Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

22 November 2008

Mereka yang Mengaku Nabi




Dalam al-akidah al-Islamiyyah, nabi Muhammad saw adalah khatimul anbia' (penutup segala nabi). Ia bersesuaian dengan firman Allah Ta'ala:

ما كان محمد أبآ أحد من رجالكم ولـكن رسول الله وخاتم الأنبيــن وكان الله بكل شيء عليما
Muhammad itu sekali-kali bukanlah seorang bapa daripada seorang lelaki di antara kamu, tetapi dialah utusan Allah dan penutup sekalian nabi. Dan Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu. (AQ 33:40)
Namun, masih ada manusia yang sanggup mengaku sebagai nabi yang diutus Allah setelah kewafatan baginda. Bahkan, semasa hanyat baginda, sudah ada yang mengaku sebagai nabi. Jumlah mereka terlalu ramai. Di sini saya menyenaraikan sebahagian daripada mereka.

1. MUSAILAMAH AL-KAZZAB dan isterinya

Musailamah mengaku nabi saat Rasulullah masih hidup. Ia daripada kalangan bani Hanifahdi Yamamah. Isterinya, SAJJAH BINTI AL-HARITS daripada kalangan bani Tamim, juga turut mengaku sebagai nabi.

Dalam riwayat, saat mempersuntingkan Sajjah, Musailamah memberikan mas kahwin berupa cuti solat Asar kepada keluarga Sajjah (sungguh pelik...).

Setelah Rasulullah saw wafat, mereka berdua semakin berleluasa dalam menyebarkan pemahamannya. Khalifah pertama, Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq "kepanasan" melihat gerakan mereka. Usaha pertama yang beliau buat adalah dengan mengajak pengikut-pengikut Musailamah dan isterinya kembali ke pangkuan jalan. Malangnya, ajakan itu ditolak mentah-mentah daripada mereka.

Ini menyebabkan Abu Bakar mengerahkan pasukan tentera yang terdiri daripada kaum Muslimin (pada ketika itu, masih belum wujud tentera tetap) untuk memerangi mereka. Pertempuran ini dikenali sebagai Perang Yarmuk. Dalam peperangan ini, Musailamah berjaya dibunuh oleh Wahsyi bin Harb manakala isterinya terselamat. Sajjah pada akhir hayatnya bertaubat dan kembali ke pangkuan Islam.

2. ASWAD AL-'ANSI (AILAT BIN KA'AB BIN AUFF AL-'ANSI)

Aswad berketurunan Habsyah dan tinggal di Jazirah Arab (semenanjung Tanah Arab). Digelar sebagai Aswad (hitam) kerana warna kulitnya hitam. Aswad memiliki minat dalam hal perbomohan serta mahir melakukan sihir.

Aswad mengaku menjadi nabi semasa Rasulullah saw berada di penghujung hanyat dan diserang penyakit. Dia juga memiliki lidah yang petah berkata-kata. Ini membuatkan ramai orang awam yang percaya kata-katanya.

Ajaran Aswad berjaya berkembang sehingga ke Yemen. Dia juga mengaku bahawa malaikat telah memberikan wahyu mengenai perkara-perkara ghaib. Namun Aswad berjaya dibunuh oleh umat Islam menjelangnya kewafatan baginda.

3. MIRZA GHULAM AHMAD

Lahir di Qadian, wilayah Punjab, utara India. Berasal daripada keluarga Muslim, namun keluarganya suka membuat khianat terhadap Islam dan negerinya sendiri.

Semasa penjajah Inggeris menceroboh India, umat Islam di situ berhempas pulas menyekat kemaraan penjajah, sedangkan Mirza menjadi salah seorang daripada tali barut mereka. Sikap Mirza yang pro-Inggeris digunakan sebaiknya oleh penjajah untuk membuat gerakan. Pada tahun 1900, tertubuhlah gerakan Ahmadiyyah di mana Mirza diangkat menjadi nabinya.

Ajaran Ahmadiyyah sungguh pelik. Mereka mempercayai bahawa Allah juga berpuasa dan mendirikan solat seperti kita (memang pelik). Tambah memelikkan lagi, Allah turut tidur, membuat maksiat dan melakukan seks (astaghfirullah al-Azim). Mirza turut mendakwa, kenabian belum lagi terputus setelah diutusnya nabi Muhammad saw dan turut mendakwa dialah nabi yang paling agung dan paling utama daripada kalangan nabi sekeliannya.

Menurut Hasan bin Mahmud Audah, menjelang akhir hanyatnya, Mirza menderita sakit kronit. Pengikut-pengikutnya sudah kembali ke pangkal jalan dan bertaubat. Selama sakitnya, dia membuang air kecil dan besar di pembaringannya. Ia berlarutan selama berminggu-minggu dan akhirnya meninggal dunia di tempat tidurnya.

4. MIRZA ALI MUHAMMAD RIDHA ASY-SYAIRAZI

Mirza Ali ialah seorang Yahudi yang menyamar sebagai seorang Muslim, tinggal di Iran. Pada tahun 1844, Mirza Ali mengisytiharkan dirinya sebagai seorang nabi dan menggelarkan dirinya 'al-Bab' (pintu). Yakni, pintu bagi mazhab Syiah atau seluruh umat Islam yang akan menyatu-padukan mereka bersama imam yang ditunggu kedatangannya di akhir zaman.

Ajaran Mirza Ali yang paling popular ialah menyatu-padukan agama dengan mengajak manusia keluar daripada agama masing-masing dan membentuk satu agama yang baru. Menurutnya, tiga agama utama dunia, juga agama samawi (agama dari langit), Islam, Kristian dan Yahudi adalah benar dan datang daripada Allah. Selain itu, Mirza Ali turut mengharamkan jihad.

Disebabkan ajarannya itu, pada tahun 1850, Mirza Ali dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan Iran ketika itu yang dipimpin oleh Shah Tibriz. Sementara itu, para pengikutnya melarikan diri ke Turki dan Palestin.

5. THULAIHAH BIN KHUWAILID

Thulaihah merupakan seorang dukun yang sangat disegani oleh kaumnya. Ketika Rasulullah saw wafat, ia mengaku sebagai nabi yang menggantikan Rasulullah saw. Ia menciptakan ajarannya yang baru. Menurutnya, manusia tidak wajar sujud ketika solat.

Katanya "Kepala dan wajah yang diciptakan Tuhan bukan untuk dihina dengan mencium tanah lima kali seharian dan semalaman." Dia turut menghapuskan kewajipan zakat terhadap orang kaya.

Dia pernah menghadap Sayyidina Abu Bakar di Madinah. Ia meminta Abu Bakar mengakui tarafnya sebagai nabi baru dan hidup bersama saling menghormati. Permintaan itu ditolak dengan tegas. Ketika itu juga Abu Bakar mengeluarkan perintah memerangi Thulaihah dan pengikutnya kepada para sahabat. Maka terjadinya peperangan antara kaum Muslimin dengan pengikut Thulaihah. Pengikut Thulaihah berjaya ditumpaskan akhirnya.

6. LIA AMINUDDIN

Lia Aminuddin atau Lia Eden lahir di Surabaya 21 Ogos 1947. Ibunya bernama Zainab manakala ayahnya bernama Abdul Ghaffar Gustaman, seorang peniaga dan daie (pendakwah).

Ketika berusia 19 tahun, Lia berkahwin dengan Aminuddin Day, pensyarah Universiti Indonesia. Aktiviti harian Lia adalah suri rumah tangga dan menguruskan 4 orang anaknya. Dia juga mahir menggubah bunga di rancangan TVRI.

Pada akhir 1995, Lia mengaku bertemu dengan malaikat Jibril dalam solatnya. Sampai sekarang dia mengaku menerima bimbingan dan pengarahan daripada Jibril, termasuk mengeluarkan kenyataan bersifat kontroversi, menurutnya itu atas perintah Jibril.

Pada tahun 1998, Lia mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi (orang perempuan mengaku sebagai Iman Mahdi?) yang menciptakan keamanan dan keadilan dunia. Ia kemudiannya mengajarkan ajaran Salamullah. Salah satu ajarannya ialah menganggap semua agama adalah benar. Kerana dituduh ajaran sesat, Kerajaan Indonesia menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya pada tahun 2005.

7. AHMAD MOSHADDEQ (ABDUSSALAM)

Moshaddeq ialah pengasas aliran al-Qiyadah al-Islamiyah. Moshaddeq mengaku sebagai nabi setelah melakukan meditasi di gunung Bunder, Bogor, Jawa Barat selama 40 hari 40 malam. Kemuncaknya pada malam ke-40, tepat pada 23 Julai 2006, Moshaddeq mendakwa mendapat wahyu daripada Allah.

Ajaran yang dibawanya diisytiharkan sesat oleh Majlis Ulama Indonesia. Antara kesesatan itu ialah solat lima waktu dalam sehari diganti dengan satu waktu, iaitu solat malam (ataupun qiamullail).

Tinta mencoret: Tu semua tokoh sesat dari luar negara. Dalam negara kita pun ada juga. Ayah Pin dengan 'Rasul Melayu' atau namanya Kahar. Jadi nabi tapi perangai macam sial. Ops... Terlepas pula bahasa sensitif. Tapi itulah hakikatnya... Semuanya memang tidak berguna...

No comments:

Post a Comment