Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

02 June 2014

"Lepaskan Tombol Pintu Itu...!"

Bergambar semasa Program Kemahiran Amal Islami (KAMIL) 2013 Peringkat Daerah Sepang di SRA Putra Perdana. Murid dari kiri: Amirul Hakeem, Luqmanul Fitree, Nabil Husayni, Hakimin, dan Solah.
Malam semalam, sebelum saya menjamah Chicken Chop di sebuah restoran di AU5, saya terbaca satu status yang begitu menarik perhatian saya.


Lepas baca, sementara menunggu hidangan tiba, saya pun balaslah apa yang termampu, sebagai menyatakan pendapat saya.

۞   ۞   ۞   KITA BERSALAH  ۞   ۞   ۞

Kita amat gemar membincangkan berkenaan keruntuhan moral masyarakat masa kini. Kita adakan seminar, adakan persidangan meja bulat, adakan kajian, malah ada juga yang membuat perbincangan terbuka di kedai-kedai kopi untuk membincangkannya secara yang lebih 'santai'.

Namun, semua perbincangan, seminar, kajian tersebut hanya dicatat di atas lembaran kertas semata-mata tanpa ada tindakan yang lebih komprehensif daripada pihak yang berkuasa atau pihak yang berkaitan.

Maka, masyarakat yang sedia rosak ini akan kekallah 'kerosakan' yang ada pada mereka, mungkin lebih teruk. Dan tak mustahil, kerosakan yang ada pada masyarakat itu akan berjangkit kepada kita.

Pada saya, saya tidak suka menuding jari kepada pihak lain dalam perkara ini. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama membantu memperbaiki masyarakat, mendidik, serta membimbing agar selari dengan apa yang telah disyariatkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta`ala.

Sekiranya kita hanya duduk berpeluk tubuh, melepaskan tanggungjawab membetulkan masyarakat ini ke atas bahu guru, ustaz, ulama, dan mungkin juga polis, ketahuilah bahawa di Akhirat kelak, mereka yang rosak ini sebelum dihumban ke dalam api Neraka, pastinya mereka mahu mengheret kita semua bersama mereka, kerana membiarkan mereka berterusan berada dalam kejahilan dan kemaksiatan ketika di dunia.

Takut-takut, kita dah 'pegang tombol' pintu Syurga, kena panggil balik 'menjawab' semula tuduhan mereka itu di hadapan Allah.

"Lepaskan tombol pintu itu!
Engkau masih ada perhitungan yang belum diselesaikan!
mungkin inilah ayat gertakan sang Malaikat nanti.

Tahniah buat Mr The All Shared (MTAS) atas usaha kalian berdakwah dengan kaedah yang lebih mudah diterima masyarakat awam khususnya remaja dan belia.

Info tambahan: Sesiapa yang nak menyumbang kepada projek dakwah MTAS untuk penghasilan video terkini mereka, bolehlah klik di sini.

Tinta mencoret: Menjadi tanggungjawab kita semua untuk memperbaiki masyarakat.

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP

No comments:

Post a Comment