Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

30 April 2009

Sudikah Awak Dimadukan?

Buat dinda yang bakal menjadi isteri kanda, harap mengertilah apa yang ingin kanda ceritakan ini...
Cerita
SUDIKAH AWAK DIMADUKAN?

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tegas dan yakin..

Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…" Fulanah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.

Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu 'Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini.. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.

Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syazni. Bagi Fulanah, Syazni seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Syazni melamarnya menjadi isteri kedua. Syazni masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Syazni tersebut.

Bagi Fulanah, Syazni tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Syazni berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syazni semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Syazni – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Syazni.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syazni dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syazni menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak? Syazni bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.

Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syazni.

"Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Syazni tersenyum.

Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Syazni semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu..

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.

Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"PERJUANGAN, " jawab Syazni.

* * * * *

Wahai sahabat-sahabat muslimah sekeliannya, ingatlah! Sekiranya dirimu dijodohkan Allah swt dengan seorang da'ie, haruslah kalian semua ingat, hidup suamimu bukanlah untuk diabdikan buatmu segala-galanya. Terimalah hakikat bahawasanya dirimu semua akan dimadukan, terpaksa ataupun sukarela.

Ingatlah! Dirimu pastinya dimadukan dengan 'perjuangan menegakkan Islam' melalui jalan dakwah yang seringkali menyebukkan suamimu. Lepaskanlah secara rela bukan terpaksa, pastinya redhanya diiringi redha Ilahi memayungi bahtera hidupmu daripada tengkujuh yang datang mengganas.

Yakinlah, dirimu bukanlah yang paling dicintai suamimu, tetapi ia diletakkan selepas cintanya kepada perjuangan. Suamimu sebenarnya merindui biah solehah yang menyeliputi setiap suasana. Suamimu merindui sebuah alam yang menyanjungi Allah sebagai Maharaja. Suamimu merindui Islam itu sebagai asas kepada kehidupan. Bukanlah dia meletakkan dirimu puncak segala-galanya. Ingatlah sahabat muslimahku.

Jika dirimu menaruh harapan tinggi supaya suamimu menyintaimu melebihi segala-galanya yang ada di dunia ini, peganglah kata-kataku ini dengan erat. Dirimu bukanlah orang yang selayaknya menjadi teman hidup seorang da'ie kerana darjatmu tidaklah melayakkan dirimu berpasangan dengannya. Ingatlah bahawasanya suamimu itu memilihmu dan menyintaimu kerana kerjanya di jalan dakwah, bukannya susuk tubuhmu yang mengliurkan.

Bantulah pasanganmu dalam kerja dakwahnya, semoga dirimu dipayungi rahmat dan redha Ilahi selagi mana istiqamah dalam bersama-sama berjuang meninggikan kalimah tauhid.

Taman Permata, Hulu Klang

27 April 2009

Kesal Atau Tutup Salah?

Kesal atau mahu tutup kesalahan? Atau sekadar mahu menjaga reputasi baik semata-mata?


Berita
CUEPACS KESAL SARAVANAN HEBOH DOKTOR CULAS

KUALA LUMPUR: Cuepacs hari ini menyatakan rasa "kesal mendalam" terhadap cara Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan, menangani kes dua orang doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang didapati "culas" bertugas.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Md Zin, berkata Saravanan sepatutnya lebih berhati-hati dan diplomasi daripada hanya menghebohkan perkara itu kepada media.

"Memang sebagai seorang ahli politik, beliau meraih beberapa mata, tetapi siapa yang teraniaya?" katanya.
Beliau mengulas kejadian di unit kecemasan hospital itu semalam di mana Saravanan "mengesan" seorang doktor sedang membaca akhbar dan seorang lagi membuat kerja sendiri ketika ramai pesakit menunggu di luar.

Beliau berkata, walaupun Cuepacs tidak akan membiarkan kakitangan awam yang tidak menjalankan kerja dengan baik tetapi dalam kes ini adalah amat tidak adil bagi Saravanan menghebohkan kejadian itu yang mungkin hanya satu kes terpencil.
Ahmad Shah berkata, sebagai tanda beradab Saravanan boleh membawa perkara itu kepada pengarah hospital dan Menteri Kesihatan daripada menghebohkannya kepada media dan seluruh dunia.
Ahmad Shah berkata, bukan saja doktor malah seluruh kakitangan awam "amat tersinggung" dengan apa yang dilakukan Saravanan.

Ahmad Shah menjelaskan bahawa doktor, terutama mereka di unit kecemasan hospital di seluruh negara amat tertekan dan bekerja bagi tempoh yang lama melayani bilangan pesakit yang ramai.

"Purata doktor ini mengendali kira-kira 70-100 kes sehari dan majoriti menjalankan kerja dengan baik memberikan khidmat cemerlang walaupun menghadapi pelbagai kendalaan," katanya.

Ahmad berkata, publisiti negatif itu bukan saja menjejas teruk semangat doktor tetapi juga semua kakitangan awam.
"Kami harap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan mengambil perhatian perkara ini dan menasihatkan menteri-menterinya supaya tidak bertindak melampaui batas," katanya.
Berita Harian Online
27 April 2009

Saya tidak sependapat langsung dengan Ahmad Shah, Setiausaha Agung Cuepacs. Pada saya, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan bertindak yang sepatutnya. Beliau sendiri menyatakan hanya dua orang sahaja yang berlaku culas, bukan kesemuanya. Mengapa harus kakitangan kesihatan kesemuanya perlu terasa dengan teguran beliau? Ini juga sebagai satu petunjuk dan peringatan buat pihak-pihak yang berkaitan agar lebih berwaspada dan meletakkan kepentingan pengguna (dalam aspek ini: rakyat). Saya sendiri pernah melihat dengan mata kepala sendiri, seorang jururawat (atau mungkin atendan klinik) menengking seorang mak cik. Beginikah layanannya?!

Jangan cuba disalahkan menteri yang bercakap bertujuan untuk membaiki keadaan yang sudah sedia parah membarah dalam sektor perkhidmatan awam. Cuepacs sepatutnya 'mentarbiah' sendiri ahli-ahlinya supaya berkhidmat sepenuh hati dan ikhlas kerana Allah, bukan membela pekerja-pekerja sektor perkhidmatan awam atas nama persatuan ataupun menjaga nama baik mereka yang bekerja dengan baik dan elok!

Ingat janji Allah, Dia akan menurunkan bala kepada satu kampung yang penuh dengan maksiat dan keseluruhan penduduk kampung itu akan merasakannya walaupun orang yang baik. Ini adalah sunnatullah, hukum Allah dalam pentadbiran urusan kerajaan-Nya. Sekiranya berlaku keadaan seperti ini, Cuepacs sepatutnya bertindak dengan professional seperti mengenalpasti pekerja yang bermasalah ini ataupun cuba menyelesaikan masalah ini dengan lebih serius, BUKAN TERUS MEMBELA!

INGAT! Nila setitik pasti akan merosakkan susu sebelanga. Pada saya, kebanyakkan kakitangan kerajaan memang 'lembab' dalam urusannya. Saya kata 'kebanyakkan', bukan 'semua'. Jadi, mind-set ini sudahpun tertanam dalam pemikiran kebanyakkan rakyat Malaysia kini. Jangan salahkan mereka yang cuba menzahirkan kesalahan yang selama ini cuba ditutup atas nama menjaga nama baik.

22 April 2009

Hiburan Tanpa Agama


'Hiburan mendidik jiwa', 'hiburan mendidik nurani' dan pelbagai lagi tagline yang digunapakai bagi menarik golongan yang 'gilakan' hiburan kepada hiburan yang dapat mendekatkan diri kepada Tuhan Rabbul Jalil. Alhamdulillah, selepas lebih 10 tahun usaha pelbagai pihak dalam 'menswastakan' industri nasyid negara nampaknya berjaya menarik ribuan peminat industri ini lebih mendekatkan diri kepada lagu-lagu berunsurkan Islamik. Walaubagaimanapun, industri nasyid ini tidak lari daripada 'ikan busuk' yang turut sama 'berjuang'. Mereka ini sebenarnya hipokrit dan bertopengkan nasyid semata-mata untuk mengaut keuntungan yang melimpah-ruah ini. Keadaan mereka ini sebenarnya disebabkan kurangnya asuhan agama dalam diri seorang 'artis da'ie' dan langsung tidak mahu berusaha untuk menambahkan ilmu-ilmu ketuhanan. Akhirnya, mereka membuangkan rasa 'bertuhankan Tuhan' dalam 'perjuangan'.

Sepatutnya, pendakwah-pendakwah arus hiburan ini mencukupkan diri dengan ilmu-ilmu agama. Setidak-tidaknya, hati mereka kekal dalam landasan perjuangan dan sentiasa ikhlas dalam berdakwah melalui seni lagu. Contohnya mudah, Kumpulan In-Team. Walaupun pelbagai cabaran yang diterima, cubaan mencerai-beraikan, dan sebagainya, namun hati mereka tetap teguh dalam industri hiburan Islam. Lihatlah sendiri rezeki yang Allah s.w.t. kurniakan tidak putus-putus. Tidak dilupakan juga, Hijjaz yang kini telahpun menceburi bidang bio-tech dan pelancongan. Sekiranya kita ikhlas dalam berdakwah, insya-Allah, kita pasti dibantu. He will helps us with all cost if we help Islam.

SETITIK NILA

Orang yang berada dalam lingkungan Islam, setiap tindak-tanduknya pasti dinilai orang awam, walau sekecil-kecil masalah! Itulah sunnatullah. Kebenaran pasti akan cuba dijatuhkan oleh kebatilan. Tidak kita risau sekiranya pihak yang hendak menjatuhkan itu jelas 'berdiri' di luar kumpulan perjuangan Islami. Yang paling membimbangkan ialah gunting dalam lipatan dan api dalam sekam. Manusia seperti inilah yang menjadi barah dalam penyebaran dakwah Islamiah.

Contohnya mudah, Faizal Tahir. Kerana terpukau dengan tawaran wang dan populariti, sanggup untuk meninggalkan jalan dakwah. Ia jelas menunjukkan perjuangannya selama ini tidak disertakan dengan keikhlasan. Ia bagaikan satu pukulan hebat buat Islam secara umumnya.

SOTONG BRAND DA'IE


Yang terbaru, seorang bekas artis nasyid bertitle doktor menjadi lembut umpama sotong apabila mencuba nasib dalam One in a Million (OIAM). Walaubagaimanapun, dia tewas untuk mara ke peringkat seterusnya. Maha Suci Allah. Semoga Allah s.w.t. senantiasa menjaga setiap perkara daripada cubaan sesetengah pihak untuk mencemarkan imej Islam secara sedar mahupun tidak. Dan juga didoakan juga buat hamba Allah ini agar sedar akan kesalahannya dan diharapkan kembali ke pangkuan Islam sesegera mungkin, Amien.

Sebelum saya akhiri topik ini, ingin saya kongsi kata-kata tok guru saya dulu. Beliau berpesan kepada saya agar kurangkan hiburan. Hiburanlah punca hati itu mati. Sekiranya kita masih 'mendambakan' hiburan sedangkan kebanyakkan masa kita habis dengannya, eloklah kita hiburkan hati kita dengan alunan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim, zikir kepada Allah s.w.t. ataupun selawat buat Rasulullah s.a.w.. Ingatlah! Sesungguhnya salah satu sebab hati kita mati ialah dahagakan hiburan dan sentiasa mahukannya. Pengubatnya ialah zikrullah.

والله أعلم بالصواب

15 April 2009

Ketentuan Tuhan

"Mie, bangun. Ada emergency sikit. Pak long koma." Saya dikejutkan sekitar 2 pagi. Mata kuyu melihat kelam-kelam malam. Selepas dua kali saya dikejutkan, baru benar-benar mata dapat dibuka.

Kami tiba di HUKM sekitar 0330. Kami bergegas ke Wad 6J. Ramai saudara-mara saya sudah tiba. Selain mak long dan empat daripada 5 orang anak-anaknya, katil 17 yang menempatkan pak long itu juga dikerumuni Mak Cik Ati sekeluarga, Tok Busu, dan menantu-menantu pak long.

Keadaan pak long memang kritikal ketika itu. Dr. Khoo yang merawat pak long kelihatan sedang berbincang dengan jururawat-jururawat tentang tindakan yang perlu diambil untuk menyelamatkan pak long. Sejam selepas itu, Dr. Khoo mengarahkan supaya pak long dipindahkan ke CCU. Keadaan pak long yang tercungap-cungap memang merisaukan kami semua.

Keadaan Pak Long Ipin masih tidak berubah walaupun telah dipindahkan ke CCU, malahan ia bertambah teruk! Bacaan meter pada mesin sebelum dipindahkan menunjukkan sekitan 70 hingga 110 tetapi jatuh sehingga 0 selepas dipindahkan. Sebenarnya saya kurang mahir membaca nombor-nombor yang tertera pada mesin itu, tetapi ia jelas menunjukkan bacaan dengupan jantungnya. Hati siapa yang tidak risau terutama isterinya yang setia di sisi memberikan satu semangat buatnya yang sedang berjuang dengan maut.

Arwah Pak Long Ipin menggumbuskan nafas yang terakhirnya sekitar jam 5 pagi. Ketika itu, saya masih belum tahu yang arwah pak long sudah pergi kerana Mak Long Esah dan anak-anaknya masih di sisi arwah. Cuma kelihatan jururawat-jururawat berduyun-berduyun keluar daripada bilik pesakit. Mak long pun sudah tidak lagi membisikkan kalimah tauhid ke telinga pak long seperti sebelum itu. Semuanya kelihatan membacakan Surah Yaasin buat arwah.

PUNCA KEMATIAN

Arwah sememangnya mengidap banyak penyakit, antaranya sakit jantung yang menjadi penyakit warisan, pendarahan pada otak, dan kencing manis. Pada pengetahuan saya, hanya tiga penyakit ini yang menyerang arwah.

Walaupun begitu banyak penyakit yang terpaksa arwah hadapi, punca kematian bukan kerana penyakitnya. Puncanya kerana tercabut topeng oksigen yang arwah pakai. Maafkan saya kerana tidak mengetahui nama alat tersebut tetapi kami kenalinya sebagai topeng oksigen. Sebelim arwah koma, topeng oksigen itu dipakaikan ke muka. Malangnya ketika tidur, topeng tersebut terbuka kemungkinan ditanggalkan sendiri oleh arwah secara tidak sedar ketika sedang tidur.

Menurut doktor, seseorang pesakit yang diwajibkan memakai topeng tersebut hanya dapat bertahan sekitar 6 minit sahaja sekiranya ia tertanggal tetapi arwah pak long telah tidur tanpa bantuan alat tersebut selama 30 minit sebelum perkara itu disedari seorang jururawat yang lalu. Anaknya, Bang Long yang menemaninya tidak menyedari keadaan itu kerana tertidur kepenatan dipangkuan arwah.

Memang tidak diduga! Kematian arwah Pak Long Ipin bukan disebabkan penyakit yang dideritainya tetapi kerana ketidakfungsian teknologi perubatan yang merawatnya yang telah dialihkan secara tidak sengaja.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ* الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ* مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ* إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ* اهْدِنَا الصِّرَطَ الْمُسْتَقِيمَ* صِرَطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلا الضَّالِّينَ
آمين

Al-Fatihah ini disedekahkan buat Allahyarham Pak Long Ipin, semoga rohnya dicucuri rahmat. Amien.

0530, 15 April

Jenazah Allahyarham seterusnya diuruskan oleh pihak HUKM termasuklah urusan memandikan jenazahnya. Saya kemudiannya pulang ke rumah, bersiap-siap untuk pulang ke halaman kampung bersama-sama menghadiri upacara pengkebumian jenazahnya. Menurut wasiat, arwah sememangnya mahu jenazahnya disemadikan berhampiran pusara arwah atuk dan wan di kampung. Wallahu a'lam, sama ada ia benar-benar wasiat ataupun hanya kata-kata kerana arwah pak long selalu berkata demikian jika dinasihatkan supaya menjaga kesihatan. Arwah sememangnya begitu. Dia hanya yakin dengan Allah. Hanya Allah sahajalah yang boleh menentukan ajal mautnya, bukannya penyakit. Keyakinannya memang kuat. Apa yang cuba dibuktikannya memang benar! Kematiannya pun bukan disebabkan penyakitnya.

Jenazah selamat tiba di rumah mertuanya sekitar jam 11 pagi dengan menggunakan kenderaan jenazah. Jenazah disembahyangkan di Masjid Undang Kamat atau lebih dikenali sebagai Masjid Batu dan kemudiannya dikebumikan berhampiran pusara kedua orang tuanya.

Jasa arwah memang banyak. Tidak perlulah saya khabarkan. Cukuplah Allah menjadi saksi dan membalasnya dengan berlipat kali ganda, Amien.

Kampung Masjid Tua, Johol NSDK

08 April 2009

Earth Hour Kepada Maksiat?

قال الله سبحانه وتعالى في كتابه العزيز
أعوذ بالله السميع العليم من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
AQ 30:41
صدق الله العظيم

Blink... Tetiba sahaja keadaan gelap. Nasib baiklah matahari baru sahaja tenggelam, sekurang-kurangnya cahaya senja masih mampu membuatkan mata melihat sekeliling yang nampak samar-samar itu.

Anak-anak buah semuanya dah mula bising. Bising kerana gelap. Saya bangkit perlahan-lahan dari tempat saya diam dan berjalan meraba-raba dengan kaki. Saya lekas menuju ke atas, menuju ke bilik mencari touchlight. Jalan singkat. Ibu saya pula mengeluarkan batang-batang lilin yang tersimpan, khas buat keadaan yang kelam sebegini. Kakak pula melayan kerenah anak-anaknya yang tidak tentu arah, maklumlah gelap...

Blackout ini sememangnya memanaskan. Bukan sekadar panas kerana kipas tidak dapat dihidupkan bahkan panas sebab otak berfikir bagaimana mengawal keadaan yang kelam-kabut ini.

'Tragedi' blackout ini sememangnya mengingatkan saya kepada peristiwa Earth Hour tempoh hari. Semasa berlansungnya Earth Hour, saya kebetulan berada di Bangi sedang makan malam bersama-sama kawan-kawan. Bagaimana mahu dipadamkan lampu kalau nak makan? Silap haribulan, cicak jatuh dalam pinggan...

Usaha badan-badan dunia terutamanya yang berkaitan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar sememangnya perlu disokong. Mana tidaknya, lapisan ozon dikatakan sudah berlubang sebesar benua Afrika (setahu saya). Lihatlah sekeliling kita. Bagaimana boleh saya berpeluh-peluh ketika waktu senja sedangkan pada masa itu matahari sudahpun terbenam? Musim hujan juga tidak menentu sejak 2-3 tahun kebelakangan ini sedangkan sebelum itu, musim tengkujuh hanya datang pada hujung tahun dan bulan April sahaja.

SENTIASA DIBAZIRKAN?

Mari berbalik kepada isu Earth Hour dalam konteks pembaziran seharian. Apa gunanya kita khasnya dan kepada negara umumnya, sekiranya kita tutup lampu hanya selama kira-kira 60 minit sedangkan kita membazirkan elektrik kepada benda-benda maksiat selama berjam-jam seharian? Lihatlah, berapa banyak media elektronik, rangkaian televisyen dan radio yang menyajikan hiburan sehingga melalaikan orang Islam itu sendiri. Hiburan yang lagha dan melalaikan sememangnya suatu bentuk maksiat dan dalam apa juga caranya, ia berbentuk pembaziran. Islam tidak pernah menghalang kita berhibur, tetapi apa yang berlaku sememangnya sudah melebihi daripada had keperluan yang diperlukan seseorang manusia itu kepada hiburan.

Tidak cukup dengan tayangan hiburan di kaca televisyen, dendangan alunan lagu-lagu di corong suara radio, kita dilambakkan lagi dengan konsert-konsert yang semestinya menggunakan sumber elektrik yang tinggi. Tidak cukupkah hiburan yang terhidang di dalam rumah sehinggakan perlunya hiburan di tempat terbuka? Keadaan ini berlansung sekurang-kurangnya sekali seminggu. Elektrik sepatutnya dapat dijimatkan menjelang tengah malam, tetapi disebabkan maksiat inilah, ia terpaksa dibazirkan gara-gara memuaskan nafsu manusia yang tidak pernah puas terhadap kenikmatan yang sementara. Pub, disko, termasuklah yang menawarkan pusat khidmat seks tanpa lesen (ia tetap haram walaupun dengan lesen) semuanya beroperasi dengan nyalaan lampun dan putaran kipas yang pastinya dihidupkan dengan janaan elektrik.

Itulah 'hadiah' pembangunan yang dijanjikan selama ini. Muda-mudi lebih gemar mendekatkan diri dengan maksiat-maksiat sebegini daripada kuliah-kuliah ilmu dan agama sama ada di masjid, madrasah, surau atau mana-mana institusi keilmuan. Menggunakan sumber elektrik untuk ilmu lebih bermakna daripada dibazirkan ke arah 'keredhaan' syaitan dan iblis yang confirm dilaknat Allah 'Azza Wa Jalla.

PEMBAZIRAN UNTUK KANTUNG POKET

Apa gunanya diberikan lesen-lesen untuk menghalalkan operasi disko dan pub yang sedia maklum haram selama-lamanya, abadan abada? Apakah pihak berkuasa tempatan ataupun kerajaan baik kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan mempunyai kepentingan terhadap benda-benda jijik ini lebih daripada pembinaan sahsiah anak-anak muda? Setidak-tidakpun dalam usaha menyelamatkan bumi daripada peningkatan suhu dunia yang semakin membimbangkan saban hari.

Kita hanya hipokrit menyokong badan sedangkan kita sebagai Islam sepatutnya sedar, kita sememangnya banyak melakukan pembaziran khususnya terhadap sumber elektrik. Kita sepatutnya mampu berjimat jauh lebih banyak berbanding orang-orang kafir la'natullahi alaihim ajma'een.

Pada saya, tidak salah kita menghiaskan bangunan-bangunan dengan sinaran cahaya lampu selagi mana ia tidak melampau. Yang salahnya, menggunakan elektrik itu atas urusan maksiat dan benda-benda yang jelas lagha dan melalaikan.

والله أعلم بالصواب

Taman Permata, Hulu Klang

04 April 2009

Bergantinya Seorang Pemimpin

Tahniahlah buat Perdana Menteri Malaysia yang baru dilantik, YAB Dato' Seri Najib Tun Razak. Saya malaslah nak cakap tentang pelantikan PM Malaysia yang baru, cukuplah sekadar orang-orang politik sahaja yang berbicara tentangnya.

Cuba apa yang nak saya ke utarakan di sini ialah apa yang kita dapat. Pemimpin silih berganti tetapi taraf kehidupan rakyat masih di takuk lama. Kita sering bercerita tentang pembangunan tetapi apa yang kita dapat? Adakah dengan terbinanya Menara Berkembar Petronas, nenek-nenek tua di pendalaman Sabah mendapat seketul berlian daripada hasil pembinaannya?

Ingatlah! Ibnu Khaldun pernah menegaskan kepada kita melalui bukunya, Mukaddimah bahawa kerajaan yang hanya mementingkan kemegahan kerajaannya akan jatuh. Pemimpin hanya sebuk membina simbol-simbol kemegahan kerajaannya, tetapi melupakan rakyatnya yang masih makan sepinggan yang dikongsi sepuluh beranak.

Putrajaya, Menara Berkembar Petronas, Wilayah Pembangunan Iskandar, Empangan Hidroelektrik Bakun, KLIA dan sebagainya. Alasannya, dapat memacu ekonomi negara. Adakah hasil keuntungan ekonomi ini digunakan untuk membantu rakyat-rakyat yang selama ini memerlukan pertolongan pemimpin-pemimpin yang prihatin? Lihatlah jiran kita, Brunei Darussalam. Ringannya tangan Sultan Brunei menguruskan keuntungan hasil gali minyak sehinggakan rakyat jelata naungannya sama menerima hasil tersebut.

2/3 hasil galian Allah kurniakan kepada negara-negara Islam. Tetapi dengan pengurniaan tersebut, pemimpin manakah yang bertindak seperti Sultan Brunei?

Ingatlah, Dinasti Nasrid di Andalusia jatuh akibat sikap pemimpinnya yang bermegah dengan kekuasaan. Buktinya, Kompleks al-Hambra, sebuah kompleks istana, pentadbiran dan kota pertahanan di mana pembinaan seakan mengambarkan kemegahan pemimpin yang berkuasa.

Mereka mahukan kuasa daripada orang yang mereka sendiri tindas. Mereka merayu undi daripada orang yang tidak memahami lansung tentang cara memerintah. Keadaan mereka inilah dimanipulasi pemimpin yang hanya inginkan kuasa. Mereka mereka-reka cerita hanya kerana inginkan kuasa! Selepas mendapat apa yang diinginkan, mereka ditinggalkan terkontang-kanting tanpa pembelaan dan tanpa dikotakan apa yang dijanjikan dahulu.

Pesanan saya ringkas, janganlah kita berkejar-kejar dengan kuasa, tetapi apabila kita berada di kemuncaknya, kita melupakan orang yang di bawah. Jangan tinggalkan satupun jenis kemegahan tetapi tinggalkanlah kebaikan kepada masyarakat yang ditadbirkan. Bukan untuk diingati tetapi kerana Allah swt dan kerana amanah yang dipikul. Ingatlah! Allah pasti akan menilainya sebagai amalan yang soleh dan pastinya ia digunakan sebagai salah satu penyelamat daripada kemurkaan-Nya dan api neraka yang maha dahsyat kelak.

والله أعلم بالصواب

Kepada Mantan PM, (Tun) Pak Lah, kami merindui kebaikan dan keramahanmu. Senyumanmu itu pastinya membuatkan kami bagaikan terasa kehilangan seorang pemimpin yang benar-benar dekat di hati...