Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

29 November 2008

Hampir Ke Arah Kematian

Kelmarin (27 Nov 08), seperti biasa, saya makan bersama-sama rakan-rakan tahfiz (roommates yang ambil bidang tahfiz). Betul-betul sebelum saya sempat menjamah sesuap nasi, saya terima satu sms daripada seorang kawan yang dulu sama sekolah dengan saya.



Saya dikhabarkan bahawa seorang daripada kawan kami telah kembali ke rahmatullah.

إنّا لله وإنّا إليه راجعون

Hati saya pada asalnya tidak mempercaya apa yang tercatat dalam sms itu. Sejenak berfikir. Kemudian saya membuat panggilan dan bertanyakan mengenai keshohihan berita yang diterima. Dia itu mengiyakan apa yang telah dia sampaikan dan memberitahu sumber yang diperolehinya.

Hati sebak. Walaupun arwah memang selalu menyakat saya, tetapi dia tetap kawan saya, kawan kami. Senakal-nakal dia semasa hayatnya, saya anggapnya sebagai satu lumrah seorang pelajar sekolah menengah.

Selepas menerima penjelasan daripadanya, saya terus menyebarkan berita itu kepada semua rakan-rakan saya yang mengenalinya. Walaupun begitu, hati saya tetap berasa was-was. Benarkah? Benarkah arwah kemalangan jalan raya? Rasa bersalah sebab pernah sekali 'terlepas cakap' dihadapan arwah minta dia dilanggar lori. Astaghfirullah. Ya Allah, Kau ampunilah diriku yang tersasul ketika itu. Bukanlah itu niatku yang sebenarnya kerana diriku sememangnya belum matang dalam menyusun kata-kata ketika itu...

Selepas saya forward berita itu, bertalu-talu mesej masuk. Saya dihujani pelbagai soalan dan ada yang minta didetailkan maklumat yang saya beri. La budda (mahu tak mahu), saya terpaksa bertanya sendiri kepada ibu si arwah.

Ibu si arwah mengesahkan berita itu. Saya tak terkata. Jadi, memang benar. Pada masa makan itu juga, saya buat plan untuk ke majlis pengkebumian jenazahnya.

Jumaat (28 Nov 08), saya rancang akan ke kubur di mana arwah akan disemadikan. Itu pun selepas kelas ganti yang tamat jam 12.20 tengah hari. Selepas kelas, saya diberitahu bahawa jenazah sudah selamat dikebumikan.

Terkilan kerana saya tidak sempat memberikan penghormatan terakhir. Apapun, saya tetap menghadiahkan al-Fatihah buat arwah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.

Dalam kenangan:
Zainul Ariffin Nasrol 1988-2008

Tinta berdakwat: Tuhan lebih sayangkan dirinya. Sebab itu Dia panggil lebih awal. Yang masih tinggal, insaf cepat-cepat. Takut-takut kalau Allah beri kita istidraj, dipanjangkan nyawa kita tapi hidup penuh dengan noda dan kemungkaran, Na'udzu billah.

27 November 2008

Subhanallah! Maha Indah...


Seperti biasa, hari ini saya ke kuliah setelah 2 hari mc. Rasa macam semangat belajar itu dah hilang (hehehe, sebab dah cuti sakit lama sangat).

Saya masuk ke kelas Ilm al-Qiraat yang diajar oleh Syeikh Abdul Rahman Abdul Ghani al-Haj. Seperti biasa, kami mendalami ilmu-ilmu Qiraat (ala... macam dalam rancangan Akademi al-Quran tu). Tapi kami hanya belajar asas-asasnya sahaja.

Perbincangan kami kemudiannya masuk kepada hikmah-hikmah kenapa Allah subhanahu wa ta'ala menurunkan pelbagai jenis Qiraat dalam pembacaan Quran.

Subhanallah. Sungguh indah susunan ayat al-Quran ini. Dalam satu kalimah sahaja, Dia mampu memberi lebih daripada satu hukum dan memberi kita banyak pilihan dan juga rukhsah (keringanan) dalam beribadat.

Itu baru belajar Qiraat, belum lagi kalau kita belajar ilmu bahasa arab (nahu, sorof, balaghah dan sebagainya) yang ternyata lebih terserlah keindahan bahasa yang digunakan dalam susunan kalam Allah yang Maha Agung itu.

Subhanallah... Maha Indah Kalam-Mu...

Tinta berdakwat: Sekali imbas atau kita tengok aje ayat Quran tu, memanglah kita tak nampak hidayah-Nya. Sebab itu kita kena belajar. Pihak orientalis tu, diorang bukannya belajar Quran, just terjemah ikut dan je. Sebab tu lah boleh jadi berbelit, sampaikan lidah diorang pun turut berbelit juga...

23 November 2008

23 November di Hatiku

Hari ini (23 Nov 2008) saya menerima 3 jemputan kenduri dari rakan-rakan saya. Maaflah sebab saya hanya dapat memenuhi satu jemputan sahaja. Itu pun saya masih belum buat keputusan sama ada jadi pergi ataupun tidak (post ini ditaip pada sebelah pagi manakala rancangan saya ke kenduri pada sebelah petang).

Menyebut nombor 23 ini, ada yang istimewa buat family saya berkaitan dengannya. Cuba perhatikan tarikh lahir dalam family saya ini.

Ayah: 23 Mei
Mak: 20 Oktober
Sulung: 18 Ogos
Kedua: 23 Februari
Ketiga: 23 Oktober
Keempat: 23 November


Cukuplah saya senaraikan setakat yang keempat sahaja. Unik tak tarikh-tarikh lahir family saya? Hehehe... Yang keempat itu sayalah. Happy birthdaylah buat diriku (masuk bakul angkat sendiri).

Ramai rakan-rakan saya tidak mengetahui tarikh 'keramat' ini. Baguslah. Senang saya mengenalpasti perbezaan antara sahabat sejati, rakan sepermainan, dan kawan kenalan. Diri saya sendiri menyimpan tarikh-tarikh lahir sebahagian besar mereka (dan ada juga yang dah terhafal).

Bila bercerita mengenai birthday, saya kurang berminat mengadakan birthday party, walaupun pada skala yang kecil (dibuat secara kecil-kecilan). Antara sebab saya tidak menyukai birthday party adalah kerana birthday cakenya. Harganya kadang-kadang mencecah sekitar RM50 (kek yang murah tak sedap). Selain itu, suasana di dalam rumah yang sudah 10 tahun tidak menyambut birthday party sebab ayah saya dah bertukar idologi politik (huh, tukar parti pun boleh menukar cara hidup?).

Pada sayalah, birthday party tidak menjadi kesalahan. Kita mengucapkan 'selamat' (walaupun kita selalu mengucapkan 'selamat' melalui "assalamualaikum") kepada sanak saudara, sahabat handai dan menyenangkan hati mereka. Bukankah itu juga satu kebajikan? Cumanya jangan diikut cara barat dalam menyambut birthday. Adaptasi serta tapisi sambutan itu kepada cara Islam (sebagaimana para ulama nusantara terdahulu yang mengadaptasi dan menapis unsur-unsur Hindu ke dalam budaya orang Melayu Islam) manakala budaya yang tidak bertentangan dengan Islam, tidak salah diteruskan.

Sekiranya kita amati birthday, kita akan tersentak dengan sambutan ini kerana kita sudah makin hampir dengan tarikh kematiannya. Sambil menyambut birthday, kita lakukanlah ibadat-ibadat yang dapat mengingatkan diri kepada kematian. Saya sendiri selalu alpa dengan kehidupan sehingga meninggalkan Dia dalam banyak urusan. Sejak 2-3 bulan kebelakangan ini, Dialah yang 'menghentak' hati saya agar 'tersentak' daripada kelalaian dunia dengan cara kematian (ramai yang meninggal), 'pengugutan' ke arah kematian (huhuhu, tersangkut di dalam lif di ketinggian tingkat 12 pada hari raya pertama), dan yang terakhir dengan birthday ini.

Ya Allah, diriku benar-benar lari dari-Mu, sedangkan Engkau secara berterusan mencurahkan kasih-Mu yang agung kepadaku. Maafkanlah diriku ini. Berikanlah aku tempoh agar dapat aku perbaiki kelemahan diri. Iringilah hidupku dengan inayah dan hidayah daripada-Mu. Panggillah diriku ketika aku benar-benar bersih, supaya aku dapat berhadapan dengan Maharaja Maha Agung dalam keadaan aku ceria dan berseri, Dia meredhaiku dan aku diredhai-Nya.

Tinta mencoret: Selamat ulangtahun hari kelahiran kepada penulis. Tinta akan sentiasa berdakwat dan akan berteruskan berada disisimu untuk dicoretkan.

22 November 2008

Mereka yang Mengaku Nabi




Dalam al-akidah al-Islamiyyah, nabi Muhammad saw adalah khatimul anbia' (penutup segala nabi). Ia bersesuaian dengan firman Allah Ta'ala:

ما كان محمد أبآ أحد من رجالكم ولـكن رسول الله وخاتم الأنبيــن وكان الله بكل شيء عليما
Muhammad itu sekali-kali bukanlah seorang bapa daripada seorang lelaki di antara kamu, tetapi dialah utusan Allah dan penutup sekalian nabi. Dan Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu. (AQ 33:40)
Namun, masih ada manusia yang sanggup mengaku sebagai nabi yang diutus Allah setelah kewafatan baginda. Bahkan, semasa hanyat baginda, sudah ada yang mengaku sebagai nabi. Jumlah mereka terlalu ramai. Di sini saya menyenaraikan sebahagian daripada mereka.

1. MUSAILAMAH AL-KAZZAB dan isterinya

Musailamah mengaku nabi saat Rasulullah masih hidup. Ia daripada kalangan bani Hanifahdi Yamamah. Isterinya, SAJJAH BINTI AL-HARITS daripada kalangan bani Tamim, juga turut mengaku sebagai nabi.

Dalam riwayat, saat mempersuntingkan Sajjah, Musailamah memberikan mas kahwin berupa cuti solat Asar kepada keluarga Sajjah (sungguh pelik...).

Setelah Rasulullah saw wafat, mereka berdua semakin berleluasa dalam menyebarkan pemahamannya. Khalifah pertama, Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq "kepanasan" melihat gerakan mereka. Usaha pertama yang beliau buat adalah dengan mengajak pengikut-pengikut Musailamah dan isterinya kembali ke pangkuan jalan. Malangnya, ajakan itu ditolak mentah-mentah daripada mereka.

Ini menyebabkan Abu Bakar mengerahkan pasukan tentera yang terdiri daripada kaum Muslimin (pada ketika itu, masih belum wujud tentera tetap) untuk memerangi mereka. Pertempuran ini dikenali sebagai Perang Yarmuk. Dalam peperangan ini, Musailamah berjaya dibunuh oleh Wahsyi bin Harb manakala isterinya terselamat. Sajjah pada akhir hayatnya bertaubat dan kembali ke pangkuan Islam.

2. ASWAD AL-'ANSI (AILAT BIN KA'AB BIN AUFF AL-'ANSI)

Aswad berketurunan Habsyah dan tinggal di Jazirah Arab (semenanjung Tanah Arab). Digelar sebagai Aswad (hitam) kerana warna kulitnya hitam. Aswad memiliki minat dalam hal perbomohan serta mahir melakukan sihir.

Aswad mengaku menjadi nabi semasa Rasulullah saw berada di penghujung hanyat dan diserang penyakit. Dia juga memiliki lidah yang petah berkata-kata. Ini membuatkan ramai orang awam yang percaya kata-katanya.

Ajaran Aswad berjaya berkembang sehingga ke Yemen. Dia juga mengaku bahawa malaikat telah memberikan wahyu mengenai perkara-perkara ghaib. Namun Aswad berjaya dibunuh oleh umat Islam menjelangnya kewafatan baginda.

3. MIRZA GHULAM AHMAD

Lahir di Qadian, wilayah Punjab, utara India. Berasal daripada keluarga Muslim, namun keluarganya suka membuat khianat terhadap Islam dan negerinya sendiri.

Semasa penjajah Inggeris menceroboh India, umat Islam di situ berhempas pulas menyekat kemaraan penjajah, sedangkan Mirza menjadi salah seorang daripada tali barut mereka. Sikap Mirza yang pro-Inggeris digunakan sebaiknya oleh penjajah untuk membuat gerakan. Pada tahun 1900, tertubuhlah gerakan Ahmadiyyah di mana Mirza diangkat menjadi nabinya.

Ajaran Ahmadiyyah sungguh pelik. Mereka mempercayai bahawa Allah juga berpuasa dan mendirikan solat seperti kita (memang pelik). Tambah memelikkan lagi, Allah turut tidur, membuat maksiat dan melakukan seks (astaghfirullah al-Azim). Mirza turut mendakwa, kenabian belum lagi terputus setelah diutusnya nabi Muhammad saw dan turut mendakwa dialah nabi yang paling agung dan paling utama daripada kalangan nabi sekeliannya.

Menurut Hasan bin Mahmud Audah, menjelang akhir hanyatnya, Mirza menderita sakit kronit. Pengikut-pengikutnya sudah kembali ke pangkal jalan dan bertaubat. Selama sakitnya, dia membuang air kecil dan besar di pembaringannya. Ia berlarutan selama berminggu-minggu dan akhirnya meninggal dunia di tempat tidurnya.

4. MIRZA ALI MUHAMMAD RIDHA ASY-SYAIRAZI

Mirza Ali ialah seorang Yahudi yang menyamar sebagai seorang Muslim, tinggal di Iran. Pada tahun 1844, Mirza Ali mengisytiharkan dirinya sebagai seorang nabi dan menggelarkan dirinya 'al-Bab' (pintu). Yakni, pintu bagi mazhab Syiah atau seluruh umat Islam yang akan menyatu-padukan mereka bersama imam yang ditunggu kedatangannya di akhir zaman.

Ajaran Mirza Ali yang paling popular ialah menyatu-padukan agama dengan mengajak manusia keluar daripada agama masing-masing dan membentuk satu agama yang baru. Menurutnya, tiga agama utama dunia, juga agama samawi (agama dari langit), Islam, Kristian dan Yahudi adalah benar dan datang daripada Allah. Selain itu, Mirza Ali turut mengharamkan jihad.

Disebabkan ajarannya itu, pada tahun 1850, Mirza Ali dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan Iran ketika itu yang dipimpin oleh Shah Tibriz. Sementara itu, para pengikutnya melarikan diri ke Turki dan Palestin.

5. THULAIHAH BIN KHUWAILID

Thulaihah merupakan seorang dukun yang sangat disegani oleh kaumnya. Ketika Rasulullah saw wafat, ia mengaku sebagai nabi yang menggantikan Rasulullah saw. Ia menciptakan ajarannya yang baru. Menurutnya, manusia tidak wajar sujud ketika solat.

Katanya "Kepala dan wajah yang diciptakan Tuhan bukan untuk dihina dengan mencium tanah lima kali seharian dan semalaman." Dia turut menghapuskan kewajipan zakat terhadap orang kaya.

Dia pernah menghadap Sayyidina Abu Bakar di Madinah. Ia meminta Abu Bakar mengakui tarafnya sebagai nabi baru dan hidup bersama saling menghormati. Permintaan itu ditolak dengan tegas. Ketika itu juga Abu Bakar mengeluarkan perintah memerangi Thulaihah dan pengikutnya kepada para sahabat. Maka terjadinya peperangan antara kaum Muslimin dengan pengikut Thulaihah. Pengikut Thulaihah berjaya ditumpaskan akhirnya.

6. LIA AMINUDDIN

Lia Aminuddin atau Lia Eden lahir di Surabaya 21 Ogos 1947. Ibunya bernama Zainab manakala ayahnya bernama Abdul Ghaffar Gustaman, seorang peniaga dan daie (pendakwah).

Ketika berusia 19 tahun, Lia berkahwin dengan Aminuddin Day, pensyarah Universiti Indonesia. Aktiviti harian Lia adalah suri rumah tangga dan menguruskan 4 orang anaknya. Dia juga mahir menggubah bunga di rancangan TVRI.

Pada akhir 1995, Lia mengaku bertemu dengan malaikat Jibril dalam solatnya. Sampai sekarang dia mengaku menerima bimbingan dan pengarahan daripada Jibril, termasuk mengeluarkan kenyataan bersifat kontroversi, menurutnya itu atas perintah Jibril.

Pada tahun 1998, Lia mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi (orang perempuan mengaku sebagai Iman Mahdi?) yang menciptakan keamanan dan keadilan dunia. Ia kemudiannya mengajarkan ajaran Salamullah. Salah satu ajarannya ialah menganggap semua agama adalah benar. Kerana dituduh ajaran sesat, Kerajaan Indonesia menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya pada tahun 2005.

7. AHMAD MOSHADDEQ (ABDUSSALAM)

Moshaddeq ialah pengasas aliran al-Qiyadah al-Islamiyah. Moshaddeq mengaku sebagai nabi setelah melakukan meditasi di gunung Bunder, Bogor, Jawa Barat selama 40 hari 40 malam. Kemuncaknya pada malam ke-40, tepat pada 23 Julai 2006, Moshaddeq mendakwa mendapat wahyu daripada Allah.

Ajaran yang dibawanya diisytiharkan sesat oleh Majlis Ulama Indonesia. Antara kesesatan itu ialah solat lima waktu dalam sehari diganti dengan satu waktu, iaitu solat malam (ataupun qiamullail).

Tinta mencoret: Tu semua tokoh sesat dari luar negara. Dalam negara kita pun ada juga. Ayah Pin dengan 'Rasul Melayu' atau namanya Kahar. Jadi nabi tapi perangai macam sial. Ops... Terlepas pula bahasa sensitif. Tapi itulah hakikatnya... Semuanya memang tidak berguna...

Obama Atau Mc Cain?


"Kau sokong Obama ke?" Itulah antara lontaran rakan-rakan saya ketika saya meletakkan gambar Obama dalam ruangan sebuah laman komuniti maya. Saya tidak pernah terlintas menyokong mana-mana pihak dalam pilihanraya Presiden Amerika Syarikat, cuma mengambil tahu mengenainya sahaja.

Di Amerika, hanya pihak yang berjaya melobi pihak Yahudi sahaja yang akan berjaya. Kaum Yahudi Amerikalah yang menjadi penentu arah tuju pentadbiran dan perjalanan politik. Mahu tidak mahu, politikus Amerika MESTILAH berjaya memenangi hati-hati mereka untuk menggenggam kuasa.

JADI, HARAPAN MELIHAT HUBUNGAN ISLAM-BARAT UNTUK PULIH AKAN PUNAH?

Pada saya, ya. Obama dalam siri kempennya hanya berhasrat untuk memulihkan sistem ekonomi kapitalis Amerika. Tiada dinyatakan hasratnya membuang perasaan Islamophobia di kalangan non-Muslims di Amerika.

Air keruh bertambah legam bila Obama berhasrat melantik Pengarah Urusan Rumah Putih daripada kalangan orang yang fanatik dengan Yahudi, anak kepada pengganas Zionis yang pernah melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap bangsa Palestin.

Adakah ini akan menjernihkan air yang keruh? Saya yakin tidak dan ia mungkin menambahkan lagi keruhnya.

Kedudukan saya hanyalah mengambil tahu hal-hal dan perkembangan semasa dunia. Ia sedikit sebanyak memberikan kesan kepada kita, sama ada kesan terhadap politik, ekonomi, budaya dan sebagainya. Tidak terlintas mahu menyokong Obama melainkan beliau seorang Muslim dan mampu membuat Dewan Kongres dan Dewan Senat Amerika menggubal dasar luar yang mesra Islam.

Tinta mencoret: Yang paling tinta suka tang Amerika la ni, keruntuhan ekonomi depa. Baguih bona la... Moga-moga sistem ekonomi dan kewangan Islam berjaya menambat hati para pelabur. Mai la pakat ramai-ramai melabur kat Malaysia nih...

05 November 2008

Pengurus Besar PKNS Wajib Orang Melayu?


Baru-baru ini, Dato' Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melantik Low Siew Moi sebagai pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Ekoran daripada perlantikan tersebut, seramai 200 orang ahli Kesatuan Pekerja-pekerja PKNS berpiket di hadapan pejabat besar PKNS kerana membantah perlantikan tersebut. ADUN Kampung Tunku, Lau Weng Sang kemudiannya membuat cabaran kepada mereka yang tidak berpuas hati dengan pelantikkan tersebut supaya meletak jawatan kerana pelantikan tersebut adalah keputusan muktamad Menteri Besar sendiri.

Alasan mereka yang membantah pelantikan tersebut adalah kerana Lau Weng Sang bukanlah seorang Bumiputra (atau lebih tepat lagi, bukan orang Melayu). Pelantikan tersebut dikhuatiri akan menjejaskan usaha meningkatkan sosio-ekonomi orang Melayu di Selangor.

Sebelum kita melangkah lebih jauh lagi, marilah kita sama-sama mengenali secara ringkas PKNS ini.

PKNS telah ditubuhkan pada 1 Ogos 1964 di bawah Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, 1964 sebagai badan berkanun dan agensi pembangunan peringkat negeri bertujuan mengisi kemerdekaan menerusi pengagihan dan penggalakkan pertumbuhan sosio-ekonomi ke seluruh negeri Selangor berpandukan dasar-dasar kerajaan negeri dalam mewujudkan kestabilan, keharmonian dan keadilan sosial bagi mencapai wawasan negara. Harapan ini dilaksanakan menerusi pembangunan hartanah, pembangunan perdagangan, pembangunan perindustrian dan pelaburan.

Objektif penubuhan PKNS adalah:

Pertama, menggalak, memaju dan membangun kawasan kediaman, perindustrian, perdagangan, pusat pertumbuhan baru, pertanian dan menjalankan aktiviti-aktiviti seumpamanya serta aktiviti-aktiviti lain yang dibenarkan.

Kedua, melaksanakan semua dasar kerajaan yang melibatkan pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.

Ketiga, meneroka dan menyertai bidang-bidang pelaburan dan perdagangan untuk mewujudkan penyertaan ekuiti dan pengurusan Bumiputra yang berkesan dalam perindustrian dan perdagangan.

Keempat, menyediakan landasan ke arah mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputra selaras dengan Dasar Pembangunan Nasional.

Secara rambanglah, penubuhan PKNS adalah untuk meningkatkan sosio-ekonomi dan membasmi kemiskinan di Selangor. Tiada dinyatakan bahawa PKNS hanya untuk menaiktaraf kehidupan Bumiputra (orang Melayu) secara total.

Lagipun, perlantikan Low Siew Moi hanyalah sebagai pemangku dan bukannya secara tetap sementara menunggu pelantikan Pengurus Besar yang sesuai. Pada saya, Tan Sri Khalid sendiri mahir tentang selok-belok ekonomi dan pengurusan sesebuah syarikat. Saya pasti beliau mempunyai pertimbangannya yang tersendiri dalam pelantikan tersebut.

Mengapa perlu dipersoalkan bangsa orang yang dilantik itu? Kita sepatutnya mempersoalkan perlaksanaan amanah yang digalas, bukan warna kulit. Mengapa perlu kita bersifat demikian? Adakah Allah menciptakan bumi bertuah Malaysia ini hanya untuk orang Melayu sahaja? Tidak. Kita disuruh bercampur dengan orang yang bukan sebangsa dan seagama dengan kita. Tidak perlulah dilabelkan dia sebagai orang Cina, tidak boleh memegang jawatan tertinggi dalam perbadanan tersebut. Perbuatan ini dianggap zalim dalam Islam. Walausiapapun dia, sekiranya layak, dia berhak menduduki jawatan tersebut berbanding orang Melayu. Selama ini pun, orang Melayu di Selangor tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Ada antara mereka 'disodok' rumahnya kerana didakwa mendiami di atas tanah rizab kerajaan. Di manakah pembelaan yang dilaung-laungkan selama ini?

Jangan kita berfikir, apa yang tidak sama dengan kita itu teruk. Fikirkan secara rasional, bukan menambahkan lagi sentimen anti kaum, racist, dan sebagainya. Natijahnya, kita juga yang rugi di balik hari nanti.

Tinta berdakwat: 200 orang yang berpiket ni mesti kecewa tidak dilantik sebagai Pengurus Besar PKNS. Buat kerja kalau nak balasan dunia, macam ni lah jadinya.