Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

08 April 2009

Earth Hour Kepada Maksiat?

قال الله سبحانه وتعالى في كتابه العزيز
أعوذ بالله السميع العليم من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
AQ 30:41
صدق الله العظيم

Blink... Tetiba sahaja keadaan gelap. Nasib baiklah matahari baru sahaja tenggelam, sekurang-kurangnya cahaya senja masih mampu membuatkan mata melihat sekeliling yang nampak samar-samar itu.

Anak-anak buah semuanya dah mula bising. Bising kerana gelap. Saya bangkit perlahan-lahan dari tempat saya diam dan berjalan meraba-raba dengan kaki. Saya lekas menuju ke atas, menuju ke bilik mencari touchlight. Jalan singkat. Ibu saya pula mengeluarkan batang-batang lilin yang tersimpan, khas buat keadaan yang kelam sebegini. Kakak pula melayan kerenah anak-anaknya yang tidak tentu arah, maklumlah gelap...

Blackout ini sememangnya memanaskan. Bukan sekadar panas kerana kipas tidak dapat dihidupkan bahkan panas sebab otak berfikir bagaimana mengawal keadaan yang kelam-kabut ini.

'Tragedi' blackout ini sememangnya mengingatkan saya kepada peristiwa Earth Hour tempoh hari. Semasa berlansungnya Earth Hour, saya kebetulan berada di Bangi sedang makan malam bersama-sama kawan-kawan. Bagaimana mahu dipadamkan lampu kalau nak makan? Silap haribulan, cicak jatuh dalam pinggan...

Usaha badan-badan dunia terutamanya yang berkaitan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar sememangnya perlu disokong. Mana tidaknya, lapisan ozon dikatakan sudah berlubang sebesar benua Afrika (setahu saya). Lihatlah sekeliling kita. Bagaimana boleh saya berpeluh-peluh ketika waktu senja sedangkan pada masa itu matahari sudahpun terbenam? Musim hujan juga tidak menentu sejak 2-3 tahun kebelakangan ini sedangkan sebelum itu, musim tengkujuh hanya datang pada hujung tahun dan bulan April sahaja.

SENTIASA DIBAZIRKAN?

Mari berbalik kepada isu Earth Hour dalam konteks pembaziran seharian. Apa gunanya kita khasnya dan kepada negara umumnya, sekiranya kita tutup lampu hanya selama kira-kira 60 minit sedangkan kita membazirkan elektrik kepada benda-benda maksiat selama berjam-jam seharian? Lihatlah, berapa banyak media elektronik, rangkaian televisyen dan radio yang menyajikan hiburan sehingga melalaikan orang Islam itu sendiri. Hiburan yang lagha dan melalaikan sememangnya suatu bentuk maksiat dan dalam apa juga caranya, ia berbentuk pembaziran. Islam tidak pernah menghalang kita berhibur, tetapi apa yang berlaku sememangnya sudah melebihi daripada had keperluan yang diperlukan seseorang manusia itu kepada hiburan.

Tidak cukup dengan tayangan hiburan di kaca televisyen, dendangan alunan lagu-lagu di corong suara radio, kita dilambakkan lagi dengan konsert-konsert yang semestinya menggunakan sumber elektrik yang tinggi. Tidak cukupkah hiburan yang terhidang di dalam rumah sehinggakan perlunya hiburan di tempat terbuka? Keadaan ini berlansung sekurang-kurangnya sekali seminggu. Elektrik sepatutnya dapat dijimatkan menjelang tengah malam, tetapi disebabkan maksiat inilah, ia terpaksa dibazirkan gara-gara memuaskan nafsu manusia yang tidak pernah puas terhadap kenikmatan yang sementara. Pub, disko, termasuklah yang menawarkan pusat khidmat seks tanpa lesen (ia tetap haram walaupun dengan lesen) semuanya beroperasi dengan nyalaan lampun dan putaran kipas yang pastinya dihidupkan dengan janaan elektrik.

Itulah 'hadiah' pembangunan yang dijanjikan selama ini. Muda-mudi lebih gemar mendekatkan diri dengan maksiat-maksiat sebegini daripada kuliah-kuliah ilmu dan agama sama ada di masjid, madrasah, surau atau mana-mana institusi keilmuan. Menggunakan sumber elektrik untuk ilmu lebih bermakna daripada dibazirkan ke arah 'keredhaan' syaitan dan iblis yang confirm dilaknat Allah 'Azza Wa Jalla.

PEMBAZIRAN UNTUK KANTUNG POKET

Apa gunanya diberikan lesen-lesen untuk menghalalkan operasi disko dan pub yang sedia maklum haram selama-lamanya, abadan abada? Apakah pihak berkuasa tempatan ataupun kerajaan baik kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan mempunyai kepentingan terhadap benda-benda jijik ini lebih daripada pembinaan sahsiah anak-anak muda? Setidak-tidakpun dalam usaha menyelamatkan bumi daripada peningkatan suhu dunia yang semakin membimbangkan saban hari.

Kita hanya hipokrit menyokong badan sedangkan kita sebagai Islam sepatutnya sedar, kita sememangnya banyak melakukan pembaziran khususnya terhadap sumber elektrik. Kita sepatutnya mampu berjimat jauh lebih banyak berbanding orang-orang kafir la'natullahi alaihim ajma'een.

Pada saya, tidak salah kita menghiaskan bangunan-bangunan dengan sinaran cahaya lampu selagi mana ia tidak melampau. Yang salahnya, menggunakan elektrik itu atas urusan maksiat dan benda-benda yang jelas lagha dan melalaikan.

والله أعلم بالصواب

Taman Permata, Hulu Klang

No comments:

Post a Comment