Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

25 October 2009

Cantas Mencantas: Pro-Kontranya


Media baru-baru ini melaporkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) mencadangkan agar satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan untuk 'mencantas' beberapa jenis pemimpin yang dilihat sebagai pro-UMNO dan menganggu-gugat perjalanan politik Pakatan Rakyat (PR) yang disertai PKR-DAP-PAS.


Berderu-deru pemimpin kita memberikan respon. Zahid Hamidi kata Allah telah 'mengabulkan' doa mereka dengan mengembalikan apa yang dipinta berupa pepecahan kepada mereka. TPM juga memberikan respon awal dengan tidak mahu mencampuri urusan politik parti lain tetapi membuat kesimpulan bahawa pembangkang benar-benar berada di tahap pepecahan yang kritikal.

Bagi pihak pembangkang, masing-masing memberikan respon yang agar defensif. Ada yang berdiam diri, berjumpa dengan TGNA untuk mendapatkan penjelasan, dan ada juga terkehadapan dengan membuat keputusan menolak terus pendapat yang di berikan oleh Mursyidul Am PAS itu.

Itulah, siapa suruh undi mereka?
Pilihanraya akan datang jangan lupa undi dacing kalau mahu perpaduan 1Malaysia...

EGM PAS: PRO DAN KONTRA

Dalam banyak-banyak komen yang diutarakan oleh pemimpin-pemimpin sama ada BN ataupun pembangkang, saya hanya bersetuju dengan mereka yang mahu mendengar penjelasan terlebih dahulu sebelum berhujah panjang lebar, terutamanya pemimpin-pemimpin dikalangan PAS sendiri.

Mengapa perlu 'terjah' cadangan TGNA yang hanya mahukan EGM dengan mentah-mentah menolak terus apa yang disuarakan itu? Seharusnya mereka tidak termakan dengan momokan liar media yang terus-menerus cuba menggagalkan PAS sebagai sebuah pergerakan Islam yang berentap di jalur politik.

Sebaiknya kita melihat satu persatu baik buruknya EGM yang dicadangkan oleh TGNA.

Muktamar Agung PAS tahun lepas memutuskan untuk terus bersama-sama PR dan cadangan Unity Government yang dicadangkan (saya lupa sama ada Presiden atau Timbalan Presiden yang mencadangkan) tidak lagi dibincangkan. Itu keputusan (jika saya tidak silap) Majlis Syura PAS untuk menjaga jalinan politik agar tidak retak demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Jika disanggah keputusan ijma' ulama PAS, ada beberapa kemusykilan yang mungkin berlaku.

Pertamanya, Majlis Syura PAS sendiri tidak tahu hujung pangkal atau tidak memahami dengan lebih mendalam tentang cadangan Unity Government yang dikatakan diutarakan oleh puak pro-UMNO. (Just my opinion)

Kedua, mungkin ada benda atau perkara lain yang mirip dengan cadangan Unity Government tersebut. Mungkin.

Ketiga, mudah cakap, masing-masing tak dengan cakap apa yang disepakati. Inilah sifat yang paling bahaya yang patut dibuang daripada sanubari pemimpin, ahli, mahupun penyokong tegar sesebuah pergerakan Islam.

Oleh itu, mungkin pemikiran TGNA (bukan mahu memaksumkan beliau) agar berlainan sedikit yang melihat arena politik tanah air dari sudut yang berbeza daripada kebanyakkan daripada kita. Pandangan beliau sebenarnya mahu membuang segala kekeliruan yang telah dibangkitkan oleh sebilangan pemimpin-pemimpin yang 'agak' bermasalah.

Rentetan daripada cadangan Unity Government yang telah berlarutan lebih daripada setahun, sedikit demi sedikit teguran yang diberikan oleh TGNA daripada selembut-lembut cara sehingga sekeras-kerasnya seperti bertegas dan baru-baru ini disyorkan agar satu EGM untuk 'menyapu bersih' pemimpin-pemimpin sebegini agar PAS tetap utuh daripada sebarang permasalahan dan pertindihan pendapat yang bagaikan enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing (betul ke perumpamaan yang diguna?).

Ini bukan masalah perselisihan pendapat. Ini sebenarnya masalah melawan ketetapan dan kesepakatan yang telah dibuat. Sepatutnya selepas perbincangan yang akhirnya membuahkan ketetapan, semua termasuk pemimpin sewajarnya menghormati apa yang telah ditetapkan. Sekiranya selepas ketetapan dibuat, teguran diberikan, tetapi masing-masing masih ego dan terus-menerus cuba melawan ketetapan ijma' yang disepakati, maka jalannya mudah, 'cantas' sahaja sesiapa sahaja yang ingkar dengan apa yang telah ditetapkan.

Keputusan Majlis Syura PAS tidak dibuat oleh persendirian tetapi dibuat secara berkumpulan, segala butir-butir cadangan Unity Government diperhalusi untuk mendapatkan satu keputusan yang memuaskan dan yang paling penting mampu menjulang panji-panji Islam.

Sekiranya selepas daripada itu ia tetap dilaung-laungkan, jawapannya mudah... SINGKIRKAN sahaja mereka yang benar-benar bermasalah. Teguran secara baik sudah diberi, juga secara kasar. Jalan terakhir yang saya kira wajar, singkir sahajalah...

Buangkan segala apa yang memutarbelitkan lagi apa yang telah tersimpul. Jika tidak, ia akan makin terbelit dan mereka yang kemudian pasti sukar untuk meleraikan belitan yang terbelit.

Sekiranya puak-puak pro-UMNO yang mempertahankan cadangan Unity Government ini mempunyai asbab musabab yang dikira tidak diambil berat oleh Majlis Syura PAS, sewajarnya mereka terus-menerus berbahas, berhujah, dan berbincangan dengan Majlis Syura dan seterusnya membulatkan keputusan. Jangan masing-masing terus menerus menegakkan ego masing-masing. Sekiranya ini terjadi, maka EGMlah penyelesaiannya, biarlah perwakilan PAS sendiri yang menentukannya. Sekiranya rosak pemikiran perwakilan, maka rosaklah keputusannya. Sekiranya baik, mudah-mudahan baiklah pengakhirannya. Insya-Allah, Allah pasti menjaga mereka yang benar-benar menjaga agama-Nya.

والله أعلم بالصواب

Taman Permata, Hulu Kelang

No comments:

Post a Comment