthar, dan selamat beribadat.
Tinta mencoret: Benda abstrak macam kelebihan Ramadan, mana ada orang nak pandang...
Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP
Wahhh ustaz,,,aktif ya bersama penduduk setempat di kawasan tempat tinggal...
ReplyDeleteDen kalau keja malam mmg tak gi lah terawih....kat surau kat kilang jerk lah....
Tak pe, sekurang2nya buat dalam ruang lingkup yg termampu...
Delete