Baru-baru ini, Dato' Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melantik Low Siew Moi sebagai pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Ekoran daripada perlantikan tersebut, seramai 200 orang ahli Kesatuan Pekerja-pekerja PKNS berpiket di hadapan pejabat besar PKNS kerana membantah perlantikan tersebut. ADUN Kampung Tunku, Lau Weng Sang kemudiannya membuat cabaran kepada mereka yang tidak berpuas hati dengan pelantikkan tersebut supaya meletak jawatan kerana pelantikan tersebut adalah keputusan muktamad Menteri Besar sendiri.
Alasan mereka yang membantah pelantikan tersebut adalah kerana Lau Weng Sang bukanlah seorang Bumiputra (atau lebih tepat lagi, bukan orang Melayu). Pelantikan tersebut dikhuatiri akan menjejaskan usaha meningkatkan sosio-ekonomi orang Melayu di Selangor.
Sebelum kita melangkah lebih jauh lagi, marilah kita sama-sama mengenali secara ringkas PKNS ini.
PKNS telah ditubuhkan pada 1 Ogos 1964 di bawah Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, 1964 sebagai badan berkanun dan agensi pembangunan peringkat negeri bertujuan mengisi kemerdekaan menerusi pengagihan dan penggalakkan pertumbuhan sosio-ekonomi ke seluruh negeri Selangor berpandukan dasar-dasar kerajaan negeri dalam mewujudkan kestabilan, keharmonian dan keadilan sosial bagi mencapai wawasan negara. Harapan ini dilaksanakan menerusi pembangunan hartanah, pembangunan perdagangan, pembangunan perindustrian dan pelaburan.
Objektif penubuhan PKNS adalah:
Pertama, menggalak, memaju dan membangun kawasan kediaman, perindustrian, perdagangan, pusat pertumbuhan baru, pertanian dan menjalankan aktiviti-aktiviti seumpamanya serta aktiviti-aktiviti lain yang dibenarkan.
Kedua, melaksanakan semua dasar kerajaan yang melibatkan pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.
Ketiga, meneroka dan menyertai bidang-bidang pelaburan dan perdagangan untuk mewujudkan penyertaan ekuiti dan pengurusan Bumiputra yang berkesan dalam perindustrian dan perdagangan.
Keempat, menyediakan landasan ke arah mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputra selaras dengan Dasar Pembangunan Nasional.
Secara rambanglah, penubuhan PKNS adalah untuk meningkatkan sosio-ekonomi dan membasmi kemiskinan di Selangor. Tiada dinyatakan bahawa PKNS hanya untuk menaiktaraf kehidupan Bumiputra (orang Melayu) secara total.
Lagipun, perlantikan Low Siew Moi hanyalah sebagai pemangku dan bukannya secara tetap sementara menunggu pelantikan Pengurus Besar yang sesuai. Pada saya, Tan Sri Khalid sendiri mahir tentang selok-belok ekonomi dan pengurusan sesebuah syarikat. Saya pasti beliau mempunyai pertimbangannya yang tersendiri dalam pelantikan tersebut.
Mengapa perlu dipersoalkan bangsa orang yang dilantik itu? Kita sepatutnya mempersoalkan perlaksanaan amanah yang digalas, bukan warna kulit. Mengapa perlu kita bersifat demikian? Adakah Allah menciptakan bumi bertuah Malaysia ini hanya untuk orang Melayu sahaja? Tidak. Kita disuruh bercampur dengan orang yang bukan sebangsa dan seagama dengan kita. Tidak perlulah dilabelkan dia sebagai orang Cina, tidak boleh memegang jawatan tertinggi dalam perbadanan tersebut. Perbuatan ini dianggap zalim dalam Islam. Walausiapapun dia, sekiranya layak, dia berhak menduduki jawatan tersebut berbanding orang Melayu. Selama ini pun, orang Melayu di Selangor tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Ada antara mereka 'disodok' rumahnya kerana didakwa mendiami di atas tanah rizab kerajaan. Di manakah pembelaan yang dilaung-laungkan selama ini?
Jangan kita berfikir, apa yang tidak sama dengan kita itu teruk. Fikirkan secara rasional, bukan menambahkan lagi sentimen anti kaum, racist, dan sebagainya. Natijahnya, kita juga yang rugi di balik hari nanti.
Tinta berdakwat: 200 orang yang berpiket ni mesti kecewa tidak dilantik sebagai Pengurus Besar PKNS. Buat kerja kalau nak balasan dunia, macam ni lah jadinya.
No comments:
Post a Comment