Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

15 April 2009

Ketentuan Tuhan

"Mie, bangun. Ada emergency sikit. Pak long koma." Saya dikejutkan sekitar 2 pagi. Mata kuyu melihat kelam-kelam malam. Selepas dua kali saya dikejutkan, baru benar-benar mata dapat dibuka.

Kami tiba di HUKM sekitar 0330. Kami bergegas ke Wad 6J. Ramai saudara-mara saya sudah tiba. Selain mak long dan empat daripada 5 orang anak-anaknya, katil 17 yang menempatkan pak long itu juga dikerumuni Mak Cik Ati sekeluarga, Tok Busu, dan menantu-menantu pak long.

Keadaan pak long memang kritikal ketika itu. Dr. Khoo yang merawat pak long kelihatan sedang berbincang dengan jururawat-jururawat tentang tindakan yang perlu diambil untuk menyelamatkan pak long. Sejam selepas itu, Dr. Khoo mengarahkan supaya pak long dipindahkan ke CCU. Keadaan pak long yang tercungap-cungap memang merisaukan kami semua.

Keadaan Pak Long Ipin masih tidak berubah walaupun telah dipindahkan ke CCU, malahan ia bertambah teruk! Bacaan meter pada mesin sebelum dipindahkan menunjukkan sekitan 70 hingga 110 tetapi jatuh sehingga 0 selepas dipindahkan. Sebenarnya saya kurang mahir membaca nombor-nombor yang tertera pada mesin itu, tetapi ia jelas menunjukkan bacaan dengupan jantungnya. Hati siapa yang tidak risau terutama isterinya yang setia di sisi memberikan satu semangat buatnya yang sedang berjuang dengan maut.

Arwah Pak Long Ipin menggumbuskan nafas yang terakhirnya sekitar jam 5 pagi. Ketika itu, saya masih belum tahu yang arwah pak long sudah pergi kerana Mak Long Esah dan anak-anaknya masih di sisi arwah. Cuma kelihatan jururawat-jururawat berduyun-berduyun keluar daripada bilik pesakit. Mak long pun sudah tidak lagi membisikkan kalimah tauhid ke telinga pak long seperti sebelum itu. Semuanya kelihatan membacakan Surah Yaasin buat arwah.

PUNCA KEMATIAN

Arwah sememangnya mengidap banyak penyakit, antaranya sakit jantung yang menjadi penyakit warisan, pendarahan pada otak, dan kencing manis. Pada pengetahuan saya, hanya tiga penyakit ini yang menyerang arwah.

Walaupun begitu banyak penyakit yang terpaksa arwah hadapi, punca kematian bukan kerana penyakitnya. Puncanya kerana tercabut topeng oksigen yang arwah pakai. Maafkan saya kerana tidak mengetahui nama alat tersebut tetapi kami kenalinya sebagai topeng oksigen. Sebelim arwah koma, topeng oksigen itu dipakaikan ke muka. Malangnya ketika tidur, topeng tersebut terbuka kemungkinan ditanggalkan sendiri oleh arwah secara tidak sedar ketika sedang tidur.

Menurut doktor, seseorang pesakit yang diwajibkan memakai topeng tersebut hanya dapat bertahan sekitar 6 minit sahaja sekiranya ia tertanggal tetapi arwah pak long telah tidur tanpa bantuan alat tersebut selama 30 minit sebelum perkara itu disedari seorang jururawat yang lalu. Anaknya, Bang Long yang menemaninya tidak menyedari keadaan itu kerana tertidur kepenatan dipangkuan arwah.

Memang tidak diduga! Kematian arwah Pak Long Ipin bukan disebabkan penyakit yang dideritainya tetapi kerana ketidakfungsian teknologi perubatan yang merawatnya yang telah dialihkan secara tidak sengaja.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ* الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ* مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ* إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ* اهْدِنَا الصِّرَطَ الْمُسْتَقِيمَ* صِرَطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلا الضَّالِّينَ
آمين

Al-Fatihah ini disedekahkan buat Allahyarham Pak Long Ipin, semoga rohnya dicucuri rahmat. Amien.

0530, 15 April

Jenazah Allahyarham seterusnya diuruskan oleh pihak HUKM termasuklah urusan memandikan jenazahnya. Saya kemudiannya pulang ke rumah, bersiap-siap untuk pulang ke halaman kampung bersama-sama menghadiri upacara pengkebumian jenazahnya. Menurut wasiat, arwah sememangnya mahu jenazahnya disemadikan berhampiran pusara arwah atuk dan wan di kampung. Wallahu a'lam, sama ada ia benar-benar wasiat ataupun hanya kata-kata kerana arwah pak long selalu berkata demikian jika dinasihatkan supaya menjaga kesihatan. Arwah sememangnya begitu. Dia hanya yakin dengan Allah. Hanya Allah sahajalah yang boleh menentukan ajal mautnya, bukannya penyakit. Keyakinannya memang kuat. Apa yang cuba dibuktikannya memang benar! Kematiannya pun bukan disebabkan penyakitnya.

Jenazah selamat tiba di rumah mertuanya sekitar jam 11 pagi dengan menggunakan kenderaan jenazah. Jenazah disembahyangkan di Masjid Undang Kamat atau lebih dikenali sebagai Masjid Batu dan kemudiannya dikebumikan berhampiran pusara kedua orang tuanya.

Jasa arwah memang banyak. Tidak perlulah saya khabarkan. Cukuplah Allah menjadi saksi dan membalasnya dengan berlipat kali ganda, Amien.

Kampung Masjid Tua, Johol NSDK

No comments:

Post a Comment