Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

23 December 2008

Antara Krismas dan Maruah Agama

Boleh dikatakan, dalam masa 2 minggu yang mendatang ini, kalendar penuh dengan catatan 'cuti'. Yang terhampir sekali ialah cuti Hari Natal, Khamis ini, diikuti dengan cuti hujung minggu, kemudiannya cuti Awal Muharram, dan cuti tambahan kerana kehadiran Sultan, dan kemudiannya cuti Tahun Baru Masehi 2009.

Saya tidak mahu memanjangkan coretan ini mengenai cuti tetapi apa yang ada dalam cuti itu...

ADA APA DALAM CUTI?

Ada apa dalam cuti? Tahukah kita, cuti yang bakal dirayakan ini adalah cuti yang berkaitan dengan perayaan keagamaan?

Hari ini, Ustaz Effendi, lecturer kami, berpesan, jangan sesekali kita 'merayakan' apa-apa sahaja perayaan yang melibatkan aqidah, sama ada perayaan agama lain ataupun mana-mana kepercayaan yang bercanggah dengan Islam.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Kafirun (mafhumnya):

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai orang-orang Kafir. Aku tidak akan sesekali menyembah apa yang kamu sembah dan kamu bukanlah orang yang menyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah dan kamu pula tidak pernah menjadi orang yang menyembah Tuhan yang aku sembah. (Beginilah) bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agama aku." (AQ 109:1-6)

Al-Tabrani dan Ibn Abi Hatim telah mentakhrijkan (mengeluarkan) hadith tersebut daripada Ibn 'Abbas r.a. bahawa orang-orang kafir Quraisy telah menawarkan kepada Rasulullah s.a.w. untuk memberi baginda harta benda sehingga baginda menjadi orang yang paling kaya di Makkah. Mereka berjanji akan mengahwinkan baginda dengan mana-mana wanita yang disukainya (dengan beberapa syarat). Mereka berkata: "Wahai Muhammad! Ini adalah untuk engkau dengan syarat engkau berhenti daripada mencerca tuhan-tuhan kami dan memburuk-burukkannya. Kalau engkau tidak mahu (pilihan ini), engkau sembahlah tuhan-tuhan kami selama setahun (dan kami juga sebaliknya)." Rasulullah s.a.w. menjawab "Tunggulah sehingga aku melihat perintah Tuhanku."

Sejurus kemudian, Allah menurunkan surah al-Kafirun dan juga ayat ini:

قُلْ أَفَغَيْرَ اللهِ تَأْمُرُوني أعبد أيها الجاهلون

Mafhumnya:Katakanlah (Wahai Muhammad): "Apakah kamu menyuruh aku menyembah selain daripada Allah, wahai orang-orang yang jahil?" (AQ 39:64)

'Abd al-Razzaq telah meriwayatkan daripada Wahab katanya: "Orang-orang kafir Quraisy berkata kepada Rasulullah s.a.w. "Apa kata kalau engkau ikut (agama) kami (selama) setahun dan kami pula ikut agama engkau selama setahun," lalu Allah menurunkan surah al-Kafirun ini.

Nah. Apakah kita mahu menyangkah titah Tuhan yang Maha Agung? Memang tidak dinafikan negara kita sebuah negara yang majmuk, tetapi hukum syarak tetap membataskan. Misalnya konsep 'Kongsi Raya', 'Deepa Raya' dan sebagainya. Raya depa, biaq pi la depa nak ghayo, kita dok sebuk-sebuk nak berkongsa raya dengan mereka mengapa?

Tidak seorangpun daripada kalangan ahli akademik dalam bidang pengajian Islam yang menyokong konsep ini. Hanya ahli-ahli politik yang ingin meraih nama dan populariti sahaja yang meng'halal'kannya. Mengapa? Apa lagi kalau bukan mahukan jawatan YB semata-mata!

Ustaz Affendi kemudiannya, berpesan kepada kami agar menjaga batasan aqidah, jangan tersilap langkah. Soal aqidah lebih bahaya daripada soal feqh yang membicarakan soal solat, puasa zakat. Aqidah penting dalam membezakan antara seseorang itu beriman ataupun tidak!

Oleh itu, selepas ini, sekiranya kita mahu mengucapkan 'selamat' ataupun turut merayakannya, eloklah dirujuk dulu hasrat itu kepada ulama, agar kaki kita tidak 'tergari' dalam api neraka Allah yang Maha Dahsyat itu.

والله أعلم بالصواب

Tinta mencoret: Ustaz Effendi kemudiannya menambah: "Merry Christmas itu membawa maksud Sejahtera ke Atas Christ". Tak tahulah dalam bahasa apa, mungkin bahasa Ibrani kot. Wallahu a'lam bissowab.

20 December 2008

MidValley Penghubung Rindu

Alhamdulillah. Setelah sekian lama, hari ini, dapat saya berjumpa dengan sahabat-sahabat lama saya. Walaupun ramai yang tidak dapat hadirkan diri tetapi kami tetap bersyukur kerana dapat bertemu.

Yang gemuk 'surut', yang 'papan' makin 'sihat'. Ada yang tersilap kenal, ada yang terlupa nama. Tetapi kami cuba untuk merapatkan ukhuwah yang telah lama terlerai dek masa dan keadaan yang menjadi tembok perpisahan.


Reunion ini tidaklah formal, cuma jumpa-jumpa biasa untuk meleraikan rindu di dada. Kami berkumpul di Food Junction, MidValley. Seperti biasa saya meng'order' Yee Mee Sizzling. Memang sudah menjadi makanan favourite kalau singgah ke mana-mana food court.

Borak punya borak, tak sedar sudah masuk jam 3 petang. Apa lagi, kami mencari surau untuk solat. Hm... Selepas itu, sesi fotografilah, apa lagi...

Memang tidak tertahan menahan gelak tawa ketika masing-masing membuka cerita. Kisah lama, kisah baru jumpa dan sebagainya. Daripada kisah rombongan ke utara sehingga kisah menjadi model, semuanya 'dibongkar' dan 'dikomedikan'. Walaupun wajah dan susuk tubuh semacam bapa orang, perwatakan masih ceria seperti dulu. Memang mengimbau kenanganlah...

'Ala kulli hal, saya tetap mendoakan kesejahteraan antum semua dan juga kejayaan dan kemajuan dalam setiap aspek kehidupan, dunia dan akhirat. Jangan lupakan daku dalam setiap doa kalian.

Tinta mencoret: Kalau masing-masing dah bertemu, memang susah nak berpisah, lebih-lebih lagi kalau dah 5 tahun tak bersua, lagilah berat kaki nak melangkah keluar.

18 December 2008

Perbentangan Mengenai Manhaj Abi Amru

Alhamdulillah, hari ini selesai sudah membentangkan tajuk Manhaj Abi 'Amru bersama dengan sahabat saya, Salwan. Memang pening kepada juga nak mencari bahan tentangnya.

Setelah habis, Sheikh Dr. Abdul Rahman Abdul Ghani al-Muqri' Ph.D. memberikan sedikit ulasan mengenai apa yang saya bentangkan itu. Terasa puas bila sesuatu itu kita telah lakukan sehabis mungkin walaupunnya masih terdapat beberapa kelemahan.

Antara kelemahan kami yang ustaz dapat detect ialah pada sub-topic Yaa Idhoofah. Pada asalnya saya keliru, dan apa yang saya faham yaa idhoofah tu sama maknanya dengan yaa zaaidah tetapi yang sebenarnya adalah yang sebaliknya.

Kemudiannya, beliau memanjangkan perbincangan tentang tajuk yang kami bentang, antaranya perbezaan antara Idgham Kabeer dengan Idgham Sogheer dan perbezaan antara Isqath dengan Idghaam.

Walaupun siang malam kami berpulas untuk menyediakan yang terbaik, yang terbagus, tetapi masih ada yang kami terlepas pandang. Memang sunnatullah, setiap hamba-Nya pasti tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Itu saya tidak hiraukan, asalkan saya dapat memberikan yang terbaik daripada saya sendiri untuk menyiapkan tugasan ini dan membentangkan kepada rakan-rakan sekelas saya.

Cuma saya rasa seperti tidak sempurna kerana tiada wajah qiraat yang lebih khusus untuk riwayat ad-Duri an Abi 'Amru. Kebanyakkannya hanyalah yang diriwayatkan oleh as-Susi ataupun yang diriwayatkan bersama. Wajah qiraat untuk Abu 'Amru ini hanya lebih kepada idgham oleh as-Susi tetapi bacaan yang unik untuk ad-Duri tidak dapat dikeluarkan dan kebanyakkannya mengikut riwayat Hafs an 'Asim seperti al-Quran yang dibaca bebanyakkan orang Malaysia dengan cara ditahqeeqkan bacaannya.

Semoga apa yang kami bentang dapat memberikan input-input yang berguna untuk rakan-rakan sekelas saya dan diharapkan ilmu yang kami sampaikan itu diberkati.

والله أعـــــــــلـــــم بـــــــــــالصـــــــــــواب

Sesiapa yang inginkan handout untuk manhaj ini, bolehlah sms.

Tinta mencoret: Seronok juga kalau kita belajar qiraat ni. Sekurang-kurangnya kita ada pilihan untuk membaca al-Quran dalam pelbagai cara. Tinta cadangkan, eloklah kita belajar qiraat. Sekurang-kurangnya tak adalah ternganga bila mendengar finalist Akademi al-Quran baca al-Quran.

06 December 2008

Mengulangi Tragedi Highland Tower

Hari ini, berlaku lagi satu tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang. Sebagai seorang yang membesar di Hulu Kelang, saya akan mengambil tahu segala perkara yang berlaku di kawasan tempat saya membesar dahulu.

Bukit Antarabangsa adalah salah satu daripada kawasan di Hulu Kelang yang kerap berlakunya kejadian tanah runtuh. Dan ini adalah yang terkini. Dari pagi, saya asyik terdengar bunyi siren ambulans yang lalu lalang di MRR2, betul-betul bersebelahan dengan rumah saya.

Tragedi ini sepatutnya telah membuka mata kita sejak dahulu lagi. Mana tidaknya, kawasan tragedi adalah tempat yang sama, Hulu Kelang, atau jika difokuskan lagi, Bukit Antarabangsa. Kejadian yang masih segar di ingatan saya adalah tragedi Highland Tower pada penghujung 1993. Itu adalah tragedi yang paling dahsyat yang pernah berlaku sejak Malaysia merdeka.

Hari ini, ramai 'pembesar-pembesar' turun melihat kawasan kejadian. Antaranya, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri bersama isterinya, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, ADUN Bukit Antarabangsa, Ketua Polis Selangor dan sebagainya. Antara langkah drastik yang diambil ialah dengan membatalkan dan menghentikan semua projek dilereng-lereng bukit. Persoalan saya, adakah arahan ini bersifat 'hangat-hangat tahi ayam' sahaja?

Kerajaan negeri Selangor yang baru telah mengeluarkan arahan seumpama ini setelah mereka berjaya membentuk kerajaan. Persoalan saya yang kedua, bagaimana pula dengan penempatan di lereng-lereng bukit? Kita dapat membatal dan menghentikan semua projek-projek yang dirancang tetapi bagaimana pula dengan kawasan sedia ada? Apakah tindakan yang diambil? Pada saya, nyawa mereka yang 'berada' di lereng-lereng bukit ini juga 'berharga' dan tidak sepatutnya dilupakan ataupun diabaikan.

Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut berkenaan langkah-langkah yang sepatutnya diambil kerajaan negeri dan Persekutuan. Mereka mempunyai tenaga kerja yang pakar dalam bidangnya. Cuma harapan saya agar kejadian seumpama ini dapat dielakkan, sekurang-kurangnya tiada yang terkorban sekiranya ia berulang kembali.

SEJARAH TANAH RUNTUH SEKITAR HULU KLANG

10 Dec 1985
Dua buah rumah baru dua tingkat yang masih belum diduduki di Taman Melawati, runtuh ketika hujan lebat dalam kejadian 8.50 pagi.

17 Sep 1988
Sebuah rumah di Hulu Klang, ranap akibat tanah runtuh berikutan hakisan tanah.

29 Mar 1990
Kejadian tanah runtuh berlaku di Taman Setia Wangsa melibatkan 80 keluarga yang mendiami dua blok flat.

11 Dec 1993
Tragedi Highland Tower, kira-kira 1.5km daripada Taman Bukit Mewah, lokasi kejadian tanah runtuh hari ini. Tragedi ini mengorbankan 48 nyawa apabila satu (Blok A) daripada tiga blok kondominium di Taman Hillview tumbang.

25 Dec 1997
Tiga orang terbunuh selepas tertimbus di bawah runtuhan tanah dan sampah dalam satu kejadian di KM 17 Lebuhraya Ampang-Hulu Klang.

15 May 1999
Ribuan penduduk di kawasan perumahan Bukit Antarabangsa dan Wangsa Ukay di Jalan Hulu Klang terperangkap apabila tanah runtuh sepanjang 100 meter berlaku dalam kejadian 5.20 pagi yang menimbusi satu-satunya jalan keluar masuk ke kawasan perumahan berbukit itu.

24 Feb 2000
Kejadian tanah runtuh berlaku selepas hujan lebat di Kampung Sri Damai, Taman Kencana, Ampang yang mengorbankan seorang budak berusia 4 tahun.

5 Oct 2000
Satu kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Antarabangsa berikutan hujan lebat berterusan. Tiada yang tercedera.

20 Nov 2002
Sebuah banglo di Taman Hillview milik bekas Panglima Angkatan Tentera, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar, yang juga Pengerusi Affin Bank, ranap setelah dirempuh tanah runtuh dari bukit bersebelahan. Isteri Ismail, Puan Sri Azizah Abdul Aziz, anaknya Hijaz, dua menantu, dua cucu serta dua pembantu rumah Indonesia terkorban dalam kejadian 4.35 pagi itu. Banglo itu hanya terletak kira-kira 300 meter dari tapak Highland Towers.

31 May 2006
Empat sekeluarga terkorban setelah tertimbus dalam runtuhan tanah yang memusnahkan 49 buah rumah di Kampung Pasir, Hulu Klang pada kira-kira pukul 4.45 petang.

Sumber: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)

Tinta mencoret: Kita sebagai rakyat patutnya faham, tepi lereng bukit kan bahaya. Janganlah kita saja cari 'nahas' buat rumah di kawasan macam itu. Jangan hanya kerana kawasan itu kawasan elite, kawasan yang ada nama, kita memilih untuk menetap di situ. Carilah kawasan yang benar-benar selamat daripada bencana alam. Kalau kita menjadi mangsa, rumah hilang, insurans sememangnya tidak boleh dituntut, (kebanyakkan insurans tak cover kemalangan berpunca daripada bencana alam) dan amat memilukan sekiranya ada insan tersayang terkorban. Fikir-fikirkanlah.

Korbankan Seminggu Demi Tugasan

Hari ini bermulalah cuti raya saya. Seminggu lamanya. Walaupun begitu, bebanan kerja dan assignments yang saya terima bagai menidakkan waktu lapang yang saya ada ini.

Dua tiga hari ini, saya bercadang untuk merehatkan minda daripada sebarang tugasan dan kerja yang berkaitan dengan kolej sebelum saya mula menyelesaikannya selepas Aidiladha ini. Terkadang saya terfikir, kelapangan yang Tuhan berikan ada kalanya kita tidak menggunakan sebaik mungkin. Mengapa ya?

Kita selalu merungut kita tidak diberikan masa yang secukupnya dalam banyak hal. Tetapi kita tidak pula melihat berapa banyak masa yang kita bazirkan dengan perkara-perkara yang tidak berkaitan. Assignment yang bertimbun kadang-kala saya lihat bagai tiada masa menyelesaikannya. Tetapi terkadang saya terfikir, bagaimana saya memperoleh masa untuk beristirehat yang berlebihan, masa untuk bermain, masa untuk melepak? Sedangkan saya perlukan masa untuk kerja-kerja dan tugasan yang wajib diselesaikan.

Alhamdulillah, kini saya sekelas dengan mereka yang menjaga kualiti kerja dan tugasan mereka dengan tidak menangguhkan segala tugasan yang mereka terima. Mahu tidak mahu, saya terpaksa mengikut rentak kerja mereka. Berbanding dengan kelas-kelas pada semester sebelum ini yang selalunya melaksanakan segala assignment last-last minutes, kebanyakkan students kelas saya kini lebih gemar menyelesaikan sesuatu tugasan lebih awal. Misalnya, tugasan praktikal dakwah kami yang baru selesai malam Jumaat lepas.

Pada asalnya, pertukaran kelas yang terpaksa saya terima ini akan menjejaskan tempoh pembelajaran saya, tetapi rupanya, ada hikmah yang tersembunyi yang dihadiahkan Allah kepada saya. Insya-Allah, saya akan menggunakannya sebaik mungkin keadaan ini.

Cuma saya khuatir satu perkara, dapatkah saya mengikut rentak ataupun sekadar 'hangat-hangat tahi ayam' sahaja? Itulah yang paling saya risaukan. Sekiranya suasana ini berjaya saya ikut dan menjadi darah daging saya, Alhamdulillah, itulah yang saya idamkan. Bagaimana sekiranya Allah tarik keadaan itu kemudian hari? Na'uzubillahi min zaalik. Semoga saya dihindarkan daripada keadaan sedemikian.

Bolehkah saya menjadi seperti mereka? Insya-Allah, saya akan usahakan.

Tinta mencoret: Hendak seribu daya, tak nak satu dalih pun cukup menyatakan tak nak...

03 December 2008

Jangan Tuduh Kami Sebarangan!

Apa bezanya antara syak dengan tuduh? Sama sahaja maksudnya. Tetapi, ada dikalangan kita yang menggunakan dua perkara ini dan berselindung di bawah satu payung kata 'tanya'.

Kami mati-mati dituduh sebagai 'pencuri telefon'. Sebab apa? Sebab kami duduk bersebelahan dengan meja si penghilang telefon. Paling menggelikan hati saya, antara kami berenam yang berada di tempat kejadian, seorang rakan saya, Salam, yang dituduh. Memang yang menuduh itu menujukan pertuduhan itu ke arahnya.

Sepanjang apa yang saya kenal, Salam tidak begitu. Dia disenangi oleh rakannya dan juga lecturer kami. Latar belakang keluarganya juga penuh dengan latar keagamaan (sememangnya agama itu tidak boleh diwariskan tetapi ia boleh dijadikan penguat terhadap peribadinya yang baik).

Saya memang berang ketika itu. Saya mengajukan pertanyaan mengenai baju yang dipakai oleh Salam. Memang pelik. Dia langsung tidak boleh memberitahu warna baju dan baju apa yang dipakai oleh Salam.

Macam inikah pertuduhan yang boleh diterima pakai? Dia langsung tidak ada pengukuhan terhadap pertuduhannya dan terus membuat pertuduhan yang boleh dikatakan goyah. Kami menyerangnya semula. Mungkin ada dikalangan yang menuduh itu sendiri yang mengambil telefon bimbitnya dan kemudiannya melepaskan tuduhan kepada kami (khususnya kepada Salam) bertujuan untuk dia melepaskan dirinya.

Keenam-enam kami adalah pelajar pengajian Islam yang berkaitan dengan al-Quran. Si 'penghilang' boleh memburuk-burukkan al-Quran ini dengan mengatakan "Orang yang selalu baca Quran pun boleh mencuri." Bagi saya, al-Quran dan akhlak seseorang jangan disamakan. Lagipun, kenyataan yang dikeluarkannya memang mahu menuduh secara total bahawa kamilah yang mencuri telefonnya.

'Panas' yang ada di dalam hati memang belum lagi terpadam. Saya masih menunggu apa tindakan mereka yang seterusnya. Sekiranya mereka cuba membuat propaganda, membuat berita mulut, saya hanya mampu berdoa agar apa yang cuba dibuat itu tidak berhasil. Sekiranya mereka cuba menggunakan kekerasan, cara saya mudah, "I see you all in court!". Berani ataupun tidak, cubalah. Kami yakin kami benar dan kami ada Tuhan yang akan membantu kami. Sekiranya mereka berasa mereka benar, buatlah sesuatu mengikut caranya, bukan menuduh kami di belakang.

Tinta berdakwat: Jangan tuduh sebarangan. Sekiranya benarlah nampak si pencuri itu, tuduhlah dengan kukuh, bukan hanya menuju pertuduhan itu tanpa hujah-hujah yang kukuh.